Khamis, 23 Disember 2021

Sempena Perasmian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

 



TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA:
PERASMIAN 100 HARI
ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA
9 DISEMBER 2021 | 2.50 PETANG

KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE

Bismillahirrahmaanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.
Yang Berhormat Menteri-Menteri Kanan Persekutuan;
Yang Berhormat Menteri-Menteri Persekutuan;
Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Ketua Setiausaha Negara; dan Seluruh Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Mukadimah

1. Marilah kita sama-sama menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah perkenan dan keizinan-Nya, kita dapat berhimpun pada majlis 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

2. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah paksi perjuangan kerajaan. Perancangan yang tepat lagi jitu, menghasilkan kepesatan pembangunan negara, dan meletakkan negara terkenal di persada dunia.

3. Dengan penuh kepayahan pejuang kemerdekaan terdahulu, kita mewarisi kedamaian, keharmonian serta kecemerlangan negara, seperti yang dikecapi hari ini.

4. Pemasyhuran Rukun Negara dan penyusunan semula ekonomi negara melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri yang kedua, telah memeta perjalanan pembangunan tanah air kita.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Malaysia diuji dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi, yang berpunca daripada pandemik COVID-19. Cabaran ini turut dirasai di seluruh dunia. Wabak yang tidak pernah kita alami ini telah mengubah pola kehidupan kita.

6. Anggota pentadbiran negara memikul tanggungjawab dan amanah untuk mendepani dua cabaran utama yang melanda negara. Pertama, memerangi pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi. Kedua, menstabilkan politik. Kedua-dua perkara pokok ini menjadi tumpuan kerajaan.

7. Dalam usaha memerangi COVID-19, Kerajaan telah melaksanakan program vaksinasi melalui pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

8. Kes positif COVID-19 di negara kita pernah mencapai angka puncak, iaitu 24,599 pada 26 Ogos 2021. Bagaimanapun, PICK telah menunjukkan hasil apabila kes positif COVID-19 telah menurun ke tahap yang rendah, iaitu 4,087 pada 29 November 2021. Alhamdulillah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanahnya. Kebersamaan kita bermula dengan persefahaman politik, maka semua pihak mula berganding bahu melawan COVID-19 dan menangani permasalahan ekonomi.

10. Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani ini sangat penting, bukan sahaja untuk mencapai kestabilan politik, malah memulihkan ekonomi negara dan kesihatan awam. Pemeteraian Persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) telah melakar sejarah baharu kepada negara. Ia meletakkan negara dan rakyat melangkaui kepentingan politik kepartian, bak kata pepatah, elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat.

11. Aspirasi pentadbiran yang direncanakan oleh kerajaan bukan janji kosong, tetapi usaha bersepadu yang dilaksanakan secara tekal. Kerajaan sedar akan keperluan untuk bekerja bersama rakyat dalam memulihkan isu kesihatan dan ekonomi. Justeru, pada hari yang bersejarah ini, Jemaah Menteri akan berkongsi pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

12. Untuk merealisasikan Aspirasi Keluarga Malaysia ini, kerajaan telah menggariskan enam (6) teras atau fokus utama dalam pencapaian 100 hari ini, iaitu:

a. menstruktur semula ekonomi;
b. menjamin keselamatan dan ketenteraman negara;
c. meningkatkan kesejahteraan sosial;
d. mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh;
e. memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia; dan
f. memperkasakan penyampaian perkhidmatan.

Teras ini menjadi tunjang kekuatan Aspirasi Keluarga Malaysia untuk memulihkan negara, khususnya daripada kelelahan kesan pandemik COVID-19.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Pencapaian Kejayaan 100 Hari Jemaah Menteri

13. Pada 24 September 2021 yang lalu, saya telah memuktamadkan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari yang diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras Kementerian (50%), Penilaian Prestasi Menteri (25%) dan Persepsi Awam (25%) terhadap Menteri dan Kementerian. Sebanyak 140 sasaran telah ditetapkan untuk dilaksanakan sepanjang tempoh 100 hari tersebut, yang melibatkan 31 Yang Berhormat Menteri daripada lima (5) Kluster, iaitu Kluster Menteri Kanan, Ekonomi, Sosial, Keselamatan dan Infrastruktur.

