Ahad, 21 Februari 2021

Ucapan Majlis Pelancaran Dasar Perpaduan Negara Dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030


 TEKS UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT
TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN
PERDANA MENTERI

MAJLIS PELANCARAN DASAR PERPADUAN NEGARA DAN RANGKA TINDAKAN (BLUEPRINT) PERPADUAN NEGARA 2030
15 FEBRUARI 2021

Terima kasih Saudara / Saudari Pengacara Majlis,

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Perpaduan.

Yang Berhormat Datuk Halimah Binti Mohamed Sadique
Menteri Perpaduan Negara,

Yang Berhormat Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker
Timbalan Menteri Perpaduan Negara,

YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi
Ketua Setiausaha
Kementerian Perpaduan Negara,

Dif-dif kehormat, saudara dan saudari sekalian,

Serta seluruh tenaga kerja Kementerian Perpaduan Negara yang saya kasihi.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat walafiat sentiasa.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersua secara maya pada pagi ini bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030.

2. Perpaduan merupakan hasrat semua negara di dunia. Imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang etnik, berbilang agama dan berbilang budaya sering dijadikan contoh rujukan sebuah negara yang bersatu-padu. Walaupun adakalanya wujud perbezaan, persaingan dan konflik, tetapi kesepaduan sosial yang telah wujud sekian lama dalam masyarakat telah mengekalkan perpaduan kita sehingga ke hari ini menjadikan negara-negara lain ingin belajar dari kita.

3. Perpaduan rakyat Malaysia dapat kita lihat dengan jelas apabila dijelmakan dalam keadaan sebenar ketika negara dilanda cabaran dan musibah. Di kala negara masih berdepan dengan gelombang COVID-19, kita telah saksikan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Berbekalkan slogan #KitaJagaKita, rakyat bersama-sama bersatu membantu Kerajaan dalam menyebarkan mesej yang positif, menyokong usaha Perintah Kawalan Pergerakan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan.

4. Ternyata rakyat Malaysia berjiwa patriotik kerana kita bersatu hati berjuang memerangi musuh yang tidak kelihatan. Kita patriotik kerana kita inginkan keharmonian dan idamkan perpaduan dalam negara yang kita cintai ini.

5. Tahniah rakyat Malaysia di atas perpaduan ini! Jika semangat perpaduan dan saling bantu-membantu ini kita teruskan, saya yakin kita akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran yang menduga kita pada masa-masa akan dating, InsyaAllah.

6. Dalam tempoh negara berdepan dengan wabak COVID-19 ini, saya sedar bahawa ramai di kalangan kita juga telah menunjukkan sifat empati sesama kita. Kita saksikan ramai rakyat Malaysia menzahirkan merupakan keupayaan individu atau kumpulan untuk memahami sentimen, aspirasi, kebimbangan, cita-cita, individu atau kumpulan yang lain.

7. Dalam krisis COVID-19, rakyat Malaysia khususnya petugas di barisan hadapan atau frontliners telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama. Sifat empati ini harus diperkukuhkan dalam masyarakat kita. Sifat ini membantu usaha kita mengatasi cabaran perkauman dengan lebih berkesan.

8. Kita perlu terus menyuburkan sifat empati ini dalam kita hendak memahami isi-isu kaum dari perspektif yang lebih seimbang dan menyeluruh. Seperti beberapa negara-negara berbilang kaum yang lain, kadangkala kita hanya melihat isu kaum dari sudut kaum atau kumpulan tertentu. Perspektif ini perlu diperbaiki supaya menjadi lebih seimbang dan holistik dan harus dipupuk melalui sistem pendidikan dan media.

9. Selain itu, kita juga harus berwaspada terhadap manipulasi sentimen kaum oleh ahli-ahli politik. Ini merupakan cabaran utama dalam hampir semua negara yang berbilang kaum. Pelaku politik yang cuba menaikkan saham politik masing-masing melalui eksploitasi perasaan kaum hendaklah kita elakkan.

10. Kita sedar, rakyat negara ini tidak akan sekali-kali mengorbankan kesepaduan sosial dan perpaduan negara yang telah kita kecapi ini demi matlamat peribadi. Kerajaan juga tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat perpaduan negara. Berpegang kepada prinsip inilah Kementerian Perpaduan Negara telah diwujudkan. Di bawah kepimpinan YB Datuk Halimah Mohamed Sadique dan YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Kementerian ini menggalas tugas berat memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan.

11. Sejak mula ditubuhkan Kementerian Perpaduan Negara terus bekerja keras bagi memperkukuh perpaduan. Hasilnya ialah sebuah Dasar Perpaduan Negara yang bersifat inklusif, jelas dan kohesif yang saya akan lancarkan pada hari ini.

12. Seiring dengan dasar yang digubal, Kementerian turut menghasilkan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030 yang menyokong strategi-strategi dalam Dasar Perpaduan Negara serta menetapkan aspirasi perpaduan yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang. Tahniah! Kementerian Perpaduan Negara atas pencapaian ini.

13. Saya juga suka menekankan bahawa usaha mencapai perpaduan merupakan suatu perjalanan yang jauh dan berliku. The quest for unity is a journey not a destination. Justeru kita semua mesti sentiasa membetulkan niat dan memperkasa usaha bersama untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang kukuh teras perpaduannya, bukan sahaja untuk generasi masa kini, tetapi demi masa depan anak cucu kita kelak.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

14. Penggubalan Dasar Perpaduan Negara adalah berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Dasar Perpaduan Negara adalah selaras dengan dasar-dasar utama negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Rancangan Malaysia Lima Tahun dan dasar-dasar lain yang berkuat kuasa.

15. Rakyat Malaysia sejak sekian lama berpegang kepada Rukun Negara. Kita percaya kepada Tuhan, kita setia kepada Raja dan negara, kita junjung keluhuran perlembagaan, kita hormati kedaulatan undang-undang dan kita sentiasa bersopan dan bertatasusila dalam pergaulan kita seharian. Tidak kiralah samada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana etnik sekalipun, bergelar warganegara Malaysia, maka inilah ciri-ciri yang wajib kita hayati.

