Khamis, 20 Mei 2021

KEPERLUAN PENTADBIRAN TANAH UNTUK MEWUJUDKAN ‘JAWATANKUASA PENGURUSAN TANAH MENGIKUT PERKARA 166(3) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG’ UNTUK MENYELARASKAN PERANAN/FUNGSI PERUNDANGAN & TEKNIKAL TANAH DI ANTARA KERAJAAN PERSEKUTUAN, KERAJAAN NEGERI DAN TEMPATAN

 Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:

 

1. Perkara 85(1), (2) dan 166 (3) Perlembagaan Persekutuan:

 

Pemberian kepada Persekutuan tanah yang dirizabkan bagi maksud persekutuan

 

85. (1) Jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri dirizabkan bagi apa-apa maksud persekutuan, maka Kerajaan Persekutuan boleh menghendaki Kerajaan Negeri, dan kemudiannya menjadi kewajipan Kerajaan itu, untuk menyebabkan tanah itu diberikan kepada Persekutuan untuk selama-lamanya tanpa sekatan tentang kegunaan tanah itu, tetapi tertakluk kepada pembayaran premium yang hendaklah ditentukan mengikut Fasal (2) dan kepada pembayaran cukai tanah yang berkenaan pada tiap-tiap tahun.

 

(2) Premium yang disebut dalam Fasal (1) hendaklah sama banyak dengan nilai pasaran tanah itu ditolak—

(a) nilai pasaran bagi apa-apa pemajuan yang dibuat (selain atas perbelanjaan Negeri) semasa tanah itu digunakan bagi maksud persekutuan; dan

(b) amaun, jika ada, yang telah dibayar oleh Persekutuan, atau yang telah dibayar sebelum Hari Merdeka oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, berkenaan dengan kos pengambilan apa-apa kepentingan mengenai tanah itu oleh Kerajaan Negeri.

 

Pewarisan harta

 

166.(3) Mana-mana tanah yang terletak hak pada Negeri Melaka atau Negeri Pulau Pinang yang sebaik sebelum Hari Merdeka telah diduduki atau digunakan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Baginda Ratu atau oleh mana-mana pihak berkuasa awam bagi maksud yang mengikut peruntukan Perlembagaan ini menjadi maksud persekutuan hendaklah pada dan selepas Hari Merdeka diduduki, digunakan, dikawal dan diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh pihak berkuasa awam yang tersebut, selagi tanah itu dikehendaki bagi maksud persekutuan, dan—

(a) tidaklah boleh dilupuskan atau digunakan bagi apa-apa maksud selain maksud persekutuan tanpa persetujuan Kerajaan Persekutuan; dan

(b) tidaklah boleh digunakan bagi maksud persekutuan yang berlainan daripada maksud yang baginya tanah itu telah digunakan sebaik sebelum Hari Merdeka tanpa persetujuan Kerajaan Negeri itu.

 

2. Seksyen 416B Kanun Tanah Negara (KTN) 1965:

 

416B. Provisions in respect of lands falling under Article 166(3) of the Constitution.

Where any land in Malacca or Penang is occupied, used, controlled and managed by the transferor under Clause (3) of Article 166 of the Constitution immediately before a statutory vesting takes effect, the State Authority may, by virtue of paragraph (a) of Clause (3) of Article 166, with the written consent of the Federal Government and upon application in writing by the transferee-

(a) permit the whole or part of such land to be occupied, used, controlled and managed by the transferee on such terms and conditions as may be agreed between the Federal Government, the State Authority, and the transferee; or

(b) alienate such land to the transferee on such terms and conditions as may be specified by the State Authority, under and in accordance with this Act, and agreed upon by the Federal Government and accepted by the transferee

 

3. Akta Kerajaan Tempatan 1976.

 

4. Manual Kanun Tanah Negara (JKPTG) Bab 14 ‘Pendaftaran Perletakhakan Statutori’; Lampiran E – ‘Melaksanakan Perletakhakan Statutori Berkenaan Dengan Tanah Mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan’.

