Khamis, 23 Disember 2021

Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Pekida Malaysia Kali Ke-25 Tahun 2021


 TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB,
PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN
PEKIDA MALAYSIA KALI KE-25 TAHUN 2021

18 DISEMBER 2021 | 8.30 MALAM

Bismillahirrahmaanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita semua dapat berkumpul di Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Pekida Malaysia Kali Ke-25 Tahun 2021, pada malam ini.

2. Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi Pekida Malaysia kerana telah mengundang saya untuk merasmikan majlis ini.

3. Sebelum itu, izinkan saya mengucapkan takziah di atas pemergian Presiden Pekida Malaysia, Allahyarham Dato’ Haji Ramli Bin Norani yang juga sahabat saya, baru-baru ini.

4. Sudah tentu ia merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga Allahyarham serta sahabat handai ahli berbaiah di negara ini kerana banyak jasa Allahyarham kepada pertubuhan khususnya dan juga negara amnya.

5. Sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta dikurniakan sebaik- baiknya ganjaran syurga. Amin.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Secara peribadi, saya mengikuti perkembangan dan peranan Pekida Malaysia bagi memperkasakan orang Melayu di bumi bertuah ini.

7. Kekuatan jemaah yang mencakupi hampir semua daerah di seluruh negara sekaligus menzahirkan Pekida Malaysia sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam terbesar dengan peranan utamanya untuk menyatupadukan orang Melayu.

8. Pekida Malaysia atau Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia ditubuhkan bertunjangkan kepada penyatuan ummah melalui semangat persaudaraan dalam sebuah keluarga yang besar.

9. Dengan kekuatan persaudaraan ini, saya percaya Pekida Malaysia mampu mengiltizamkan kembali peranan khidmat komuniti mereka serta mengaktifkan kembali aktiviti kejiranan seperti kenduri dan program berteraskan semangat kekeluargaan dalam kejiranan sebagai usaha merapatkan ukhuwwah silaturrahim dalam kalangan ahli dan masyarakat.

10. Ini selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang saya cetuskan pada ucapan sulung ketika dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 22 Ogos lalu yang berteraskan tiga nilai utama iaitu Inklusiviti, Kebersamaan dan Kesyukuran, yang akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama.

11. Istilah keluarga bukan sahaja satu konsep yang mudah difahami oleh segenap golongan dan kelompok masyarakat, malah sangat dekat di hati rakyat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Saya difahamkan ahli Jemaah Pekida Malaysia turut membantu dalam perkembangan rantaian ekonomi negara sebenarnya melalui aktiviti jualan runcit, mewujudkan

koperasi-koperasi serta beberapa cabang keusahawanan yang lain.

13. Justeru, dalam suasana pandemik COVID-19 ini, saya mengajak Pekida Malaysia supaya terus membantu Kerajaan bagi merancakkan kembali ekonomi negara melalui rangkaian ‘business circle’ yang dimiliki dalam jemaah.

14. Saya juga berharap agar ahli jemaah dapat meluaskan jajaran perniagaan industri makanan yang dilihat menjadi satu potensi dalam rantaian makanan yang luas di negara ini.

15. Saya difahamkan ramai ahli jemaah yang terlibat dalam perusahaan pemprosesan seperti menghasilkan kicap, sos dan sebagainya. Sebahagian besar pula terlibat dalam kegiatan penjaja dan aktiviti logistik.

16. Melalui keahlian lebih 350,000 orang seluruh negara, aktiviti keusahawanan dan perniagaan di kalangan ahli ini juga menjadi satu kelebihan kerana dapat membekalkan produk yang dihasilkan secara terus kepada pelanggan tanpa melibatkan orang tengah.

17. Selain itu, gunakanlah kepakaran yang ada dalam jemaah untuk membantu ahli khususnya menarik golongan muda dalam meningkatkan kemahiran diri yang bersesuaian dengan keperluan teknologi terkini seperti ekonomi digital yang menjadi begitu penting sekarang ini khususnya ketika era pandemik.

18. Pada masa yang sama, golongan muda jemaah Pekida Malaysia juga adalah pelapis pemimpin masa hadapan yang perlu dilengkapkan dengan pendidikan, kemahiran teknikal, terutama ilmu agama yang dilihat menjadi penerus kepada kelangsungan gerakan berbaiah di negara ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Pekida Malaysia juga dilihat sebagai satu wadah dalam penyatuan masyarakat di negara ini. Persepsi negatif masyarakat yang menganggap Pekida Malaysia sebagai sebuah ‘kongsi gelap Melayu’ perlu dihakis dengan menganjurkan lebih banyak aktiviti-aktiviti kemasyarakatan supaya imej pertubuhan ini lebih menonjol dalam masyarakat.

20. Sekiranya ada ahli-ahli yang cuba menyuntik atau mencambahkan elemen negatif sedemikian, menjadi tanggungjawab kepimpinanan untuk membersihkannya dengan segera supaya imej Pekida Malaysia tidak lagi tercemar.

21. Bak kata pepatah, dalam setandan pisang, tak semuanya busuk, apatah lagi dalam menguruskan keahlian yang begitu ramai.

22. Melalui aktiviti kemasyarakatan itu juga, Pekida Malaysia sudah tentu mampu berperanan sebagai pengukuh perpaduan dalam Keluarga Malaysia. Bak kata pepatah, kukuhnya pokok kerana akar. Begitulah juga sesebuah pertubuhan, akan lebih kuat sekiranya seluruh ahli bersepakat dan bersatu padu ibarat sebuah keluarga.

23. Saya juga percaya, dengan prinsip ‘amar maaruf nahi mungkar’ yang menjadi pegangan pertubuhan ini, menjadi kewajipan kepada Pekida Malaysia untuk mengajak bukan sahaja ahli, malah seluruh Keluarga Malaysia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

24. Ini kerana Pekida Malaysia sentiasa menjadi perhatian masyarakat kerana membawa imej Islam. Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Junjunglah konsep amar makruf nahi mungkar itu demi agama dan negara.

25. Akhir kata, kepada pemimpin serta ahli Pekida Malaysia yang bakal memilih tampuk baharu pemerintahan, pilihlah calon yang tepat, berintegriti, berwibawa serta berkaliber untuk memimpin perjuangan. Menjadi ketua adalah satu amanah daripada Allah SWT dan wajib dilaksanakan dengan sebaiknya.

26. Dengan lafaz Bismillahirrahmaanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pekida Malaysia Kali Ke-25 Tahun 2021.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...