16. Kerajaan amat menyedari akan hakikat bahawa perpaduan adalah tunjang kemakmuran negara. Maka ‘Perpaduan dalam kepelbagaian’ (unity in diversity) yang berteraskan ‘model integrasi’ inilah yang kita hasratkan untuk rakyat Malaysia. Ini kerana berdasarkan sejarah, kita rakyat Malaysia telah menerima hakikat bahawa masyarakat negara ini adalah majmuk dan pelbagai latar belakang pegangan agama, pengenalan bangsa dan budaya. Oleh kerana perbezaan dan kepelbagaian ini, maka usaha ke arah mewujudkan perpaduan di negara ini perlu dilengkapi dan dilandasi usaha integrasi berterusan.

17. Menyedari hakikat tersebut, Dasar Perpaduan Negara, berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian, telah menetapkan strategi jangka panjang yang menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat. Tiga (3) objektif utama yang ditetapkan dalam dasar ini ialah:

(i) Mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara;

(ii) Membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab; dan

(iii) Melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

18. Bagi memastikan objektif ini tercapai, sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya agen penggerak perpaduan yang terdiri daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta dan pemegang taruh berkaitan adalah sangat penting.

Saudara saudari sekalian yang saya kasihi sekalian,

19. Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perpaduan Negara ini adalah dasar kita bersama. Kita semua adalah agen perpaduan negara. Kita yang akan membawa aspirasi ini ke hadapan. Marilah kita menggerakkan seluruh kekuatan dan kudrat kita untuk terus menyebarkan semangat perpaduan dalam keadaan yang amat mencabar pada masa ini.

20. Saya mendoakan agar negara kita akan terus makmur dan kekal kukuh sebagai sebuah negara yang bersatu padu dan harmoni. Subur dan kukuhkanlah perpaduan dalam kepelbagaian yang kita miliki selama ini.

21. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2030.

22. Dengan itu, saya sudahi ucapan ini dengan lafaz Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih.

Ucapan Majlis Pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia

 

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN, PERDANA MENTERI

PELANCARAN MyDIGITAL DAN RANGKA TINDAKAN (BLUEPRINT) EKONOMI DIGITAL MALAYSIA

19 FEBRUARI 2021

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Yang Berhormat Menteri-Menteri Kanan

Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri

Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

Yang Berhormat Menteri-Menteri

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Zuki Bin Ali
Ketua Setiausaha Negara

Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Jabatan,

Para hadirin yang dihormati sekalian,

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat waláfiat insha-Allah.

1. Terlebih dahulu saya merafakkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya kita dapat bersama-sama hadir secara maya di Majlis Pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia pada pagi yang mulia ini.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

2. Gelombang digital terus membadai masyarakat sejagat, mencapai skala yang tidak pernah tercapai sebelum ini dan telah merubah sama sekali gaya hidup masyarakat terbanyak di seluruh pelusuk dunia. Jika kita menoleh kebelakang hanya lima tahun yang lalu, sudah begitu banyak perubahan yang dapat kita lihat dari pelbagai aspek. Samada dari segi cara kita berinteraksi antara satu sama lain, cara kita belajar, berurusniaga, malah cara kita memantau kesihatan diri pun, semuanya jauh berbeza dan berubah dengan sentuhan teknologi. Teknologi termaju seperti kecerdasan buatan atau artificial intelligence (“AI”), internet benda atau internet of things (“IOT”), analitiks data raya atau big data analytics serta blok rantai atau blockchain; kesemuanya mahu tidak mahu telah mengubah corak ekonomi dunia dan cara hidup masyarakat moden.

3. Peranan teknologi digital ini terserlah lebih-lebih lagi semenjak setahun lalu apabila pandemik COVID-19 telah memberi cabaran getir kepada semua negara untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. It has never been clearer that technology is a convenient tool for advancement in the best of times, and an essential tool of survival during the most challenging of crises.

4. Penguasaan teknologi digital ini juga merupakan kunci untuk negara mengatasi batasan produktiviti, sekaligus menaiktaraf ekonomi Malaysia. Keupayaan untuk merebut peluang yang muncul daripada teknologi dan model perniagaan inovatif, akan memainkan peranan penting dalam memacu enjin baharu pertumbuhan ekonomi negara.

Saudari dan saudari yang saya kasihi sekalian,

5. Inisiatif MyDIGITAL ini berhasrat untuk memperkasakan setiap rakyat Malaysia, dari Perlis ke Sabah, untuk memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek. Antaranya, ia merangkumi idea dan pelan untuk meningkatkan literasi digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menjadikan urusan perbankan dan kewangan dan lebih mudah dan teratur, memberikan akses pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta membawa kemudahan perubatan ke pekan terpencil.

6. Ia juga merupakan suatu pelan halatuju transformasi digital yang mampu mengupayakan sektor perniagaan untuk bersaing di pentas global dengan memantapkan kelancaran dan kecekapan operasi mereka.

Saudari dan saudari yang saya kasihi sekalian,

7. Sebagai kerajaan yang prihatin dan responsif terhadap cabaran ini, maka pada hari ini, saya berbesar hati ingin mengumumkan inisiatif MyDIGITAL yang merangkumi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia. Inisiatif ini merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

8. MyDIGITAL menetapkan gabungan inisiatif dan sasaran merentasi tiga fasa pelaksanaan hingga tahun 2030;

i) Menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka akan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
ii) Pada masa yang sama, pelan ini juga menyasarkan untuk membuka 500, 000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital.
iii) Sementara itu kerajaan juga akan mengalakkan sebanyak 875, 000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana menerima guna e-dagang.
iv) Selain itu, inisiatif-inisiatif dibawah naungan MyDIGITAL ini juga dapat memangkinkan 5,000 syarikat peringkat permulaan atau startups dalam masa lima tahun akan datang.
v) Inisiatif ini juga akan menjadi titik tolak untuk menarik pelaburan baru dalam sektor digital sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negeri.
vi) Seterusnya, kerajaan menyasarkan tahap produktiviti sektor ekonomi meningkat 30 peratus lebih tinggi berbanding hari ini menjelang tahun 2030.
vii) Bagi sektor awam pula, semua agensi akan menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai sebagai pilihan utama menjelang tahun 2022.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

9. Untuk merancakkan inovasi dan mewujudkan sebuah ekosistem digital yang berkesan, empat jenis prasarana digital penting di bawah MyDIGITAL ini perlu dibina terlebih dahulu. Usaha pembinaan ini akan dilakukan menerusi pendekatan Usahasama Kerajaan dan Swasta di mana sektor swasta berkongsi menyumbangkan dana modal dan kemahiran;

10. Pertamanya, sejumlah RM21 bilion akan dilabur sepanjang lima tahun melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memantapkan kesalinghubungan atau connectivity sedia ada. Rangkaian gentian optik talian tetap ini akan meliputi hampir 100 peratus kawasan berpenduduk secara berperingkat – daripada 7.5 juta premis di hujung tahun 2022 kepada 9 juta premis menjelang penghujung tahun 2025. Bersandarkan rangkaian gentian optik yang lebih luas ini, negara akan lebih bersedia untuk beralih ke teknologi rangkaian selular generasi kelima atau fifth generation cellular networking technology (“5G”) dalam masa yang terdekat.

