Isnin, 12 September 2022

Perasmian Projek Laman Warisan Kampung Laut

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

PERASMIAN PROJEK LAMAN WARISAN KAMPUNG LAUT

9 SEPTEMBER 2022 | JUMAAT | 2.45 PETANG
LAMAN WARISAN KAMPUNG LAUT,
TUMPAT


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul di pekarangan masjid yang bersejarah ini bukan sahaja kepada penduduk Kampung Laut tetapi juga kepada seluruh Keluarga Malaysia Kelantan.

2. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Majlis Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kerana berjaya memindahkan Masjid Lama Kampung Laut yang merupakan antara masjid kayu tertua di Asia Tenggara, ke lokasi asal di sini.

3. Sejarah Masjid Kampung Laut banyak berkait rapat dengan penyebaran dakwah di rantau ini pada abad ke-18 selain menjadi simbol kegemilangan syiar Islam di negeri Serambi Mekah ini.

4. Akibat kerap dilanda banjir termasuk banjir besar pada 1926 dan 1966, masjid ini dipindahkan ke Nilam Puri, kira- kira 20 kilometer dari tapak asal.

5. Saya amat gembira kerana setelah lebih 50 tahun, akhirnya hasrat rakyat Kelantan untuk membawa pulang Masjid Lama Kampung Laut ini menjadi kenyataan ibarat ‘sirih pulang ke gagang’.

6. Keunikan Masjid Kampung Laut ini terletak pada keseluruhan binaan dibuat daripada kayu cengal dan tanpa menggunakan sebarang paku, selain kehalusan ukirannya yang menjadi tarikan utama pelancong.

7. Usaha untuk mendapatkan pengiktirafan Masjid Lama Kampung Laut sebagai Monumen Warisan Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO, pastinya akan dapat memelihara dan melonjakkan taraf profil warisan sejarah dan budaya negeri Kelantan, adalah amat dialu- alukan.

8. Kerajaan Persekutuan menyokong penuh langkah bagi mewartakan Masjid Kampung Laut ini sebagai Monumen Kebangsaan di bawah Jabatan Warisan Negara dan sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO, kerana ia sangat signifikan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM40 juta untuk Projek Pembangunan Semula Kampung Laut yang terdiri daripada Laman Warisan Serunding, Laman Warisan Seni dan pemindahan Masjid Lama Kampung Laut.

10. Saya teruja kerana Laman Warisan Kampung Laut kini telah menjadi satu destinasi wajib singgah oleh pengunjung-pengunjung di Kelantan, khususnya di Kota Bharu.

11. Serunding Kampung Laut adalah terkenal di Malaysia dan ia merupakan juadah yang mesti dibeli oleh para pelancong apabila ke Kelantan.

12. Dengan adanya Laman Warisan Serunding, para pengusaha kini beroperasi di sebuah kompleks yang lebih kondusif dan menarik yang akan meningkatkan lagi tarikan dan jualan hasil-hasil pengusaha kepada pengunjung.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Negeri Kelantan kaya dengan kesenian dan kraftangan yang diwarisi sejak turun temurun. Laman Warisan Seni yang dibangunkan akan memelihara warisan seni budaya rakyat Kelantan.

14. Laman ini juga memberi peluang kepada karyawan- karyawan seni tempatan untuk memasarkan hasil tangan seperti batik, wau dan barangan kraftangan kepada para pengunjung di samping terus mengekalkan budaya seni dan kraftangan Melayu di kalangan generasi muda.

15. Jambatan Palekbang merupakan satu lagi projek strategik ECERDC yang mampu menyelesaikan masalah kesesakan aliran trafik di Kota Bharu.

16. Selain pembangunan Kampung Laut, satu lagi projek Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC ialah projek Jambatan Palekbang yang akan bermula hujung tahun ini.

17. Jambatan ini akan menjadi pemangkin utama dalam menjadikan negeri Kelantan sebagai destinasi pelaburan dan pelancongan pilihan di Pantai Timur, seterusnya dijangka dapat menambah baik taraf sosioekonomi rakyat tempatan.

18. Inilah komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan pembangunan seimbang dinikmati oleh rakyat Kelantan selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

19. Saya difahamkan pengambilan tanah untuk pembangunan projek telah hampir selesai dan pelantikan kontraktor untuk pembinaan jambatan tersebut akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.

20. Jambatan sepanjang 4 kilometer ini juga akan meningkatkan daya tarikan Kampung Laut sebagai destinasi wajib singgah dan akan menyelesaikan masalah aliran trafik di Jajahan Kota Bharu yang sangat meruncing terutamanya semasa musim perayaan dan cuti sekolah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. ECERDC telah berjaya menarik sebanyak RM13 bilion pelaburan komited sehingga 31 Ogos 2022 yang bakal menjana 7,080 peluang pekerjaan dan hampir 300 peluang perniagaan, yang kini menghampiri sasaran pelaburan komited sebanyak RM14 bilion.

22. Saya percaya, dengan adanya Pakej Insentif Khas Kelantan dan pembukaan sempadan negara, ECERDC akan dapat menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke ECER.

23. Saya menghargai usaha penuh ECERDC dalam menerajui inisiatif-inisiatif pemulihan ekonomi negara di ECER, melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan modal insan, projek-projek strategik dan penarikan pelaburan baharu.

24. Usaha ini telah berjaya merancakkan lagi kegiatan ekonomi di ECER, dan seterusnya menambah baik kesejahteraan Keluarga Malaysia.

25. Program-program pembangunan modal insan yang dilaksanakan di ECER yang mensasarkan golongan B40, penganggur dan masyarakat Orang Asli telah mencatatkan kejayaan yang membanggakan.

26. Ini menunjukkan keberkesanan program modal insan ECER yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Petronas dan MyKasih Foundation. Ini adalah selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang inklusif.

27. Saya menyokong pelaksanaan program-program modal insan yang telah memberi peluang pendidikan yang lebih baik, peluang keusahawanan dan peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran mereka.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Mengambil kira perkembangan semasa dan Pelan Induk ECER 2.0 yang akan berakhir pada tahun 2025, ECERDC perlu menjalankan Kajian Pelan Induk ECER 3.0 untuk merangka pelan pelaksanaan sosioekonomi sehingga 2030. Saya difahamkan bahawa perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut nanti.

29. Akhir kata, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam merealisasikan Projek Pembangunan Semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan, terutama sekali kepada Kerajaan Negeri Kelantan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob.

30. Penghargaan juga kepada ECERDC kerana telah menerajui usaha memacu dan mencipta masa depan rakyat Kelantan dan Wilayah ECER sebagai Wilayah yang Makmur, Inklusif dan Mampan.

31. Dengan kata kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Laman Warisan Kampung Laut.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...