14. Prestasi keseluruhan 100 Hari Jemaah Menteri belum menepati sasaran 100% seperti yang dihasratkan. Namun pada ketika ini, Ahli Jemaah Menteri telah mencapai sekitar 90 peratus. Walau bagaimanapun, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata. Maka, peratusan yang dicapai ini bukan alasan untuk kita mendabik dada, sebaliknya ia menyuntik kesungguhan dan iltizam untuk kami terus bekerja bersama rakyat.

15. Sasaran penuh Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya seluruh ahli Jemaah Menteri dengan kerjasama penjawat awam, menggembleng tenaga dan memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan kepada Keluarga Malaysia, dengan mengetepikan segala kerenah birokrasi yang rumit. Bak kata orang Iban, “ENTIK BEGEMPUNG KITAI SEPANJUNG, ENTIK PAMAR KITAI DEKAT NGEPAR” – Jika bersatu, suara kita akan lebih didengar, jika berpecah usaha kita sia-sia.

16. Saya juga berterima kasih kepada Keluarga Malaysia atas pencapaian ini. Prestasi yang saya maklumkan, bukan hanya memberikan tumpuan kepada KPI semata-mata, tetapi juga mengambil kira persepsi Keluarga Malaysia melalui tinjauan soal selidik yang diberikan. Penglibatan Keluarga Malaysia dalam menilai kepemimpinan, integriti, komunikasi, kebolehpercayaan, responsif dan empati setiap Jemaah Menteri dan kementerian amatlah dihargai.

17. Hal ini selaras dengan Key Happiness Outcome (KHO) yang telah diperkenalkan dalam Keluarga Malaysia untuk melengkapi KPI yang disasarkan. KHO dapat mengukur kepuasan hati rakyat pada bila- bila masa. Ia dapat memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report, yang kita kini berada di kedudukan ke-81 pada tahun 2021.

18. Saya dimaklumi, seramai 190,914 ahli Keluarga Malaysia terlibat dalam tinjauan soal selidik oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (MAMPU) untuk menilai pencapaian Jemaah Menteri dan kementerian. Usaha ini merupakan permulaan bersejarah kerana penilaian 360 darjah buat pertama kalinya dilaksanakan untuk menilai pencapaian kerajaan. Saya berharap, lebih ramai lagi Keluarga Malaysia memberikan pandangan melalui pelbagai mekanisme penambahbaikan, bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Impak Kejayaan Aspirasi Keluarga Malaysia

19. Kerajaan telah membuktikan, pelaporan 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia ini bukan “bagai menumbuk padi hampa”. Impak yang terhasil, dapat memberikan manfaat kepada rakyat. Hal ini dibuktikan dengan kejayaan Aspirasi Keluarga Malaysia berdasarkan enam (6) teras utama yang telah ditetapkan.

Teras 1: Menstrukturkan Semula Ekonomi

20. Kejayaan PICK melalui kerjasama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah membolehkan pembukaan penuh sektor ekonomi. Ini menjadi ramuan asas kepada proses kebangkitan ekonomi makro dan rakyat, sekali gus menyemai benih pemulihan yang kukuh apabila negara memasuki suku keempat 2021. Jika dilihat daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, terdapat peningkatan sebanyak 3.0%, berbanding dengan penguncupan 6.4% dalam tempoh yang sama tahun lalu. Angka mutakhir kadar pengangguran sudah berkurangan kepada 4.3% pada Oktober 2021, berbanding kemuncak 5.3% pada Mei 2020. Angka terbaru ini juga lebih rendah dari dua bulan sebelumnya – menunjukkan bahawa 100 hari pertama membawa keberhasilan hakiki dalam aspek peluang pekerjaan.

21. Trend penurunan kadar pengangguran yang menggalakkan ini juga turut disertai dengan lonjakan 24.7% dalam eksport dan peningkatan 11.6% dalam nilai jualan sektor pembuatan pada bulan yang sama. Ramai yang memerhati angka pelaburan sebagai antara petunjuk keyakinan komuniti perniagaan terhadap keutuhan ekonomi sesebuah negara. Di sini, Malaysia mencatatkan perkembangan positif RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua, iaitu peningkatan sebanyak 56 peratus. Ini menjadikan jumlah FDI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada lebih RM30 bilion iaitu peningkatan sebanyak 300 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2020. Angka ini masih dapat dicapai di sebalik penutupan sempadan akibat pandemik.

22. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah berjaya meningkatkan pelaburan asing dalam sektor pembuatan, dengan memacukan pertumbuhan ekonomi melalui program galakan pelaburan yang strategik. Dalam tempoh 100 hari ini, RM109.1 bilion telah diluluskan, dengan unjuran 25,000 peluang pekerjaan.

23. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia juga telah meningkatkan eksport sektor agrokomoditi dengan nilai eksport RM147.2 bilion. Ini meningkatkan sumbangan kepada pendapatan rakyat dan negara.

24. Kerajaan menyedari kesan COVID-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat, bukan sahaja golongan B40 tetapi golongan M40 juga. Sehubungan itu, pelbagai program dirangka untuk memastikan Keluarga Malaysia dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan selesa. Dalam konteks ini, bukan hanya golongan pekerja yang diperjuangkan, tetapi juga golongan usahawan yang juga merupakan majikan kepada ramai. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah berjaya melahirkan 3,667 usahawan baharu yang terdiri daripada belia, graduan dan warga yang hilang pekerjaan akibat pandemik.

25. Atas kesedaran sama bahawa syarikat dan pengusaha adalah enjin pemulihan ekonomi, Kementerian Kewangan melalui inisiatif Bayaran untuk Program Subsidi Upah telah menyalurkan sebanyak RM3.3 bilion bagi membantu aliran tunai peniaga kecil dan perusahaan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Ini memberikan manfaat kepada 189,000 majikan dan 1.9 juta pekerja.

26. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga telah menyalurkan geran sebanyak RM40.48 juta kepada PKS, industri kreatif digital dan syarikat industri digital. Ini bertujuan memacu penerimagunaan digital, pengkomersialan teknologi dan harta intelek, sekali gus memperkasa daya saing. Dalam membantu kelangsungan penggiat dan pemain industri pula, pembiayaan akses dan promosi serta pembangunan kapasiti telah disediakan di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif (PRISMA) dan PEMULIH.

27. Perkembangan mutakhir dalam soal harga makanan telah kembali menarik perhatian kita akan kepentingan sektor industri pertanian. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah meningkatkan taraf hidup kumpulan sasar menerusi pemberian bantuan dan insentif. Seramai 74,827 penerima telah menikmati insentif menerusi MAFI Prihatin. Di samping itu, MAFI melalui kerjasama dengan AGRO Bank telah menyalurkan pembiayaan bernilai lebih RM80 juta kepada 4,217 penerima, serta menyasarkan peruntukan keseluruhan bernilai RM110 juta hingga tahun 2022.

28. Bagi mengukuhkan agenda sekuriti makanan, MOSTI telah membangunkan baka Benih Padi IS21 yang akan meningkatkan produktiviti dan mampu mengeluarkan hasil padi sehingga sembilan tan sehektar berbanding lima tan sehektar, sebelum ini. Di samping itu, kos penanaman akan dapat dikurangkan sehingga 20 peratus. Saya memahami perit jerih dan hidup para petani, kerana saya tahu keringat dan nilai segantang beras. Saya percaya usaha ini akan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup Keluarga Malaysia.

Teras 2: Menjamin keselamatan dan ketenteraman negara

29. Kerajaan juga tidak berkompromi dalam memastikan keselamatan awam terus menjadi keutamaan. Kementerian Pertahanan telah meningkatkan kawalan sempadan melalui 37 Operasi Benteng dalam tempoh 100 hari. Manakala, Kementerian Dalam Negeri telah memperkukuh penguatkuasaan keselamatan, terutama dalam menangani isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Melalui program ini seramai 136,929 orang PATI telah dihantar pulang. Pelaksanaan inisiatif ini, untuk meningkatkan kawalan keselamatan, memperkukuh penguatkuasaan dan pengurusan warga asing serta menurunkan kadar jenayah, seterusnya memelihara kebajikan rakyat.

30. Dalam usaha kerajaan memperkukuh keselamatan negara di peringkat antarabangsa, Kementerian Luar Negeri telah memuktamadkan Kerangka Dasar Luar Negeri. Saya juga sentiasa memberikan keutamaan kepada hubungan Malaysia dengan negara ASEAN, selari dengan prinsip ASEAN prosper-thy-neighbour yang saya kira amat tekal dengan nilai keluarga Malaysia yang ingin saya terapkan. Saya percaya, dengan kejiranan yang makmur, Malaysia dapat memperoleh kemajuan maksimum dari aspek keselamatan, sosial dan ekonomi.

