Isnin, 12 September 2022

Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9(HOMC9)

 

UCAPTAMA OLEH
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

PERSIDANGAN KETUA-KETUA PERWAKILAN DIPLOMATIK MALAYSIA KE-9 (HOMC9) SECARA MAYA

6 SEPTEMBER 2022 | SELASA | 8.30 MALAM
AUDITORIUM TUNKU ABDUL RAHMAN, WISMA PUTRA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada Persidangan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9 (HOMC9) yang amat bermakna ini walaupun diadakan secara maya.

2. Buat julung kali, saya dapat bersemuka dan berinteraksi dengan kesemua Ketua Perwakilan Diplomatik kita di luar negara, dengan kehadiran Ahli-Ahli Jemaah Menteri, Ketua- Ketua Perkhidmatan serta para pegawai kanan di Kementerian Luar Negeri.

3. Persidangan ini bertepatan pada masanya. Interaksi seumpama ini perlu dibudayakan.

4. Para Ketua Perwakilan Diplomatik mesti sentiasa prihatin dan memahami dengan jelas aspirasi, dasar-dasar dan hala tuju Kerajaan.

5. Begitu juga dengan kepentingan nasional, imej dan jenama, serta kedudukan Malaysia – negara yang kita cintai ini – di persada antarabangsa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Kerajaan prihatin dengan peranan penting yang dimainkan Kementerian Luar Negeri dan Perwakilan Diplomatik kita di luar negara dalam membantu Kerajaan mengurus pandemik dan menangani impak-impak negatifnya.

7. Semasa dunia berdepan pandemik COVID-19 dan kebanyakan negara satu demi satu menutup sempadan antarabangsa masing-masing, Kementerian Luar Negeri dengan jaringan Perwakilan Diplomatik kita telah memainkan peranan penting.

8. Antaranya ialah:

Pertama: Memastikan hubungan dan kerjasama Malaysia dengan negara-negara sahabat diteruskan walaupun dalam keadaan terhad dan mencabar;

Kedua: Memastikan rantaian bekalan atau supply chain tidak terputus dan aktiviti perdagangan, termasuk eksport Malaysia dapat diteruskan;

Ketiga: Memudahcara perolehan dan juga sumbangan bekalan peralatan perubatan seperti ventilator, alat perlindungan peribadi (PPE) dan bekalan ubat-ubatan yang diperlukan di Malaysia;

Keempat: Memudahcara perolehan dan juga sumbangan bekalan vaksin COVID-19 bagi pelaksanaan Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan; dan

Kelima: Melaksanakan serta memudahcara proses repatriasi rakyat Malaysia yang terkandas susulan penutupan sempadan Malaysia dan beberapa negara lain. Hampir 30 ribu rakyat Malaysia telah direpatriasi dari 99 buah negara.

9. Para petugas Wisma Putra yang berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan Keluarga Malaysia, baik di dalam mahu pun di luar negara, sememangnya wajar dijulang sebagai petugas barisan hadapan. Terima kasih dan tahniah saya ucapkan!

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Seiring dengan Fasa Peralihan ke Endemik, saya bersyukur kerana kita dapat meraikan Hari Kebangsaan 31 Ogos yang bertemakan Keluarga Malaysia – Teguh Bersama di Dataran Merdeka dalam suasana yang luar biasa meriahnya.

11. Tema ‘Keluarga Malaysia – Teguh Bersama’ dipilih bersesuaian dengan iltizam dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar berteraskan prinsip Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

12. Idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan Kerajaan ini bukan retorik atau sekadar slogan semata-mata tetapi ia merupakan satu semangat yang diterapkan dalam pentadbiran negara demi kepentingan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

13. Insya-Allah Hari Malaysia pada 16 September ini di Padang Pahlawan, Melaka akan turut disambut dan diraikan dalam suasana yang serupa, malah lebih hebat lagi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Sebagai sebuah negara berdaulat, merdeka dan berprinsip, Malaysia perlu terus memupuk hubungan dan kerjasama erat dengan negara-negara sahabat, baik dalam konteks dua hala mahupun dalam rangka kerjasama serantau dan antarabangsa.

15. Saya telah berinteraksi dan menerima lawatan para pemimpin negara luar di samping berkesempatan mengadakan lawatan rasmi ke beberapa buah negara ASEAN dan di luar rantau ini.

16. Jelas sekali, terdapat minat mendalam dan kesediaan negara-negara berkenaan untuk mempertingkatkan hubungan dan meluaskan lagi skop kerjasama dengan Malaysia.

17. Dalam konteks ini, Kementerian Luar Negeri serta Perwakilan-perwakilan Diplomatik Malaysia perlu sentiasa bersedia memainkan peranan lebih aktif supaya hubungan Malaysia dengan negara luar yang sesuai dinaik taraf sama ada ke peringkat ‘perkongsian strategik ’atau ‘perkongsian strategik komprehensif’.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Pembukaan semula pintu sempadan negara pada 1 April 2022 adalah langkah strategik yang diambil Kerajaan untuk menggiatkan semula aktiviti ekonomi, termasuk sektor pelancongan antarabangsa.

19. Sehingga kini Malaysia telahpun menerima lebih daripada dua juta pelancong luar dengan menjana pendapatan sebanyak RM8.6 billion.

20. Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2022 turut melonjak kepada 8.9 peratus, angka yang tertinggi di Asia Tenggara; penurunan kadar pengangguran dalam negara ke paras 3.8 peratus menghampiri paras era pra- pandemik; dan terciptanya hampir 400,000 peluang pekerjaan baharu, telah membuktikan bahawa ekonomi negara tetap berdaya saing dan sama sekali tidak berada dalam keadaan tenat seperti yang didakwa sesetengah pihak.