11. Kedua, sejumlah RM1.65 billion akan dilaburkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi untuk memantapkan sambungan ke jaringan kabel dasar laut antarabangsa sehingga tahun 2023. Ini akan membuka ruang untuk pemindahan data antarabangsa yang lebih cepat dan stabil, sekaligus menurunkan kos internet kepada pengguna di Malaysia.

12. Ketiga, sejumlah RM15 bilion akan dilaburkan sepanjang sepuluh tahun untuk pelaksanaan 5G ke seluruh negara. Ini akan mewujudkan lebih kurang 105,000 peluang pekerjaan. Usaha ini akan dilaksanakan melalui sebuah entiti khusus atau special purpose vehicle dibawah kerajaan Malaysia. Entiti ini seterusnya akan diberikan spektrum yang bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G.

13. Insyallah, semua syarikat telekomunikasi berlesen akan mendapat akses infrastruktur yang sama rata, dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka. Perkongsian kos infrastruktur ini membolehkan syarikat telekomunikasi menjana pulangan lebih tinggi dan seterusnya dapat memberikan khidmat 5G yang lebih baik dan murah kepada pengguna. Keadaan ini akan melonjakkan penggunaan 5G dan meningkatkan keupayaan ekonomi dalam mencetuskan lebih banyak inovasi produk dan perkhidmatan.

14. Maka, menjelang hujung tahun ini, teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat. Dengan ini, Malaysia akan menjadi salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa-sebenar atau real-time, untuk membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.

15. Bayangkanlah, teknologi 5G ini merupakan satu gamechanger, kerana akan wujud lebih banyak perkhidmatan pintar yang membawa kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat. Hal ini kerana 5G bukan sahaja sekadar menjanjikan capaian internet yang lebih laju, tetapi lebih penting dari itu, ia memungkinkan pelbagai aplikasi penting berada dalam genggaman pengguna, termasuk aplikasi-aplikasi pemantauan kesihatan bagi pesakit-pesakit kronik, bantuan kecemasan pintar, dan aplikasi-aplikasi khas bagi warga emas yang tinggal bersendirian.

16. Keempat, antara RM12 billion hingga RM15 billion akan dilaburkan oleh syarikat-syarikat Cloud Service Provider (“CSP”) atau penyedia perkhidmatan awan dalam tempoh lima tahun akan datang. Disini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa kerajaan setakat ini telah memberikan kebenaran bersyarat kepada empat syarikat CSP – Microsoft, Google, Amazon serta Telekom Malaysia – untuk membina dan menguruskan pusat data berskala- hiper atau hyper-scale dan perkhidmatan cloud services. Pusat data yang berskala-hiper ini serta perkhidmatan awan hibrid atau hybrid cloud services, juga akan diwujudkan untuk menambah ruang penyimpanan data, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan analisis.

17. Di samping itu, kerajaan juga telah mencadangkan untuk melantik tiga syarikat ICT tempatan sebagai Manage Service Provider (MSP) bagi bekerjasama dengan CSP ini untuk menguruskan perkhidmatan CSP kepada agensi Sektor Awam, seiring dengan hasrat untuk memperkasakan keupayaan syarikat tempatan. Syarikat tersebut adalah Enfrasys Solution Sdn.Bhd., Prestariang Systems Sdn. Bhd. dan Cloud Connect Sdn. Bhd.

18. Sebagai langkah untuk memperkasakan perkhidmatan pengkomputeran awan Sektor Awam, kerajaan menerusi strategi Cloud First, telah menyasarkan migrasi 80 peratus data awam ke sistem awan hibrid ini menjelang akhir 2022. Selain pengumpulan dan pengurusan data secara lebih berkesan dan lancar, strategi ini dapat mengurangkan kos kerajaan dalam pengurusan teknologi maklumat dalam jangka panjang. Perkhidmatan Cloud juga akan membolehkan aplikasi Big Data, AI, IoT dan lain-lain digunakan untuk memantapkan perkhidmatan kerajaan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

19. Pembinaan infrastruktur digital ini merupakan tulang belakang dalam membentuk sebuah ekosistem digital yang mampan. Ekosistem ini pula merupakan enjin utama dalam pertumbuhan ekonomi yang lestari. Kerajaan akan terus membantu pengukuhan ekosistem baru ini dengan beberapa cara, termasuk:
i) dengan memupuk persekitaran pengawalseliaan yang mendukung penggunaan digital sambil melindungi privasi warga negara;
ii) dengan mentadbir sumber data awam supaya boleh dimanfaatkan bersama oleh organisasi awam dan swasta dan;
iii) dengan memudahkan evolusi pasaran buruh dalam industri yang kemungkinan terganggu oleh automasi dan teknologi digital.

20. Oleh itu, kita akan memastikan syarikat-syarikat digital yang terbabit dengan kerajaan, berusaha gigih untuk membantu rakyat Malaysia meningkatkan kemahiran digital. Syarikat-syarikat ini antaranya juga akan menjalin kerjasama dengan universiti-universiti tempatan bagi mewujudkan Fakulti Artificial Intelligence dan sebagainya serta bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakan program peningkatan kemahiran pekerja secara amnya.

21. Keselamatan siber dan data pastinya merupakan antara tumpuan utama kerajaan dalam merealisasikan visi negara berteknologi digital. Data rakyat akan dikendalikan dengan penuh hemat berdasarkan piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh kerajaan melalui agensi pelaksana iaitu Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA). Disini saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan amat komited dalam memantau keselamatan sistem pengurusan data ini, untuk mengelakkan sebarang ancaman siber masa depan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

22. Ingin saya tekankan bahawa inisiatif MyDIGITAL melalui Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital mengandungi pelan pendekatan senegara atau whole of nation approach. Dalam menghadapi kemunculan ekosistem digital masa depan, semua pihak berkepentingan perlu mengadaptasi secepat mungkin dalam menghadapi cabaran sebuah negara yang terhubung atau “a connected nation.”

