Selasa, 7 Disember 2021

Majlis Perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC), KLIA

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB,
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KOMPLEKS PUSAT KAWALAN TRAFIK UDARA KUALA LUMPUR (KL ATCC), KLIA
1 DISEMBER 2021| 11.00 PAGI

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada hari ini dalam Majlis Perasmian Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai Kuala Lumpur Air Traffic Control Centre (KL ATCC) Sepang dalam suasana norma baharu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (S.O.P) yang ketat.

2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Menteri Pengangkutan Malaysia, atas jemputan untuk merasmikan kompleks KL ATCC, KLIA pada pagi ini.

3. Pada tahun 2013, hasil daripada pertumbuhan dan perkembangan pesat industri penerbangan awam dan hasrat untuk memperkukuhkan dan memperkasa pengurusan dan pemantauan ruang udara negara, Kerajaan telah meluluskan Projek KL ATCC baharu sebagai salah satu projek pembangunan di bawah RM Ke-11 yang telah dimulakan pada 18 Januari 2016, dengan peruntukan sebanyak RM650.366 juta.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Pada hari ini, saya amat bersyukur kerana rakyat Malaysia telah boleh berbangga dengan terbinanya sebuah bangunan “WAU”, yang bukan sahaja menempatkan operasi perkhidmatan trafik udara bagi seluruh ruang udara Semenanjung Malaysia, malah turut menempatkan Pusat Mencari Dan Menyelamat atau Search And Rescue Negara, serta Joint Airspace Management Coordination Center atau JAMCC.

5. Dengan adanya pusat kawalan secara bersepadu yang serba canggih ini, tentunya keupayaan dan kesiapsiagaan negara telah dapat dipertingkatkan untuk menghadapi situasi dunia penerbangan yang serba mencabar serta dapat menyokong masa depan generasi akan datang yang lebih cerah.

6. Melalui penyediaan sistem dan peralatan kawalan trafik udara yang baru dan lebih efisyen ini, ianya secara langsung akan mampu mempertingkatkan tahap kecekapan perkhidmatan trafik udara negara, setanding dengan negara maju di dunia.

7. Selain daripada itu, pertambahan jumlah pergerakan pesawat dan peningkatan kapasiti ruang udara yang akan terhasil daripada Projek KL ATCC baharu ini, tentunya akan memberikan impak positif kepada sektor ekonomi negara, terutamanya dalam sektor penerbangan awam.

8. Sungguh pun industri penerbangan awam telah mengalami kemerosotan yang amat ketara sejak tersebarnya pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020, sehingga menyebabkan penutupan sempadan antarabangsa yang menjejaskan industri pengangkutan udara, trend peningkatan semula sektor ini dijangka pulih kembali menjelang tahun 2025, dengan peningkatan 95% jumlah penumpang setahun dalam tempoh post-pandemik.

9. Justeru, pengoperasian KL ATCC, KLIA ini adalah tepat pada waktunya, iaitu ketika negara sedang mengambil tindakan untuk memulihkan ekonomi negara. Besar harapan saya agar pembukaan sempadan negara kelak akan merancakkan lagi sektor penerbangan awam, yang secara langsung akan memberikan kesan positif hasil limpahan kepada ekonomi negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Kejayaan pembangunan projek KL ATCC baharu ini adalah merupakan sebahagian daripada pencapaian Keluarga Malaysia yang amat membanggakan sekali. Berdasarkan kepada tenaga mahir tempatan yang telah digunakan dan juga ilmu yang ditimba dalam tempoh pelaksanaan projek KL ATCC baharu ini, tentunya ia menjadi satu aset yang penting untuk negara dalam memastikan kita mampu untuk berdiri sendiri dan seterusnya menyokong kemajuan serta pembangunan pelbagai industri lain.

11. Adalah menjadi harapan saya, agar segala pengalaman yang telah diperolehi akan dapat digunakan sebaik mungkin dan menjadi panduan untuk pembangunan yang akan datang. Situasi tentunya akan dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap kepakaran dan kemahiran negara asing, yang secara langsung akan mengurangkan pengaliran keluar sumber ekonomi demi menjaga kepentingan negara.

12. Selain itu, kejayaan ini juga dilihat telah membolehkan perkhidmatan kawalan trafik udara negara untuk kekal dikawal sepenuhnya oleh anak-anak tempatan dalam persekitaran kerja yang kondusif. Keadaan ini juga telah membuktikan bahawa kepakaran dan kemahiran rakyat tempatan adalah setanding dengan kepakaran dan kemahiran asing, malah mungkin dalam sesetengah aspek adalah jauh lebih baik.

13. Semoga apa yang telah diusahakan ini akan menjadi satu contoh kepada lain dan seterusnya mampu membawa Malaysia untuk terus maju kehadapan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Akhir sekali, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) yang diterajui oleh Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan CAAM, serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek pembangunan KL ATCC Baharu ini.

15. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua Pengawal Kawalan Trafik Udara Negara yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjalankan amanah, bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan ruang udara negara sentiasa terpelihara.

16. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya merasmikan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC), KLIA, Sepang, Selangor.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...