21. Baru-baru ini, Kearney, iaitu sebuah syarikat perunding global, mengiktiraf Malaysia sebagai negara ketiga paling kompetitif di dunia dalam Global Business Services (GBS) lndeks selepas India dan China.

22. Kerajaan juga telah membelanjakan lebih RM77 bilion bagi menampung keperluan subsidi bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia, berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion.

23. Hasil usaha berterusan Kerajaan menangani kenaikan harga barang telah meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kadar inflasi terendah di Asia Tenggara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Kerjasama bersepadu rentas agensi merupakan kunci utama untuk memastikan pelaburan asing ke dalam negara akan terus mengalir sekaligus membantu proses pemulihan ekonomi negara.

25. Dalam konteks ini di peringkat Perwakilan Diplomatik Malaysia, garis panduan yang menyeluruh di bawah gerak kerja Sistem Pentadbiran Kerajaan Malaysia di luar negara, atau SPKM, perlu dipatuhi. Kita mesti sentiasa bergerak secara bersepadu dan meninggalkan amalan lapuk bekerja secara silo.

26. Saya ingin menyeru Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik sekalian untuk menerapkan pendekatan yang lebih kreatif dalam usaha menarik kembali kemasukan lebih ramai pelabur asing ke Malaysia.

27. Kita juga harus cakna dalam meneroka serta menarik pelaburan daripada negara-negara yang baharu, terutamanya apabila dunia sedang rancak mencari destinasi pelaburan yang stabil di era pasca-pandemik ini.

28. Pada masa yang sama, saudara dan saudari perlu turut memberi fokus kepada pembukaan peluang pasaran kepada produk-produk eksport Malaysia.

29. Beberapa bidang tertentu seperti perdagangan, pendidikan dan pertanian perlu diberi penilaian yang menyeluruh ke arah memastikan Malaysia sentiasa di landasan tepat, dan tidak ketinggalan dalam dinamik perkembangan global dan cabaran semasa khususnya

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

30. Perkembangan semasa telah sedikit sebanyak mendesak kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk menjajarkan semula hala tuju, fokus, serta pendekatan pelaksanaan dasar awam mereka dengan cabaran-cabaran baharu yang wujud ketika ini.

31. Sekalung tahniah dan syabas saya panjangkan kepada Wisma Putra di atas kejayaan penggubalan Kerangka Dasar Luar Negeri bagi pentadbiran Keluarga Malaysia.

32. Kerangka yang bertajuk ‘Focus in Continuity: A Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-Pandemic World ’ telahpun saya lancarkan secara rasmi pada 7 Disember 2021.

33. Kerangka dasar luar negeri ini merupakan panduan dalam menghadapi cabaran semasa. Ia turut mencerminkan aspirasi kebangsaan di dalam dunia pasca-pandemik, dan bertunjangkan kesinambungan ke atas prinsip-prinsip asas hubungan antarabangsa yang telah berakar umbi dan menjadi amalan Malaysia selama ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

34. Saya juga telah mengambil kesempatan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-76 pada tahun lepas untuk melontarkan cadangan bagaimana rukun asas Keluarga Malaysia boleh diterapkan di peringkat global melalui konsep “Keluarga Dunia”.

35. Pendekatan ‘an international family of nations ’perlu sentiasa diamal dan dihayati oleh masyarakat dunia sebagai salah satu kaedah untuk menangani isu-isu sejagat seperti ketidaksamaan (inequality), ketidakstabilan politik (political instability) serta tadbir urus global (global governance).

36. Ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global ketika ini turut menagih agar konsep Keluarga Dunia ini disebar luaskan lagi di peringkat antarabangsa, kerana sekiranya semua pihak berpegang kepada nilai kekeluargaan dunia dan memikirkan kepentingan bersama, insya-Allah kesefahaman dan keakraban dapat dijalin, dipupuk dan dicapai.

37. Walaupun sebuah negara kecil, saya yakin dengan pengalaman dan kepakaran yang ada pada para diplomat kita, Malaysia mampu untuk memainkan peranan yang unik dan tersendiri untuk mengingatkan dunia supaya bekerja sebagai sebuah keluarga dalam mendepani cabaran global semasa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

38. Seperti banyak negara maju yang mendaulatkan bahasa ibunda, saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia agar memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan Bahasa Melayu dan membuktikan bahasa ibunda kita tidak mengekang kemajuan negara.

39. Usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia merupakan dasar Kerajaan dan salah satu fokus di dalam Kerangka Dasar Luar Negeri, iaitu Diplomasi Bahasa dan Kebudayaan.

40. Saya telah mengarahkan supaya semua urusan surat- menyurat menggunakan Bahasa Melayu, termasuk yang melibatkan urusan luar negara.

41. Saya sendiri telah mengutus surat kepada pemimpin- pemimpin dunia yang ditulis dalam Bahasa Melayu dengan disertakan terjemahan Bahasa Inggeris. Begitu juga penggunaan Bahasa Melayu sewaktu penyertaan saya dalam pelbagai mesyuarat antarabangsa yang lain.

42. Kerajaan turut menggalakkan diplomat kita untuk menguasai bahasa asing selaras dengan keperluan menjalankan urusan rundingan diplomatik dan perdagangan dengan negara lain.

43. Justeru, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan elaun bulanan bagi penjawat awam berkhidmat di luar negara yang menguasai dan menggunakan bahasa asing dalam menjalankan tugas rasmi mereka, berkuatkuasa 1 Januari 2023.

44. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Persidangan Ketua- Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia Ke-9.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...