23. Akhir kata, saya berharap semua rakyat Malaysia dapat memanfaatkan teknologi digital ini sepenuhnya dan cekal mendepani peralihan ke ekonomi digital. Walaupun sektor awam dan swasta mungkin memainkan peranan yang berbeza tetapi kita harus tetap senada dan sehaluan. Saya yakin kerangka dasar yang merangkumi pembentukan infrastruktur, memperjelaskan kawal selia serta pemudahcara pembentukan ekosistem, akan dapat memberi negara, halatuju yang diperlukan untuk merealisasikan visi digital ini.

24. Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan ini melancarkan inisiatif MyDIGITAL dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia.

Terima kasih. Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Khamis, 18 Februari 2021

Ucapan Pelancaran Saluran TV Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia

 

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI

PELANCARAN SALURAN TV PENDIDIKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

17 FEBRUARI 2021 8.00 PAGI

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari serta seluruh ahli keluarga berada dalam keadaan sihat wal afiat.

1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah Subhana Wataala kerana dengan izin dan rahmat-Nya kita dapat bersama-sama pada hari ini sempena pelancaran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (DidikTV KPM) yang akan mula bersiaran pada hari ini, 17 Februari 2021.

2. Kerajaan sedar bahawa pendidikan merupakan antara sektor yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun lalu. Keadaan ini merupakan satu situasi yang sukar sehinggakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil keputusan menutup sekolah semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

3. Apabila sekolah ditutup, pastinya pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di sekolah tidak dapat dilaksanakan. Namun begitu, KPM komited untuk terus menyediakan akses pendidikan kepada lebih 5 juta murid bagi membolehkan mereka mendapat pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan.

4. Justeru, Kerajaan melalui KPM memperkenalkan modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agar pembelajaran dapat dilaksana secara berstruktur dan terancang. Pelbagai kaedah boleh dilaksanakan dari rumah seperti secara dalam talian, luar talian dan off-site. PdPR mula dilaksanakan semasa PKP pada 18 Mac 2020 dan telah ditambah baik mengikut kesesuaian. Dalam hal ini, KPM sentiasa menekankan bahawa apa jua pendekatan yang digunakan mestilah mengikut kesesuaian guru dan murid.

5. Kerajaan juga sedar bahawa murid-murid terdiri daripada pelbagai latar belakang, sama ada di kawasan bandar, luar bandar ataupun kawasan pedalaman. Oleh yang demikian, kita perlu terima hakikat bahawa pelaksanaan PdPR secara dalam talian masih belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh yang singkat. Ini kerana sebahagian besar murid tidak memiliki peranti sesuai dan juga faktor kekangan akses kepada internet.

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

6. Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh murid, guru dan ibu bapa dalam situasi sukar ini. Sebagai salah satu inisiatif dalam mempelbagaikan sumber pembelajaran serta bagi

membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian, KPM telah menyediakan slot program TV Pendidikan secara terestrial yang disiarkan di TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan DidikTV@NTV7.

7. Siaran TV pendidikan secara terestrial yang mula disiarkan sekitar tahun 1972 telah melalui pelbagai evolusi dalam aspek kandungan siaran dan kaedah penyampaian. Pada 1 Mac 2008, TV Pendidikan secara terestrial telah ditukar kepada format dalam talian melalui portal EduwebTV dan seterusnya ditamatkan pada 1 Januari 2009.

8. Namun demikian, KPM telah mengambil inisiatif menghidupkan kembali slot program TV Pendidikan secara terestrial pada awal tahun lalu, iaitu semasa PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Ini sebagai usaha untuk membolehkan murid mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui televisyen.

9. Baru-baru ini saya berkesempatan menonton slot ‘Road to Success SPM 2020’ bagi subjek Matematik Kertas 1 oleh Cikgu Arzman Saad. Antara yang menarik perhatian saya adalah cara penyampaian guru yang begitu kreatif serta mudah diterima dan difahami oleh murid. Saya juga difahamkan bahawa guru yang dijemput untuk mengajar adalah daripada kalangan guru yang berpengalaman dalam bidang masing-masing supaya kualiti pengajaran yang disampaikan untuk murid adalah pada tahap yang terbaik. Program sebegini adalah sangat baik bagi membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan mula menduduki peperiksaan pada minggu hadapan.

10. Saya percaya dan yakin ramai dalam kalangan warga pendidik kita mempunyai kemahiran dan kepakaran menyampaikan kandungan pembelajaran secara kreatif. Tahniah kepada guru-guru yang begitu komited mendidik anak murid dalam apa jua keadaan.

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

11. Kerajaan sedar akan keresahan rakyat dalam situasi sukar dan mencabar ini, termasuk hal berkaitan pendidikan anak-anak. Justeru, Kerajaan telah bersetuju untuk mewujudkan satu saluran khusus untuk siaran TV Pendidikan.

12. Hari ini terukir satu sejarah di mana kerajaan buat pertama kalinya memperkenalkan DidikTV KPM sebagai saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian dari jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari. Ini merupakan usaha berterusan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.

13. DidikTV KPM akan menyiarkan program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM. Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat pra sekolah hingga tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid. Selain itu, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan.

14. Saya yakin bahawa DidikTV KPM akan dapat membantu pelaksanaan PdPR, khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian. Ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama-sama anak-anak.

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

15. Segala usaha ini memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan juga ibu bapa. Marilah kita semua bersatu hati melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara.

16. Akhir kata, besarlah harapan saya agar saluran DidikTV KPM yang mula bersiaran pada hari ini akan menjadi platform untuk memperkasakan lagi budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

17. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan saluran khusus TV Pendidikan, DidikTV KPM.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullan hiwabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Ucapan di Majlis Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

 


NOTA PERCAKAPAN YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA

MAJLIS PELANCARAN BUKU PANDUAN PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN
16 FEBRUARI 2021

1. Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera. Apa khabar semua? Saya doakan agar saudara saudari sihat wal afiat dan dilindungi daripada jangkitan COVID-19.

2. Saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana pada hari ini, kita akan melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Ini merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam kita menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, iaitu program vaksinasi terbesar yang akan dilaksanakan di negara kita.

3. Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini diterbitkan untuk menerangkan dengan lebih lanjut berhubung dasar program imunisasi. Dokumen ini bukan sahaja menjadi rujukan kepada para pembuat dasar dan pelaksana, tetapi juga untuk rujukan masyarakat.

4. Penerbitan buku ini tepat pada masanya kerana tidak lama lagi negara akan menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19. Di sini, saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech akan sampai di Malaysia pada 21 Februari 2021. Selanjutnya, roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari 2021, di mana saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan.

5. Seperti yang telah diumumkan, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa. Fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula pada 26 Februari sehingga April 2021. Fasa kedua pula akan bermula pada bulan April sehingga Ogos 2021 dan akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi, manakala Fasa Ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Febuari 2022.

6. Program imunisasi menyeluruh ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik COVID-19.

7. Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang – iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti. Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu Lindung Diri, Lindung Semua. Pada masa yang sama, saya juga dengan sukacitanya ingin melancarkan laman web www.VaksinCovid.gov.my di mana Buku Panduan Program Imunisasi ini boleh dimuat turun.

8. Apabila semua orang telah dilindungi dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, impak positif akan mula kita rasai. Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan. Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu. Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19. Pastinya, satu lembaran baru bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini.

9. Oleh itu, janganlah kita mengambil mudah tentang perkara ini. Apabila tiba masanya, jangan berlengah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin. Ingatkan saudara-mara dan rakan-rakan untuk turut serta. Pastikan kita hadir pada waktu yang telah ditetapkan, untuk dos pertama dan juga dos kedua, kerana apabila diri kita dilindungi, kita juga dapat melindungi yang lain terutama orang yang disayangi.

Sekian, terima kasih.

Isnin, 15 Februari 2021

KEPERLUAN PENTADBIRAN TANAH MEWUJUDKAN FORMAT LAPORAN PELUKIS PELAN YANG SERAGAM DI PERINGKAT PEJABAT TANAH DAERAH (PTD) DAN PEJABAT TANAH DAN GALIAN (PTG)

 Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:

 

1. Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dan lain-lain undang-undang tanah.

 

2. Manual Kanun Tanah Negara (KTN) dan lain-lain manual Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

 

4. Pekeliling-pekeliling Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan Pekeliling-pekeliling Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan (KPUP/JUPEM).

 

Perkara Berkaitan Pentadbiran Tanah:

 

1. Unit pelan PTD dan PTG secara umumnya tugasnya ialah:

  1. Mencatat laporan awal untuk semua permohonan tanah permit dan galian.
  2. Menyediakan laporan pelukis pelan serta membuat charting dan merekod ke dalam buku carta untuk semua permohonan tanah dan permit galian.
  3. Menguruskan permohonan, melihat, membeli dan mendapatkan pelan tanah.
  4. Menyediakan pelan untuk ulasan/rujukan jabatan teknikal, pelan kertas mesyuarat dan lain-lain pelan yang berkaitan urusan tanah.
  5. Mengawasi dan mengemaskini pelan litho (syit), pelan topo dan lain-lain pelan.

 

2. Oleh itu, berdasarkan pemerhatian didapati bahawa ‘Format Laporan Pelukis Pelan’ di pentadbiran tanah tidak diurus dengan sebaiknya mengikut kehendak KTN, Manual KTN, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dan Pekeliling-pekeliling Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG). Di mana pekerja dalam pejabat melaksanakan tugas masing-masing berasaskan pengetahuan yang dipelajari dari pengalaman dan tunjuk ajar pekerja-pekerja lama. Seringkali pengetahuan tersebut tidak berasaskan kepada cara-cara bekerja yang seragam dan hanya berasaskan kepada kefahaman pegawai-pegawai lama. Dengan yang demikian terdapat pekerja-pekerja yang menjalankan tugas tanpa mengetahui cara-cara bekerja dengan betul dan tidak jelas dengan bidang kuasa masing-masing. Keadaan ini melambatkan penyelesaian ke atas sesuatu tugas dan proses permohonan tanah.

 

3. Justeru itu dengan adanya ‘Format Laporan Pelukis Pelan’ yang seragam dapat mendokumentasikan secara sistematik susunan cara bekerja mereka. Tiap-tiap kerja mempunyai tatacara yang tertentu. Kerja yang dijalankan dengan tidak mengikut format laporan yang telah ditetapkan boleh menyebabkan laporan diberikan tidak tepat, lengkap dan membantu Pentadbiran Tanah dalam penyediaan seperti Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

 

4. Sehubungan itu, Laporan Pelukis Pelan yang lengkap hendaklah melaporkan mengenai tanah tersebut, sama ada tanah itu berjenis tanah desapekan, atau bandar, atau bahagian pantai pasang surut, dasar laut atau tanah bawah tanah;

     i.        sama ada tanah itu merupakan tanah Kerajaan, tanah milik, tanah yang dirizabkan untuk maksud awam, tanah lombong atau rizab hutan;

   ii.        sama ada tanah itu terletak di dalam atau di luar perizapan Melayu;

  iii.        sama ada lesen pendudukan sementara ada dikeluarkan dan masih berkuatkuasa;

 iv.        sama ada terdapat permohonan terdahulu atau tidak; dan

   v.        perkara lain mengenai tanah yang dipohon.

 

Perkara-perkara yang disebut pada perenggan (i) hingga (v) di atas adalah perlu kerana:

(a) perlu diketahui perkara yang dinyatakan dalam perenggan (i) memandangkan penjenisan ini menentukan jenis hakmilik yang akan diterima oleh pemohon sama ada hakmilik Pejabat Pendaftar atau hakmilik Pejabat Tanah;

(b) perkara yang dinyatakan dalam perenggan (i) juga penting disebabkan tanah yang dipohon boleh terdiri daripada lebih satu jenis – misalnya sebahagian tanah desa dan sebahagian lain tanah bandar, maka jelas bahawa dua hakmilik berasingan hendaklah didaftarkan dan dengan itu dua permohonan tanah kena dibuat;

(c) perkara yang dinyatakan dalam perenggan (ii) penting disebabkan hanya tanah Kerajaan boleh diberimilik;

(d) perkara yang dinyatakan dalam perenggan (iii) perlu ditentukan disebabkan tanah dalam rizab sedemikian hanya boleh diberimilik kepada orang atau badan tertentu sahaja;

(e) perkara yang dinyatakan dalam perenggan (iv) di atas penting disebabkan tanah Kerajaan yang diduduki di bawah lesen pendudukan sementara tidak boleh kemudiannya dilupuskan selagi lesen tidak tamat tempohnya.

 

5. Selain itu juga, setiap laporan yang dibuat oleh Pelukis Pelan hendaklah melampiran Salinan Warta Kerajaan, Pelan-pelan berkaitan dan apa-apa dokumen berkaitan seperti Salinan Buku Farhasat Lot.

