Selasa, 1 Jun 2021

Teks Ucapan sempena Pelancaran Program eBelia

 

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI

SEMPENA PELANCARAN PROGRAM eBELIA
1 JUN 2021 (SELASA)

Assalamua’laikum Wa rahmatullahi Wa barakatuh dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sentiasa sihat wal afiat dan terus cekal dan tabah dalam menempuhi segala cabaran dalam kehidupan, khususnya semasa pandemik COVID-19 sedang melanda negara.

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhana Wa Taala kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama secara maya di pelancaran program eBelia ini.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan yang telah sudi menjemput saya bagi merasmikan program ini.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Agenda pendigitalan negara dan Kerajaan

3. “Dekad ini, Dekad Anda” merupakan tema yang dipilih untuk sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini. Sebagai pewaris dan penentu masa depan negara, amatlah penting supaya tema ini dihayati oleh para belia. Ini adalah kerana setiap orang tergolong dalam dekad yang menjadi milik mereka, dan dekad ini adalah milik saudara dan saudari sekalian.

4. Dengan perubahan norma hidup ekoran pandemik COVID-19, kita dapat lihat pelbagai aspek kehidupan harian kita secara sedar dan tidak disedari telah beralih kepada pendigitalan dan juga automasi. Pandemik yang melanda mempercepatkan peralihan itu berlaku di seluruh dunia termasuk di negara kita. Kini hampir segala urusan dilakukan dalam talian, daripada interaksi semuka secara maya, mesyuarat, seminar, pembelajaran di sekolah, kuliah dan tutorial, apatah lagi urusan perbankan termasuk membeli-belah.

5. Sebab itulah salah satu Teras di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia adalah bagi mewujudkan masyarakat digital yang inklusif. Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) turut dirangka bagi memastikan kesalinghubungan di seluruh negara akan memacu pencapaian misi pendigitalan negara, serta visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

6. Seiring dengan matlamat Belanjawan 2021 untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, Kerajaan telah pun mula menerapkan aspek digitalisasi dalam pelbagai urusannya, dengan sasaran pembayaran tanpa tunai (cashless) bagi semua perkhidmatan Kerajaan menjelang tahun 2022. Ini bermakna orang ramai tidak perlu lagi beratur panjang untuk membuat bayaran di kaunter. Alhamdullilah, suka saya sebutkan bahawa pada tahun lepas, sebanyak 60 peratus daripada jumlah kutipan Kerajaan adalah melalui kaedah e-payment .

Para belia yang saya kasihi sekalian,

Belia sebagai penggerak utama agenda pendigitalan negara

7. Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (ITU) meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai warga digital tertinggi di dunia. Warga digital atau ‘digital natives’ ini mengikut definisi PBB ialah golongan muda yang berumur di antara 15 hingga 24 tahun, yang menggunakan internet secara aktif sekurang-kurangnya 5 tahun. Warga digital ini di negara kita, merangkumi 13.4 peratus atau lebih daripada 3.9 juta penduduk Malaysia. Justeru, sebagai generasi warga digital atau “digital natives”, saudara saudari sekelian memainkan peranan yang sangat penting dalam memacu dan menjayakan usaha pendigitalan di negara kita.

8. Saya amat berbangga dan berbesar hati kerana dapat merasmikan Program eBelia yang merupakan inisiatif Belanjawan 2021 pada hari ini. Program ini telah ditambah baik melalui program PEMERKASA, di mana nilai kredit telah ditingkatkan dari RM100 ke RM150 bagi setiap penerima. Ini akan dipadankan oleh penyedia e-dompet melalui pelbagai inisiatif tambahan seperti baucar, pulangan tunai (cashback) dan reward points.

9. Dengan peruntukan sejumlah 300 juta Ringgit, program ini dijangka akan memanfaatkan 2 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 ke 20 tahun, serta pelajar IPT sepenuh masa. Program ini juga dijangka akan mendorong perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk mula menerima kaedah pembayaran tanpa tunai.

10. Saya berharap, melalui program ini, para belia akan mengambil peluang ini untuk menyokong para usahawan tempatan yang kebanyakannya dalam kalangan saudara-saudari sendiri. Please take this opportunity to support our local entrepreneurs, who are mainly youths as well. Sebagai warga digital, saya percaya saudara-saudari boleh mempelopori kaedah cashless payment, sekali gus mendorong para peniaga lain untuk menggunakan kaedah pembayaran seperti ini.

11. Dalam pada itu, para belia di negara ini amat bertuah kerana dapat memanfaatkan aplikasi digital bagi menambah ilmu pengetahuan, berkomunikasi dengan satu sama lain, serta mencari peluang pekerjaan dan perniagaan. Kerajaan sentiasa menggalakkan belia untuk terus meneroka inovasi dan menjadi pencetus idea seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

Para belia yang saya kasihi sekalian,

Agenda pendigitalan bagi memperkasakan rakyat dan perniagaan

12. Kerajaan sentiasa menyokong rakyat dan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengendalikan perniagaan dalam era digitalisasi, yang mana transaksi pembayaran dibuat secara online atau cashless.

13. Laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan transaksi e-wallet pada tahun 2020 telah meningkat sebanyak 131 peratus kepada 600 juta transaksi . Lebih banyak peniaga telah mendaftar untuk menerima pembayaran melalui QR Code, dengan bilangan pendaftaran meningkat lebih dua kali ganda pada akhir tahun lalu.

14. Bagi belia yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan, suka saya berkongsi bahawa Kerajaan telah menyediakan pelbagai peruntukan dana, termasuk yang berfokus kepada mendorong peniaga-peniaga menerapkan elemen digital di dalam operasi perniagaan masing-masing. Contohnya, Dana Automasi & Digital (Automation & Digitalisation Fund) yang dikelolakan oleh Bank Negara Malaysia.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Kerjasama awam dan swasta dalam inisiatif yang memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat

15. Saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak penyedia perkhidmatan e-tunai yang terlibat bagi menjayakan program eBelia. Saya harap usahasama pihak awam dan swasta seperti ini dapat diteruskan dan diperkembangkan. Kerajaan sentiasa komited menyokong usaha sebegini, seperti program Jaringan Prihatin yang telah dilancarkan baru-baru ini.

16. Akhir kata, dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM saya dengan ini melancarkan Program eBelia.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...