Jumaat, 2 September 2022

Sempena Majlis Konsultasi Bajet 2023

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

MAJLIS KONSULTASI BAJET 2023

23 OGOS 2022 | SELASA | 12.00 TENGAHARI

DEWAN UTAMA,
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali
Ketua Setiausaha Negara

Yang Berbahagia Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan I

Yang Berhormat Tuan Haji Yamani Hafez bin Musa
Timbalan Menteri Kewangan II

Yang Berbahagia Datuk Seri Asri bin Hamidin @ Hamidon
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

YBhg. Tan Sri, Datuk Seri, Dato’, Datin, Tuan, Puan Keluarga Malaysia yang saya kasihi sekalian.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini dan menyempurnakan majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023.

2. Konsultasi Bajet 2023 ini merupakan platform libat urus antara pihak Kerajaan dan sektor swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) bagi sama-sama merangka bajet negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

3. Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada Menteri Kewangan, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan atas usaha menganjurkan sesi konsultasi ini.

4. Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir, yang saya dimaklumkan telah turut mengemukakan memorandum.

5. Saya difahamkan sebanyak lebih daripada 3,000 isu dan 2,000 cadangan telah diterima daripada 242 agensi termasuk cadangan mengenai percukaian.

6. Isu dan cabaran yang dibangkitkan serta kaedah penyelesaian yang dicadangkan untuk menanganinya akan diperhalusi dan diteliti sewajarnya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Ekonomi negara menunjukkan pemulihan kukuh pada separuh pertama 2022 yang berkembang sebanyak 6.9 peratus ekoran langkah Kerajaan melaksanakan Fasa Peralihan ke Endemik, pembukaan sepenuhnya ekonomi dan sempadan serta didokong dasar fiskal mengembang melalui Bajet 2022.

8. Saya yakin momentum pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 akan berterusan sehingga penghujung tahun 2022 dan dengan itu, unjuran pertumbuhan tahun 2022 di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus dapat dicapai.

9. Berdasarkan indikator ekonomi terkini, insya-ALLAH, dijangka pertumbuhan tahun 2022 dapat mencecah ke tahap tertinggi dalam julat unjuran tersebut.

10. Momentum pemulihan ekonomi bukan sekadar pertumbuhan KDNK tetapi pemulihan pasaran tenaga kerja juga jelas dicapai berdasarkan kepada penurunan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus yang tertinggi pada Mei 2020 kepada 3.8 peratus pada bulan Jun 2022, antaranya hasil daripada inisiatif JaminKerja dengan peruntukan melebihi RM4 bilion dalam Bajet 2022.

11. Keyakinan kepada ekonomi negara juga jelas dalam kalangan pelabur antarabangsa. Untuk separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih lebih tinggi bernilai RM41.7 bilion berbanding sebelum pandemik iaitu RM23.3 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Meskipun pertumbuhan ekonomi negara untuk tahun 2022 berada pada trajektori pemulihan yang memberangsangkan, namun harus diingat, kita masih lagi berdepan dengan prospek ekonomi global yang semakin mencabar untuk tahun 2023 berikutan konflik Rusia- Ukraine yang berterusan, gangguan rantaian bekalan makanan global serta tindakan bank-bank pusat dunia yang memperketatkan dasar monetari.

13. Senario ekonomi global semakin mencabar dan tinjauan ekonomi bagi tahun 2023 kurang memberangsangkan. Pihak IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi global untuk tahun 2023 dari 3.8 peratus semasa tinjauannya pada Januari 2022 kepada 2.9 peratus pada Julai 2022.

14. Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, kita tidak terkecuali daripada perkembangan global. Gangguan rantaian bekalan dunia telah meningkatkan harga komoditi dan makanan dengan mendadak.

15. Pada bulan Jun 2022, kadar inflasi di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom melebihi 9 peratus sementara negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Filipina melebihi 6 peratus.

16. Demi kesejahteraan rakyat, Kerajaan telah melaksanakan langkah mengawal harga barangan serta menambahbaik bantuan dan subsidi barangan asas. Hasil daripada tindakan Kerajaan, kadar inflasi untuk separuh tahun pertama 2022 kekal pada tahap terkawal 2.5 peratus.

17. Tindakan Kerajaan tersebut telah meningkatkan perbelanjaan bantuan dan subsidi kepada RM77.7 bilion berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion. Tanpa bantuan dan subsidi Kerajaan, dianggarkan kadar inflasi negara akan mencecah sebanyak 11.4 peratus.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2023, Kerajaan akan memastikan Bajet 2023 disedia berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat.

19. Antara tumpuan utama adalah untuk memastikan pemulihan pasca COVID-19 turut mewujud peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

20. Di samping itu, dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambahbaik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti.

21. Kerajaan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mampan.

22. Ia bertujuan agar semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan hadapan tanpa mengira komuniti atau tempat tinggal.

23. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada barisan pembentang iaitu YBrs. Dr Apurva Sanghi, YBhg. Dato’ Dr. Ir. Andy Seo Kian Haw, YBhg. Dato’ Hazimah binti Zainuddin, YBhg. Prof Datuk Dr Denison Jayasooria dan YBhg. Dato’ Shahira Ahmed Bazari kerana berkongsi pendapat dan pandangan mengenai topik yang sangat relevan dalam perkembangan ekonomi Malaysia pada masa kini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Saya difahamkan beberapa isu dan cadangan telah diutarakan seperti pemberian subsidi dan perlindungan sosial; kelangsungan perniagaan dan kemampanan industri termasuk mengurang kos menjalankan perniagaan; dan meningkatkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir, produktiviti, teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan.

25. Terdapat juga cadangan untuk memperkukuh kerjasama pelbagai pihak untuk mempercepat pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 di peringkat nasional.

26. Jalinan kerjasama ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan sosioekonomi Keluarga Malaysia. Cadangan-cadangan tersebut selari dengan bidang fokus bajet dan akan diperincikan untuk dirangka langkah Bajet 2023 yang sesuai.

27. Tidak ketinggalan juga saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir di majlis Konsultasi Bajet 2023 ini dengan penyertaan yang aktif serta sumbangan idea yang bernas, kreatif dan menarik.

28. Majlis ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam proses penyediaan bajet untuk rakyat demi kesejahteraan Keluarga Malaysia

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

29. Perbincangan hari ini adalah merupakan titik permulaan kepada sesi libat urus yang lebih komprehensif untuk memperhalusi input Bajet 2023.

30. Kementerian Kewangan akan mengadakan siri mesyuarat kumpulan fokus untuk membincangkan bidang-bidang terpilih. Sebahagian hadirin pada hari ini akan dijemput sekali lagi untuk sesi yang lebih intensif dan berfokus.

31. Sebagai pelengkap kepada Majlis Konsultasi Bajet pada hari ini, seluruh Keluarga Malaysia dijemput untuk mengemukakan cadangan di dalam Portal Cadangan Bajet 2023 dengan melayari laman web Kementerian Kewangan seperti di pautan yang dipaparkan di skrin.

32. Terima kasih sekali lagi Keluarga Malaysia yang dikasihi. Marilah sama-sama kita jayakan Bajet 2023, dengan tema “Memperkukuh Pemulihan, Memudahcara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia.”

33. Dengan kata-kata itu, saya sudahi ucapan saya dengan Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

 

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...