 

6. Antara Pelan yang perlu diberikan bersama Laporan Pelukis Pelan ialah:

 

             i.        Certified Plan (Pelan Akui); Ianya boleh ditakrifkan sebagai satu pelan yang menunjukkan sempadan hakmilik bagi tujuan pendaftaran tanah. Diberikan nombor rujukan serta diakui benar oleh Pengarah Ukur Negeri. Pelan Akui disediakan mengikut format yang telah ditetapkan oleh JUPEM. Ciri-ciri yang ditunjukkan adalah sempadan lot dalam pelbagai skala yang disusun mengikut nombor Pelan Akui. Maklumat berkaitan lot seperti lokasi, nombor lot, keluasan lot, bearing dan jarak sempadan juga dipaparkan.

           ii.        Standard Sheet (Lembar Piawai); Lembar Piawai yang juga dikenali sebagai Peta Kadaster disediakan mengikut format dan skala yang telah ditetapkan oleh Jabatan. Ianya menunjukkan susunan lengkap sempadan lot-lot daripada Pelan Akui yang telah diluluskan oleh Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri (PUN). Pelan Akui yang baru diluluskan oleh PUN akan dicarta dalam lembar piawai. Ciri-ciri yang ditunjukkan adalah sempadan antarabangsa, negeri, daerah, mukim dan lot dalam pelbagai skala seperti 4 rantai dan 8 rantai. Maklumat-maklumat seperti sempadan pentadbiran, nombor Pelan Akui dan nombor lot juga dipaparkan mengikut kesesuaian persembahan. Lembar Piawai adalah dalam unjuran Cassini Soldner dan boleh diperolehi dalam bentuk berdigit dan juga bercetak.

          iii.        Pelan Warta; disediakan mengikut format dan skala yang telah ditetapkan oleh JUPEM. Pelan warta mempunyai empat kategori iaitu, pengisytiharan, pindaan, tambahan, pengeluaran, dan pemansuhan. Pelan warta mengandungi tajuk warta, penunjuk utara, skala, no. lembar piawai, no. fail jabatan/fail pemohon, sempadan pentadbiran, abuttal, nombor lot berhampiran beserta no. PA, keluasan kawasan, nombor PT/HS(M)/lot, nama penyemak, nama PUPN dan nombor pelan warta. Format yang boleh diperolehi adalah dalam format data grafik vektor sebagai contoh *.shp, *.tab, *.dxf, *.dgn dan lain-lain. Pelan Warta terbahagi kepada 4 jenis iaitu Pelan Warta Kawasan Larangan, Pelan Warta Pilihan Raya, Pelan Warta Pindaan Sempadan Pentadbiran dan Pelan Warta Hutan Simpan.

          iv.        Lain-lain Pelan Warta yang dibuat oleh Jabatan Ternikal seperti Pelan Warta oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang diwartakan dibawah Akta Jalan Persekutuan 1959 dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diwartakan dibawah Akta Pengairan 1953. Selaras mematuhi seksyen 5 KTN; "reserved land" means land for the time being reserved for a public purpose in accordance with the provisions of section 62 or of any previous land law;

           v.        Peta Topo/Topografi; Peta yang memberi maklumat tentang kewujudan, kolasi dan jarak di antara fitur yang ada di permukaan bumi, untuk membolehkan kita membuat perancangan perjalanan dan perhubungan. Peta juga memberi maklumat kepelbagaian bentuk dan ketinggian muka bumi serta jenis tumbuhan yang ada. Sangat penting kepada pihak tentera untuk mempertahankan negara, menentukan cara pertahanan, pengangkutan dan logistik yang perlu ada. Oleh itu, peta jangan sampai jatuh kepada musuh. Setiap operasi tentera, penyelamat dan perancang memerlukan peta yang tepat, tetapi peta yang baik tidak ada makna jika kita tidak tahu baca peta (sekiranya perlu – Dokumen Rahsia).

 

6. Sehubungan itu, Pentadbiran ini hendaklah membuat ‘Bengkel Penulisan Laporan Pelukis Pelan untuk Pelukis-pelukis Pelan di PTD dan PTG’ yang sama seperti dibuat kepada Penolong Pegawai Tanah, untuk Pelukis Pelan. Kajian semula dan pengemaskinian laporan ini hendaklah dilakukan bagi memastikan ianya sesuai dijadikan dokumen rujukan utama bagi pegawai dan staf pejabat pada setiap masa. Laporan yang kemaskini boleh membantu dengan berkesan pegawai dan staf yang baru melaporkan diri di pejabat berkenaan.

 

7. Oleh demikian, sekiranya bengkel di para 6. dapat dilaksanakan dengan jayanya dan Pelukis Pelan dapat menyediakan ‘Laporan Pelukis Pelan’ yang lengkap seperti yang dicadangkan ini, ia dapat membantu keputusan Pentadbir Tanah yang akan memutuskan sama ada untuk membuat penolakan terus/ringkas (summary rejection) atau menerima permohonan untuk diproses ke peringkat seterusnya berdasarkan laporan tersebut. Selaras Penurunan kuasa Pihak Berkuasa Negeri kepada Pentadbir Tanah di bawah Seksyen 13. Kanun Tanah Negara untuk menolak permohonan-permohonan yang tidak layak dipertimbangan.

 

8. Justeru itu, penolakan ringkas/terus (summary rejection) pada peringkat awal oleh Pentadbir Tanah ini dijangka dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem urusan tanah kepada orang ramai amnya dan Pentadbiran Tanah khususnya.

 

Perkara Untuk Tindakan Pentadbiran Tanah:

 

Pentadbiran ini dapat mewujudkan format Laporan Pelukis Pelan yang seragam di peringkat PTD dan PTG.

Justeru itu, dengan ada format laporan Pelukis Pelan yang lengkap dan seragam akan memudahkan pengurusan pentadbiran tanah di peringkat PTD dan PTG dalam mengurus permohonan di bawah pentadbiran tanah, bagi mematuhi peruntukan Undang-undang sediada selaras mengikut kehendak Dasar Kerajaan Negeri.

Khamis, 11 Februari 2021

Sains Tingkatan 3 :1.3 Rangsangan Dan Gerak Balas Tumbuhan


(A) Gerak Balas Tumbuhan


Tumbuhan bergerak balas terhadap 4 jenis rangsangan, iaitu cahaya Matahari, air, graviti dan sentuhan

Bahagian tumbuhan yang bergerak balas terhadap rangsangan ialah akar, pucuk, daun dan bunga.



