Isnin, 28 Mac 2022

AMALAN PEWARTAAN SUNGAI, TASIK ATAU MATA AIR DI BAWAH SUBSEKSYEN 13(1)(ii) KANUN TANAH NEGARA [AKTA 828]

 Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:

 

1. ‘PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2 TAHUN 2010’ ialah ‘Garis Panduan Penetapan Lebar Rizab Sungai Yang Seragam Bagi Sungai-sungai Yang Tidak Diwartakan’ (seperti lampiran).

 

2. ‘SURAT EDARAN KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL.3/2021: AMALAN PEWARTAAN SUNGAI, TASIK ATAU MATA AIR DI BAWAH SUBSEKSYEN 13(1)(ii) KANUN TANAH NEGARA [AKTA 828] (seperti lampiran).

 

Perkara Berkaitan Pentadbiran Tanah

 

1.   Didapati Pihak Berkuasa Negeri (PBN) menggunakan subseksyen 13(1)(ii)(a) KTN untuk merizabkan sungai-sungai di sesebuah negeri untuk maksud awam sedangkan kuasa di bawah seksyen 13 KTN itu adalah merujuk kepada perwakilan kuasa PBN kepada Pengarah Negeri dan lain-lain pegawai serta syarat-syarat dan had perwakilan kuasa tersebut.

 

2.   Justeru itu, Seksyen 5 KTN mentafsirkan "tanah rizab" ertinya tanah yang buat masa itu dirizabkan untuk tujuan awam selaras dengan peruntukan-peruntukan seksyen 62 KTN atau mana-mana undang-undang tanah terdahulu dan sekiranya perizaban tersebut tidak melalui proses di bawah seksyen 62 KTN, maka tanah tersebut tidak boleh dikategorikan sebagai tanah rizab.

 

3. Oleh demikian, pentadbitan PTG adalah dimohon untuk menyelaraskan kembali perkara yang berkaitan dengan pewartaan sumber air antara Enakmen Air Negeri-Negeri dengan peruntukan seksyen 13 KTN supaya tidak berlaku kesilapan dalam tindakan pewartaan kerana tujuan atau maksud pewartaan adalah berbeza di bawah kedua-dua sumber perundangan tersebut. Sungai atau sumber-sumber air yang Iain boleh diwartakan mengikut peruntukan yang terkandung di dalam Enakmen-enakmen Air Negeri yang sedang berkuatkuasa dan pewartaan tersebut tidak menjadikan sungai atau sumber-sumber air itu sebagai tanah rizab di bawah KTN.

 

4.   Sehubungan itu, untuk maksud merizabkan tanah iaitu sungai atau aliran air yang terletak di atas tanah Kerajaan, Pihak Berkuasa Air, PTG atau Pentadbir Tanah boleh merujuk kepada Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 2/2010 untuk panduan pelaksanaan seperti lampiran.

 

5.  Keperluan pengwartaan tanah Negeri yang berhampiran dengan sungai dijadikan sebagai rizab sungai di antara lainnya akan dapat mengurangkan beberapa masalah yang dihadapi. Sebagai contoh terdapat kesukaran dalam melaksanakan kerja-kerja operasi dan pemuliharaan sungai, kurangnya pengawalan terhadap penggunaan tanah di sepanjang jaluran sungai bagi tujuan pertanian atau pun tujuan lain dan juga pembinaan struktur tanpa kawalan yang rapi merentasi sungai dan di dalam sungai.


6.  Kebenaran undang-undang yang berkaitan dengan kuasa reservasi terhadap tanah negeri di dalam Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (Akta 56 tahun 1965). Menurut Kanun Tanah Negara, 'Rizab Tanah' bermaksud tanah yang disimpan pada masa berkenaan bagi tujuan kegunaan awam berdasarkan kepada undang-undang yang dibenarkan di dalam Seksyen 62 atau dari mana-mana undang-undang tanah yang terdahulu. Seksyen 62 dari Kanun Tanah Negara menyatakan bahawa Pihak Berkuasa Negeri iaitu yang dikenali sebagai Pemerintah atau Kerajaan bagi negeri boleh menyatakan mana-mana tanah Negeri sebagai tanah simpanan untuk sebarang kegunaan awam dengan pemberitahuan dalam pengwartaan. Pemberitahuan tersebut perlu menerangkan pengertian rizab tanah, menerangkan tujuan bagi merizabkan tanah tersebut, dan melantik pegawai yang mengawal tanah rizab tersebut. Pemberitahuan itu sendiri menjadi bukti yang pasti bahawa tanah yang diterangkan itu perlu dirizabkan bagi tujuan kegunaan awam.

 

7.  Pihak JPS perlu mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mewartakan jaluran sungai sebagai rizab sungai dan dengan itu JPS mempunyai hak pengawalan terhadap rizab sungai. Kertas maklumat mengenai fungsi dan keperluan pengwartaan rizab sungai hendaklah disediakan dan dikemukakan kepada Kerajaan Negeri melalui Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri.

 

 

Perkara Untuk Tindakan Pentadbiran Tanah:

 

Pentadbiran tanah hendaklah akur terhadap ‘SURAT EDARAN KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL.3/2021: AMALAN PEWARTAAN SUNGAI, TASIK ATAU MATA AIR DI BAWAH SUBSEKSYEN 13(1)(ii) KANUN TANAH NEGARA [AKTA 828] dan ‘PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2 TAHUN 2010’ ialah ‘Garis Panduan Penetapan Lebar Rizab Sungai Yang Seragam Bagi Sungai-sungai Yang Tidak Diwartakan’ selaras kehendak Undang-undang serta Dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...