Selasa, 22 Mac 2022

Majlis Pelancaran Perlis Inland Port (PIP) Dan “Bonded Road”

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN PERLIS INLAND PORT (PIP) DAN “BONDED ROAD”
CHUPING, PERLIS

15 MAC 2022 | 10 pagi


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Perlis Raja Berdaulat, Rakyat Berilmu Negeri Sejahtera Perlis Maju,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Mengadap
Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail,

dan

Mengadap
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,

Ampun Tuanku,

1. Terlebih dahulu dengan penuh hormat dan takzimnya, patik bagi pihak Kerajaan Persekutuan, mengucapkan setinggi- tinggi kesyukuran ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, patik dan sekalian hadirin dapat meraikan keberangkatan Duli-Duli Tuanku ke majlis yang bersejarah dan penuh bermakna ini.

2. Patik merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku berangkat bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) dan “Bonded Road”.

3. Sesungguhnya keberangkatan Duli-Duli Tuanku ke majlis ini mencerminkan keprihatinan yang tinggi Duli-Duli Tuanku terhadap program dan aktiviti peringkat akar umbi yang dilaksanakan untuk manfaat Keluarga Malaysia.

Ampun Tuanku,

4. Dengan penuh hormat dan takzimnya, patik memohon ampuni limpah perkenan Duli-Duli Tuanku untuk berucap kepada hadirin sekalian.

Ampun Tuanku,

I. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Man
   Menteri Besar Perlis;

II. Yang Amat Berbahagia Dato’ Paduka Haji Mohamad Yaakob bin Dato’ Seri Azizul Hassan;

III. Yang Berhormat Dato’ Haji Hamdan bin Bahari
    Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis;

IV. Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Seri Zuki bin Ali
     Ketua Setiausaha Negara;

V. Yang Amat Mulia Tengku Syarif Temenggung Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail;

VI. Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis;

VII. Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Perlis;

VIII. Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Ir. Dr. Ahmad Tajuddin bin Ali
      Anggota Lembaga Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara atau NCIA;

IX. Yang Berbahagia Dato’ Shabaruddin Ibrahim
     Pengerusi Mutiara Perlis Sdn. Bhd. (MPSB);

X. Yang Berusaha Encik Mohammad Haris Kader Sultan
    Ketua Eksekutif NCIA;

XI. Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri; XII.Anggota-anggota Majlis NCIA;

XIII. Rakan-rakan media;

XIV. Tuan-tuan dan Puan-puan, Keluarga Malaysia yang saya kasihi sekalian.

5. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama- sama berkumpul pada hari ini.

6. Ribuan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri Perlis terutamanya Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Azlan Man dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) kerana sudi menjemput saya untuk hadir ke Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) dan “Bonded Road”.

7. Kerajaan Persekutuan amat komited dengan pelaksanaan projek PIP ini melalui penyediaan tiga infrastruktur luaran yang akan menghubungkan PIP iaitu jajaran keretapi (spur line), jejambat (flyover) dan “bonded road” dengan peruntukan sebanyak RM340 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

8. Ini merupakan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pembangunan rentas wilayah dan negeri serta kawasan luar bandar, bandar dan sempadan sekaligus memastikan pembangunan lebih seimbang dan keterangkuman lebih baik selaras dengan RMK-12.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Projek PIP ialah salah satu projek strategik nasional dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan pelancarannya amat tepat ketika negara melalui proses pemulihan selepas terkesan akibat pandemik COVID-19.

10. NCER kini berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, yang mana unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Wilayah adalah antara 6.5 peratus dan 6.9 peratus dalam tempoh pemulihan 2022.

11. Di samping itu, pelaksanaan program-program modal insan oleh NCIA telah memberi manfaat kepada 67,935 Keluarga Malaysia dari 30 daerah dalam NCER daripada tahun 2019 sehingga tahun 2021.