31. Lawatan rasmi saya ke Indonesia dan Singapura baru-baru ini telah mencapai persefahaman tentang pelaksanaan inisiatif koridor perjalanan antara kedua-dua negara, yang dikenali sebagai Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) dan Aturan Koridor Perjalanan (TCA). Inisiatif ini telah direalisasikan bersama Singapura pada 29 November 2021. Kunjungan ke Indonesia juga telah memeterai dua memorandum dalam sektor pendidikan dan kastam, yang akan memperkukuh kolaborasi kedua-dua negara dalam aspek tersebut.

32. Hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dengan negara luar, telah membolehkan kita memperoleh sumbangan vaksin dan peralatan perubatan. Hal ini, sekali gus memperkasakan kesejahteraan sosial melalui kerjasama antarabangsa untuk menangani COVID-19.

Teras 3: Meningkatkan kesejahteraan sosial

33. Kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan bantuan yang dapat memperkasakan kesejahteraan sosial Keluarga Malaysia. Peruntukan sebanyak RM8.2 bilion melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) disalurkan kepada 9.6 juta penerima yang layak tanpa mengira latar belakang kaum secara berperingkat. BKM ini merupakan pemberian tunai yang ditambah baik bagi memastikan manfaat disampaikan terus kepada mereka.

34. Saya telah melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia pada 23 Oktober 2021, sebagai manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, untuk menjaga kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak ini.

35. Melalui Bajet 2022, kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi tujuan ini. Yayasan Keluarga Malaysia ini diwujudkan bagi memberi perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia akibat COVID-19 dan bencana-bencana lain.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

36. Salah satu fokus kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan sosial di bawah teras ketiga Keluarga Malaysia ialah program vaksinasi. Melalui PICK, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5.8 bilion bagi pelaksanaan program vaksinasi yang meliputi perolehan, logistik, pengurusan, sanitasi, pelaksanaan, program advokasi dan lain-lain.

37. Oleh sebab perancangan PICK yang bersifat jangka panjang, program vaksinasi PICK Remaja dapat dijalankan dengan serta merta, selepas mendapat kebenaran daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sejak program ini dilaksanakan, kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa sudah mencapai 97.2 peratus manakala kadar vaksinasi bagi remaja yang berumur 12 hingga 17 tahun sudah mencapai 86.6%.

38. PICK akan diteruskan dengan pemberian suntikan dos penggalak untuk menguatkan daya tahan Keluarga Malaysia terhadap virus ini. Alhamdulillah, usaha pemberian dos penggalak ini berjalan dengan lancar melibatkan 2.6 juta dos.

39. Aspirasi Keluarga Malaysia juga memperkasakan golongan Orang Kurang Upaya ( OKU). Melalui program meningkatkan kesejahteraan sosial, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mendaftarkan 2,350 permohonan OKU baharu pada November 2021, di seluruh Malaysia melalui program MyDaftarOKU. Kad OKU secara digital pula dapat dikeluarkan dalam tempoh 24 jam selepas mendapat kelulusan. Hal ini akan memudahkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan dengan lebih pantas dan tuntas.

40. Kerajaan juga akan merancakkan usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan belia. Di bawah inisiatif penawaran peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), seramai 14,740 pelajar telah mendapat penempatan pekerjaan dan penjanaan pendapatan melalui Program GetHired@KPT di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Manakala, melalui portal MyFutureJobs, Kementerian Sumber Manusia, sebanyak 55,528 penempatan pekerjaan daripada pelbagai sektor telah dilaksanakan melalui portal ini. Bagi tempoh 1 September hingga 9 Disember, sejumlah 728,444 kekosongan telah didaftarkan di portal yang sama.

41. Hari ini saya ingin mengumumkan, 24,300 peluang pekerjaan melibatkan 75 majikan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya di program Aspirasi 100 Hari sepanjang empat hari ini.

42. Sebelum ini, kita mendengar bahawa ramai di kalangan pelajar B40 terutama menghadapi masalah pembelian makanan kerana belum menerima biasiswa dan bantuan. Akibat dari keadaan ini, mereka terpaksa mengikat perut untuk makan. Alhamdulillah, dengan pengenalan FOOD@Campus, mereka mendapat baucar tunai RM15 untuk membeli makanan di pusat pengajian masing- masing.