 

5. Pekeliling Persuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) Bilangan 3 Tahun 2008; ‘FUNGSI PESURUHJAYA TANAH PERSEKUTUAN, PERANAN KEMENTERIAN/JABATAN PENGGUNA DALAM PEROLEHAN TANAH UNTUK KEGUNAAN KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN PENGURUSAN TANAH-TANAH PERSEKUTUAN SELEPAS PEROLEHAN’.

 

6. Pekeliling Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (KPTG) Bilangan 2 Tahun 2015; ‘Kaedah Penyerahan Balik Tanah Milik Persekutuan Atau Pelepasan Tanah Rizab Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri Bagi Maksud Negeri’, dan Edaran Khas KPTG Bilangan 4 Tahun 2008; ‘PEMATUHAN KEHENDAK PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN BERHUBUNG DENGAN PERMOHONAN PEROLEHAN TANAH-TANAH KERAJAAN UNTUK PROJEK KERAJAAN PERSEKUTUAN MELALUI PESURUHJAYA TANAH PERSEKUTUAN’.

 

4. lain-lain Undang-undang dan Pekeliling yang berkenaan.

 

 

Perkara Berkaitan Dengan Pentadbiran Tanah:

 

1. Peruntukan dalam Akta A832 seperti yang dinyatakan dalam huraian kepada Rang Undang-Undang KTN (Pindaan) 1992 bertujuan menghapuskan ketidakcukupan ini dan mengadakan sistem yang lebih baik bagi pendaftaran sesuatu perletakhakan statutori.

 

2. Oleh itu, Akta A832 memperluaskan hak-hak yang boleh didaftarkan mengikut peruntukan berkaitan dengan perletakhakan statutori suatu tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan. Mengikut peruntukan perletakhakan statutori, mana-mana pihak yang telah diletakhakan dengan mana-mana hak di atas mengikut suatu undang-undang, boleh memohon kepada Pentadbir Tanah untuk mendapatkan hak itu didaftarkan atas namanya.

 

3. Justeru itu, undang-undang yang meletakhakan hak sedemikian boleh jadi undang-undang Persekutuan atau undang-undang negeri. Dalam hal tanah yang termasuk di bawah Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan, perletakhakan dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri Melaka atau Pulau Pinang dengan kelulusan bertulis daripada Kerajaan Persekutuan membenarkan badan berkenaan untuk menduduki, menggunakan, mengawal atau menguruskannya atau membenarkan pemberimilikan kepada badan itu apabila permohonan mengikut seksyen 416B Kanun Tanah Negara 1965 diterima. Tatacara prosedur dalam melaksanakan peletakhakan berhubung dengan tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan ialah rujuk lampiran Manual Kanun Tanah Negara (JKPTG) Bab 14 ‘Pendaftaran Perletakhakan Statutori’; Lampiran E – ‘Melaksanakan Perletakhakan Statutori Berkenaan Dengan Tanah Mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan’.

 

4. Sehubungan itu, urusan permohonan pemberimilikan tanah kerajaan oleh PTP melalui Pentadbir Tanah, permohonan oleh PTP tersebut menyatakan bahawa permohonan dibuat bagi pihak Kerajaan Persekutuan melalui kehendak Perkara 83 (1) Perlembahaan Persekutuan di mana adalah menjadi kewajipan Kerajaan Negeri, setelah adanya perundingan kedua-dua pihak, menyebabkan tanah kerajaan tersebut diberimilik kepada Persekutuan secara pegangan kekal dan tanpa sebarang sekatan penggunaan tanah, tertakluk kepada bayaran premium dan cukai tanah yang berpatutan. Terdapat sebilangan kes di mana Kerajan Negeri telah menolak permohonan pemberimilikan tanah oleh Persekutuan yang mana penolakan ini adalah bercanggah dengan kehendak Perkara 83 (1) Perlembagaan.

 

6. Oleh yang demikian sekiranya Kerajan Negeri menolak permohonan tanah oleh Persekutuan, tanpa alasan yang munasabah, adalah bercanggah dan melampaui (ultra vires) Perlembagaan Persekutuan. Dimana adalah wajar bagi PTG menasihatkan Kerajaan Negeri melalui pernyataan maklumat dalam kertas MMK mengenai kehendak Perlembagan Persekutuan tersebut.