Bahagian tumbuhan akan bergerak sama ada ke arah atau menjauhi rangsangan

 


klik sini untuk tontonan


KEPERLUAN PENTADBIRAN TANAH UNTUK MENGUSULKAN KEPADA MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN (MMK) BAGI MEWUJUDKAN ‘JAWATANKUASA PENGURUSAN PENDAFTARAN JURUKUR TANAH BERLESEN PERINGKAT NEGERI’ UNTUK MENYELARASKAN FUNGSI KUASA PERUNDANGAN & TEKNIKAL UKUR TANAH DI ANTARA KERAJAAN PERSEKUTUAN, KERAJAAN NEGERI DAN TEMPATAN

 Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:

 

1. Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56).

 

2. Akta Juruukur Tanah Berlesen (Akta 458) & Peraturan Juruukur Tanah Berlesen 1959.

 

3. Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 & Undang-undang Kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

 

4. Kaedah-kaedah Negeri.

 

5.Pekeliling-pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KPTG), Pekeliling-pekeliling Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan (KPUP), dan Arahan-arahan Pengarah Tanah dan Galian (PTG).

 

6. lain-lain Undang-undang dan Pekeliling yang berkenaan.

 

Perkara Berkaitan Dengan Pentadbiran Tanah:

 

1. Akta Juruukur Tanah Berlesen (Akta 458) (Akta JTB) diperkenalkan untuk melesen dan mengawal JTB dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan ukur tanah atau ukuran hakmilik. JTB yang namanya didaftarkan dan membayar yuran tahunan boleh menjalankan praktis kerja ukuran hakmilik tanah. Orang awam boleh menjalankan kerja selain ukuran hakmilik seperti kejuruteraan, hidrografi, pemetaan dan lain-lain. JTB atau pembantunya boleh memasuki manamana tanah yang hendak diukur pada siang hari, termasuk tanah/bangunan bersebelahan, menanam tanda sempadan, merintis tanaman/hutan untuk garisan ukuran. JTB juga boleh mendapatkan data ukuran di JUPEM, mengambil salinan (dengan bayaran) tetapi tidak dibenarkan membawa keluar dokumen asal dan bertanggungjawab atas kerosakan. JTB juga boleh memeriksa dokumen di JUPEM tanpa dikenakan bayaran menyemak.

 

2. Justeru itu, pelan pra-pengiraan perlu disediakan oleh juruukur tanah berlesen. Ini adalah untuk menjamin bahawa pelan itu adalah tepat (accurate) seperti yang dikehendaki dalam takrif ‘pre-computation plan’ dalam seksyen 5 Kanun Tanah Negara 1965. Berkemungkinan terdapat individu yang boleh menyediakan pelan pra-pengiraan. Walau bagaimanapun, individu tersebut tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang sebagaimana juruukur tanah berlesen yang tertakluk kepada Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 (Akta 458) dan Peraturan-peraturan di bawahnya. Tambahan pula, menurut seksyen 13 Akta 458 dan juga seksyen 400A Kanun Tanah Negara 1965, hanya juruukur tanah berlesen dan Pegawai Ukur yang dilantik di bawah Kanun Tanah Negara 1965 sahaja boleh menjalankan ukur hakmilik (title survey). Penyediaan pelan pra-pengiraan ini adalah sebahagian daripada ukur hakmilik berdasarkan kepada takrif ‘title survey’ dalam seksyen 2 Akta 458.

 

3. Selepas ukuran hakmilik disiapkan, JTB yang bertanggungjawab perlu menyerahkan kepada JUPEM pelan ukur yang ditandatangani bersama-sama dengan dokumen yang berkaitan, kertas pengiraan dan maklumat ukur. Jika dipersetujui oleh KPUP atau mana-mana pegawai yang dilantik olehnya untuk meluluskan bagi pihaknya, dokumen-dokumen tersebut akan menjadi harta kerajaan dan akan difailkan sebagai rekod ukur yang tetap. Tidak ada ukuran hakmilik atau pelan ukur boleh diterima atau digunapakai untuk tujuan manamana undang-undang melainkan ianya telah diluluskan oleh KPUP atau mana-mana pegawai yang dilantik olehnya untuk meluluskan pelan tersebut bagi pihaknya.

 

4. Sehubungan itu, Illegal Practice seseorang itu boleh didenda tidak melebihi RM500 setiap kesalahan dan penalti RM50 setiap hari tambahan jika melakukan kesalahan berikut:

  1. Seorang yang bukannya JTB secara tidak jujur mengaku atau menggunakan nama sebagai JTB.
  2. Seorang yang bukan JTB atau juruukur kerajaan mengesahkan sesuatu ukuran hakmilik atau pelan ukur.
  3. Seorang yang bukan pembantu JTB atau dibawah seliaan JTB, menjalankan atau mengambil kerja ukuran hakmilik.

 

5. Oleh itu, Peraturan Juruukur Tanah Berlesen 1959 (Peraturan JTB) telah dibuat mengikut peruntukan Seksyen 21 Akta JTB 1958. Peraturan JTB mengandungi enam (6) bahagian dan 101 seksyen. Semua JTB adalah tertakluk kepada semua undang-undang dan peraturan hakmilik tanah yang berkaitan dengannya. Ini termasuklah pekeliling-pekeliling KPUP, KPTG dan lain-lain peraturan. Dalam menjalankan ukur hakmilik, JTB perlu mematuhi kehendak jabatan-jabatan kerajaan seperti JUPEM, Pejabat Tanah dan Daerah, PTG, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Majlis Perbandaran dan lain-lain.

 

6. Oleh demikian, dengan adanya Jawatankuasa Pengurusan Pendaftaran Jurukur Tanah Berlesen Peringkat Negeri’ boleh memastikan JTB mematuhi cadangan ukuran hakmilik mereka adalah mematuhi semua kehendak perundangan yang ditetapkan oleh JUPEM, Pejabat Tanah, Pihak Berkuasa Perancang Bandar dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum kerja-kerja ukur dijalankan.

 

7. Sekiranya jawatankuasa ini diwujudkan bolehlah mengurus dan membuat suatu kaedah pendaftaran rekod juruukur tanah berlesen (JTB) yang aktif di sesebuah Negeri, serta memastikan JTB mematuhi kehendak perundangan dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

 

 

Perkara Untuk Tindakan Pentadbiran Tanah:

 

Pentadbiran Tanah dapat membuat Kertas Cadangan Khas/khusus kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk mewujudkan penubuhan jawatankuasa di atas.

