Khamis, 21 Oktober 2021

KECENDERUNGAN PERJAWATAN PENOLONG PEGAWAI TANAH, DI PENTADBIRAN TANAH DALAM MEMBUAT KERJA LUAR / SAMBILAN DENGAN TERLIBAT UNTUK PENYEDIAAN PELAN PRA-PENGIRAAN / PRA-PENGHITUNGAN DI BAWAH SEKSYEN 5 KANUN TANAH NEGARA 1965 BAGI PERMOHONAN DI BAWAH SEKSYEN 141(1)(c) KANUN TANAH NEGARA 1965 DENGAN KERJASAMA JURUKUR TANAH BERLESEN

 Perkara Yang Untuk Perhatian:

 

1. Seksyen 5, 137(1)(b), 141(1)(c), 124A, 204D(1)(c) Kanun Tanah Negara (KTN) 1965:

a)   Seksen 5 KTN; "pre-computation plan" means a plan of the layout of lots prepared by Director of Survey and Mapping or licensed land surveyor showing the intended new boundaries and areas of those lots which are based on computation from existing survey data and other relevant data, where the linear misclosure of the computation is not less than one part in four thousand;

 

b)   Seksyen 141(1)(c);141. Conditions for approval of partition.

(1) No partition shall be approved by the State Director or, as the case may be, Land Administrator unless-

(c) the conditions specified in sub-section (1) of section 136 for approval of the sub-division of land are, mutatis mutandis, with the omission of paragraph (ca) and subparagraph (f)(i) of that subsection, satisfied.

 

 

2. Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 1/1994; ‘Pelan Pra-Perngiraan (Pre-Computetion Plan) (Disemak 2007)’, Pekeliling Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan Bilangan 2/2008; ‘Pengukuran Tanah oleh Jurukur Tanah Berlesen’ dan Pekeliling Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan Bilangan 2/2009; ‘Penerimaan Pelan Pra-Pengiraan (Pre-Computetion Plan)’.

 

3. Surat Pekeliling Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Bilangan 3/2008; ‘Pindaan kepada Takrifan Pelan Pra-Hitungan (Pre-Computetion Plan)’, Pekeliling Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Bilangan 3/1993; ‘Pelan Pra-Hitungan (Pre-Computetion Plan)’ dan Pekeliling Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Bilangan 2/2002; ‘Garis Panduan Pemeriksaan Di Lapangan Bagi Kerja-kerja Jurukur Tanah Berlesen’.

 

4. surat edaran JPA.BK(S)223/8/2-3 Jld. 4 (56) bertarikh 07 Jun 2013 dan JPA.BK(S)201/8(29) bertarikh 06 Mac 2014; ’Pemantauan ke atas penjawat awam yang menjalankan perniagaan dalam talian’.

 

Perkara Berkaitan:

 

1.   Pelan pra-pengiraan perlu disediakan oleh juruukur tanah berlesen. Ini adalah untuk menjamin bahawa pelan itu adalah tepat (accurate) seperti yang dikehendaki dalam takrif ‘pre-computation plan’ dalam seksyen 5 Kanun Tanah Negara 1965. Berkemungkinan terdapat individu yang boleh menyediakan pelan pra-pengiraan. Walau bagaimanapun, individu tersebut tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang sebagaimana juruukur tanah berlesen yang tertakluk kepada Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 (Akta 458) dan Peraturan-peraturan di bawahnya. Tambahan pula, menurut seksyen 13 Akta 458 dan juga seksyen 400A Kanun Tanah Negara 1965, hanya juruukur tanah berlesen dan Pegawai Ukur yang dilantik di bawah Kanun Tanah Negara 1965 sahaja boleh menjalankan ukur hakmilik (title survey). Penyediaan pelan pra-pengiraan ini adalah sebahagian daripada ukur hakmilik berdasarkan kepada takrif ‘title survey’ dalam seksyen 2 Akta 458.

 

2.   Oleh itu Penolong Pegawai Tanah tidak boleh terlibat dalam penyediaan pelan pra-pengiraan yang disediakan oleh juruukur tanah berlesen.

 

3.   Justeru itu, hanya Juruukur Tanah Berlesen yang telah diberi lesen oleh Lembaga Juruukur Tanah Semenanjung Malaysia di bawah Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 (Akta 458) sahaja boleh menjalankan kerja-kerja pengukuran tanah khasnya amalan ukur kadaster. Di bawah seksyen 13, Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958, Juruukur Tanah Berlesen dibenarkan mengukur tanah bagi tujuan mendapat hakmilik tetap atau “title survey” seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 398 dan 398A Kanun Tanah Negara 1965 seperti pemberimilikan tanah, pecah sempadan, pecah bahagian, penyatuan tanah, penyerahan dan pemberimilikan tanah semula, stratum dan hakmilik strata di bawah Akta Hakmilik Strata 1985.

 

4.   Jika Juruukur Tanah Berlesen hanya memperakukan, mengecapkan atau menandatangani lukisan atau pelan yang tidak disediakannya atau di bawah seliaannya, sebaliknya dibuat oleh Penolong Pegawai Tanah bagi maksud memperoleh kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa. Jurukur itu tidak mematuhi ‘AKTA JURUUKUR TANAH BERLESEN 1958 - PERATURAN-PERATURAN JURUUKUR TANAH BERLESEN 2011’ di bawah Peraturan 29(h):

 

Tatalaku profesional

29. (1) Tiap-tiap juruukur tanah berlesen hendaklah—

 

(h) tidak memperakukan, mengecapkan atau menandatangani lukisan atau pelan yang tidak disediakannya atau di bawah seliaannya bagi maksud memperoleh kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa;

 

5.   Oleh demikian, secara tidak langsung Jurukur tersebut tidak mematuhi ‘AKTA JURUUKUR TANAH BERLESEN 1958 - PERATURAN-PERATURAN JURUUKUR TANAH BERLESEN 2011’ di bawah Peraturan 29 (a) hingga (e):

 

Tatalaku profesional

29. (1) Tiap-tiap juruukur tanah berlesen hendaklah—

(a) mematuhi peruntukan Kanun Tanah Negara 1965, Akta, mana-

mana kaedah-kaedah dan peraturan-peraturan yang dibuat di

bawahnya dan mana-mana undang-undang lain yang berkuat kuasa

berhubung dengan kewajipan profesionalnya;

(b) mengawal kelakuannya supaya dapat menjaga maruah, kedudukan dan reputasi profesion;

(c) tidak merayu atau menolong mendapatkan pekerjaan profesional atau menawarkan untuk mendapatkan melalui komisyen atau juga bayaran bagi memperkenalkan pekerjaan itu;

(d) tidak disabitkan atas kesalahan yang membuatnya tidak layak menjadi anggota bagi profesionnya;

(e) jujur atau tidak menipu dalam menjalankan kewajipan

profesionalnya;

 

6.   Justeru itu, sekiranya Jurukur Tanah Berlesen (JUBL) tidak dapat mematuhi kehendak penyediaan Pelan Pra-hitung seperti dikehendakkan. Sepatutnya Pentadbir Tanah bolehlah membuat aduan kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) selaras Seksyen 16(1) Akta Jurukur Tanah Berlesen 1958; Seksyen 16(1) Akta Juruukur Tanah Berlesen 1958 telah memperuntukkan kuasa kepada Ketua Pengarah Ukur Dan Pemetaan (KPUP) atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa olehnya bagi memeriksa kerja-kerja JUBL di lapangan. Bagi melaksanakan kuasa dan tugas ini, pegawai-pegawai dari Seksyen Naziran JUBL Ibu Pejabat JUPEM telah diberikan tanggungjawab untuk membuat pemeriksaan tersebut. Ini bersesuaian dengan tugas Seksyen berkenaan iaitu untuk menyelaras, mengawal dan mengawasi prestasi serta kualiti kerja-kerja yang dijalankan oleh JUBL di seluruh Semenanjung Malaysia:

 

Correction of errors

16. (1) The Director General of Survey or any Government surveyor so authorized by him may at any time undertake such field and office checks on the title survey work of a licensed land surveyor as he thinks fit.

(2) The Director General of Survey or other person authorized by him to approve survey plans, may by notice in writing, instruct any licensed land surveyor to correct at his own expense within a time specified in such notice any error made by him: Provided that such notice is sent not more than twelve months after the date on which the relevant survey plan was deposited with the Survey Department as provided in section 14.

(3) In the event of such licensed land surveyor refusing or neglecting within the time specified to correct such error it shall be lawful for the Director General of Survey to undertake such correction departmentally and to recover the whole cost of such correction from the licensed land surveyor concerned.

(4) If such licensed land surveyor refuses or neglects to refund the cost of the correction survey referred to in subsection (3) within fourteen days of the receipt of the statement of cost the Director General of Survey may report the facts to the Board for disciplinary action, and after due enquiry the Board may order such licensed land surveyor to pay the cost of correction of his work or to pay his client such sum by way of compensation as the Board thinks fit; and if such licensed land surveyor refuses or neglects to comply with such order within one month of the date of such decision the Board may, subject to section 18, suspend such licensed land surveyor from practice as a licensed land surveyor until the cost of such correction survey has been paid, or for a period not exceeding three years.

 

7.   Selain itu juga Pentadbir Tanah selaku majikan / Ketua Jabatan kepada Penolong Pegawai Tanah hendaklah mengambil tindakan tatatertib terhadap Penolong Pegawai Tanah yang salah guna kuasa dan kedudukan untuk berkerjasama bagi permohonan tersebut. Dimana mereka telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 400A. Kanun Tanah Negara 1965, iaitu:

 

400A. Unauthorized survey.

Any person who, not being a Survey Officer or licensed land surveyor, carries out a survey or undertakes to carry out a survey of any land in the State for the purposes of this Act, shall be guilty of an offence, and liable on conviction to a fine not exceeding ten thousand ringgit, or imprisonment for a term not exceeding one year, or to both.