 

7. Dengan adanya ‘Jawatankuasa Pengurusan Tanah Mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Pulau Pinang’, ianya boleh memastikan menyelaraskan peranan/fungsi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan di bawah peruntukan perundangan semasa, berhubung melaksanakan perletakhakkan statutori berkenaan dengan tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah untuk menjamin bahawa keputusan untuk melaksanakan perletakan hak ini adalah tepat (accurate) seperti yang dikehendaki dalam seksyen 416B ‘Peruntukan-peruntukan mengenai tanah-tanah yang terjatuh di bawah Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan’ Kanun Tanah Negara 1965.

 

8. Selain itu juga, dengan adanya jawatankuasa tersebut dapat menyelesaikan isu/perkara perbangkit tanah di bawah Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan, seperti:

 

Bil.

Senario

Isu/perkara berbangkit

 

01.

 

-Tapak ‘Malay School’ di atas lot 578 & 681, Mukim 11, DBD.

 

-Sekarang ditukarguna untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bayan Lepas.

 

 Tindakan: Jawatankuasa hendaklah mengangkat kertas MMK kepada PBN untuk JKPTG/PTP untuk meluluskan tukar kegunaan tanah dari ‘Malay School’ kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bayan Lepas dan meminta mereka mengemukakan permohonan pemberimilikkan selaras  mematuhi kehendak seksyen 416B KTN.

 

Bil.

Senario

Isu/perkara berbangkit

 

02.

 

-Tapak ‘Police Station’ di atas lot 144, Bandar Balik Pulau, DBD.

 

-Sekarang ditukarguna untuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan DBD.

 

 Tindakan: Jawatankuasa hendaklah mengangkat kertas MMK kepada PBN untuk JKPTG/PTP untuk meluluskan tukar kegunaan tanah dari ‘Police Station’ kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan DBD dan perlu mengemukakan permohonan pemberimilikkan selaras  mematuhi kehendak seksyen 416B KTN.

 

Bil.

Senario

Isu/perkara berbangkit

 

02.

 

-Tapak ‘Chinese Cemetery’ di atas lot 378, Mukim E, DBD.

 

-Lulus pemberimilikan sebahagian lot untuk laluan masuk fail PTBD/A/10/2017.

-Pengurusan kubur tidak patuh seksyen 97. Penggalian mayat, Akta Kerajaan Tempatan 1976

 

 Tindakan: Pada masa akan datang Jawatankuasa hendaklah mengangkat kertas MMK kepada PBN untuk pemohon  patuh seksyen 97. Penggalian mayat, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan meminta pihak pengurusan ‘Chinese Cemetery’ mengemukakan permohonan pemberimilikkan selaras  mematuhi kehendak seksyen 416B KTN.

 

9. Sekiranya jawatankuasa ini diwujudkan bolehlah mengurus dan mendaftar rekod tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan di Negeri Pulau Pinang, serta memastikan mematuhi kehendak perundangan dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Seterusnya dapat memantau dan mengawasi prestasi isu/perkara berbangkit tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan di bawah bidang peranan/fungsi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

 

Perkara Untuk Tindakan Pentadbiran Tanah:

 

Pentadbiran ini dapat membuat Kertas Cadangan Khas/khusus kepada Jawatankuasa Tanah Negeri (JKTN) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk mewujudkan penubuhan Jawatankuasa di atas.

Sehubungan itu, saya sertakan draf ‘Garis Panduan Penubuhan dan Peranan Jawatankuasa Pengurusan Tanah Mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Pulau Pinang’ seperti dilampiran untuk tindakan selanjutnya. Pentadbiran ini bolehlah merujuk perkara ini kepada YB Setiausaha Kerajaan (SUK) dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri (PUUN) kerana cadangan jawatankuasa ini berkaitan dengan isu pentadbiran dan perundangan semasa.

