Selasa, 27 Julai 2021

Teks Ucapan Sambutan Hari Tanah Negara Tahun 2021


 TEKS UCAPAN

YANG AMAT BERHORMAT
TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN
PERDANA MENTERI

BERSEMPENA
SAMBUTAN HARI TANAH NEGARA TAHUN 2021
27 JULAI 2021

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Haji Nasarah,
Menteri Tenaga dan Sumber Asli;

Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri;

Yang Berhormat Datuk Ali Biju,
Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli;

Yang Berbahagia Datuk Zurinah binti Pawanteh,
Ketua Setiausaha,
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli;

Yang Berbahagia Dato’ Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad,
Ketua Pengarah,
Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan;

Pengarah-Pengarah Tanah dan Galian Negeri, saudara dan saudari yang saya muliakan sekalian;

1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, pada hari ini, kita dapat bersua secara maya di majlis sambutan Hari Tanah Negara Ke-5 pada tahun 2021.

2. Sambutan Hari Tanah Negara merupakan acara tahunan yang diadakan pada 27 Julai setiap tahun bagi menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah di seluruh negara yang bertungkus lumus dalam memastikan perundangan dan pentadbiran tanah sentiasa relevan serta selari dengan arus perdana pembangunan negara.

3. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua yang terlibat dalam sambutan pada kali ini sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri. Walaupun ini merupakan kali kedua semenjak tahun lalu bentuk sambutan diadakan secara atas talian disebabkan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara kita, saya percaya ia tidak mengurangkan sedikitpun kepentingan sambutan ini di kalangan kakitangan awam mahupun masyarakat secara keseluruhannya.

4. Sesuai dengan tema “Mendepani Cabaran Pasca Covid-19 dalam Pentadbiran Tanah”, sambutan Hari Tanah Negara pada tahun ini diteruskan dalam situasi yang mencabar serta memerlukan komitmen di setiap peringkat bagi mengenalpasti pendekatan terbaik menanganinya.

5. Saya teruja dengan persidangan kali ini yang akan melibatkan 3 siri webinar disamping program bual bicara menerusi siaran radio dan televisyen. Platform yang disediakan ini, perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua warga pentadbiran tanah untuk mencetuskan pemikiran baharu ke arah memperkemaskan lagi pentadbiran tanah di Malaysia. Idea-idea baharu hasil perkongsian pengalaman dan pengetahuan bersama ahli-ahli panel diharap menghasilkan idea yang bersifat beyond ordinary.

6. Walaupun persidangan yang menghimpunkan warga pentadbiran tanah bersama para pelanggan dan pemain industri tidak dapat diadakan seperti kebiasaan, saya percaya, perhimpunan secara maya ini tetap bererti dalam menghargai jasa dan sumbangan semua pihak yang terlibat dalam perundangan dan pentadbiran tanah.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

7. Saya ingin menegaskan bahawa di peringkat Kerajaan Persekutuan, dasar dan perundangan tanah semasa sentiasa diteliti dan dikemaskini supaya selaras dengan peredaran masa dan keperluan pelanggan khususnya rakyat. Melalui Mesyuarat Majlis Tanah Negara, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berbincang hal-hal berkaitan dasar negara bagi mengurus, memaju dan mengawalselia penggunaan tanah di peringkat masing-masing untuk maksud perlombongan, pertanian dan perhutanan.

8. Saya sendiri selaku Pengerusi Majlis Tanah Negara atau MTN, telah 2 kali mempengerusikan mesyuarat dalam pandemik Covid-19 ini. Mesyuarat MTN Ke-77 pada 8 September 2020 telah saya pengerusikan secara kehadiran fizikal semasa negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), manakala Mesyuarat MTN Ke-78 pada 29 Januari 2021 pula telah berjaya diadakan melalui persidangan video.