 

8.   Sehubungan itu adalah dimaklumkan bahawa Y.Bhg. Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia melalui surat edaran JPA.BK(S)223/8/2-3 Jld. 4 (56) bertarikh 07 Jun 2013 dan JPA.BK(S)201/8(29) bertarikh 06 Mac 2014 telah meminta semua Ketua Jabatan membuat pemantauan ke atas pegawai/kakitangan masing-masing yang didapati menggunakan media sosial untuk menjalankan perniagaan seperti mempromosi atau menjadi perunding pekerjaan luar atau perkhidmatan pada waktu pejabat kerana perbuatan tersebut telah melanggari tanggungjawab pegawai awam dalam memelihara integriti perkhidmatan awam.   Keadaan ini boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan boleh menjejaskan imej pegawai awam dan Kerajaan.

 

9.   Oleh demikian pada dasarnya, pegawai awam yang terlibat dengan perniagaan melalui media sosial atau dalam talian adalah disifatkan melakukan “pekerjaan luar”.  Di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam ( Kelakuan dan Tatatertib ) 1993 Perintah Am Bab D, “….mana-mana pegawai awam yang bercadang untuk melakukan pekerjaan luar hendaklah dengan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatannya.

 

10.        Sekiranya ada permohonan pegawai untuk membuat kerja luar / sambilan, Ketua Jabatan hendaklah memberi perhatian semasa menimbang permohonan pegawai awam berkenaan dan hendaklah memastikan pekerjaan itu :-

(a)        tidak dilakukan dalam waktu pejabat dan semasa pegawai itu dikehendaki melaksanakan tugas rasminya;

(b)        tidak dengan apa-apa cara cenderung menjejaskan kebergunaan pegawai itu sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam;  dan

(c)         tidak dengan apa-apa cara cenderung bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan awam atau menjadi tidak selaras dengan kedudukan pegawai itu sebagai perkhidmatan awam.

 

11.        Setiap pegawai awam bertanggungjawab untuk memelihara integriti dan imej perkhidmatan awam sepanjang masa serta berusaha meningkatkan produktiviti dan hasil kerja yang cemerlang. Sehubungan dengan itu, semua Ketua Jabatan/Bahagian/Pejabat Negeri adalah diminta untuk memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan pemantauan hendaklah dibuat dari semasa ke semasa serta tindakan tatatertib yang sewajarnya perlu diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran terhadap arahan ini.

 

12.        Selaras itu, dengan terlibatnya perjawatan Penolong Pegawai tanah dalam membuat kerja luar / sambilan ini juga akan mengakibatkan semua dokumen/maklumat terperingkat Kerajaan dibocorkan, didedahkan, disebarkan, disiarkan dan disampaikan kepada pihak-pihak yang tidak perlu mengetahui dengan apa-apa cara sekalipun. Sebagai contoh menggunakan telefon bimbit untuk mengambil gambar surat rasmi jabatan yang merupakan dokumen terperingkat dan kemudiannya diedarkan melalui aplikasi whatsapp kepada pihak luar. Tajuk saya terdahulu mengenai ‘PENDEDAHAN / PEMBERIAN MAKLUMAT-MAKLUMAT OLEH PEGAWAI-PEGAWAI TANAH DENGAN TIADA KEBENARAN DI BAWAH KANUN TANAH NEGARA 1965 & KAEDAH-KAEDAH TANAH NEGERI’ seperti 'link' https://izuafdie83.blogspot.com/2021/01/pendedahan-pemberian-maklumat-maklumat.html.


13. Diperingkat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga perlu meneliti 'MEMORANDUM - Mewujudkan Skim Perkhidmatan Pegawai Tanah Gred NT40/41, NT44, Dan NT48 Di Seluruh Pejabat Pentadbiran Tanah Malaysia' seperti 'link' https://izuafdie83.blogspot.com/2020/12/kertas-kerja-untuk-pertimbangan.html untuk, mewujudkan Skim Perkhidmatan Pegawai Tanah Gred NT40/41, NT44,Dan NT48 Di Seluruh Pejabat Pentadbiran Tanah Malaysia ini boleh menambahbaik pentadbiran tanah ke tahap yang cemerlang untuk memenuhi kehendak orang ramai dan memenuhi hasrat kerajaan dalam usaha-usaha mempertingkatkan pembangunan negara ke arah pewujudan negara maju 2050. Penambahan kakitangan untuk mengatasi isu-isu kelemahan pejabat tanah juga bukanlah satu tindakan yang boleh selesaikan masalah ini. Apa yang dikehendaki dalam anjakan paradigma ke arah kecemerlangan pentadbiran tanah adalah kelahiran kepimpinan yang berwibawa dalam pentadbiran tanah. Kepimpinan ini hendaklah wujud di semua peringkat pentadbiran tanah sama ada di peringkat Persekutuan, negeri dan juga daerah.


14. Ini adalah kerana kepimpinan dalam pentadbiran tanah adalah berkait rapat dengan pengetahuan dalam pengurusan dan pentadbiran tanah. Pemimpin yang efektif adalah pemimpin-pemimpin yang berpengetahuan yang dapat membimbing dengan menentukan arah tuju dan visi organisasinya. Ini bererti setiap pemimpin pentadbiran tanah perlu diberi pendedahan; latihan dan kemahiran yang secukupnya supaya mempunyai pengetahuan yang mendalam serta meluas dalam pentadbiran tanah dan seterusnya dapat mencorakkan perkhidmatan pentadbiran tanah yang unggul dan dihormati umum. Akhirnya, sikap yang positif di kalangan pentabir tanah amatlah penting dalam merealisasikan hasrat murni ini.

 

 

Perkara Untuk Tindakan:

 

Ketua Jabatan dan Penyelia di pentadbiran tanah hendaklah menguruskan permohonan kelulusan melakukan pekerjaan luar/ kerja sambilan bagi pegawai di pentabiran masing-masing selaras dengan undang-undang dan Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993].

Sehubungan itu, semua warga pentadbiran tanah juga diingatkan supaya pekerjaan luar/ kerja sambilan yang kita lakukan, ia hendaklah sah atau halal, mematuhi undang-undang dan peraturan agar tidak menggangu tugas hakiki serta semoga dapat membantu kita semua dalam memastikan segala peraturan sebagai Penjawat Awam dapat dipatuhi.

Justeru itu, sekiranya perkara ini berlaku, tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U(A)395/1993] akan diambil setelah dibuktikan kesalahannya. Pelanggaran ini boleh menyebabkan pegawai awam dikenakan tindakan tatatertib sehingga hukuman buang kerja. Pegawai juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah mana-mana undang-undang yang berkaitan.

Selasa, 12 Oktober 2021

Sempena Prapelancaran Keluarga Malaysia

 

TEKS UCAPAN
SEMPENA PRAPELANCARAN KELUARGA MALAYSIA

AUDITORIUM PERDANA, WISMA RADIO, ANGKASAPURI 8 OKT 2021 | JUMAAT
4.00 PM

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah perkenan-Nya, kita semua dapat berhimpun di Auditorium Perdana bagi menyempurnakan Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia yang amat bermakna ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

CIRI – KETERANGKUMAN

2. Barangkali ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya idea Keluarga Malaysia, dan mengapa ia menjadi ‘semangat’ yang mahu disemarakkan oleh kerajaan hari ini. Jawapannya mudah; kerana sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela.

3. Dalam konteks negara, kita adalah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia. Meskipun berbeza kepercayaan, latar belakang dan budaya, kita meraikan ‘keterangkuman’ (atau inclusivity) dalam perbezaan, menjunjung semangat Malaysia sebagai sebuah negara bangsa.

4. Kemajmukan yang kita raikan inilah yang menjadi benih yang membugar dalam hati setiap rakyat Malaysia. Kelangsungan ini merupakan aset yang mesti terus dipertahankan. Justeru, nilai setiap Keluarga Malaysia merupakan komponen penting demi menentukan jatuh, bangun bumi bertuah ini.

5. Amalan hidup saling bermuafakat dan tidak berpecah belah yang kita amalkan sebagai Keluarga Malaysia umpama peribahasa ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’.

6. Majlis Prapelancaran ini merupakan manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan, untuk meningkatkan usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Keluarga Malaysia, agar ia dapat difahami dan dihayati setiap lapisan masyarakat. Ia seiring dengan perjalanan kita memulih dan mengembalikan negara, daripada impak krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang kita lalui.

7. Konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam, kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam setiap keluarga. Apa yang dilakukan kerajaan adalah mengharmoni dan mengangkat nilai-nilai ini sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia, dengan keunikan pelbagai agama, bangsa dan kaum.

8. Kesemua nilai Keluarga Malaysia adalah berpaksikan kepada Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Rukun Negara.

9. Ibarat sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, manakala batang dan ranting menjulang kukuh nilai-nilai Keluarga Malaysia, yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya, memanfaatkan rakyat. Inilah metafora Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

CIRI – KEBERSAMAAN

10. Pelbagai gerak kerja dan usaha merentas kementerian dan agensi diatur bagi memudah cara pelaksanaan program dan inisiatif, untuk rakyat dengan pantas dan berkesan. Ini merupakan usaha mencari ‘kebersamaan’ (atau common ground) agar pemegang taruh utama iaitu Keluarga Malaysia merasai nikmatnya.

11. Suka saya menarik perhatian semua, 24 hari selepas pembentukan kabinet baharu, kerajaan telah melancarkan inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang melibatkan 2,000 unit rumah yang menjadi teduhan kepada Keluarga Malaysia yang kehilangan dan kekurangan pendapatan akibat pandemik COVID-19.

12. Kementerian-kementerian melalui penyelarasan berterusan, telah merangka pelbagai inisiatif dan usaha bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang akan ketinggalan atau “no one will be left behind”.

13. Sempena majlis hari ini, sebentar lagi saya akan melancarkan Skuad Keluarga Malaysia yang menyaksikan penyelarasan semua mekanisme penyampaian bantuan, untuk rakyat yang memerlukan di seluruh negara di bawah satu jentera.

14. Skuad Keluarga Malaysia ini akan diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat, di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ia merupakan kolaborasi pelbagai agensi di bawah kementerian berbeza, pihak swasta dan pertubuhan- pertubuhan bukan kerajaan (atau NGO).