Justeru itu, dengan tubuhnya Jawatankuasa ini akan memudahkan pengurusan pentadbiran Kerajaan Negeri amnya dan pentadbiran tanah khususnya dalam mengurus isu tanah, bagi mematuhi peruntukan Undang-undang sediada selaras mengikut kehendak Dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


GARIS PANDUAN

PENUBUHAN DAN PERANAN

JAWATANKUASA PENGURUSAN TANAH MENGIKUT PERKARA 166(3) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

KANDUNGAN

 

1.0 PENUBUHAN JAWATANKUASA

 

2.0 KEANGGOTAAN JAWATANKUASA

 

3.0 KEKERAPAN MESYUARAT

 

4.0 LAPORAN MESYUARAT

 

5.0 BIDANG TUGAS JAWATANKUASA

 

6.0 PERTANYAAN

GARIS PANDUAN PENUBUHAN DAN PERANAN

JAWATANKUASA PENGURUSAN TANAH MENGIKUT PERKARA 166(3) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

1.0 PENUBUHAN JAWATANKUASA

 

Satu Jawatankuasa Pengurusan Tanah Mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Pulau Pinang hendaklah ditubuhkan untuk menyelaraskan peranan/fungsi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan di bawah peruntukan perundangan semasa, berhubung melaksanakan perletakhakkan statutori berkenaan dengan tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah untuk menjamin bahawa keputusan untuk melaksanakan perletakan hak ini adalah tepat (accurate) seperti yang dikehendaki dalam seksyen 416B ‘Peruntukan-peruntukan mengenai tanah-tanah yang terjatuh di bawah Perkara 166(3) Perlembagaan’ Kanun Tanah Negara 1965. Dalam hal tanah yang termasuk di bawah Perkara 166(3) Perlembagaan, perletakhakan dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri Melaka atau Pulau Pinang dengan kelulusan bertulis daripada Kerajaan Persekutuan membenarkan badan berkenaan untuk menduduki, menggunakan, mengawal atau menguruskannya atau membenarkan pemberimilikan kepada badan itu apabila permohonan mengikut seksyen 416B Kanun Tanah Negara 1965 diterima.

 

2.0 KEANGGOTAAN JAWATANKUASA

 

2.1    Jawatankuasa ini, kecuali jawatan Setiausaha, hendaklah dianggotai oleh semua ketua/wakil jabatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan yang berkenaan. Jawatankuasa ini terdiri dari:

 

(i) Pengerusi (Dicadangkan Pengarah Tanah dan Galian)

(ii) Timbalan Pengerusi (Dicadangkan Timbalan Pengarah Tanah dan Galian)

(iii) Setiausaha (Dicadangkan Ketua/Penolong Pengarah

Tanah dan Galian)

(iv) Ahli-Ahli (Dicadangkan):

- Wakil Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Pulau

Pinang (JKPTG).

- Wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

- Wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

- Wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Pulau Pinang.

- Pegawai Undang-undang PTG

- Pentadbir Tanah DBD.

- Pentadbir Tanah DTL.

- Pentadbir Tanah SPS.

- Pentadbir Tanah SPT.

- Pentadbir Tanah SPU.

- Wakil-wakil jabatan teknikal ditentukan oleh Pengerusi.

- Lain-lain wakil agensi Kerajaan ditentukan oleh Pengerusi.

 

2.2    Pengarah Tanah dan Galian hendaklah melantik dan memilih Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa. Kehadiran ahli mesyuarat khas hendaklah tidak kurang daripada dua per tiga (2/3).

2.3    Pengerusi hendaklah melantik Setiausaha dari jabatan sendiri.

2.4    Pra Jawatankuasa ini hendaklah dipilih mengikut keperluan semasa.

(i) Timbalan Pengerusi

(ii) Setiausaha

(iii) Ahli-Ahli

 

2.2    Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah melantik dan memilih Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa. Kehadiran ahli mesyuart khas hendaklah tidak kurang daripada dua per tiga (2/3).

2.3    Pengerusi hendaklah melantik Setiausaha dari jabatan sendiri atau jabatan lain.

2.4    Jawatankuasa ini hendaklah dipilih mengikut keperluan semasa.

(i) Pengerusi

(ii) Timbalan Pengerusi

(iii) Setiausaha

(iv) Ahli-Ahli

 

3.0 KEKERAPAN MESYUARAT

 

Mesyaurat Jawatankuasa hendaklah diadakan sekurang-kurangnya setahun dua (2) kali dan kehadiran ahli mesyarat hendaklah tidak kurang daripada dua per tiga (2/3).

 

4.0 LAPORAN MESYUARAT

 

Laporan mesyuarat hendaklah dikemukakan dalam tahun semasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

 

5.0 BIDANG TUGAS JAWATANKUASA

 

5.1    Mengurus dan mendaftar rekod tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan di Negeri Pulau Pinang, serta memastikan mematuhi kehendak perundangan dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

5.2    Memantau dan mengawasi prestasi isu/perkara berbangkit tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan di bawah bidang peranan/fungsi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

5.2    Bertindak sebagai pengantara perhubungan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan dalam mencari penyelesaian bersama mengenai isu/perkara berbangkit perundangan dan teknikal tanah semasa.

5.3    Menimbangkan dan menyelaras secara bersama isu/perkara berbangkit perundangan dan teknikal tanah semasa.

5.4    Membantu agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan berhubung isu/perkara berbangkit perundangan dan teknikal tanah semasa.

5.5    Mengemukakan apa jua pandangan dan cadangan lain kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan.

5.6    Membantu Majlis Mesyuarat Kerajaan ke arah pentadbiran baik, terurus dan dinamik serta mencapai hasrat ‘Penang 2030’.

5.7    Membantu Majlis Mesyuarat Kerajaan membuat dasar-dasar kerajaan selaras peruntukkan undang-undang semasa dan tadbir urus teratur di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan secara bersama serta harmorni.

 

 

 

6.0 PERTANYAAN

Sebarang pertanyaan mengenai perlaksanaan Jawatankuasa ini bolehlah menghubungi jabatan berikut:

 

(a)        Setiausaha,

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Tingkat 25,

KOMTAR, 10503 Pulau Pinang,

MALAYSIA.

(Telefon: 04-2621957/Fax: 04-2633010)

 

(b)        Pengarah,

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian,

Tingkat 3, 21 & 22,

KOMTAR, 10503 Pulau Pinang,

MALAYSIA.

(Telefon: 04-6505211/Fax: 04-2619588)


Rabu, 19 Mei 2021

Ucapan Majlis Pelancaran Program Jaringan Prihatin

 


Teks Ucapan

Yab Tan Sri Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin
Perdana Menteri

Sempena

Majlis Pelancaran Program Jaringan Prihatin

5 MEI 2021 (RABU)|24 RAMADHAN 1442

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Yang Berhormat Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia,

Yang Berhormat Tuan Mohd Shahar bin Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan II,

Yang Berbahagia Dato’ Asri Bin Hamidon
Ketua Setiausaha Perbendaharaan,

Yang Berbahagia Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek
Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia,

Yang Berusaha Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek,
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,

Pegawai Pegawai Kanan Kementerian Kewangan,

Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Industri Telekomunikasi,

Hadirin sekalian.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat waláfiat.

  1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhana Wa Taala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersua di Majlis  Pelancaran Program Jaringan Prihatin pada hari ini.

  2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang telah sudi menjemput saya bagi merasmikan program ini.

  3. Sebagaimana semua maklum, pandemik COVID-19 telah mempercepatkan arus gelombang transformasi digital di Malaysia dan seluruh dunia. Menurut Digital Playbook in the New Normal terbitan World Economic Forum (WEF) pada tahun 2020, majoriti masyarakat di seluruh dunia telah terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi bekerja dari rumah berikutan pandemik yang melanda.

  4. Sepanjang tempoh ini, penggunaan internet telah meningkat sebanyak 70 peratus dengan penggunaan alat kolaborasi secara maya melonjak kepada 600 peratus. Trend yang agak serupa juga dapat dilihat di Malaysia.

  5. Transformasi digital ini telah membuka ruang interaksi maya dan keterangkuman sosial yang lebih luas. Namun dalam masa yang sama keadaan ini juga meningkatkan risiko ketidaksamaan bagi mereka yang tidak terhubung secara digital. Realitinya, masih ada dalam kalangan masyarakat yang tersisih dan ketinggalan daripada arus digitalisasi di negara kita.