12. Berdasarkan indikator ekonomi yang positif dan memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia dalam Wilayah ini memperolehi manfaat, Kerajaan Perlis dan NCER perlu terus meningkatkan daya saing dalam era pasca COVID-19 bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa.

13. Perkhidmatan logistik dan fasilitasi perdagangan yang cekap dan berkualiti tinggi amat penting bagi meningkatkan daya saing negara serta menjana peluang pekerjaan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Ketika lawatan rasmi pertama saya ke Thailand pada Februari lepas membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam meningkatkan hubungan dua hala dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan tenaga kerja.

15. Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk mensasarkan nilai perdagangan kepada USD30 bilion menjelang 2025. Kedudukan Perlis yang strategik dari segi geografi iaitu berdekatan sempadan Malaysia-Thailand memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perniagaan rentas sempadan.

16. Sukacita saya umumkan nilai dagangan terkini (2021) Malaysia – Thailand adalah USD23.64 bilion dan daripada jumlah itu, USD10.5 bilion disumbangkan melalui perdagangan di sempadan (border trade). Penubuhan PIP amat tepat pada masanya bagi merancakkan perdagangan dengan Thailand dan mewujudkan nilai tambah kepada projek-projek strategik di NCER iaitu Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Chuping Agro Valley (CAV), NCER Agribio Economic Zone (NAEZ), dan Perlis Super Fruits Valley.

17. PIP mencerminkan momentum pertumbuhan dan kemajuan ekonomi Perlis yang dipacu oleh sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi.

18. Ini akan menarik pelaburan baharu dengan penyediaan kemudahan logistik yang lengkap dan kos pengangkutan yang berpatutan bagi pelabur-pelabur di CVIA.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Ekoran daripada pelancaran PIP, CVIA dijangka bakal mentransformasikan Perlis dan ekonomi NCER menerusi peningkatan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ini dapat mengurangkan migrasi keluar rakyat tempatan.

20. Walaupun baru dilancarkan, CVIA telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM4.5 bilion yang bakal menjana hampir 12,000 peluang pekerjaan.

21. Sehubungan itu, NCIA akan terus meningkatkan sistem hubungan pengangkutan yang bersepadu dengan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang holistik, membolehkan PIP mempertingkatkan daya tarikan pelabur ke NCER.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Perlis sedang berada di trajektori peningkatan dalam pertumbuhan ekonomi pasca-pandemik. Ini dapat dilihat menerusi kenaikan jumlah dagangan melalui negeri Perlis pada tempoh Januari hingga Disember 2021 iaitu sebanyak RM7.9 billion berbanding RM5.4 billion pada tempoh yang sama tahun 2020.

23. Penyertaan tenaga kerja pula mencatatkan 64.5 peratus pada suku ke-4 tahun 2021 berbanding 63 peratus bagi tempoh yang sama pada 2020.

24. Setelah sekian lama dikenali sebagai negeri yang berteraskan pertanian, Perlis kini bersedia mengorak langkah ke arah transformasi menjadikannya negeri berasaskan perindustrian moden dengan projek-projek strategik berimpak tinggi seperti PIP dan CVIA.

25. Saya juga menghargai penglibatan syarikat Mutiara Perlis Sdn Bhd yang telah menyahut seruan kerajaan dalam meningkatkan kolaborasi sektor awam – swasta menerusi projek-projek nasional yang dapat membantu memulihkan ekonomi negara.

26. Projek strategik nasional berimpak tinggi seperti PIP ini dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan disamping memberi kesan limpahan ekonomi ke negeri-negeri lain ke dalam NCER, Insya- ALLAH.

Ampun Tuanku,
Demikianlah sembah ucapan patik.

27. Patik sekali lagi merafak sembah, menjunjung setinggi- tinggi kasih atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku berangkat ke majlis ini.

28. Patik sudahi ucapan ini dengan Wabillahi Taufik Walhidayah Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Menjunjung kasih Tuanku,
Ampun Tuanku.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...