Khamis, 3 Mac 2022

Majlis Perasmian Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022


 TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
PROGRAM CITRAWARNA KELUARGA MALAYSIA 2022

26 FEBRUARI 2022 | 8.25 MALAM KUCHING WATERFRONT, SARAWAK

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur kehadarat Ilahi kerana dengan limpah dan rahmatnya, kita berpeluang berambeh (berkumpul) di Bandar Raya Kuching Sarawak malam ini untuk meraikan festival mega Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang cukup istimewa.

2. Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak khususnya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak atas sokongan dan kerjasama dalam menganjurkan Citrawarna Keluarga Malaysia ini.

3. Festival mega ini telah diadakan setiap tahun sejak 1999 dan disenaraikan sebagai salah satu acara berskala besar di dalam kalendar pelancongan negara.

4. Setelah empat tahun kita tidak dapat menganjurkannya, malam ini kita berpeluang meraikannya, namun dalam suasana pemantauan SOP yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19 dan mempercepatkan proses era endemik tidak lama lagi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Sesuai dengan tema sambutan Citrawarna Keluarga Malaysia, ‘Temasya Kepelbagaian Budaya’ sekali lagi menampilkan kehebatan dan keunikan seni, budaya dan warisan rakyat Malaysia.

6. Di Sarawak sahaja contohnya terdapat 28 etnik yang mencorak keunikan budaya yang menjadi kebanggaan bukan sahaja rakyat di Bumi Kenyalang tetapi seluruh Keluarga Malaysia amnya.

7. Pemilihan Kuching sebagai lokasi sambutan Citrawarna juga amat bersesuaian memandangkan Bandar Raya Kuching telah mendapat pelbagai pengiktirafan penting di peringkat antarabangsa.

8. Antaranya sebagai Bandar Raya Kreatif oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi dan ASEAN pada November 2021 dan Bandaraya Kraf Dunia (World Craft City) oleh Majlis Kraf Dunia Asia Pasifik pada 2018.

9. Kejayaan menjadi Creative City of Gastronomy ini, Kuching dilihat mampu merancakkan ekonomi dan industri pelancongan dan kebudayaan khususnya di Sarawak.

10. Festival Citrawarna Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari ini juga pastinya berupaya mempromosikan produk kesenian dan warisan khususnya di Sarawak yang sememangnya cukup kaya dengan ‘biodiversity’.

11. Daripada hidangan makanan tempatan seperti Mee Kolok, Laksa Sarawak, Kek Lapis Sarawak, persembahan seni tari pelbagai etnik sehinggalah jualan kraftangan, semuanya mempunyai keunikannya tersendiri. Maka tidak hairanlah sambutan festival mega ini cukup signifikan dari segi tagline Malaysia- Truly Asia.

12. Saya juga difahamkan pada sambutan Citrawarna kali ini, satu Konsert Sape akan diadakan di Dataran Waterfront Kuching melibatkan 250 orang pemain Sape dan bakal dicatatkan dalam Malaysia Book of Records dengan penyertaan pemain sape terbanyak.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Bagi merancakkan kembali sektor ekonomi termasuk industri pelancongan yang sebelum ini terjejas dengan pandemik COVID-19, kerajaan giat melakukan pelbagai inisiatif bagi membantu sektor-sektor terlibat.

14. Antara usaha yang sedang dilakukan termasuk membenarkan pergerakan rentas sempadan melalui skim Vaccinated Travel Lane (VTL) udara, darat dan laut.

15. Selain Singapura, dan Indonesia, Brunei secara dasar juga telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan VTL ini hasil perbincangan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah semasa kunjungan saya ke Brunei baru-baru ini.

16. Langkah ini bukan sahaja mampu memulihkan industri pelancongan Sarawak tetapi merancakkan kembali ekonomi khususnya di bahagian Miri, Limbang dan Lawas yang terletak bersempadan dengan Brunei.

17. Saya juga baharu sahaja pulang daripada lawatan rasmi ke Thailand dan kerajaan bercadang untuk melaksanakan perkara sama dengan jiran kita itu.

18. Selain itu kerajaan telah melaksanakan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) pada November 2021 yang membenarkan pelancong asing datang ke Malaysia melalui Pulau Langkawi.

19. Inisiatif ini merupakan ujian rintis atau ‘pilot test’ ke atas kesediaan dan kesiapsiagaan sektor pelancongan termasuklah penggiat industri dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan terhadap ‘norma baharu’.

20. Walaupun baru 3 bulan, seramai 5,686 pelancong asing telah memanfaatkan LITB dan projek ini telah menjana pendapatan lebih RM28 juta kepada ekonomi Pulau Langkawi.

21. Sejak diperkenalkan, tiada sebarang kluster jangkitan yang berpunca daripada pelancong-pelancong LITB, hanya 1% sahaja didapati positif COVID-19 di bawah kategori 1 dan 2 ketika saringan dibuat di KLIA dan Langkawi.

22. Maklumbalas baik yang diterima daripada pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan LITB, memberi keyakinan kepada kerajaan untuk meneruskan inisiatif LITB sehingga pintu sempadan negara dibuka sepenuhnya kelak.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Dalam Bajet 2022, kerajaan telah mengumumkan bantuan khas RM85 juta kepada lebih 20,000 pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah MOTAC. Untuk makluman, bantuan ini akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada bulan ini dan bulan Mei.

24. Antara yang bakal menerima manfaat bantuan ini ialah 10,000 pemandu pelancong yang akan menerima RM1,500 seorang, 5,592 agensi pelancongan (TOBTAB) menerima RM9,000 setiap agensi dan 3,100 pengusaha homestay yang berdaftar dengan MOTAC akan menerima RM1,800 seorang.

25. Akhir kata, diharap dengan semua inisiatif dan langkah yang dilakukan kerajaan ini mampu merancakkan kembali sektor pelancongan dan melonjakkan semula nama Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancongan global.

26. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Citrawarna Keluarga Malaysia 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufiq Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...