9. Selain itu, pendigitalan perkhidmatan Kerajaan secara inklusif merentasi setiap aspek perkhidmatan merupakan salah satu agenda utama Kerajaan dalam usaha untuk menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada segenap lapisan masyarakat dalam apa jua keadaan.

10. Semenjak inisiatif pemodenan perkhidmatan pentadbiran tanah dijalankan seawal tahun 1980, pentadbiran tanah terus diperkemas dan dipermodenkan seiring perkembangan teknologi terkini. Pada tahun 2014, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk melaksanakan Sistem Pentadbiran Tanah Secara Eletronik iaitu Sistem e-Tanah menerusi Kerjasama Awam Swasta (PPP). Inisiatif yang melibatkan kolaborasi di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan syarikat swasta ini, bertujuan menyeragamkan pentadbiran tanah di negeri-negeri berdasarkan perundangan yang berkuatkuasa, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran tanah. Saya percaya, pelaksanaan Sistem e-Tanah ini juga akan dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara disamping meningkatkan hasil kepada Kerajaan-kerajaan Negeri khususnya.

11. Saya mengambil maklum bahawa Sistem e-Tanah telah dimulakan secara perintis di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak tahun 2017. Sepanjang pelaksanaannya, sistem ini telah berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Semasa peringkat awal pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun 2020, kita menyaksikan Sistem e-Tanah, pelbagai urusan berkaitan tanah seperti carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik dan permohonan gadaian tanah dapat diteruskan secara atas talian dengan cekap dan selamat.

12. Berdasarkan kejayaan tersebut, Sistem e-Tanah secara PPP ini diperluaskan pula ke Negeri Perak dan telah mula digunapakai pada Februari 2021. Sistem e-Tanah Negeri Perak juga telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dan telah dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan urusan pentadbiran tanah.

13. Menerusi Laporan Ease of Doing Business yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, pada tahun 2020 Malaysia berada di kedudukan ke-12 berbanding kedudukan ke-15 pada tahun 2019. Pihak Bank Dunia juga turut mengiktiraf usaha Malaysia dalam meningkatkan prestasi sektor awam dengan mengeluarkan satu laporan Knowledge and Research pada 2017, The Malaysia Development Experience Series yang bertajuk Enhancing Public Sector Performance: Malaysia’s Experience with Transforming Land Administration untuk dikongsikan bersama negara-negara lain tentang kemajuan Malaysia dalam mentransformasikan pentadbiran tanah. Selain itu, Sistem e-Tanah ini turut meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa pada tahun 2018 iaitu pencapaian Gold Award Public Sector di Asean ICT Award 2018 yang telah diadakan di Indonesia.

14. Dengan kejayaan pelaksanaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perak, Kerajaan Persekutuan kini sedang mengorak langkah untuk melaksanakan peluasan Sistem e-Tanah secara PPP ke Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Negeri Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan. Sistem e-Tanah juga dijangka akan selesai dibangunkan di semua negeri tersebut dan boleh digunapakai keseluruhan dan sepenuhnya selewat-lewatnya pada tahun 2024. Saya difahamkan, Perjanjian Konsesi Sistem e-Tanah Bagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan akan dimeterai pada hari ini.

15. Sehubungan itu, saya berbesar hati untuk merasmikan ‘Pelancaran Peluasan Sistem e-Tanah Secara Kerjasama Awam Swasta’ bersempena Hari Tanah Negara Tahun 2021 ini. Syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat di peringkat Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan semua warga pentadbiran tanah.

16. Saya berharap agar peluasan Sistem e-Tanah ini akan memberikan impak yang positif dalam meningkatkan lagi produktiviti Malaysia di mata dunia dan seterusnya akan menarik minat pelabur-pelabur luar negara untuk menambah pelaburan di dalam negara.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

17. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan sambutan Hari Tanah Negara Tahun 2021 dengan tema “Mendepani Cabaran Pasca Covid-19 dalam Pentadbiran Tanah”. Selamat menyambut Hari Tanah Negara kepada semua.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...