Isnin, 14 Mac 2022

Majlis Perasmian Hari Terbuka Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA HARI TERBUKA GLC

11 MAC 2022 | 3.00 PETANG

PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun pada petang yang bermakna ini.

2. Terima kasih kepada Kementerian Kewangan kerana mengundang saya untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Terbuka Syarikat Berkaitan Kerajaan, atau GLC Open Day.

3. Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) amat penting dalam mencapai visi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025.

4. Pembabitan GLC dalam perkhidmatan asas seperti bekalan tenaga, petrol, air, logistik, telekomunikasi telah membolehkan kita mempelbagaikan ekonomi daripada yang berasaskan pertanian dan sumber asli kepada sektor perindustrian dan berteraskan teknologi seperti semikonduktor.

5. Bahkan, ini menjadi benteng kita terhadap krisis kewangan Asia 1997-1998 dan krisis kewangan global pada tahun 2008.

6. GLC dan GLIC juga berperanan penting dalam membangun dan mempertahankan kemajuan sosioekonomi negara.

7. Entiti-entiti seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional dan PETRONAS telah banyak membantu negara membina infrastruktur kritikal dan mencapai aspirasinya.

8. Contohnya, GLC dan GLIC membantu membangunkan salah satu kumpulan operator lapangan terbang terbesar di dunia (iaitu Malaysia Airports), melahirkan syarikat yang menjadi juara serantau (regional champions) seperti Kumpulan Maybank, CIMB dan Axiata dan membangunkan koridor penting negara seperti Iskandar Malaysia.

9. GLC dan GLIC menyumbang kira-kira RM445 bilion atau 25 peratus permodalan pasaran Bursa Malaysia, memberi pekerjaan langsung kepada setengah juta Keluarga Malaysia dan penyumbang terpenting dalam rantaian bekalan negara.

10. Ia juga penting bagi mencapai aspirasi negara maju melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dalam pembangunan sosioekonomi negara serta keperluan menyusun semula (atau reform) dasar-dasar Kerajaan dalam meningkatkan daya tahan rakyat serta daya saing Malaysia di pentas dunia.

11. RMK-12 menggambarkan peranan GLC dan GLIC yang diperkukuh dalam usaha memperluas pasaran eksport, membantu komuniti perusahaan dan menceburi sektor strategik yang baharu seperti Revolusi Industri 4.0 yang berteraskan penggunaan data raya dan analisis data.

12. Ini melibatkan pelan strategik termasuk:

i. Pelaksanaan program bimbingan oleh GLC kepada pengamal profesional kecil dan sederhana (PPKS) dalam sektor perkhidmatan;
ii. Perluasan model perniagaan inklusif yang menggalakkan penglibatan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam rantaian bekalan GLC; serta
iii. Pembiayaan dan pelaburan hijau untuk projek pembangunan mampan dan mesra iklim, termasuk melalui kerjasama awam swasta.

13. GLC turut menjadi antara pemacu utama dalam menjayakan pelbagai inisiatif Kerajaan melalui Bajet 2022 seperti JaminKerja Keluarga Malaysia bernilai RM4.8 bilion dan program SemarakNiaga Keluarga Malaysia bernilai RM40 bilion.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Pada tahun 2013, beberapa GLC dan GLIC telah bergabung usaha untuk menubuhkan Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN) bertujuan menyelaraskan pemberian bantuan sosial dan pembinaan semula selepas bencana alam atau malapetaka.

15. Antara tahun 2013 dan 2016, rangkaian ini telah menyumbang kepada operasi pemulihan dan pembinaan semula, terutamanya untuk mangsa banjir di Kelantan, Pahang dan Johor.

16. Dalam tempoh dua tahun sejak tahun 2020, GDRN juga telah berjaya membantu lebih daripada 450,000 orang yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan banjir dengan pelbagai jenis bantuan bernilai RM 327 juta, termasuk geran padanan Kerajaan melebihi RM55 juta.

17. Kerajaan sedar perlunya potensi rangkaian GDRN ini ditambah baik supaya ia bersifat responsif dan lebih proaktif dalam membina keupayaan dan daya tahan Keluarga Malaysia.18. Sempena majlis ini, saya juga mengumumkan bahawa GDRN kini dikenali sebagai GLC Demi Rakyat dan Negara, dengan skop yang diperluaskan daripada Jalinan Kemanusiaan sedia ada kepada Jalinan Ilmu dan Jalinan Sejahtera.

