Isnin, 12 September 2022

Program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

PROGRAM ASPIRASI KECEMERLANGAN KELUARGA MALAYSIA

10 SEPTEMBER 2022 I SABTU I 10.00 PAGI
GERMAN MALAYSIA INSTITUTE (GMI) BANGI, SELANGOR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia, pada pagi ini.

2. Terlebih dahulu, izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) atas penganjuran program ini.

3. Sesungguhnya majlis pada hari ini amat bermakna kerana ia merupakan manifestasi MARA terhadap kesungguhan usaha memperkasakan Keluarga Malaysia, khususnya dalam bidang pendidikan selari dengan Falsafah Pendidikan Negara.

4. Saya dimaklumkan, hampir 3,000 pelajar tajaan MARA hadir secara fizikal, tidak termasuk ribuan pelajar kita di luar negara yang sedang mengikutinya secara maya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua!

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Sepanjang penubuhan MARA sejak 56 tahun lalu, ia berjaya memainkan peranan mendidik, melatih serta melahirkan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi bagi keperluan negara.

6. Sehingga hari ini, seramai 1.35 juta pelajar Melayu dan Bumiputera telah mendapat manfaat. Kejayaan besar MARA amat terserlah dalam sektor pendidikan apabila berjaya melahirkan nama-nama besar bukan sahaja dalam perkhidmatan awam bahkan sektor korporat.

7. Jelas sekali sepanjang penubuhannya, MARA telah membuktikan peranan penting terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara, dengan lebih daripada empat juta Bumiputera telah diperkasa melalui keusahawanan, pendidikan dan pelaburan berimpak tinggi.

8. Institusi keramat ini juga telah memainkan peranan penting melaburkan dana dan masa dalam pembangunan modal insan melalui pendidikan dan dapat kita lihat hari ini kejayaan yang telah dikecapi melalui pelaburan tersebut.

9. Buktinya, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan pendidikan tertiari seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German Malaysian Institute (GMI), MARA-Japan Industrial Institute (MJII), GiatMARA dan Kolej Mara, telah melahirkan banyak tenaga kerja, pakar industri dan profesional.

10. Tokoh-tokoh ternama seperti Tan Sri Abdul Wahid Omar, Datuk Kamarudin Meranun dan Datuk Sri Shazalli Ramly adalah antara sebahagian daripada mereka yang berjaya dan kini menjadi tokoh industri. Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha juga adalah produk MARA.

11. MARA turut menghasilkan generasi yang berpengetahuan dan berkemahiran melalui pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang, untuk pendidikan di dalam dan luar negara.

12. Dengan menaja anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk menimba ilmu, bukan sahaja di sekolah-sekolah dan universiti-universiti tempatan, bahkan juga untuk pelajaran di luar negara, pada hari ini seramai 4,149 pelajar tajaan MARA yang sedang mengikuti pengajian di luar negara. Daripada jumlah itu, seramai 1,049 pelajar sedang mengikuti pengajian di 24 buah universiti dalam senarai 50 universiti terbaik dunia.

13. Pada masa yang sama, seramai 58,849 pelajar tajaan MARA sedang mengikuti pengajian dalam negara di universiti awam atau institusi pendidikan swasta terpilih daripada kedudukan atau ranking 4 hingga 6 Star SETARA (Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi) yang diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

14. Elaun Sara Hidup (ESH) yang disediakan MARA digunakan pelajar bagi menampung perbelanjaan harian meliputi kos makan minum, sewaan kediaman, pengangkutan dan keperluan harian semasa pengajian.

15. Kadar elaun sedia ada telah diguna pakai sejak lebih 13 tahun dan terdapat keperluan untuk disemak semula berikutan peningkatan kos sara hidup dalam negara sejak 10 tahun lalu, yang diburuk lagi oleh pandemik dan isu-isu lain yang melanda dunia.

16. Ini memberi kesan kepada kos sara hidup pelajar di dalam dan luar negara sehingga mereka terpaksa merancang perbelanjaan dengan baik bagi memastikan pembelajaran serta tugasan akademik tidak terjejas.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Berdasarkan tinjauan JPA-MARA ‘Special Operation’ pada bulan Februari lalu dengan menumpukan kepada kehidupan di kota utama seperti London, Bristol dan Edinburgh, lebih 60 peratus pelajar tajaan MARA dan JPA yang majoritinya golongan B40 didapati terbeban dengan perbelanjaan harian.

18. Sebagai contoh, purata perbelanjaan sebulan untuk bayaran sewa rumah dan bil utiliti di kota-kota utama berjumlah sekitar £500 (atau RM2,733) hingga £730 (atau RM3,990) iaitu perbelanjaan antara 60 hingga 70 peratus daripada elaun yang diterima setiap pelajar.

19. Untuk makluman, elaun sara hidup pelajar MARA dan JPA seperti di London ialah sebanyak £1,045 (atau RM5,712) jauh lebih rendah berbanding median saranan kerajaan UK iaitu sebanyak £1,312 (atau RM7,172) setakat bulan September 2021.

20. Sehubungan itu, para pelajar terpaksa mengamalkan perbelanjaan berhemah melalui pemotongan bajet dengan cara mengikat perut, mendapatkan tempat tinggal yang jauh sedikit daripada universiti, selain bekerja sambilan di luar waktu kelas bagi menampung keperluan harian.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keluhan para pelajar dalam dan luar negara tajaan MARA dan bagi mengurangkan beban kos sara hidup mereka, sukacita saya mengumumkan:

ESH pelajar sedia ada dan baharu yang mengikuti pengajian dalam negara akan diselaraskan bersesuaian dengan peningkatan kos dan inflasi serta keperluan pelajar.

Pelaksanaan kadar ESH baharu bagi pelajar dalam negara dinaikkan minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan bagi bidang pengajian bermula daripada peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah dan profesional.

Bagi pelajar luar negara pula, ESH dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional.

22. Kenaikan ESH kepada pelajar tajaan MARA ini bakal melibatkan seramai 62,998 orang berkuat kuasa September 2022.

23. Saya yakin kenaikan ESH ini amat wajar dan bertepatan bagi membantu meringankan beban pelajar Keluarga Malaysia berikutan peningkatan perbelanjaan sara hidup yang dihadapi.

24. Kenaikan kadar ini membuktikan Kerajaan dan MARA begitu prihatin serta serius dalam agenda pemerkasaan Bumiputera, terutamanya pelajar yang menjadi tulang belakang dalam pembangunan negara.

25. Kita harapkan seluruh pelajar Keluarga Malaysia dapat merancang dan menguruskan sebaiknya ESH ini supaya aspek pembelajaran mereka berjalan lancar.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih kepada MARA kerana sentiasa memastikan kebajikan pelajar-pelajar tajaannya terbela.

27. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya sudahi ucapan dengan Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...