15. Bagi pelancaran hari ini sahaja, seramai 10 ribu anggota Skuad Keluarga Malaysia telah bersedia untuk digerakkan ke segenap pelusuk negara, bagi membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik. Jumlah ini dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri.

16. Bagi memastikan kejayaan idea Keluarga Malaysia ini, setiap kementerian dan agensi kini sedang giat mengenal pasti produk yang bersesuaian untuk diangkat menjadi sebahagian usaha membantu rakyat. Ini merupakan langkah untuk menyemai budaya khidmat, berorientasikan prestasi bagi meringankan beban Keluarga Malaysia, yang memerlukan bantuan dan sokongan.

17. Dalam usaha ini, kerajaan akan memastikan setiap produk Keluarga Malaysia memberi impak positif seperti yang diharapkan. Oleh itu, kerajaan turut memperkenalkan mekanisme Keberhasilan Kebahagiaan (atau Key Happiness Outcome – KHO) yang juga merupakan pelengkap kepada Petunjuk Prestasi Utama (atau KPI). Garis panduan ini akan dibentuk berasaskan nilai sejagat sedia ada, termasuk Indeks Kebahagiaan yang diguna pakai kebanyakan negara di seluruh dunia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

CIRI – KESYUKURAN

18. Toleransi masyarakat yang berbeza agama, bangsa dan kaum dalam kalangan Keluarga Malaysia sudah berlangsung puluhan tahun. Namun, tidak mudah mempertahankan payung toleransi andainya Keluarga Malaysia meminggirkan nilai-nilai yang boleh mewujudkan konflik dan perbezaan. Rasa ‘kesyukuran’ (atau contentment) terhadap toleransi ini telah diterjemahkan sebagai salah satu ciri-ciri Keluarga Malaysia.

19. Oleh itu, pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengingatkan kembali bahawa keutamaan kita adalah untuk memerangi kemelut kesihatan dan ekonomi, tanpa memandang siapa yang ditimpa musibah. Usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri ‘Keterangkuman’ (Inclusivity), ‘Kebersamaan’ (Common Ground) dan ‘Kesyukuran’ (Contentment) yang kita miliki.

20. Kejayaan ini akan membolehkan kita membuka jalan pemulihan ekonomi negara dalam norma baharu, pasca pandemik. Ekonomi wajar dipulihkan, kesejahteraan rakyat perlu ditingkatkan, keyakinan pelabur harus dikembalikan. Yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama penuh daripada Keluarga Malaysia, peperangan melawan pandemik COVID-19 akan berakhir dengan kemenangan.

21. Semoga, di sebalik pelitup muka yang menjadi sebahagian norma baru kehidupan kita ini, akan terukir kembali senyuman bahagia Keluarga Malaysia yang saya kasihi.

22. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia terutamanya kepada Yang Berhormat Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia, atas kejayaan menganjurkan majlis prapelancaran pada petang ini.

23. Akhir kata, dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan ini merasmikan majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia.

Sekian,

Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

'Rentas Negeri dibenarkan' Teks Ucapan Sidang Media Khas YAB Perdana Menteri – 10 Oktober 2021

 

TEKS UCAPAN
YAB PERDANA MENTERI DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
10 OKTOBER 2021

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH, SALAM SEJAHTERA DAN SALAM KELUARGA MALAYSIA

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Rentas Negeri

1. Kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini, telah membuat keputusan di mana semua kegiatan rentas negeri dan daerah di seluruh Malaysia tidak dibenarkan tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

2. Larangan rentas negeri ini dibuat oleh kerajaan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia, meskipun ia merupakan satu keputusan yang sukar kerana ada pasangan dan ibu bapa yang terpaksa berpisah dengan ahli keluarga dalam tempoh yang terlalu lama.

3. Sepanjang larangan ini dikuatkuasa, kerajaan mendengar dan memahami keluhan Keluarga Malaysia yang terpaksa mengorbankan masa berharga bersama keluarga.

4. Jika diimbau kembali, keputusan ini bukanlah sesuatu yang disukai rakyat. Namun, ia perlu dilaksanakan ketika itu bagi memastikan penularan wabak dapat dikekang berikutan peningkatan kes positif COVID-19 harian.

5. Alhamdulillah, menurut KKM kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. Bagaimanapun, data terkini akan dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini.

6. Sehubungan itu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada PDRM bermula esok, Isnin, 11 Oktober 2021.

7. Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong, dan sebagainya.

8. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama yang diberikan selama ini dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan menyokong kempen imunisasi COVID-19.

9. Namun, saya ingin mengingatkan Keluarga Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan. Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.

10. Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak COVID-19 ini akan kembali meningkat. Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID-19.

11. Sebagai contoh, sekiranya ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa atau merentas negeri, Keluarga Malaysia disaran untuk melakukan ujian COVID-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan. Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, saya nasihatkan anda tangguhkanlah dahulu perjalanan.

12. Sekiranya anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera.

13. Kebenaran ini bukan bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan. Walaupun tiada lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan. Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

14. Saya juga ingin menegaskan, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

MyTravelPass

15. Sementara itu, kerajaan juga turut bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Walau bagaimanapun, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air. Kebenaran ini juga akan mula berkuat kuasa pada 11 Oktober 2021.

16. Keputusan pemansuhan ini antaranya untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan. Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin.

17. Di sebalik semua kelonggaran yang telah diumumkan, hakikatnya kita terpaksa hidup bersama virus COVID-19. Situasi ini bukan sahaja menuntut rakyat untuk terus mematuhi SOP, malah penting untuk meningkatkan penilaian kendiri demi melindungi Keluarga Malaysia.

18. Untuk itu, bagi mereka yang masih belum divaksin, segeralah berbuat demikian. Ini kerana banyak kelonggaran yang telah diumumkan seperti merentas negeri, melancong dalam dan luar negara, dine-in, dan sebagainya bergantung kepada syarat lengkap vaksinasi.

19. Vaksin mengurangkan risiko jangkitan, mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk, mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19 serta mengurangkan beban sistem kesihatan.

20. Data terkini oleh KKM menunjukkan bahawa vaksinasi telah berjaya menurunkan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke ICU sebanyak 83 peratus dan kadar kematian akibat jangkitan COVID-19 sebanyak 88 peratus.

21. Bagi memastikan proses peralihan negara ke fasa endemik berjalan lancar dan selamat, rakyat kini memikul tanggungjawab yang besar untuk mejayakan usaha ini. Antara langkah yang harus dilaksanakan ialah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan TRIIS iaitu:

a. TEST – Melakukan ujian pengesanan COVID-19 secara kendiri sekiranya alami simptom-simptom jangkitan;
b. REPORT – Laporkan keputusan ujian pengesanan secepat mungkin di MySejahtera;
c. ISOLATE – Lakukan kuarantin atau pengasingan kendiri dengan segera dan penuh disiplin sekiranya didapati positif supaya tidak bahayakan orang sekeliling;
d. INFORM – Segera maklum kepada kontak rapat anda sekiranya didapati positif dan laporkan juga semua kontak rapat melalui pautan di dalam MySejahtera. Maklumkan juga kepada CAC berhampiran sekiranya situasi kesihatan diri semakin merosot semasa menjalani kuarantin di rumah; dan
e. SEEK – Dapatkan rawatan segera di pusat-pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya alami gejala berat.

22. Saya juga ingin mengingatkan semua pemilik premis kedai makan, kedai-kedai runcit, pusat beli-belah, fasiliti-fasiliti sukan termasuk gymnasium, pejabat dan lain-lain, untuk memeriksa status vaksinasi dan juga status risiko COVID-19 pelanggan di dalam aplikasi MySejahtera mereka. Langkah ini penting bagi memastikan risiko berlakunya jangkitan di dalam premis adalah rendah.

23. Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada Keluarga Malaysia yang berdisiplin dan patuh setiap SOP yang ditetapkan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh petugas barisan hadapan yang selama ini berjuang tanpa mengenal erti penat lelah bagi membantu negara memerangi COVID-19.

24. Besar harapan saya, agar kita semua terus berganding bahu kerana amat jelas kejayaan dalam peperangan ini tidak akan berhasil tanpa usaha semua ahli Keluarga Malaysia. Saya yakin, Keluarga Malaysia boleh lakukannya bersama-sama. Insya-Allah.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat
#ReopeningSafely

Perbentangan Rancangan Malaysia ke-12, 2021 – 2025 (RMKe-12)

 



TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB PEMBENTANGAN
RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS, 2021-2025 (RMKe-12)

SEMASA MEMBENTANGKAN USUL MENGENAI RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS, 2021-2025: KELUARGA MALAYSIA – MAKMUR, INKLUSIF, MAMPAN
DI DEWAN RAKYAT PADA 27 SEPTEMBER 2021, 11.30 PAGI

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

Dengan penuh takzim, saya berdiri di dalam Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan usul seperti berikut:

“BAHAWA Dewan ini,

menyedari akan cabaran untuk memulih serta menjana semula ekonomi negara bagi mencapai pertumbuhan yang mampan, dengan mengambil kira landskap sosioekonomi pasca COVID-19, dan pencapaian Rancangan Malaysia Kesebelas, 2016-2020;

merestui usaha Kerajaan untuk merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia, aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030; dan

meluluskan Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi tempoh 2021 hingga 2025, yang menetapkan hala tuju strategik bagi mencapai objektif “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan” dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar, menurut Kertas Perintah CMD.1 Tahun 2021.

BAHAWA dalam meluluskan Rancangan Malaysia Kedua Belas, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berusaha dengan sepenuh komitmen dan iltizam yang jitu, untuk membangunkan negara secara mampan bagi membolehkan setiap ahli Keluarga Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum menikmati taraf hidup yang wajar.”

Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, saya membentangkan Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 , untuk dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini.

Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan

1. Alhamdulillah, dipanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan izin dan rahmat-Nya jua, maka pada hari ini, saya dapat membentangkan dasar penting yang ditunggu-tunggu, iaitu Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 atau RMKe-12. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada mantan Perdana Menteri, Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Mohd Mahiaddin bin Haji Mohd Yassin yang telah terlibat dalam penyediaan awal dokumen RMKe- 12.

