Khamis, 3 Mac 2022

Majlis Pelancaran Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA PELANCARAN
INISIATIF JAMIN KERJA KELUARGA MALAYSIA & KARNIVAL KERJAYA JAMIN KERJA
KELUARGA MALAYSIA 2022

PADA 19 FEBRUARI 2022 (SABTU), JAM 12.00 PM BERTEMPAT DI PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR

Bismillahhirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, dapat kita bersama-sama di Majlis Pelancaran Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022, pada hari ini.

2. Terlebih dahulu saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia menerusi agensi-agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); HRD Corp dan Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) serta jabatan dan agensi Kerajaan lain yang terlibat secara langsung dalam menjayakan majlis penuh bermakna ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan untuk memastikan setiap Keluarga Malaysia, baik yang bekerja mahupun mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19, dapat meneruskan kehidupan sepanjang tempoh mencabar ini.

4. Menerusi Program Subsidi Upah (PSU), sebanyak RM20.34 bilion telah disalurkan bagi membantu lebih daripada 350 ribu majikan di seluruh negara.

5. Inisiatif ini telah berjaya membantu mengekalkan seramai 2.95 juta pekerja dalam pekerjaan, sejajar dengan usaha Kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran dan merancakkan semula pasaran buruh negara.

6. Program Insentif Pengambilan Kerja atau PenjanaKerjaya pula telah membantu mewujudkan lebih 320,000 peluang pekerjaan baharu untuk pencari kerja, yang diberhentikan kerja, graduan menganggur dan golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU).

7. Kewujudan Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs di bawah Kementerian Sumber Manusia juga memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan aktiviti pasaran buruh kekal aktif dan saling menyokong implementasi program dan inisiatif lain seperti Program PenjanaKerjaya ketika tempoh pandemik ini.

8. Saya juga mengharapkan penglibatan aktif daripada semua pihak termasuk pelbagai institusi daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk menggalakkan lebih ramai pelajar dan graduan baharu mendaftar dengan Portal MYFutureJobs.

9. Langkah ini akan membolehkan mereka peka dengan peluang– peluang kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan lain yang ditawarkan seperti kaunseling kerjaya, program keboleh pekerjaan, karnival kerjaya dan sesi temu duga terbuka bersama majikan.

10. Pencari kerja yang ingin mendapatkan perkhidmatan padanan pekerjaan juga kini boleh menghadirkan diri terus ke pusat-pusat MYFutureJobs di seluruh negara seperti di Pejabat PERKESO, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan juga Pusat Satelit MYFutureJobs di kawasan luar bandar dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

11. Portal MYFutureJobs kini menempatkan lebih 465,379 pencari kerja dengan pekerjaan baharu, manakala kira-kira 57,791 orang perantisan yang terdiri daripada golongan pelajar dan graduan telah berjaya mendapatkan pekerjaan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion memandangkan penciptaan peluang pekerjaan merupakan teras utama di bawah Bajet 2022.

13. Kerajaan turut komited membantu komuniti usahawan yang menggaji dan mencipta peluang pekerjaan, supaya dapat terus berkembang dan membina semula perniagaan melalui inisiatif Semarak Niaga bernilai RM40 bilion.

14. Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia merangkumi tiga program utama iaitu:

i. Insentif Penggajian yang akan dilaksanakan oleh PERKESO dengan sasaran sebanyak 300,000 peluang pekerjaan;
ii. Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek atau Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) yang menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik Kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik serta JaminKerja
iii. Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia) yang dilaksanakan HRD Corp dengan menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 orang pelatih.

15. Program JaminKerja – Insentif Penggajian akan memberi tumpuan kepada usaha merangsang para majikan untuk membuat pengambilan pekerja, terutamanya dalam kalangan individu yang tidak aktif bekerja seperti golongan penganggur, golongan rentan seperti OKU, bekas banduan, warga emas dan golongan wanita menganggur bagi tempoh berpanjangan, untuk memastikan tiada golongan dipinggirkan.

16. Setelah majikan diberikan insentif bagi pengambilan pekerja, pencari kerja boleh menggunakan Portal MYFutureJobs untukmendapatkan padanan pekerjaan dan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

17. Insentif turut diberikan kepada majikan yang mengambil tenaga kerja tempatan bagi mengisikan jawatan yang kebiasaannya dilakukan oleh pekerja asing ataupun pegawai dagang.