  6. Peningkatan penggunaan internet jelas menunjukkan bahawa sudah tiba masanya untuk capaian atau akses internet menjadi satu keperluan asas seperti air dan elektrik bagi segenap lapisan masyarakat.

  7. Malaysia akan terus komited untuk memantapkan kesalinghubungan atau “connectivity” di negara ini, sejajar dengan matlamat minimum 75 peratus kesalinghubungan yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan kos jalur lebar ataupun “broadband” tidak melebihi 2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK) per kapita bulanan menjelang tahun 2025.

    Hadirin sekalian,

  8. Kita juga akur bahawa ada segelintir masyarakat memerlukan masa yang lebih lama untuk menyesuaikan diri dalam fasa transformasi digital ini. Antaranya mereka yang tinggal di pedalaman, warga emas, ataupun mereka yang mempunyai literasi digital yang agak rendah. Ini bermakna faktor seperti lokasi penduduk, pendapatan, umur, dan jantina sedikit-sebanyak memainkan peranan dalam menentukan akses internet seseorang. Data ITU (International Telecom Union) 2019, menunjukkan rata-rata di seluruh dunia, peratusan isi rumah di kawasan bandar yang mempunyai akses kepada Internet Jalur Lebar adalah hampir dua kali ganda berbanding di kawasan luar bandar.

    Untuk menangani cabaran jurang digital ini, rangka kerja di hadapan kita haruslah melibatkan kerjasama utuh di antara sektor awam dan swasta, serta memfokuskan pada TIGA STRATEGI UTAMA, iaitu pertamanya akses atau accessibility, kedua kemampuan kewangan atau affordability dan ketiga kemahiran atau skills.

    Akses / Accessibility

    a. Kita sedar bahawa dalam aspek liputan, penembusan dan kelajuan rangkaian, masih banyak ruang yang boleh          diperbaiki  terutama di setengah kawasan luar bandar yang mempunyai kepadatan rendah. Oleh itu, Kerajaan                    sudah memperuntukkan penaiktarafan perkhidmatan jalur lebar seluruh negara melalui pelan Jalinan Digital                      Negara (JENDELA) yang merangkumi rancangan gentian optik, serta meningkatkan liputan 4G berkualiti bernilai RM21 bilion menjelang 2022.

    Kita juga akan mempercepatkan penyediaan infrastruktur 5G dengan pelaburan swasta melalui usaha Digital Nasional Berhad yang dianggar bernilai RM15 bilion. Insyaallah usaha- usaha ini akan membantu mengurangkan jurang liputan dan kelajuan dalam tempoh lima tahun akan datang.

    Kemampuan Kewangan / Affordability

    b. Selain daripada jurang rangkaian internet, masih terdapat jurang kemampuan kewangan untuk memperolehi capaian internet. Meskipun kos pelan “broadband” terendah di Malaysia adalah 1.1 peratus dari pendapatan negara kasar per kapita bulanan sejajar dengan garis panduan PBB, namun ia masih tinggi bagi sebahagian kelompok masyarakat yang berpendapatan rendah. Kos telefon pintar juga menelan sebahagian besar pendapatan bulanan isi rumah yang berpendapatan rendah.

    c. Bagi mendepani realiti mencabar ini, maka Kerajaan pada hari ini melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan sekitar 8.5 juta rakyat dari kumpulan B40 untuk memiliki alat peranti telefon pintar atau menikmati bantuan pelan “broadband” internet. Daripada jumlah keseluruhan RM3.5 bilion ini, Kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM2 bilion manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan pula akan memberi sumbangan tambahan berjumlah RM1.5 bilion, terutamanya dalam bentuk data percuma.

    Kemahiran / Skills

    d. Sementara itu, kekurangan kemahiran digital juga menjadi penghalang pada usaha peningkatan pendigitalan dalam kalangan masyarakat. Menurut tinjauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pada masa ini hanya 50 peratus rakyat yang mempunyai kemahiran digital standard, sementara hanya 25 peratus yang memiliki kemahiran digital lanjutan.