2. RMKe-12 ini digubal ketika dunia sedang mengharungi cabaran getir pandemik COVID-19. Ramai dalam kalangan kita, Keluarga Malaysia yang terkesan. Dalam persekitaran dan kebiasaan baharu ini, ada yang hilang nyawa dan pekerjaan. Demi kelangsungan hidup, ada di antara kita yang terpaksa menceburi bidang kerja yang baharu atau melakukan dua pekerjaan dalam satu masa. Takziah kepada ahli keluarga mangsa-mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19. Marilah kita berdoa, semoga usaha membendung pandemik ini dirahmati, dan situasi ini dapat ditangani serta berakhir dengan segera.

3. Hampir dua tahun negara dan seluruh dunia menghadapi krisis kembar kesihatan dan ekonomi terburuk akibat pandemik COVID-19. Dalam tempoh itu, para petugas di barisan hadapan telah berusaha memerangi pandemik dengan semangat tinggi tanpa mengira penat lelah. Kita semua terhutang budi kepada petugas barisan hadapan yang komited melaksanakan tanggungjawab memerangi kemelut pandemik ini. Jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan, anda adalah wira Keluarga Malaysia.

4. Penularan pandemik ini turut memberi impak kepada ekonomi global pada tahun 2020, dengan penguncupan pada kadar 3.2 peratus berbanding pertumbuhan 2.8 peratus pada tahun 2019. Semua sektor mengalami kesan yang ketara, terutama perkhidmatan berkaitan pelancongan dan penerbangan. Ini menyebabkan peningkatan kadar pengangguran dan kemiskinan global. Bank Dunia menganggarkan berlaku peningkatan penduduk miskin tegar dunia, dengan jumlah tambahan seramai 97 juta orang pada tahun 2020.

5. Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesan pandemik ini. Mengimbas pencapaian dalam tempoh RMKe-11, iaitu 2016 hingga 2020, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) berkembang pada kadar purata 2.7 peratus setahun, kurang daripada sasaran asal. Ini disebabkan penguncupan ketara sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020, meskipun negara mencapai pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 4.9 peratus setahun dalam tempoh empat tahun pertama RMKe-11. Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita mencapai 42,500 ringgit, atau 10,100 dolar Amerika pada tahun 2020. Nilai ini adalah 20 peratus lebih rendah daripada ambang pendapatan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

6. Dalam RMKe-11, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak 248.5 bilion ringgit untuk tujuan pembangunan. Ini merangkumi perbelanjaan untuk sektor ekonomi sebanyak 58 peratus, sosial 26 peratus, keselamatan dan pertahanan 11 peratus, dan pentadbiran am 5 peratus. Bagi sektor ekonomi, perbelanjaan terbesar adalah untuk penyediaan infrastruktur dan utiliti asas. Daripada perbelanjaan ini, sebanyak 46 peratus diagihkan kepada enam negeri yang memerlukan lebih tumpuan, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

7. Pandemik COVID-19 juga telah menjejaskan kedudukan kewangan negara. Pada tahun 2020, defisit fiskal melebar kepada 6.2 peratus daripada KDNK. Jumlah hutang statutori Kerajaan Persekutuan berada pada tahap 57.9 peratus kepada KDNK.

8. Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada Kerajaan, untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi. Kerajaan banyak menerima cadangan daripada orang ramai, Ahli Parlimen dan kerajaan negeri. Namun, oleh kerana keperluan yang amat besar untuk melindungi nyawa dan kehidupan pada tahun 2020 dan 2021, ruang bagi melaksanakan projek pembangunan adalah amat terhad. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga tahun hadapan. Oleh itu, peruntukan pembangunan Kerajaan lebih ditumpukan kepada projek sambungan. Insya-Allah, kita menjangkakan kedudukan kewangan Kerajaan akan bertambah baik pada tahun 2023, apabila ekonomi semakin kukuh. Kerajaan akan memperuntukkan 400 bilion ringgit untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMKe-12. Kita harus yakin seperti dalam Surah Al-Insyirah, ayat lima; “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan”.

Tuan Yang di-Pertua,

9. Semenjak 64 tahun negara mencapai kemerdekaan, Kerajaan telah melaksanakan beberapa dasar jangka panjang yang kejayaannya sedang kita nikmati pada hari ini. Dasar Ekonomi Baru, 1971-1990, telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dengan ketara, dan menyusun semula masyarakat. Wawasan 2020 yang merangkumi Dasar Pembangunan Nasional, 1991-2000, Dasar Wawasan Negara, 2001-2010 dan Dasar Transformasi Negara, 2010-2020, telah meletakkan asas untuk Malaysia mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi. Seterusnya, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) telah dilancarkan pada Oktober 2019.

10. Pelan pembangunan lima tahun telah bermula pada tahun 1956. Pelan ini memperincikan strategi dan inisiatif dalam menentukan keutamaan program dan projek yang dilaksanakan Kerajaan. RMKe-12 yang saya bentangkan pada hari ini adalah perancangan penting sebagai pelengkap kepada Pelan Pemulihan Negara. Ia bagi mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi serta mencapai matlamat pembangunan jangka panjang.

11. Alhamdulillah, sejumlah lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang bermula pada 27 Mac 2020 telah berjaya menstabilkan ekonomi negara. KDNK kembali berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua tahun 2021 setelah menguncup pada empat sukuan sebelumnya.

Tuan Yang di-Pertua,

12. RMKe-12 ini, dengan matlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, akan membolehkan kita semua menikmati taraf hidup yang lebih baik. Semua strategi dan inisiatif juga, dijajar dengan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, yang dipersetujui oleh semua ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015.

13. Kita mahu memacu Keluarga Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan. Namun, pencapaian ini tidak bermakna, jika masih ada yang terpinggir daripada arus pembangunan. Kita mahu hidup bahagia bersama-sama, sebagai satu keluarga tanpa mengira tahap pendapatan, agama, bangsa dan kaum. Dalam melaksanakan pembangunan, kelestarian alam perlu menjadi agenda utama negara, kerana ia akan diwarisi oleh generasi masa hadapan.

Tuan Yang di-Pertua,

14. RMKe-12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama. Bagi tujuan ini, tiga Tema dan empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan diperkenalkan dalam RMKe-12. Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau whole-of-nation approach yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan.

15. Tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata. Sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah. Di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

16. Insya-Allah, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik. Kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi. Secara terperinci, saya ingin berkongsi beberapa matlamat utama dalam tempoh RMKe-12:

• Pertama: Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025;
• Kedua: Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira 10 ribu ringgit sebulan pada tahun 2025;
• Ketiga: Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025; dan
• Keempat: Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.

17. Seterusnya, saya ingin memberi pencerahan kepada sembilan fokus utama RMKe-12 seperti berikut:
• Pertama: Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi;
• Kedua: Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan;
• Ketiga: Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia;
• Keempat: Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam;
• Kelima: Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan;
• Keenam: Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia;
• Ketujuh: Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun;
• Kelapan: Mempercepatkan Pertumbuhan Hijau; dan
• Kesembilan: Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Memastikan Pelaksanaan Dasar yang Berkesan.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS PERTAMA: MERANCAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI

18. Fokus pertama ini tertumpu kepada usaha mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi, dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu. Pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi, iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan. Transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan diperkasa.

19. Pertumbuhan sektor perkhidmatan akan disokong oleh strategi pemodenan sektor untuk menjadi hab perkhidmatan serantau. Dalam hal ini, dasar dan perundangan yang jelas serta persekitaran perniagaan yang kondusif akan diwujudkan bagi menggalakkan lagi pelaburan yang berkualiti. Selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat atau dikenali sebagai Empat IR (4IR), sektor pembuatan dijangka beralih kepada pengeluaran produk yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan industri Malaysia menjadi pemain penting dalam rantaian nilai global. Sektor pertanian akan dipergiat dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara. Sektor pembinaan akan dirancakkan dengan penggunaan teknologi termaju, merangkumi realiti terimbuh (augmented reality) dan realiti maya (virtual reality) sejajar dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 bagi meningkatkan lagi kecekapan dan produktiviti. Sektor perlombongan pula akan memberi penekanan kepada pengeluaran mineral diproses yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, aktiviti perlombongan yang lestari dan penghasilan bahan mineral baharu.

20. Pertumbuhan produktiviti akan dilonjakkan melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi, penggunaan teknologi termaju, di samping mengurangkan kebergantungan kepada buruh kurang mahir. Perdagangan antarabangsa akan diperkukuh dengan mengenal pasti pasaran dan produk baharu, menambah baik kecekapan fasilitasi perdagangan dan meningkatkan daya saing industri eksport utama. Selain daripada itu, kerjasama perdagangan akan digalakkan melalui ratifikasi perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu seperti Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP).

21. Kerajaan mahu melihat sektor swasta kembali memainkan peranan lebih besar bagi membantu negara memacu pertumbuhan ekonomi. Sehubungan ini, saya memberi jaminan bahawa Kerajaan akan mengurangkan kerenah birokrasi, menyediakan infrastruktur yang berkualiti dan berdaya harap, memperkukuh ekosistem bagi menyokong pelaburan swasta dan membangunkan tenaga kerja mahir.

22. Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), akan dijadikan kerangka utama bagi menarik pelaburan berkualiti, dan meletakkan Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini. Insentif sedia ada akan disemak semula, untuk memberi fokus kepada pelaburan yang berasaskan teknologi termaju dan memenuhi aspek kelestarian alam sekitar. Ini akan dapat menyokong hasrat negara untuk mempercepatkan peralihan kepada industri berteraskan pembuatan termaju, atau advanced manufacturing tanpa menjejaskan alam sekitar.

Tuan Yang di-Pertua,

23. PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara. Pada akhir tahun 2020, bilangan PMKS dianggarkan hampir 1.2 juta, bersamaan dengan 97.2 peratus daripada keseluruhan jumlah perusahaan. Namun, sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasa semula setelah terjejas akibat pandemik. Oleh itu, Kerajaan komited untuk terus membantu dan menyokong pemulihan PMKS. Pada masa yang sama, PMKS digalak untuk meneruskan agenda tranformasi digital bagi memacu pertumbuhan dalam norma baharu pasca pandemik.