Sehubungan itu, saya sertakan draf ‘Garis Panduan Penubuhan dan Peranan Jawatankuasa Pengurusan Pendaftaran Jurukur Tanah Berlesen Peringkat Negeri seperti dilampiran untuk tindakan selanjutnya. Pentadbiran ini bolehlah merujuk perkara ini kepada YB Penasihat Undang-Undang Negeri (PUUN) kerana cadangan jawatankuasa ini berkaitan dengan isu perundangan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan semasa.

Justeru itu, dengan tubuhnya jawatankuasa ini akan memudahkan pengurusan pentadbiran Kerajaan Negeri amnya dan pentadbiran tanah khususnya dalam mengurus teknikal ukur tanah, bagi mematuhi peruntukan Undang-undang sediada selaras mengikut kehendak Dasar Kerajaan Negeri.

 

 

GARIS PANDUAN

PENUBUHAN DAN PERANAN

JAWATANKUASA PENGURUSAN PENDAFTARAN JURUKUR TANAH BERLESEN PERINGKAT NEGERI

KANDUNGAN

 

1.0 PENUBUHAN JAWATANKUASA

 

2.0 KEANGGOTAAN JAWATANKUASA

 

3.0 KEKERAPAN MESYUARAT

 

4.0 LAPORAN MESYUARAT

 

5.0 BIDANG TUGAS JAWATANKUASA

 

6.0 PERTANYAAN

GARIS PANDUAN PENUBUHAN DAN PERANAN

JAWATANKUASA PENGURUSAN PENDAFTARAN JURUKUR TANAH BERLESEN PERINGKAT NEGERI

 

1.0 PENUBUHAN JAWATANKUASA

 

Satu Jawatankuasa Pengurusan Pendaftaran Jurukur Tanah Berlesen Peringkat Negeri hendaklah ditubuhkan untuk menyelaraskan fungsi kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan di bawah perundangan, berhubung pelan pra-pengiraan yang disediakan oleh juruukur tanah berlesen. Ini adalah untuk menjamin bahawa pelan itu adalah tepat (accurate) seperti yang dikehendaki dalam takrif ‘pre-computation plan’ dalam seksyen 5 Kanun Tanah Negara 1965. Berkemungkinan terdapat individu yang boleh menyediakan pelan pra-pengiraan. Walau bagaimanapun, individu tersebut tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang sebagaimana juruukur tanah berlesen yang tertakluk kepada Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 (Akta 458) dan Peraturan-peraturan di bawahnya. Tambahan pula, menurut seksyen 13 Akta 458 dan juga seksyen 400A Kanun Tanah Negara 1965, hanya juruukur tanah berlesen dan Pegawai Ukur yang dilantik di bawah Kanun Tanah Negara 1965 sahaja boleh menjalankan ukur hakmilik (title survey). Penyediaan pelan pra-pengiraan ini adalah sebahagian daripada ukur hakmilik berdasarkan kepada takrif ‘title survey’ dalam seksyen 2 Akta 458.

 

2.0 KEANGGOTAAN JAWATANKUASA

 

2.1    Jawatankuasa ini, kecuali jawatan Setiausaha, hendaklah dianggotai oleh semua ketua/wakil jabatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan yang berkenaan. Jawatankuasa ini terdiri dari:

 

(i) Pengerusi (Dicadangkan YB Penasihat Undang-Undang Negeri)

(ii) Timbalan Pengerusi (Dicadangkan Pengarah Tanah dan Galian)

(iii) Setiausaha (Dicadangkan Pegawai Undang-undang PTG)

(iv) Ahli-Ahli (Dicadangkan):

- Wakil Pejabat PTG (Pembangunan).

- Wakil Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJTM).

- Wakil-wakit Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

- Wakil Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD).

- Wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Pulau Pinang (JUPEM).

- Pentadbir-pentadbir Tanah Daerah.

- Lain-lain wakil ditentukan oleh Pengerusi.

 

2.2    Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah melantik dan memilih Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa. Kehadiran ahli mesyuart khas hendaklah tidak kurang daripada dua per tiga (2/3).

2.3    Pengerusi hendaklah melantik Setiausaha dari jabatan sendiri atau jabatan lain.

2.4    Jawatankuasa ini hendaklah dipilih mengikut keperluan semasa.

(i) Pengerusi

(ii) Timbalan Pengerusi

(iii) Setiausaha

(iv) Ahli-Ahli

 

3.0 KEKERAPAN MESYUARAT

 

Mesyaurat Jawatankuasa hendaklah diadakan sekurang-kurangnya setahun dua (2) kali dan kehadiran ahli mesyarat hendaklah tidak kurang daripada dua per tiga (2/3).

 

4.0 LAPORAN MESYUARAT

 

Laporan mesyuarat hendaklah dikemukakan dalam tahun semasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

 

5.0 BIDANG TUGAS JAWATANKUASA

 

5.1    Mengurus dan mendaftar rekod juruukur tanah berlesen (JTB) yang aktif di Negeri, serta memastikan JTB mematuhi kehendak perundangan dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

5.2    Memantau dan mengawasi prestasi isu/perkara berbangkit pelan pra-pengiraan yang disediakan oleh JTB di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

5.2 Bertindak sebagai pengantara perhubungan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan dalam mencari penyelesaian bersama mengenai isu/perkara berbangkit perundangan dan teknikal ukur tanah semasa.

5.3  Menimbangkan dan menyelaras secara bersama isu/perkara berbangkit perundangan dan teknikal ukur tanah semasa.

5.4   Membantu agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan berhubung isu/perkara berbangkit perundangan dan teknikal ukur tanah semasa.

5.5    Mengemukakan apa jua pandangan dan cadangan lain kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan.

5.6    Membantu Majlis Mesyuarat Kerajaan ke arah pentadbiran baik, terurus dan dinamik serta mencapai hasrat dasar Pentadbiran Kerajaan Negeri.

5.7    Membantu Majlis Mesyuarat Kerajaan membuat dasar-dasar kerajaan selaras peruntukkan undang-undang semasa dan tadbir urus teratur di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan secara bersama serta harmorni.

 

 

 

6.0 PERTANYAAN

Sebarang pertanyaan mengenai perlaksanaan Jawatankuasa ini bolehlah menghubungi jabatan berikut:

 

(a)        Setiausaha,

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri

 

(b)        Pengarah,

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri


PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...