TEKS UCAPAN
YAB PERDANA MENTERI
DASAR PEMAKANAN KEBANGSAAN MALAYSIA 2.0
Terima kasih
Saudara / Saudari Pengacara Majlis.
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Yang Berhormat
Datuk Sri Dr. Adham Bin Baba
Menteri Kesihatan Malaysia
Yang Berhormat
Dato’ Dr Haji Noor Azmi Bin Ghazali
Timbalan Menteri Kesihatan I
Yang Berhormat
Datuk Aaron Ago Dagang
Timbalan Menteri Kesihatan II
Yang Berbahagia
Dato’ Mohd Shafiq Bin Abdullah
Ketua Setiausaha
Kementerian Kesihatan Malaysia
Dif-dif ke hormat, saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian.
Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat walafiat sentiasa.
1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersua secara maya pada petang ini bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia (DPKM) 2.0 dengan bertemakan “Kesejahteraan Pemakanan Tanggungjawab Bersama.”
2. Kita semua maklum bahawa pemakanan sihat merupakan kunci kepada kesihatan yang baik. Makanan juga merupakan asas kepada keperluan kehidupan.
Sehubungan dengan itu,pembangunan
sosio-ekonomi yang pesat di Malaysia termasuk perubahan dalam gaya hidup dan amalan pemakanan telah memberi kesan kepada kesejahteraan pemakanan dan pola penyakit dalam masyarakat.
3. Keadaan ini menyebabkan negara kini sedang berhadapan dengan masalah beban berganda malpemakanan dengan peningkatan kadar obesiti di setiap peringkat umur dan masalah kekurangan pemakanan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 5 tahun yang memerlukan perhatian yang serius.
4. Masalah malpemakanan merupakan satu krisis kesihatan sejagat terutamanya di saat pandemik COVID-19 sedang melanda seluruh dunia termasuk negara kita. Selain daripada beban penyakit tidak berjangkit yang berpunca daripada pemakanan seperti diabetes dan darah tinggi, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan pada tahun 2030, Malaysia akan mencapai status “negara tua” dengan peratus penduduk berumur 60 tahun dan ke atas adalah 15.3%.
5. Dengan kenaikan angka-angka yang membimbangkan dan ramalan peningkatan beban penyakit ini, pencegahan dan pengawalan masalah beban berganda malpemakanan merupakan satu cabaran besar kepada penjagaan kesihatan negara.
6. Usaha bagi memerangi dan menamatkan semua bentuk masalah malpemakanan memerlukan satu dasar pemakanan yang mampan melibatkan dan merentasi semua sektor kerajaan, swasta, industri dan penduduk Malaysia sendiri. Dasar ini perlu dilaksanakan selari dengan konsep “Whole of government and whole of society”.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian.
7. Melalui DPKM 2.0, kerajaan beriltizam untuk meningkatkan dan mengekalkan kesejahteraan pemakanan masyarakat. Tiga matlamat Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 ini adalah untuk meningkatkan status pemakanan, mengurangkan prevalen penyakit tidak berjangkit berkaitan pemakanan dan memperkukuhkan sekuriti makanan dan pemakanan.
8. Bagi mencapai matlamat Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 ini, 13 strategi telah dibentuk untuk memastikan kesejahteraan pemakanan rakyat Malaysia. Kesemua strategi yang dirangka ini bersifat menyeluruh dan dirangka bagi memenuhi tiga matlamat DPKM 2.0 yang saya sebutkan sebentar tadi.
9. Seiring dengan dasar yang digubal, Kerajaan melalui pihak Kementerian Kesihatan pada masa yang sama turut menyemak semula Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) 2016-2025 yang menyokong strategi -strategi dalam Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia. Selain itu, isu-isu pemakanan utama negara seperti sekuriti makanan dan pemakanan juga telah dintegrasikan dalam Dasar Agromakanan (DAN) 2.0.
10. Pihak Kementerian Kesihatan juga telah mengetuai Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan di bawah Jawatankuasa Kabinet Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Dalam hal ini , isu-isu berkaitan sekuriti makanan dan pemakanan terutama semasa bencana merupakan antara perkara yang diberi perhatian serius oleh kerajaan.
11. Dengan semakan dasar ini juga, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi yang sihat melalui kesejahteraan pemakanan daripada usia muda. Sehubungan dengan itu, bagi memerangi masalah malpemakanan di kalangan kanak-kanak dan remaja, satu jawatankuasa bersama yang melibatkan pelbagai agensi pemegang taruh yang berkaitan akan ditubuhkan dalam waktu terdekat.
Saudara dan saudari yang saya kasihi
sekalian.
12. Saya ingin menekankan bahawa Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0 ini adalah dasar kita bersama, kerana kesejahteraan pemakanan adalah tanggungjawab kita bersama.
13. Saya menyeru agar semua pihak dapat membawa agenda pemakanan ke hadapan dan mengintegrasikan komponen pemakanan ke dalam dasar-dasar kerajaan dan juga agensi-agensi lain yang berkaitan.
14. Dalam hal ini, perancangan dan pelaksanaan strategi dasar dan pelan tindakan pemakanan yang komprehensif dan inklusif ini, tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa sokongan padu dan komitmen daripada semua pihak. Sehubungan itu, saya berharap agar DPKM 2.0 akan menjadi rujukan utama dan agenda pemakanan dapat diintegrasikan dalam penggubalan dasar dan pembangunan pelan -pelan tindakan dalam negara.
15. Saya doakan agar negara kita akan terus makmur dan sejahtera terutamanya dari segi pemakanan agar matlamat kita untuk mencapai bangsa yang sihat akan terlaksana.
16. Ucapan terima kasih dan penghargaan saya kepada seluruh warga kerja KKM yang telah bekerja dengan komited dalam memastikan perkhidmatan pemakanan dan kesihatan dapat terus disampaikan dengan berkesan kepada masyarakat terutama dalam keadaan negara kita masih berada dalam fasa pemulihan bagi menamatkan wabak COVID-19.
17. Dengan lafaz Bismilahir Rahmanir Rahim, saya melancarkan Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia 2.0.
18. Saya sudahi ucapan ini dengan lafaz Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan