Rabu, 30 Disember 2020

SYAIR RAKIS - Karya Pengiran Shahbandar Mohd Salleh

 SYAIR RAKIS - Karya Pengiran Shahbandar Mohd Salleh

SYAIR RAKIS

Bismillah itu mula karangan
Kisah rencana dagangan buangan
Digunung larangan asmara guna
Segenap desa pantai saujana
Membawa nasib untung sendiri

Masuk segenap desa dan negeri
Seperti burung lepas tangkapan
Bunga dan buah tiada larangan
Sebut namaku dagangan asmara
Bercerai dengan sanak saudara

Namaku Misa Panji Larangan
Sekarang sudah buanga-buangan

Kompeni itu sangat kuasa
Laksana dewa dari angkasa
Suku dan rial sangat perkasa
Dihurainya ringgit dan laksa.

Pulau Labuan diminta segera
Akan jalan tiang bendera
Disana tempat berkita-kira
Dari Sarawak ke Singapura

Dagang tercengang mendengarkan titah
Hati didalam sangat gelabah
Labuan itu bukannya mudah
Alamat negeri dibawah perintah

Tuanku baik fikir sedikit
Supaya tahu nyaman dan sakit
Dengan Inggeris sudah berkait
Marikan lagi datang memipit.

Negeri tuanku sangat mashyur
Cina dan Keling kedai teratur
Bermacam jenis ada terhambur
Disanalah kelak memberi gugur

Mesyurarat dengan ceteria menteri
Seta iman, khatib dan haji
Supaya masyhur khabar zamani

Itu pun tiada dagang rundingkan
Janku dahulu kepada bilangan
Fikir baharu baik carikan
Akan menjadi kira dan angan.

Rakis kedelapan karangan cukup
Laksana berjalan tiada terikut
Pandai melangkah duri dan ramput
Sedikit tiada menyangkut

Rakis pertama mula disurat
Dengkil dalil negeri dagang melihat
Sebarang negeri dagang melihat
Berbuat sekolah tempat mesyuarat

Ayuhai nasib apakan jadi
Hendak mengajar tiada berani
Tetaou zaman datuk nenek
Khabarnya konon memutar negeri
Nasib sangat badan terlalu
Laksana unggas tercabut bulu
Hendak berkata lidah pun kelu
Lain kupandang masa dahulu

Hairanku handai melihat tukang
Unggas Nuri menjadi enggang

Hairanku sangat terbalik-balik
Negeri yang besar seperti bilik
Udang galah jadi cecudik
Harimau yang garang dapat dimilik

Sudah kehendak Tuhan yang kaya
Gunung yang tinggi menjadi paya
Pari menjadi kura-kura
Bingkarung sudah jadi buaya

Hairanlah dagang ajaib pula
Kehendak Tuhan Azzawajalla
Seekor naga tujuhnya cula
Sekarang menjadi ikan tempala

Nasib tak boleh dikenang lagi
Janji dahulu sudah terbahagi
Unggas tempadu dengan meragi
Jadi geruda di Pauh Janggi

Astaghfirullah hairanku sangat
Air dilaut tiada hangat
Seluang dihulu pandai menyangat
Sumbilang di laut terlompat-lompat

Inilah kehendak Tuhan yang Maabud
Besi melaila menjadi umbut
Unggas dihutan menjadi bubut
Tiadalah boleh mengatakan maksud

Ajaib sekali aku memandang
Jujum yang sakit tiada terbilang
Burung nuri mejadi bebalang
Nyamuk kecil menjadi helang

Itulah kehendak Tuhan semesta
Gunung yang tinggi menjadi rata
Lain menjadi miskin peminta
Nampak dipandang dengan nya kita


PENGENALAN

Kemasyhuran Syair Rakis sememangnya tidak asing lagi kepada masyarakat Brunei sejak ia mula tersebar dan ianya merupakan hasil karya Pengiran Shahbandar Mohd Salleh. Naskah asal syair ini tidak hanya dibaca oleh Sultan Abdul Momin bahkan disalin oleh pembesar-pembesar negara dan orang ramai sebagai bacaan yang istimewa di masa itu. Tarikh Syair Rakis dikarang pada sekitar TM18. Terhasilnya Syair Rakis in adalah kerana adanya rasa kesedaran Pengiran Shahbandar Mohd Salleh atas perubahan terhadap negeri Brunei yang telah menunjukkan kemunduran yang akan berlaku ke atas Negeri Brunei (Hj. Jamil Al-Sufri )

Abad ke 19 merupakan zaman yang amat menyedihkan kerana hampir pupus semua wilayah Brunei ke tangan Inggeris. Pada saat inilah juga cendekiawan Brunei Pengiran Shahbandar Pengiran Mohd Salleh mencipta sebuah syair yang menimbulkan berbagai-bagai penafsiran sehingga nyawanya sendiri terkorban. Pengiran Mohd. Salleh mengarang syair ini semasa perjalanan pulang ke Brunei dari Mukah yakni tempat beliau membawa diri. Sesampainya ke Brunei dipersembahkanya Syair Rakis kepada Sultan sebagai buah tangan.
Syair Rakis telah menimbulkan perbagai tafsiran oleh pengakaji sastera dan sejarah. Walaupun karya ini berbentuk lama yakni Syair tetapi isinya mempunyai wawasan dan pandangan terus terang yang sekali gus mencerminkan satu transisi kemodenan. Wawasan atau pandangan atau nasihat yang terdapat dalam syair terhadap bangsanya sendiri termasuklah politik, eknomi, pendidikan dan sosialbudaya di Brunei ketika itu.

Badaruddin Haji Othman menganggap Syair Rakis kaya Pengiran ini sebagai dokumentasi sejarah yang paling penting yang mencatatkan satu gambaran yang lampau yang telah menjadi titik tolak dalam percaturan sosial politik negara Brunei (Pulau Broneo dalam hubungan dengan kekuasaan Inggeris (1967).

Tetapi, yang paling menarik mengenai syair ini ialah penempatannya sebagai titik tolak pemisah antara satera lama dengan moden sehingga ada yang mengusulkan Pengiran Mohd Salleh diangat sebagai BAPA KESUSASTERAN MELAYU MODEN dengan alasan-alasan tertentu mereka.

Dalam bidang kesusteraan, pengiran Shahbandar Pengiran Mohd. Salleh merupakan pembaru dengan karya tunggalnya syair Rakis. Gaya penulisan dan idea-idea yang terkandung dalam syair ini merupakan aspek pembaruan yang dilahirkannya. Karya tunggal beliau ini tidak lagi menceritakan kisah-kisah khayal atau kisah puter puteri raja yang tiada cacatnya, sebaliknya apa yang disembahkanya adalah kisah yang lebih realistik dan kemanusiaan. Kisah itu lebih menyentuh soal-soal sosialpolitik dan sosial ekonomi demi kebaikan negaranya.(Haji Hashim, 1993).

Apa pun pendapat tentang Syair Rakis karya pengiran Shahbandar Pengiran Mohd Salleh baik dari sudut sejarah mahupun sasteranya namum jelas bahawa fungsi satera selain menghibur ia juga dapat menjadi cerminan sesautu bangsa pada zaman yang lampau. Ini bertepatan dengan menjadi cermin bangsa tersebut. Dalam sastera terolah berbagai-bagai ragam manusia dengan catatan hidupnya terutama mengenai peristiwa suka duka masyarakat Melayu. (Muhammad Abd. Latif, 1980).

 

KANDUNGAN SYAIR RAKIS

Penulisan Syair Rakis yang dikarang oleh Pengiran Shahbandar Mohd Salleh ini mengandungi 12 Syair didalamnya. Diawal Syair Rakis yang beliau karang itu mengandungi segala hasrat dan cita-cita terhadap bangsa dan negaranya, terdapat beberapa nasihat, teguran malahan pandangan yang merupakan peringatan kepada Sultan Brunei, Pembesar dan juga rakyat Brunei keseluruhannya pada ketika itu. Apa yang dikemukan oleh beliau didalm Syair Rakisnya sememangnya berkaitan dengan pentadbiran dari sudut politik, ekonomi, pendidikan dan agama negara Brunei ketika itu.

Di sebalik syair yang dikarang beliau banyak mengandungi maklumat yang berhubung dengan keadaan politik dan juga corak pemerintahan dinegeri-negeri lain. Dari Syair tersebut beliau ingin meningatkan kepada sultan agar sentiasa membawa pembesar dan rakyat berunding dan bermuafakat sebelum membuat keputusan, mengingatkan kepentingan keluasan wilayah Brunei, mengawasi kegiatan orang asing dan kehadiran orang-orang Inggeris. Selain itu beliau terus menyedarkan anak bangsanya mengenai keburukan dan niat tidak baik di kalangan orang-orang Barat terhad Brunei dengan menyedarkan kepada pempin dan rakyat Brunei agar berhati-hati terhadap pihak Inggeris. Beliau juga mengingatkan kepada Sulatan Omar Ali Saifuddin II supaya memikirkan semua mengenai janji yang dibuat dengan pihak Inggeris dahulu, jika baginda terus berpegang pada janji itu tentulah Brunei akan mendapat kerugian kelak. Beliau tidak ragu mengenai kesenangan dan kesusahan yang akan diterima setelah bersahabat dengan Inggeris ini kerana orang Inggeris pandai menggunakan tipu muslihat secara perlahan dan licin. Pengiran Shahbandar juga ingin mengingatkan kepada pemerintah Brunei agar menjalankan pentadbiran dan pemerintahan dengan tidak terlalu mementingkan wang ringgit sahaja sehigga tanggungjawab terhadap bangsa dan negara sendiri terabai. (Awang Aji bin Hj Hamda, 1990).

Di dalam syair yang dikarang oleh Pengiran Shahbandar Md. Salleh itu terdapat juga maklumat yang berhubung dengan keadaan ekonomi Brunei. Belaiu menyeru Sultan Omar Ali Saifuddin II dan rakyat Brunei supaya berfikir mengenai sikap orang Inggeris yang meminta Pulau Labuan, besar kemungkinan juga akan berputar belit untuk mendapatkan wilayah yang lain. Apa yang menyusahkan hati beliau adalah tentang penyeraha Pulau Labuan itu akan banyak merugikan Negeri Brunei kerana Pulau labuan mempunyai kedudukan yang strategik bukan sahaja dalam bidang politik malahan yang penting sekali dalam bidang ekonomi Brunei. Dengan penyerahan Pulau labuan itu kestabilan dan kedudukan Brunei akan tergugat tiak hanya wilayahnya hilang malahan juga membolehkan pihak British menguatkan angkatan tenteranya. Brunei juga akan kehilangan sebuah pulau yang berharga terutamanya dalam perdagangan kerana tempat itu merupakan persinggahan pedanga-pedagang luar yang memunggah dan mengambil barang dagangan. Belaiu mencadangkan kepada pihak Kesulatanan Brunei supaya mengambil langkah yang wajar dalam menangani masalah penyerahan Pulau labuan dengan mencadangkan supaya Sultan Omar Ali Saifuddin II berunding dan bermuafakat untuk mendapatkan keputusan yang bersepadu.

Pengiran Shahbandar Md. Salleh mengingatkan bahawa persahabatan Brunei dengan pihak Britih tidak boleh menjamin keselamtan wilayah Brunei sepenuhnya, ini disebabkan mereka berminat bersahabat dengan Brunei untuk kepentingan perniagaan dan perluasaan tanah jajahan mereka. Beliau tetap mengingatkan mengenai kegiatan mereka seharusnya sentiasa diawasi dan diperhatikan termasuklah peniaga berbangsa lain khasnya Cina dan Keling dengan menyarankan agar jangan dibiarkan mereka berniaga tanpa kawalan dan sekatan tertentu.

Selain itu, dalan syairnya ada juga soal pendidikan yang beliau kemukan kerana beliau juga telah menyedari akan nasib bangsanya yang serba kekurangandan memberikan cadangan untuk membangunkan sekolah sebagai asas kemajuan negara.

Terdapat juga soal agama yang dikemukakan oleh Pengiran Md. Salleh, dengan mengingatkan agar segala perkara yang dilakukan hendaknya dijalankan mengikut pegangan terhadap ajaran Islam dan akidah Islam. Selain itu belaiu juga mengingatkan kepada pembesar-pembesar negara yang menjalankan syarak itu menjalinkan kerjasama yang erat diantara yang lain agar dapat memelihara keutuhan agama, kekuatan umat, bangsa dan negara.