    Bagi menangani isu kemahiran ini khususnya bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima pakai pendigitalan, Kerajaan telah menyalurkan pelbagai insentif dalam Belanjawan 2021 seperti Geran Digitalisasi PKS berjumlah RM150 juta, Dana Transformasi Digitalisasi Industri berjumlah RM1 bilion dan Fasiliti Teknologi Tinggi berjumlah RM1 bilion antara lain.

    e. Keprihatinan Kerajaan terhadap golongan B40 tidak terhenti setakat itu sahaja. Kerajaan melalui SKMM telah membina 910 Pusat Internet Komuniti atau PIK di seluruh negara. PIK merupakan balai raya digital untuk membimbing komuniti melengkapkan diri dengan kemahiran digital seperti perniagaan dalam talian atau e-dagang.

    Hadirin Sekalian,

  9. Untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat, terdapat keperluan untuk memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses dengan kos yang berpatutan serta kemahiran yang diperlukan untuk memanfaatkan internet menjelang 2030.

  10. Lebih penting lagi, pembangunan kapasiti atau capacity building di bawah pelbagai program sektor awam dan swasta perlu disesuaikan dengan keadaan individu dan dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang masyarakat.

  11. Maka, dalam usaha kita untuk menangani krisis pandemik serta sekaligus untuk meletakkan batu asas ekonomi Malaysia ke arah yang lebih inklusif; mahu tidak mahu, jurang digital antara rakyat wajib dirapatkan. Meskipun keterangkuman digital bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada ketidaksamaan, ia merupakan komponen asas bagi membolehkan inklusiviti sosial dalam kalangan rakyat tercapai. Sebagai nadi kepada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, keterangkuman digital akan terus menjadi tumpuan utama Kerajaan bagi merealisasikan Malaysia yang lebih adil dan saksama.

  12. Akhir kata, dengan harapan tersebut dan dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan ini melancarkan Program Jaringan Prihatin.

Sekian.
Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Perutusan Khas YAB Perdana Menteri Mengenai Palestin

 


Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya kita telah dapat bersama-sama merayakan Aidilfitri pada tahun ini dengan aman walaupun dalam suasana norma baharu dan cabaran-cabaran pandemik COVID-19.

2. Namun, kita di Malaysia berasa amat hiba sekali mengenangkan nasib yang sedang dialami oleh saudara-saudara kita di bumi Palestin. Mereka bukan sahaja terpaksa terus berdepan dengan kehidupan yang amat sukar. Bumi mereka di Baitul Maqdis dan Tebing Barat terus dijajah untuk sekian lama dengan segala bentuk penindasan dan keganasan oleh rejim Zionis Israel.

3. Rakyat Palestin di Gaza pula terus diserang dengan ganas oleh rejim Zionis Israel ketika umat Islam di sana sedang menunaikan ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri. Ini adalah tindakan yang amat tidak berperikemanusiaan. Bangunan-bangunan kediaman mereka dibom. Ramai rakyat Palestin yang telah kehilangan nyawa dan cedera. Wanita dan kanak-kanak tidak terkecuali.

4. Seperti diketahui umum, rejim Zionis Israel sekali lagi melakukan pencerobohan dan serangan ganas ke atas rakyat Palestin, bermula dengan serangan di Masjid Al-Aqsa, tempat suci umat Islam yang ketiga sejak 7 Mei 2021, diikuti dengan serangan udara tentera rejim Israel di Semenanjung Gaza sejak 10 Mei 2021.

5. Malaysia mengikuti rapat perkembangan terkini yang sedang berlaku ke atas saudara kita di Palestin terutamanya serangan-serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel di Semenanjung Gaza serta kezaliman yang dilakukan keatas rakyat Palestin di Tebing Barat.

6. Sehingga kini, dilaporkan lebih daripada 119 rakyat Palestin telah terkorban dan beratus-ratus lagi cedera, kesan daripada serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel. Serangan yang zalim dan sangat keterlaluan ini amat meresahkan umat Islam apatah lagi ianya berlaku di bulan suci Ramadhan yang mulia dan berlanjutan hingga bulan Syawal, taktala umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut Hari Raya Aidilfiri.