24. Sukacita saya maklumkan, Kerajaan telah bersetuju meluluskan beberapa program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam RMKe-12 bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik. Antaranya ialah dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik; penubuhan Centre of Excellence for Future Industry; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.

25. Dengan terlaksananya beberapa perancangan ini, saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian, 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMKe-12. Sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik dijangka akan pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8 peratus. PMKS pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK, dan 25 peratus daripada jumlah eksport pada tahun 2025.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KEDUA: MEMPERKUKUH PEMANGKIN PERTUMBUHAN

26. Untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan dan berteknologi tinggi, kita tiada pilihan selain menerima guna teknologi baharu dan berusaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri. Kita juga perlu memastikan infrastruktur diperkukuh dan bakat masa hadapan dibangunkan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi.

27. Langkah mempercepat penggunaan teknologi dan inovasi akan ditumpukan kepada pendigitalan dan teknologi termaju, termasuk teknologi 4IR. Pada awal tahun ini, Kerajaan telah melancarkan agenda MyDIGITAL dan diikuti dengan Dasar 4IR Negara. Perancangan dasar, pelaksanaan serta pemantauan inisiatif 4IR dan pendigitalan negara diselaraskan melalui Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.

28. Kerajaan menerajui agenda ini melalui inisiatif pendigitalan sektor awam dan transformasi PMKS. Penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta, bernilai 28 bilion ringgit bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada. Bagi mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara, sebanyak 15 bilion ringgit lagi akan dilabur oleh sektor swasta. Projek pembangunan Identiti Digital Nasional sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesahan identiti serta perakuan elektronik yang selamat dan dipercayai.

29. Kita sedar teknologi digital telah banyak mencorak kehidupan kita pada masa kini. Pembelajaran anak-anak kita telah terganggu disebabkan kekurangan peralatan dan akses kepada teknologi. Oleh itu, Kerajaan komited untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi menangani pelbagai jurang digital.

30. Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas, dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025. Sehingga bulan Ogos 2021, sebanyak 94 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G. Kelajuan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula telah mencapai 29.1 megabit sesaat dan lebih 6 ribu premis telah mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap. Rangkaian teknologi 5G akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021. Pelbagai inisiatif pendigitalan ini dijangka menyokong pencapaian sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pada tahun 2025.

31. Kerajaan menyedari ekonomi gig merupakan sumber penting pertumbuhan ekonomi. Ia telah membuka peluang yang lebih besar kepada rakyat untuk menambah pendapatan, termasuk menawarkan perkhidmatan menggunakan platform digital seperti e-hailing dan p-hailing. Kerajaan akan mewujudkan ekosistem yang menyokong perkembangan ekonomi gig bagi menggalakkan rakyat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini.

32. Selain daripada itu, usaha akan dipergiat untuk mengakreditasi platform tempatan berdasarkan piawaian industri ekonomi perkongsian antarabangsa, bagi meningkatkan daya saing pada peringkat global. Satu rangka kawal selia sedang disediakan bagi memastikan penyedia platform, pekerja dan pengguna adalah dilindungi. Kerajaan juga akan memastikan pampasan akibat pengangguran, perlindungan kesihatan dan simpanan untuk persaraan diperkukuh.

33. Kerajaan akan merapatkan jurang digital, terutama antara luar bandar dan bandar disebabkan perbezaan prasarana jalur lebar, melalui penyediaan kemudahan infrastruktur digital. Dalam hubungan ini, Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik dan bersepadu. Penggunaannya juga akan diperluas untuk memberi kemudahan kepada penduduk setempat terlibat dalam e-dagang, latihan kemahiran, pembelajaran dan aktiviti masyarakat.

Tuan Yang di-Pertua,

34. Sejajar dengan perkembangan teknologi serta inovasi, usaha untuk melahirkan pembangun dan pencipta teknologi tempatan akan dipergiat bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi. Bagi tujuan ini, semua aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) akan dijajarkan dengan keutamaan negara. Sebanyak 50 peratus daripada dana penyelidikan Kerajaan akan disediakan untuk penyelidikan eksperimental yang berpotensi untuk dikomersialkan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan telah meluluskan penubuhan pusat sehenti bagi pengkomersialan dan pemindahan teknologi serta Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).

35. Bagi menyelaras aktiviti R&D&C&I dan memastikan ianya bersesuaian dengan keutamaan nasional, Unit Pengurusan Penyelidikan (RMU) telah ditubuhkan Peranan RMU adalah untuk mengurangkan pertindihan fungsi, memperkukuh kerjasama antara pihak industri, akademia dan kerajaan dalam pelbagai bidang, serta meningkatkan kecekapan dalam penggunaan sumber sedia ada.

36. Selain daripada itu, sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan dana endowmen akan dipertingkatkan. Pada tahun 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D kepada KDNK dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.0 peratus sahaja pada tahun 2020. Sektor swasta disasarkan menyumbang lebih besar dengan peningkatan dua kali ganda, iaitu mencapai 70 peratus kepada jumlah perbelanjaan R&D.

Tuan Yang di-Pertua,

37. Infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Rangkaian rel dan jalan raya bersepadu yang menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar akan dipertingkat. Ini melibatkan antaranya projek-projek utama seperti berikut:

• Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun 2022;
• Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru yang merupakan jajaran akhir landasan berkembar elektrik dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor dijadualkan siap pada tahun 2023;
• Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dan dijangka siap pada tahun 2026;
• Projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dengan stesen Woodlands North di Singapura akan mula dibina pada hujung tahun 2021;
• Lebuhraya Pantai Barat yang melibatkan negeri Selangor dan Perak dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024;
• Projek Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan dijadualkan siap sepenuhnya pada tahun 2025; dan
• Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025.

38. Dana mudah cara khusus untuk projek infrastruktur akan diwujudkan di bawah model Perkongsian Awam Swasta atau Public Private Partnership (PPP) 3.0. Model pelaksanaan projek tidak akan melibatkan komitmen kewangan Kerajaan dan menggunakan kaedah Request for Proposal (RFP). Pelaksanaan projek-projek di bawah model baharu ini dijangka dapat diumumkan pada pertengahan tahun 2022. Jawatankuasa khas PPP yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, akan ditubuhkan bagi membolehkan perundingan projek PPP dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.

39. Untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, pembangunan bakat amat penting. Oleh itu, sistem pendidikan perlu mengeluarkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri. Tumpuan diberikan untuk menambah baik seluruh sistem pendidikan negara, serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan. Bagi menambah baik sistem pendidikan negara, langkah utama yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut:

• Pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) akan diperkukuh bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk 4IR;
• Persekitaran sekolah akan dijadikan lebih kondusif melalui penggantian 148 bangunan daif dengan kos berjumlah 1.6 bilion ringgit pada tahun 2021 dan 2022;
• Sebanyak 4 kompleks sekolah dan 5 buah sekolah baharu akan dibina melibatkan kos sebanyak 848 juta ringgit;
• Program TVET akan diperkasa dengan menambah baik ekosistem, meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET;
• Platform berpusat bagi data penawaran dan permintaan TVET akan dibangunkan;
• Sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel akan diwujudkan dan kerjasama dengan industri dipertingkat bagi menambah baik kualiti graduan dan memenuhi keperluan industri;
• Pelan pendidikan digital pada peringkat sekolah dan pengajian tinggi akan diperkenalkan bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan yang berkualiti; dan
• Naik taraf kemudahan beberapa universiti awam, antaranya UiTM, UKM, UM, USM dan UUM.

40. Dalam RMKe-12, Kerajaan akan memastikan lebih banyak pekerjaan yang berkemahiran tinggi diwujudkan melalui pelaksanaan inisiatif berikut:
• Menarik lebih banyak pelaburan baharu yang berteknologi tinggi;
• Menggalakkan industri beralih kepada automasi dan mekanisasi;
• Mengehadkan kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah; dan
• Memperkukuh kolaborasi antara industri dan akademia.

Tuan Yang di-Pertua,

41. Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh. Selain daripada itu, Job Creation Strategic Plan 2021-2023 akan diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri. Pelaksanaan dua pelan ini akan memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pewujudan peluang pekerjaan yang baharu.

42. Pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada beberapa sektor ekonomi, yang mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing, terutamanya sektor pembinaan dan perladangan akibat pembekuan pengambilan pekerja asing. Bagi mengatasi isu ini, industri perlu meningkatkan penggunaan automasi dan mekanisasi dalam proses pengeluaran. Dalam tempoh jangka panjang, jumlah pekerja asing dalam tenaga kerja dihadkan kepada tidak melebihi 15 peratus. Penguatkuasaan berkaitan pekerja asing akan diperkukuhkan bagi menyokong dasar ini.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KETIGA: MENINGKATKAN KESEJAHTERAAN KELUARGA MALAYSIA

43. Kesejahteraan hidup adalah hak asasi manusia dan hak ini tidak boleh dinafikan. Saya sedar dalam situasi pandemik COVID-19, rakyat menaruh harapan tinggi kepada Kerajaan. Kerajaan akan sentiasa mencari jalan yang terbaik untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia dalam pelbagai aspek, terutamanya penjagaan kesihatan dan penyediaan kediaman yang berkualiti.

44. Kerajaan kekal komited bagi memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan demi memastikan rakyat sihat dan produktif. Sehubungan dengan itu, Kerajaan akan mengkaji semula keberkesanan sistem kesihatan sedia ada, dan dasar kesihatan negara akan dirangka bagi meningkatkan kesiapsiagaan mengurus penyakit berjangkit serta krisis kesihatan. Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara juga sedang dimuktamadkan bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri. Pelan ini juga membolehkan negara bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa akan datang. Di samping itu, Institut Penyakit Berjangkit Malaysia akan dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan pada tahun 2022. Penubuhan institut ini bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian yang disebabkan oleh penyakit- penyakit berjangkit.