Dari huraian diatas tadi dapatlah disimpulkan bahawa Pengiran. Shahbandar Md. Salleh mempunyai pandangan yang jauh. Belaiu dapat menyelami niat bangsa-bangsa lain yang datang ke Brunei. Ramalan-ramalan belaiu sendiri berlaku dan menjadi kenyataan selepas beliau mangkat satu demi satu wilayah Brunei terhakis dan terlepas dari genggaman Brunei untuk terus mengekalkan wilayah-wilayah Brunei yang masih ada dan jangan dibiarkan hilang dan dirampas sekali lagi dan sesuka hati oleh Britih. Kesan dari kerakusan James Brooke itu telah menyebabkan Negeri Brunei menjadi sebuah negeri yang dahulunya sebagai sebuah empayar yang besar dan kuat kini menjadi sangat kecil. Perkara ini disebut oleh Pengiran. Shahbandar Mohd Salleh dalam Rakisnya.

Selain itu Pengiran. Shahbandar Md. Salleh juga melihat betapa pentingnya perjalanan ekonomi, pendidikan dan juga kecenderungannya kepada agama.


RIWAYAT HIDUP PENYAIR

Pengiran Shahbandar Mohd Salleh merupakan seorang keluarga diraja Brunei yang hidup diantara akhir KM18 hingga KM19. Ayahandanya bernama Sultan Abdul Mubin Pengiran Sharmayuda ibnu Pengiran Indera mahkota ibnu Pengiran Abdul Rahman ibnu Pengiran Temenggong Dakula ibnu Sultan Abdul Mubi (Sultan ke-XIV). Beliau adalah salah seorang daripada golongan diraja yang terpelajar. Menurut riwayat beliau bersekolah di Betawi dan melanjutkan pelajarannya ke Negeri Belanda. Gelaran Pengiran Shahbandar telah dianugerahkan kepada beliau oleh Sultan Abdul Momin diatas kebijaksanaan beliau. Lebih kurang pada TM 1820 ketika pemerintahan Sultan Muhammad Kanzul, Pengiran Md. Salleh telah dipanggil balik ke Brunei oleh baginda Sultan dan diberi gelaran Pengiran Indera Mahkota kerana kebijaksananya. Pada TM 1827 Pengiran Shahbandar Mohd Salleh diaturkan menjadi Gabenor di Sarawak.

Dan pada tahun 1834 Pengiran Muda Hashim ibnu Sultan Muhammad Kanzul alam telah berangkat ke Sarawak untuk memerhatikan keadaan Sarawak tetapi kehadirannya telah menyebabkan berlaku perselisihan faham dng Pengiran Md. Salleh.

Pada masa Pengiran Muda Hashim berada di Sarawak dalam TM1839, belaiu telah berkenalan dengan James Brooke iaitu seorang Inggeris yang datang ke Sarawak untuk berniaga dan mencari ruang untuk berkuasa di sana. Dengan kepintaran dan tipu muslihatnya memanipulasikan perbalahan diantara Pengiran Shahbandar Md. Salleh dengan Pengiran Muda Hashim sehingga james Brooke berjaya membuat perjanjian dengan Pengiran Muda Hashim untuk berkuasa di Sarawak dalam TM 1841.

Pada TM1842 James Brooke telah mengahadap Sultan Omar Ali Saifuddin II untuk mendapatkan kuasa pemerintahan yang lebih lagi dan perjanjian pun dibuat diantara mereka dengan menjadikan James Brooke menjadi Raja Sarawak. Selepas perlantikan James Brook itu Pengiran Shahbandar Md Salleh pun mengundur diri dari Sarawak dan bermastautin di Mukah. Melalui Pengiran Anak Abdul Momin atas nama Sultan Omar Ali Saifuddin II telah memanggil Pengiran Md. Salleh untuk membetulkan keadaan yang telah kacau bilau. Pengiran Salleh telah bertemu Sultan dan memberi 12 Syair sebagai hadiah dan Syair tersebut telah menyebabkan kegelisahan dikalangan kerabat diraja dan akhirnya pada TM 1858 Pengiran Mohd Salleh telah dibunuh dng satu pembunuhan terancang yang diaturkan oleh Pengiran Digodang Pengiran Anak Muhammad Hasan ibnu Pengiran Anak Tajuddin .

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Syair yang berwawasan & mencuit emosi..😢

izuafdie berkata...

tokoh pemimpin & sejarahwan malaysia timur (borneo)

aira berkata...

Syair puisi tradisi yang penuh makna....

semakin dilupakan oleh generasi muda kerana lambakan budaya K-. Ada yang langsung tidak boleh mendendangkan.....

Mawar tak berduri berkata...

Syair yang penuh makna

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...