19. Jalinan Ilmu merangkumi biasiswa, peluang dan akses pendidikan serta pembangunan kemahiran insan; manakala Jalinan Sejahtera mengutamakan pembinaan kehidupan dari segi menjana pendapatan, membina kemahiran vokasional dan ilmu pengurusan kewangan, serta memastikan kesejahteraan kesihatan dan alam sekitar.

20. Dengan skop baharu korporat ini, GDRN akan menerajui usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility) secara lebih selaras dan teratur bagi mengoptimumkan sumber terkumpul GLC dan GLIC, sekali gus memanfaatkan lebih ramai B40 dan golongan tumpuan tertentu.

21. Justeru, pewujudan GLC dan sumbangannya kepada ekonomi negara serta komuniti ibarat benih cengal yang dijadikan logo Hari Terbuka GLC dan simbol keutuhan ekosistem GLC dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

22. Bagi tempoh jangka masa panjang, dapatlah kita menikmati manfaat benih ini yang bukan hanya menjadi sebatang pokok, tetapi juga sebuah hutan, yang boleh diumpamakan sebagai sebuah ekonomi yang “Makmur, Inklusif dan Mampan” bagi manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Mendukung aspirasi ini, Hari Terbuka GLC 2022 bertujuan mendekatkan Keluarga Malaysia dengan GLC dan GLIC, terutamanya dalam membina semula kehidupan pasca pandemik COVID-19.

24. Bertemakan ‘Aspirasi Masyarakat, Inspirasi Negara’, Hari Terbuka GLC 2022 ini :

i. Menekankan usaha berterusan GLC dan GLIC dalam membina semula kehidupan Keluarga Malaysia pasca- pandemik; dan
ii. Mempamerkan konsep GLC dekat dengan rakyat, selaras dengan Aspirasi Keluarga Malaysia.

25. Sepanjang tiga hari ini, Keluarga Malaysia harus merebut peluang-peluang yang ditawarkan oleh GLC dan GLIC, termasuk:
i. Peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang;
ii. Sokongan perniagaan untuk PKS; dan
iii. Peluang kerjasama dengan GDRN oleh badan-badan bukan kerajaan bagi memenuhi tanggungjawab sosial kepada Keluarga Malaysia.

26. Adalah menjadi harapan saya agar platform seperti ini menjadi pemudah cara bagi Keluarga Malaysia dan GLC untuk mendekati dan menyumbang kepada satu sama lain.

27. Berdasarkan pencapaian masa lalu, sememangnya wajar untuk kita meletakkan harapan tinggi terhadap syarikat- syarikat GLC dan GLIC dalam membantu mempercepatkan proses pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Sebelum saya mengakhiri ucapan, izinkan saya berkongsi beberapa pengumuman penting.

29. Pertama, Kerajaan prihatin atas cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat. Dalam konteks ini, Kerajaan telahpun memastikan semua penjawat awam menerima jumlah gaji dan elaun sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.

30. Tahap pendapatan minimum ini wajar diamalkan oleh sektor swasta bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi pekerja yang berpendapatan rendah.

31. Sehubungan itu, Kerajaan komited untuk memastikan pekerja tetap syarikat GLC dan GLIC dibayar sekurang- kurangnya RM1,500 sebulan. Diharap syarikat korporat lain akan turut meneladani usaha ini.

32. Kedua, dalam Bajet 2022, Kerajaan telah mengumumkan bahawa semua syarikat tersenarai diwajibkan melantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita sebelum 1 Jun 2023.

33. Bukan sahaja sempena Hari Wanita Sedunia baru-baru ini, kita sepatutnya mengiktiraf secara berterusan peranan wanita sebagai pemimpin dan penyumbang penting kepada kemajuan sosio-ekonomi dan kemakmuran negara.

34. Sehubungan itu, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, setiap GLC tersenarai hendaklah mencapai tahap penyertaan wanita sekurang- kurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023.

35. Ketiga, RMK-12 telah mengumumkan objektif negara untuk mencapai net zero carbon emissions pada tahun 2050. Dalam merealisasikan aspirasi ini, kesemua GLC dan GLIC disarankan supaya mempunyai sasaran jangka masa sederhana dan sasaran net zero carbon menjelang 2050 dalam merealisasikan objektif RMK-12 tersebut.

36. Kerajaan berharap agar pengumuman dasar-dasar ini akan memberi manfaat dan kesejahteraan berterusan kepada Keluarga Malaysia, InsyaAllah.

37. Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya dengan besar hati dan dengan semangat Keluarga Malaysia, merasmikan Hari Terbuka GLC 2022.

Sekian,

Wabillahitaufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...