45. Kerajaan juga telah mengenal pasti langkah proaktif meningkatkan kesiapsiagaan hospital, untuk mencapai nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap seribu penduduk menjelang tahun 2025. Kerajaan akan turut membangunkan fasiliti kesihatan baharu, sebagai tambahan kepada 12 hospital yang sedang dibina di seluruh negara dan dijangka siap dalam tempoh RMKe-12. Selain daripada itu, kelengkapan dan peralatan kesihatan, termasuk keperluan unit rawatan rapi (ICU) akan ditambah. Dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan fasiliti kesihatan bandar dan luar bandar, Kerajaan akan membina dan menaik taraf klinik- klinik kesihatan di seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua,

46. Selaras dengan Dasar Perumahan Negara, Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti, dan mampu milik demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. Bagi mencapai hasrat itu, Kerajaan telah membina lebih daripada 282 ribu unit rumah mampu milik dalam tempoh RMKe-11. Sebanyak 500 ribu unit lagi rumah mampu milik akan dibina dalam RMKe-12 bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah. Di samping itu, kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO), akan ditambah baik lagi bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terbeban dengan bayaran ansuran.

47. Bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat miskin, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 2.25 bilion ringgit dalam tempoh RMKe-12. Peruntukan ini adalah untuk membina dan membaik pulih sebanyak 85,500 unit rumah di bawah Program Bantuan Rumah, melibatkan 75 ribu unit rumah di kawasan luar bandar, dan hampir 10,500 unit rumah di kawasan bandar. Ini tidak termasuk pembinaan rumah yang dilaksanakan di bawah kerajaan negeri, sektor korporat dan Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO).

48. Apalah maknanya kesejahteraan, sekiranya kita tidak bersatu hati. Sejarah telah mengajar kita betapa pentingnya untuk mengekalkan perpaduan, dalam membina negara bangsa. Bagi memperkukuh kesepaduan Keluarga Malaysia, program perpaduan dan sukan secara inklusif serta komprehensif akan dipergiat. Perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa selain integrasi nasional silang budaya serta merentasi ideologi politik, adalah tunjang kekuatan kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia. Marilah kita menggerakkan seluruh kekuatan, untuk terus menyebarkan semangat patriotisme dan kesukarelawanan dengan memanfaatkan platform digital dan media yang lain. Pemahaman serta penghayatan mengenai Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, perlu terus diterapkan dan diperkasakan dalam kalangan anak-anak kita dan golongan belia negara.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KEEMPAT: MEMANTAPKAN KESELAMATAN DAN KETENTERAMAN AWAM

49. Keselamatan rakyat dan kedaulatan negara merupakan perkara asas bagi memastikan keamanan dan kestabilan Malaysia. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan merangkumi langkah menambah baik kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan, mempertingkatkan ketenteraman awam, mengukuhkan keselamatan dan pertahanan siber serta menjaga kebajikan anggota. Saya akan pastikan, langkah yang lebih tegas akan diambil untuk melaksanakan pelan menyeluruh, dan memperkukuhkan Ops Benteng bagi menghalang pendatang asing tanpa izin.

50. Antara projek yang akan dilaksanakan, termasuk Marine Police Sea Monitoring System di lima wilayah maritim, pembinaan Bare Base Tentera Udara di Bintulu, Sarawak, pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak, Melaka dan peningkatan keupayaan aset maritim. Selain daripada itu, kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud dan kem Pasukan Gerakan Am di Beluran, Sabah akan siap dibina dalam tempoh RMKe-12. Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara akan diperkenalkan, bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkenaan pertahanan dan keselamatan.

51. Bagi memastikan kebajikan anggota tentera dan penguatkuasa terbela, 10,200 unit rumah keluarga angkatan tentera dan kuarters sedang dibina dan boleh diduduki dalam tempoh RMKe-12.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KELIMA: MEMBASMI KEMISKINAN TEGAR DAN MERAPATKAN JURANG PENDAPATAN

52. Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat. Pandemik COVID-19 yang telah melanda telah meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk CSO, badan korporat, orang perseorangan dan majlis agama Islam negeri yang sentiasa prihatin dan menyokong Kerajaan dalam membantu masyarakat yang terkesan sepanjang pandemik.

53. Bagi menangani isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan, kita perlu belajar daripada kejayaan yang dicapai oleh beberapa negara lain. Maka, inisiatif membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin, termasuk miskin bandar dibantu, melalui pendekatan keseluruhan negara. Unit khusus pada peringkat Persekutuan dan di pejabat daerah akan ditubuhkan. Unit ini akan bertanggungjawab menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, sektor korporat dan CSO. Dengan adanya pegawai yang diberikan tugas-tugas khusus, untuk menguruskan perihal kemiskinan pada peringkat daerah, saya yakin kemiskinan tegar dapat dibasmi pada tahun 2025.

54. Usaha yang lebih bersepadu akan dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan, dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas. Bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial, akan diteruskan kepada mereka yang layak. Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar, dengan kos sebanyak 1.5 bilion ringgit akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40.

55. Kerajaan tidak boleh bersendirian dalam perjuangan ini. Saya menyeru sektor korporat dan orang perseorangan untuk membantu Keluarga Malaysia keluar dari kepompong kemiskinan. Sekecil mana pun bantuan yang dihulurkan, termasuk melalui sumber pembiayaan alternatif seperti zakat dan wakaf, jika digembleng akan membawa manfaat.

56. Kemiskinan pada hari ini juga dilihat dari pelbagai dimensi selain kewangan. Sehubungan dengan itu , dalam aspek pendidikan, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberikan keutamaan untuk kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa. Dalam aspek kesihatan pula, akses kepada penjagaan kesihatan akan diperluas. Isu kekurangan zat dan tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga B40 semakin meningkat. Untuk tujuan itu, isu ini akan ditangani secara komprehensif termasuk melalui makanan berkhasiat.

57. Bagi meningkatkan keupayaan, kemahiran dan daya saing mencari pekerjaan golongan M40, program latihan dan latihan kemahiran semula serta aktiviti keusahawanan akan ditingkatkan. Mereka juga akan digalakkan untuk melanggan insurans kesihatan dan pekerjaan pada kadar yang mampu dibayar. Selain itu, kita akan memastikan anak-anak M40 mendapat akses kepada pendidikan berkualiti pada kos yang berpatutan.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KEENAM: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA DAN KELUARGA MALAYSIA

58. Keluarga Malaysia merangkumi Bumiputera, Orang Asli dan Anak Negeri Sabah yang mempunyai 42 etnik dan lebih 200 sub-etnik, antaranya suku kaum Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, dan Bajau. Juga Bumiputera Sarawak yang mempunyai 27 etnik, antaranya kaum Iban, Orang Ulu, Melanau dan Bidayuh di samping kaum Cina, India dan lain- lain. Ahli keluarga ini yang berpendapatan rendah serta kumpulan khusus dan golongan mudah terjejas tanpa mengira kaum, yang perlukan pembelaan dan bimbingan, akan diberikan perhatian.

59. Kerajaan sedar bahawa sebilangan besar Bumiputera masih lagi berpendapatan rendah dan miskin berbanding etnik lain. Jurang pendapatan penengah antara Bumiputera dan kaum Cina semakin melebar, iaitu empat kali ganda pada tahun 2019 berbanding 1989.

60. Saya memberi jaminan bahawa agenda Bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan. Ini sebagai mana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak dan keistimewaan kepada orang Melayu dan anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Hasrat Kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

61. Agenda ini akan diterap dalam pelaksanaan semua dasar bagi memastikan ia menjadi komponen yang diberi keutamaan pada segenap peringkat dan aspek pembangunan. Semua pihak, termasuk pihak Kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta akan bersama-sama dalam menjayakan agenda ini.

62. Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi, akses dan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan, termasuk huffaz, akan diperkukuh, antaranya melalui inisiatif berikut:
• Yang pertama, latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya menjadi pakar dalam pelbagai bidang; dan
• Kemahiran untuk kerjaya masa hadapan, seperti penganalisis dan saintis data serta pakar data raya.

63. Daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera akan dipertingkat bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan PMKS Bumiputera kepada KDNK pada tahun 2025. Pencapaian ini akan disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu, termasuk:
• Dana Kemakmuran Bumiputera untuk syarikat Bumiputera;
• Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah MARA untuk kontraktor Bumiputera; dan
• Penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi bidang ekonomi digital serta industri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi.

64. Bagi meningkatkan kekayaan Bumiputera, dasar dan pelaksanaan kuota pemilikan kediaman Bumiputera akan diperkukuh melalui kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Selain daripada itu, bantuan kewangan, bimbingan dan permentoran oleh institusi kewangan akan diperluaskan bagi menyokong usahawan Bumiputera.

65. Sebagai inisiatif untuk mengembang lagi ekonomi Islam, konsep wakaf akan diperluas sebagai strategi mempelbagaikan sumber kewangan untuk membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti Bumiputera. Dalam hubungan ini, lebih banyak instrumen wakaf akan diperkenalkan, termasuk mewujudkan satu dana wakaf di peringkat nasional bagi menggembleng lebih banyak sumber untuk keusahawanan dan membiayai program pembangunan sosioekonomi. Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap.

Tuan Yang di-Pertua,

66. Pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus. Pada hari ini, saya ingin berkongsi status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran tahun 2019 seperti berikut:
• pegangan Bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus;
• bukan Bumiputera 25.0 peratus;
• pegangan asing 45.5 peratus; dan
• nomini 12.3 peratus.

67. Bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijualkan kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera yang lain. Di samping itu, pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan selaku pengawal selia sektor.

68. Dalam usaha menyelaras semua inisiatif ini, Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas akan diwujudkan semula melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi Kerajaan. Langkah ini adalah bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda Bumiputera. Satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera akan diumumkan pada penghujung tahun ini. Ia memperincikan beberapa inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi bagi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera.