18. Majikan yang layak akan menerima bantuan kewangan Kerajaan antara 20 hingga 40 peratus daripada gaji kasar maksimum pekerja iaitu sebanyak RM10,000 bagi tempoh 12 bulan.

19. Program JaminKerja Short-term Employment Programme atau MYSTEP pula menyasarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak yang merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan selebihnya dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk tahun 2022.

20. Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, program MySTEP akan diterajui oleh LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan yang akan melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi-agensi Kerajaan lain.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Bajet 2022 turut memperuntukkan sebanyak RM1.1 bilion dengan sasaran 220,000 pelatih yang akan melalui pelbagai program latihan semula dan peningkatan kemahiran termasuk program place and train iaitu latihan dengan jaminan pekerjaan, serta program peningkatan kemahiran dengan keutamaan dalam bidang digital yang akan dilaksanakan oleh badan-badan termasuk HRD Corp dan Global Online Workforce (atau GLOW) di bawah MDEC.

22. Pada masa yang sama Kementerian Sumber Manusia menyediakan sebanyak 312 program temu duga terbuka dan karnival pekerjaan sepanjang tahun ini.

23. Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini ialah pembuka tirai bagi 2022 dan yang pertama dianjurkan di seluruh negara, menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan daripada 50 majikan, merentasi pelbagai industri.

24. Sudah pasti tiada siapa menyangka bahawa seorang bapa berumur 45 tahun yang kehilangan pekerjaan akibat penutupan syarikat, akan berjaya mendapatkan pekerjaan menerusi Portal MYFutureJobs.

25. Walaupun pada awalnya beliau sendiri tidak yakin akan diterima bekerja semula, ditambah pula dengan cabaran menjaga tiga anak remaja tanpa isteri yang telah meninggal dunia, beliau akhirnya berjaya diterima bekerja sebagai Senior Site Supervisor.

26. Bapa yang dikenali sebagai Encik Soo itu merupakan seorang daripada beribu ahli Keluarga Malaysia yang telah berjaya dibantu oleh Kerajaan untuk ditempatkan semula ke bidang pekerjaan.

27. Oleh sebab itu jugalah, Kerajaan terus beriltizam untuk membantu lebih ramai Keluarga Malaysia yang mengalami nasib yang sama ataupun yang berdepan dengan cabaran yang berbeza untuk mendapatkan pekerjaan.

28. Bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan pencari kerja, saya menyeru pihak industri untuk melaksanakan strategi pengambilan pekerja yang lebih baik dengan mengambil kira perubahan sosial termasuk suasana pekerjaan yang lebih fleksibel agar padanan yang lebih baik dapat diwujudkan.

29. Majikan juga perlu lebih kreatif dalam memberi jaminan pekerjaan yang baik kepada para pekerja supaya mereka kekal bersama majikantersebut.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

30. Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan memacu usaha pemulihan negara secara berstruktur dan menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara.

31. Malaysia sesungguhnya berada pada landasan yang betul dalam usaha pemulihan ekonominya melalui penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan baharu bagi memenuhi keperluan semasa pasaran buruh.

32. Saya selaku Pengerusi Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yakin bahawa usaha NEC dalam mempertingkatkan momentum penciptaan pekerjaan serta merancakkan pasaran kerja secara amnya akan dapat diteruskan menerusi Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini, yang seterusnya akan turut memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia khususnya kumpulan asnaf, B40 dan M40.

33. Saya menyeru para majikan termasuk agensi Kerajaan, GLC dan swasta untuk memanfaatkan peluang dan insentif yang disediakan di bawah Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada majikan dan pencari kerja.

34. Bagi Keluarga Malaysia yang masih menganggur dan sedang mencari punca pendapatan baharu, pastikan anda mendapatkan khidmat padanan pekerja yang ditawarkan oleh Portal MYFutureJobs.

35. Dengan kata-kata tersebut dan dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

Sekian,

Wabillahitaufiq walhidayah

Wassalammualaikum Warahmatullahiwabarakatuh

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...