Ipoh, sebuah bandaraya yang terkenal dengan penangan white coffeenya yang memang ‘kaw’! Siapa sangka sebuah kawasan yang pernah mengalami peristiwa hitam pada tahun 1892 ini di mana kebakaran yang sangat besar pernah berlaku mampu membangun menjadi sebuah bandar yang bukan sahaja terkenal di Malaysia, malahan di seluruh dunia.
Untuk pengetahuan anda, Ipoh pernah disenaraikan di dalam laman web pelancongan antarabangsa, Lonely Planet, sebagai satu-satunya destinasi pelancongan di Malaysia yang terbaik pada tahun 2016.
Pembangunan pesat bandar Ipoh dengan pusat-pusat pelancongan, kafe-kafe dan lain-lain lagi yang tumbuh bak cendawan selepas hujan menjadikan bandar ini destinasi yang wajib dilawati.
Salah satu sebab mengapa Ipoh menjadi lokasi pilihan kepada ramai para pelancong adalah kerana kemampuannya untuk mengekalkan dan memelihara warisan klasik tanpa dimakan dek peredaran zaman yang menghauskan perubahan.
Banyak bangunan-bangunan klasik yang masih terpelihara dengan baik di luaran tetapi fungsi dalamannya diubah untuk mengikut keperluan semasa atau lebih tepat lagi mengikut selera anak-anak muda yang tinggal di Ipoh. Sebab ini jugalah Ipoh digelar sebagai bandar hipster Malaysia! Memang lain dari yang lain.
Bukan itu sahaja, Ipoh turut kaya dengan keindahan alam semulajadinya yang memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Berikut adalah sebahagian tempat menarik di Ipoh yang sempat dilawati..
Birch Memorial Clock Tower
Birch Memorial Clock Tower adalah sebuah struktur berwarna hitam putih yang berketinggian 1.95 meter. Menara ini telah dibina pada tahun 1909 untuk memperingati ulang tahun kematian ke-34 Resident British pertama Perak, James WW Birch yang telah dibunuh oleh pahlawan Tanah Melayu, Datuk Maharaja Lela pada tahun 1875.
Terletak di bandar Ipoh, menara ini telah dibina dengan kos pada ketika itu 25,000 pound sterling. Ia kemudiannya dirasmikan oleh Residen British Perak yang ke-8, Sir Ernest Woodford Birch.
Dapat dilihat pada empat bahagian penjuru di atas jam menara ini terdapat empat ukiran patung yang masing-masing membawa maksud sendiri berdasarkan empat prinsip pentadbiran British iaitu keadilan, kesabaran, ketabahan dan kesetiaan.
Pada keempat-empat sisi menara ini juga terdapat lukisan tokoh-tokoh dunia dan pembangun tamadun seperti Buddha, Darwin, Shakespeare dan sebagainya.
Setelah melawat lokasi ini anda boleh menuju ke banyak lagi tarikan Ipoh yang terletak di sekitar seperti Masjid Negeri dan Rose Centre.
Dataran Jam
Terletak di bahagian tengah Dataran Bandaraya Ipoh adalah sebuah menara jam yang agak tinggi dan unik sekali reka bentuknya. Untuk anda yang ingin mengisi perut yang lapar, di sekitar Dataran Jam ini anda dapat melihat banyak gerai makanan yang dibuka.
Dinasihatkan supaya anda datang ke kawasan gerai ini sekitar pukul 6 petang kerana agak ramai pengunjung yang datang ke sini untuk menikmati selera.
Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh (Masjid Negeri)
Pada asalnya masjid ini dinamakan Masjid Negeri (Perak) namun pada tahun 1984, masjid ini ditukarkan namanya kepada Masjid Sultan Idris Shah II untuk memperingati Sultan Idris Iskandar Shah II yang kembali ke Rahmatullah pada tahun itu.
Terletak di Bandaraya Ipoh, masjid ini mula dibina pada tahun 1966 yang memakan belanja sebanyak RM1,840,000.00. Batu asas masjid ini telah diletakkan oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak yang merupakan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu pada tahun 1967.
Ipoh Town Hall
Ipoh Town Hall adalah salah satu daripada beberapa bangunan kolonial di Malaysia yang telah direka bentuk oleh arkitek A.B. Hubback. Pembinaan bangunan Dewan Bandaran ini telah dimulakan pada tahun 1914 dan siap pada 1916, sedikit lewat daripada perancangan awal kerana masalah bekalan material ketika Perang Dunia Pertama.
Bangunan besar yang berwarna putih ini cukup menarik untuk dilawati kerana kemegahan seni binanya yang cukup mengujakan terutama sekali bila dilihat pada waktu malam
Dataran Medan Stesen / Dataran KTM Ipoh
Dataran Medan Stesen atau turut dikenali sebagai Dataran KTM Ipoh kerana lokasinya yang terletak berdekatan dengan Bangunan Stesen Keretapi Ipoh adalah sebuah tarikan yang indah untuk dilawati terutama sekali pada waktu malam di mana anda dapat melapangkan fikiran sambil menyaksikan pancuran air dengan cahaya berwarna-warni yang bergerak dengan irama.
Tidak cukup dengan itu, dataran ini turut dihiasi dengan kehijauan pokok-pokok yang didatangkan dari luar negara seperti pokok Tagoma dan Bucida.
Percayalah, sekali datang ke sini, anda pasti tidak dapat melupakan keindahan yang disajikannya dan terasa rindu untuk datang lagi.
Taman Rekreasi Gunung Lang
Terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman yang sebelum ini dikenali sebagai Jalan Kuala Kangsar adalah sebuah taman rekreasi yang dikelilingi pemandangan alam semulajadi. Sebelum tiba ke taman rekreasi ini, anda perlu menaiki bot yang akan membawa anda menyeberangi tasik ditemani dengan lanskap indah bukit batu kapur.
Setibanya di taman rekreasi ini, anda akan dapat melihat air terjun buatan manusia di atas bukit batu kapur. Untuk anda yang membawa anak pula, taman rekreasi ini turut dilengkapi dengan taman permainan dan juga mini zoo. Selepas berjalan-jalan anda boleh menaiki menara tinjau untuk menikmati keindahan taman sepuas-puasnya sebelum pulang
Movie Animation Park Studios (MAPS)
Kalau anda tercari-cari Disneyworld di Malaysia, Movie Animation Park Studios adalah salah satu tarikan yang lebih kurang bestnya macam Disneyworld. Jangan pandang rendah, taman animasi ni ada tersangatlah banyak perkara menarik untuk dibuat dan dicuba!
Untuk pengetahuan anda Movie Animation Park Studios ini terbahagi kepada 6 zon dengan tema yang berbeza-beza, 25 tarikan interaktif dan 15 rides yang luar biasa seronok untuk dinaiki!
Secara spesifiknya, antara tarikan yang ada kat sini adalah BoBoiBoy 4D Adventure Theatre, The Smurf Theater, Space X-Plorers, Hyperspin, Space Face, Coral Kingdom dan banyak lagi!
6 Zon Tema yang ada kat sini adalah seperti Animation Square Zone, Dream Zone, Blast Off Zone, Live Action Zone, Lakeside Zone dan Fantasy Forest Zone. Macam-macam ada! Rugi kalau tak datang sekiranya bercuti di Ipoh!
#TAPI SAYANG MAPS TELAH DITUTUP OLEH KERAJAAN NEGERI PERAK KERANA KURANG KUNJUNGAN.....













Tiada ulasan:
Catat Ulasan