Tuan Yang di-Pertua,

69. Masyarakat Orang Asli adalah antara golongan rentan yang sentiasa mendapat perhatian oleh Kerajaan. Sebahagian besar isi rumah Orang Asli adalah golongan B40 dengan kadar kemiskinan yang masih tinggi, iaitu 33.6 peratus pada tahun 2019. Golongan ini adalah sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang kita perlu perkasakan untuk membangun bersama. Sehubungan dengan itu, pelan pembangunan sosioekonomi Orang Asli yang komprehensif sedang dirangka meliputi aspek daripada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan sehingga infrastruktur asas.

70. Pendidikan berkualiti akan menjadi kunci utama dalam mempercepatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli. Peluang murid Orang Asli mendapat pendidikan hingga ke tingkatan lima akan dipertingkat. Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) akan ditambah dan sebahagiannya dinaik taraf kepada Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11). Aspek pengajaran dan pembelajaran akan ditambah baik, termasuk meningkatkan kualiti guru dan kemudahan di sekolah.

71. Saya juga menyedari masih terdapat isi rumah kaum Cina yang berpendapatan rendah, khususnya di Kampung Baru seluruh negara. Kerajaan juga akan terus membantu kumpulan ini dengan meningkatkan akses dan menambah baik Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru. Kemudahan ini bertujuan untuk mereka mengembangkan perniagaan dan terlibat dalam keusahawanan. Selain daripada itu, program infrastruktur asas dan ameniti sosial akan diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di Kampung Baru Cina.

72. Sebahagian masyarakat kaum India juga perlu dibantu, khususnya yang berpendapatan rendah. Oleh itu, dalam mencapai pembangunan inklusif, kesejahteraan mereka akan terus diberikan keutamaan, selaras dengan Pelan Tindakan Masyarakat India. Kerajaan akan memberikan sokongan kepada mereka dengan menyediakan program peningkatan kemahiran dan bantuan kewangan bersasar serta peluang keusahawanan.

Tuan Yang di-Pertua,

73. Anak muda kita akan menjadi pemimpin Keluarga Malaysia pada masa hadapan. Oleh itu, mereka perlu terus dibimbing dan diberi sokongan untuk bersama mencorak masa depan Malaysia. Pelan kebangsaan pemerkasaan ekonomi belia sedang dirangka untuk memantapkan peranan anak muda dalam pembangunan negara. Kapasiti dan keupayaan belia akan dipertingkat bagi melahirkan pekerja mahir. Semangat patriotisme dan tanggungjawab kepada negara juga akan dipupuk. Akademi Pembangunan Belia Malaysia dan beberapa Kompleks Belia dan Sukan akan dinaik taraf, manakala pusat belia wilayah yang pertama di Malaysia akan dibina bagi merancakkan lagi aktiviti belia.

74. Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua pada tahun 2030, iaitu apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas. Bagi memastikan keperluan warga emas terpelihara, Kerajaan akan memperbanyakkan sistem sokongan kepada warga emas. Sehingga hari ini, sebanyak 140 Pusat Warga Emas telah diwujudkan, dan Kerajaan merancang untuk memperluas usaha ini ke seluruh kawasan parlimen. Malaysia juga perlu mewujudkan lebih banyak bandar mesra warga emas pada masa akan datang. Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional akan ditambah baik dan liputannya diperluaskan.

75. Jumlah orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar telah meningkat sebanyak 8 peratus, iaitu daripada 548 ribu pada tahun 2019 kepada 593 ribu pada tahun 2020. Kumpulan ini akan terus diperkasa dengan melaksanakan program seperti Job Coach, Pemulihan Dalam Komuniti, perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari, program keusahawanan OKU dan karnival kerjaya khas.

76. Usaha memperkasakan gender dalam pembangunan akan diteruskan dengan meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan. Penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada tahun 2025. Akses dan kualiti perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta penjagaan warga emas dengan yuran yang berpatutan akan dipertingkat. Ini akan mendorong lebih ramai wanita untuk kekal atau kembali bekerja.

77. Pembangunan ekonomi usahawan wanita akan diperkukuh dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan dan aktiviti latihan kemahiran. Usahawan wanita juga akan digalakkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian untuk memperluaskan pasaran. Rangka kerja bagi memperkasakan gender akan diperkenalkan serta undang- undang sivil dan syariah akan diperkukuhkan bagi menangani isu berkaitan wanita.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KETUJUH: MELONJAKKAN PEMBANGUNAN SABAH, SARAWAK DAN NEGERI-NEGERI KURANG MEMBANGUN

78. Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya komited untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ini termasuklah keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan. Oleh itu, pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberikan keutamaan dalam RMKe-12. Penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.

79. Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberikan tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutamanya Sabah dan Sarawak akan dipergiat. Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan KDNK yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak.

80. Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada negeri-negeri tersebut. Peruntukan ini ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi. Saya sendiri akan memantau pelaksanaannya secara dekat.

81. Seperti yang saya umumkan semasa Hari Malaysia, peruntukan berjumlah 7.7 bilion ringgit, iaitu 3.61 bilion ringgit kepada negeri Sabah dan 4.09 bilion ringgit kepada negeri Sarawak disediakan bagi pelaksanaan JENDELA sepanjang tempoh RMKe-12. Dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi. Sehingga Ogos 2021, sebanyak 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak. Bagi menambah baik bekalan elektrik, loji janakuasa baharu akan dibina dan talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah akan dinaik taraf. Projek pembinaan hidroelektrik Baleh di Sarawak dijangka siap pada tahun 2025.

82. Perkhidmatan penjagaan kesihatan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak. Pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik desa di kedua-dua negeri ini. Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26 ribu isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak.

83. Bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah, akan dibina, manakala Kompleks ICQS Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf. Selain daripada itu, Projek Jalan dari Sempadan Ba’kelalan/Kompleks CIQ Menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada tahun 2022.

84. Dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak ini, pertumbuhan purata KDNK tahunan negeri Sabah dijangka meningkat pada kadar 6.5 peratus dan negeri Sarawak pada kadar 5.3 peratus dalam tempoh 2021 hingga 2025. Saya berkeyakinan kedua-dua negeri ini mempunyai keupayaan dan kekuatan sumber yang boleh dioptimumkan sepenuhnya. Dengan itu, pertumbuhan sebenar boleh menjadi lebih tinggi daripada jangkaan ini.

Tuan Yang di-Pertua,

85. Dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar, aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar. Infrastruktur luar bandar akan dipertingkatkan dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap, antaranya:

• Jalan Nanga Tulie ke Rumah Bujah, Nanga Pelagus di Kapit, Sarawak dengan kos sebanyak 280 juta ringgit;
• Jalan Dudar ke Taburan ke Mendawang di Kota Belud, Sabah dengan kos sebanyak 101 juta ringgit;
• Jalan Luar Bandar dari Simpang FELCRA Ulu Kerut ke Kg Orang Asli Bot-Bot ke FELDA Jengka 7 ke Jalan Kilang Sawit Jengka 18 di Daerah Maran, Pahang dengan kos sebanyak 135.3 juta ringgit; dan
• Jalan Baharu dari Kampung Gagu ke Ulu Beranang,Negeri Sembilan, dengan kos projek sebanyak 179.2 juta ringgit.

86. Selain itu, usaha juga akan dipertingkatkan untuk memastikan akses kepada bekalan air bersih mencapai 98 peratus dan bekalan elektrik 99 peratus. Bagi mempergiat aktiviti sosioekonomi setempat pula, projek-projek kecil luar bandar akan terus dilaksana seperti Program Ameniti Sosial dengan peruntukan sebanyak 310 juta ringgit dan pembinaan Jalan Perhubungan Desa dengan kos sebanyak 1.6 bilion ringgit. Usaha ini dijangka dapat membantu merapatkan jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar.

87. Saya menghargai setiap titik peluh dan penat lelah peladang, penternak dan nelayan. Mereka juga merupakan sebahagian daripada komponen penting dalam pembangunan luar bandar. Keluarga kita ini harus dibawa bersama dalam transformasi ekonomi negara.

88. Kerajaan giat melaksanakan Pelan Pemulihan FELDA untuk mengembalikan kegemilangan agensi ini dalam membela nasib rakyat. Pemulihan ini melibatkan penstrukturan semula kewangan FELDA dan memperkasa taraf sosioekonomi warga FELDA. Hasrat Kerajaan adalah untuk menjadikan FELDA peneraju dalam pertanian pintar dan pengeluaran makanan negara. Kita mahu FELDA lebih mampan dan menjadi contoh atau role model dalam transformasi komuniti luar bandar yang moden dan progresif.

89. Isu perumahan generasi kedua akan ditangani dengan memperkenalkan semula model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri oleh generasi kedua. Melalui model ini, generasi kedua akan ditawarkan tapak rumah dan reka bentuk yang standard oleh Kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KELAPAN: MEMPERCEPATKAN PERTUMBUHAN HIJAU

90. Pembangunan ekonomi tidak harus menjejaskan alam sekitar, manakala liputan kawasan hijau perlu dipertahankan. Usaha untuk mempercepat pertumbuhan hijau, mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air, harus kekal menjadi teras pembangunan sosioekonomi negara.

91. Sehubungan dengan itu, Kerajaan akan mengambil kira prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam proses membuat keputusan. Walaupun Malaysia hanya menyumbang 0.7 peratus kepada pelepasan gas rumah kaca, Kerajaan akan terus memenuhi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sehingga 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030, berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, selari dengan aspirasi menjadi negara rendah karbon.

92. Saya menyambut baik inisiatif sektor swasta yang telah mengambil langkah ke hadapan melalui komitmen bagi mencapai net zero carbon emissions. Ini termasuk komitmen syarikat GLC dan GLIC seperti PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Sarawak Energy Berhad untuk mencapai matlamat ini pada tahun 2050. Saya menggesa agar syarikat lain mencontohi inisiatif ini dengan menyatakan komitmen yang sama. Langkah ini menjadi semakin penting apabila rakan dagangan, pasaran modal dan institusi kewangan meletakkan syarat pematuhan kepada prinsip ESG dalam keputusan pelaburan dan pengeluaran produk mereka.