7. Sesungguhnya, perbuatan keji lagi terkutuk tentera Israel, khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda, tanpa sebarang timbang rasa dan belas kasihan, yang sedang dilakukan ke atas rakyat Palestin mesti dikecam sekeras-kerasnya oleh seluruh dunia.

8. Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan menerusi YB Menteri Luar Negeri untuk mengutuk serangan zalim rejim Israel ini pada 8 Mei 2021. Saya sendiri juga telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung situasi yang menyedihkan ini pada 11 Mei 2021.

9. Serangan Israel ke atas Palestin merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta merupakan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

10. Saya percaya, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Palestin dan menolak sekeras-kerasnya tindakan keji rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

11. Demi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kita kepada Palestin, kita mesti bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel ke atas rakyat Palestin.

12. Pada hari ini, saya telah mengadakan perbincangan melalui telefon dengan Tuan Yang Terutama Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia berhubung situasi terkini di Palestin. Dalam perbincangan tersebut, Presiden Joko Widodo dan saya bersetuju bahawa tindakan ganas rejim Israel harus dihentikan serta merta. Kami juga berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

13. Dalam hal ini Malaysia akan menerajui, bersama-sama dengan Indonesia dan Brunei, untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin.

14. Pihak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat Menteri-menteri Luar untuk membincangkan perkembangan terkini di Palestin yang dijangka akan berlangsung pada 16 Mei 2021. Kerajaan Malaysia akan diwakili oleh YB Menteri Luar Negeri untuk menyertai mesyuarat tersebut bagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap situasi di Palestin.

15. Saya, sama seperti rakyat Malaysia yang lain, berasa sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutamanya, Majlis Keselamatan PBB, untuk menghentikan serta-merta keganasan rejim Israel keatas Palestin. Sehingga kini, Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat. Walaupun begitu, Malaysia akan terus berusaha untuk menyeru komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, untuk bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.

16. Saya ingin mengulangi pendirian berprinsip Kerajaan Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya samada dari segi politik, ekonomi, dan moral. Penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.

17. Malaysia menyokong penyelesaian yang adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.

18. Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan, berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.

19. Malaysia akan terus memberikan sumbangan secara dua hala kepada Palestin selain sumbangan kepada badan-badan antarabangsa.

20. Melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) seliaan Kementerian Luar Negeri, Malaysia telah menumbang sebanyak USD10,000 kepada Masjid Al-Aqsa pada tahun 2020. Sumbangan tersebut telah disalurkan kepada Kementerian Awqaf, Jordan.

21. Selain itu, bagi membantu Kerajaan Palestin membendung wabak pandemik COVID-19, Kerajaan Malaysia turut menghulurkan bantuan kepada Palestin dalam bentuk barangan perubatan, iaitu 1 juta pelitup muka, 500 ribu pelindung muka (faceshields) dan 500 ribu sarung tangan getah. Sumbangan tersebut telah dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei 2020.

22. Bagi tahun 2020, Malaysia telah menyumbang sebanyak USD120,000 kepada United Nations Relief and Works Agency in the Near East (UNRWA) bagi menampung kos operasi dan programnya bagi tahun 2020. Malaysia telah memberikan sokongan yang padu serta sumbangan kepada UNRWA secara konsisten sejak tahun 1978. Sejak tahun 2015, Malaysia telah menyumbang sebanyak USD600,000 kepada UNRWA.

23. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia serta rakyat Malaysia yang sentiasa membantu rakyat Palestin. Sehubungan itu, saya menyeru saudara dan saudari sekalian agar memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin menerusi tabung-tabung sah yang diwujudkan untuk tujuan ini. Segala usaha dan sumbangan saudara dan saudari semua amatlah bermakna bagi rakyat Palestin.

24. Marilah kita semua mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin yang kini sedang ditindas dan dizalimi oleh rejim Israel. Semoga rakyat Palestin akan mendapat perlindungan daripada kezaliman rejim Israel dan pencerobohan haram Israel ke atas bumi Palestin segera berakhir.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...