Tuan Yang di-Pertua,

93. Kerajaan akan bersama-sama pihak swasta dalam menjayakan matlamat ini. Pada hari ini saya memberikan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050. Bagi menyokong usaha ini, instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan. Perincian langkah- langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan setelah kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir tahun 2022. Bagi tujuan ini, Kerajaan telah memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu yang baharu.

94. Saya sedar ini memerlukan usaha yang bersepadu serta komitmen dan pelaburan hijau yang tinggi. Namun, saya yakin dengan penglibatan Keluarga Malaysia, aspirasi ini bukanlah angan-angan kosong. Komitmen ini akan memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain untuk mencapai matlamat global dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya saing negara.

95. Dalam usaha Kerajaan untuk mencapai matlamat pembangunan mampan, pertubuhan masyarakat sivil atau CSO akan diiktiraf sebagai rakan pembangunan. Bagi tujuan ini, peranan CSO akan diinstitusikan dalam pelbagai mekanisme tadbir urus, terutama dalam pelaksanaan dan pemantauan program pembangunan pada peringkat akar umbi bagi mencapai Agenda 2030.

96. Dasar Tenaga Negara yang komprehensif akan diperkenalkan untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon. Penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksanakan melalui pengoperasian beberapa loji janakuasa gas di SemenanjungMalaysia bagi menggantikan loji janakuasa arang batu.

97. Akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial. Penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada tahun 2025.

98. Model ekonomi kitaran akan dilaksana di bawah RMKe-12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli. Konsep tanggungjawab pengeluar akan dipergiat bagi meningkatkan pelaksanaan penggunaan dan pengeluaran mampan. Di samping itu, pelaburan hijau akan terus digalak, termasuk untuk projek di bawah pendekatan kerjasama awam dan swasta serta GLC.

Tuan Yang di-Pertua,

99. Pembangunan bandar hijau yang berdaya tahan akan terus dipergiat. Sebanyak 120 bandar disasarkan mencapai status bandar mampan. Bagi tujuan ini, pelaksanaan inisiatif Pelan Tindakan Bandar Hijau dan sistem analitik data raya pelbagai dimensi akan diperkenalkan. Kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) bagi menyokong inisiatif mobiliti mesra alam.

100. Bagi memastikan langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang terselaras dan menyeluruh, pelan hala tuju untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan pelan adaptasi kebangsaan akan diperkenalkan. Selain daripada itu, inisiatif perolehan hijau Kerajaan akan diperluas ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Melalui pelaksanaan inisiatif ini, perolehan hijau Kerajaan disasarkan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2025.

101. Pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian khazanah semula jadi negara akan terus dipertingkat. Mekanisme ecological fiscal transfer akan ditambah baik dalam menyokong langkah kerajaan negeri memulihara kawasan hutan. Santuari hidupan liar yang semakin terancam seperti harimau belang, tapir dan gajah akan dipertingkat bagi tujuan konservasi. Pelan rangka tindakan ekonomi biru akan diperkenalkan untuk menentukan hala tuju pembangunan kawasan pesisir pantai dan marin secara mampan.

102. Saban tahun, rakyat di seluruh negara dilanda bencana banjir dan tanah runtuh. Bencana ini telah mengakibatkan kerosakan harta benda, kehilangan nyawa dan mata pencarian. Baru-baru ini berlaku bencana seperti fenomena kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda di Kedah, banjir di Penampang, Sabah serta tanah runtuh di Kemensah Heights, Selangor. Sehubungan dengan itu, penjagaan alam sekitar adalah amat penting bagi melindungi nyawa dan mengurangkan kerugian harta benda. Dalam hubungan ini, beberapa projek dengan kos sebanyak 16 bilion ringgit bagi tempoh RMKe-12 dan RMKe-13 akan dilaksanakan di bawah program tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai bersepadu dan kawalan hakisan pantai serta program ramalan dan amaran banjir.

103. Sektor air perlu ditransformasi secara menyeluruh bagi menjamin bekalan dan kemampanan. Agenda Transformasi Sektor Air 2040 akan diperkenalkan dalam RMKe-12 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, mengoptimumkan potensi bagi menjana kekayaan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu. Pelaksanaan agenda ini melibatkan 4 fasa dan fasa pertama Penerima-gunaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu akan dipergiat pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah. Pewartaan dan perlindungan kawasan tadahan air akan dipercepat untuk menambah baik pengurusan sumber air dan loji rawatan air sisa bersepadu akan dibina untuk kawalan percemaran.

104. Tadbir urus air akan ditambah baik melalui pemerkasaan peranan dan penglibatan rakyat, pengukuhan aktiviti penguatkuasaan dan semakan undang-undang. Selain daripada itu, mekanisme pembiayaan inovatif akan dikaji, di samping menyediakan infrastruktur yang mampan serta meneruskan program pengurangan air tidak berhasil (NRW). Pelaksanaan inisiatif ini akan mengurangkan tahap NRW kepada 25 peratus pada tahun 2025. Kerajaan telah meluluskan projek infrastruktur air dengan kos 25.8 bilion ringgit untuk menambah baik liputan dan perkhidmatan air.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KESEMBILAN: MENINGKATKAN KECEKAPAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM DAN MEMASTIKAN PELAKSANAAN DASAR YANG BERKESAN

105. Saya ingin memberi komitmen bahawa perkhidmatan awam yang menjadi nadi pentadbiran negara akan terus dimantapkan bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan. Bagi tujuan ini, perkhidmatan awam akan ditransformasi melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan inisiatif memerlukan keterlibatan semua peringkat kerajaan. Pelaksanaan penyampaian perkhidmatan yang berkesan amat penting bagi memastikan Keluarga Malaysia benar-benar merasai pembangunan yang dilaksanakan.

106. Struktur dan fungsi kementerian dan agensi akan disusun semula bagi mewujudkan organisasi yang lebih mendatar dan mengurangkan kerenah birokrasi. Mekanisme pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim juga akan diperkukuh bagi memperoleh bakat yang terbaik. Cadangan untuk memperkenalkan akta perkhidmatan awam akan dikaji bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara Anggota Pentadbiran dengan penjawat awam.

107. Di samping itu, pendigitalan perkhidmatan awam akan terus dipertingkat. Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021- 2025 yang baru dilancar menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan pendigitalan sektor awam bagi memacu agenda Kerajaan Digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital. Kerajaan menyasarkan perkhidmatan dalam talian peringkat awal ke akhir atau end-to-end meningkatkan kepada 80 peratus pada tahun 2025. Rangka dasar tadbir urus data nasional akan dibangunkan untuk menggalakkan perkongsian data antara sektor awam dan swasta yang lebih meluas.

108. Saya sedar anak muda hari ini sentiasa ingin menyuarakan hasrat dan pandangan mereka untuk bersama-sama membangunkan negara melalui amalan demokrasi. Bagi merealisasikan hasrat anak muda tersebut, Kerajaan akan memastikan pindaan perlembagaan yang membolehkan warganegara berumur 18 tahun dapat mengundi dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

109. Saya beriltizam untuk menjadikan Kerajaan ini sebuah Kerajaan berprestasi tinggi yang memenuhi harapan rakyat. Ini adalah selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 September 2021 supaya kita terus mendokong pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas rasuah. Dengan itu, saya memberi jaminan bahawa semua strategi dan inisiatif di bawah RMKe-12 ini akan dilaksanakan secara tersusun dengan penuh integriti dan bertanggungjawab. Indeks Tadbir Urus Malaysia akan diperkenalkan bagi mengukur prestasi tadbir urus jentera Kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

110. Bagi tujuan itu, Pelan Pelaksanaan Dasar RMKe-12 disediakan sebagai panduan kepada kementerian dan agensi dalam menerajui dan melaksanakan semua dasar ini. Saya meletakkan tanggungjawab kepada semua Menteri dan kementerian untuk bersama-sama saya melaksana dan memantau pencapaian sasaran RMKe-12.

PENUTUP

Tuan Yang di-Pertua,

111. Penghujung tempoh RMKe-11 telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi negara terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi global dan impak pandemik COVID-19. Dalam tempoh 18 bulan yang lalu, kita telah menumpukan usaha melindungi nyawa dan kehidupan Keluarga Malaysia. Sekarang, sudah tiba masanya untuk kita memberikan tumpuan kepada agenda menyusun semula dan mengembalikan kekuatan dan daya saing ekonomi negara.

112. RMKe-12 telah dirangka dengan mengambil kira perubahan dalam landskap ekonomi global dan domestik serta keperluan menangani isu semasa demi masa depan Keluarga Malaysia yang lebih cerah. Dengan objektif “Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan”, RMKe-12 menggariskan perancangan strategik yang komprehensif bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, berteknologi tinggi dengan guna tenaga mahir ke arah mencapai pertumbuhan inklusif tanpa mengabaikan alam sekitar. Pada masa yang sama Kerajaan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan tiada siapa yang tertinggal.

113. Sesungguhnya krisis ini telah menyatukan kita semua. Krisis ini juga telah membuka peluang untuk kita membuat transformasi. Pada 13 September lalu, kita telah mencipta sejarah. Buat pertama kali, Kerajaan dan pembangkang telah memeterai Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik. Ini adalah hasil daripada dasar Kerajaan yang inklusif. Harapan saya, persefahaman ini akan membolehkan kita memberi tumpuan kepada usaha memerangi pandemik dan meletakkan negara pada asas pertumbuhan yang lebih kukuh.

114. Dengan semangat Keluarga Malaysia, kita ketepikan semua perbezaan, berganding bahu untuk membina Malaysia yang berdaya saing dan berdaya tahan serta kalis cabaran. Mari kita kumpulkan seluruh tenaga, kepakaran dan pengalaman yang ada di sebelah sini dan di sebelah sana, untuk bersama-sama merealisasikan matlamat RMKe-12. Kita mesti mendakap erat prinsip bekerja bersama rakyat, demi Keluarga Malaysia.

115. Saya yakin, berkat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, melalui perancangan lima tahun ini, Malaysia mampu bangkit semula dan Insya- Allah, kita boleh melakar masa hadapan yang lebih baik.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...