43. Baucar ini diagihkan kepada pelajar terpilih yang terdiri daripada golongan asnaf dan B40 melibatkan penuntut universiti awam, politeknik dan kolej komuniti seluruh negara. Program FOOD@Campus ini telah memanfaatkan seramai 470,444 penuntut setakat ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

44. Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-100 pada tahun 2057. Kita mempunyai tempoh 36 tahun untuk membuat persediaan bagi generasi yang akan datang. Sejajar dengan itu, kelestarian Keluarga Malaysia menumpukan aspek alam sekitar dan masyarakat demi kelangsungan generasi akan datang.

45. Justeru, kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia sebuah negara sifar pelepasan gas rumah hijau menjelang tahun 2050, seperti pendirian negara pada Sidang Kemuncak ASEAN-Eropah Ke-13 (ASEM13). Kerajaan sedang meneliti pemberian insentif kepada kerajaan negeri dalam pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar selaras dengan Agenda Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negara menjelang tahun 2030.

46. Belia merupakan tunjang keutuhan Keluarga Malaysia, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Suara dan pandangan golongan inilah yang akan menggerakkan usaha kerajaan terhadap objektif dan fokus dalam pentadbiran negara pada hari ini. Hal ini selari dengan iltizam saya sebagai Perdana Menteri.

47. Dua program untuk memperkasakan jati diri belia telah dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan, iaitu Model Baharu Pembangunan Belia 2030 dan Program Rukun Negara Belia. Kedua-dua program ini bertujuan membangunkan belia dan Masyarakat 5.0 berdasarkan aspirasi anak muda. Program Talent Identification and Development untuk meningkatkan kebolehpasaran belia berkemahiran tinggi, seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0, khususnya graduan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan.

48. Pendidikan merupakan asas pembinaan generasi pewaris negara yang berdaya saing. Bagi tujuan tersebut, Kementerian Pendidikan telah memperkasakan fasiliti kurikulum dan kokurikulum dengan menyiapkan projek menaik taraf bangunan daif di 29 buah sekolah dan memulakan pembinaan 34 buah dewan terbuka serba guna. Usaha ini akan terus dipergiat bagi memastikan infrastruktur pendidikan yang selamat dan selesa dapat disediakan.

49. Kerajaan juga sentiasa memastikan akses pendidikan yang menyeluruh, dengan mengutamakan pengoperasian sekolah yang menekankan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan murid berpandukan kepada Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0. Di samping itu, calon guru yang berjaya dalam Fasa 1 pengambilan khas secara one-off telah diberikan surat tawaran dan telah ditempatkan di sekolah. KPM juga telah membangunkan sistem aplikasi pertukaran dan penempatan guru bagi memantapkan lagi proses berkenaan selaras dengan keperluan semasa.

50. Keluarga Malaysia mengamalkan prinsip “tiada golongan yang dipinggirkan”, bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras, bertimbang sama berat. Kerajaan memberikan fokus yang jitu terhadap pemerkasaan pendidikan masyarakat Orang Asli. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melaksanakan pelbagai program rentas kementerian untuk membuka ruang kepada lebih ramai anak Orang Asli bagi melanjutkan pengajian di universiti dan bekerja dalam bidang profesional.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

51. Bagi menjulang nilai keterangkuman di dalam Keluarga Malaysia, Kerajaan melalui Bajet 2022 memperuntukkan sejumlah RM200 juta khusus untuk kaum Cina bagi melaksanakan program baik pulih rumah dan kemajuan kampung baru, akses pembiayaan bagi penduduk kampung baru dan Skim Pembiayaan Usahawan PKS.

52. Sebanyak RM145 juta disediakan untuk melaksanakan program memperkasa sosioekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN.

53. Bukan setakat itu sahaja, komitmen kerajaan kepada Keluarga Malaysia di Sabah Sarawak dizahirkan melalui langkah untuk menghormati Perjanjian Malaysia 1963. Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) telah bersetuju dengan cadangan pindaan membabitkan Perkara 1(2) serta Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung.

Teras 4: Mempertingkatkan infrastruktur menyeluruh

54. Selama tempoh 100 hari pentadbiran, kerajaan ini juga memandang serius untuk memastikan bahawa infrastruktur dapat dipertingkatkan di seluruh negara, seperti yang telah digariskan pada teras keempat. Antara fokus yang diberikan perhatian ialah program perumahan untuk golongan bersasar. Dalam tempoh 100 hari ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah membina
800 unit rumah dengan status kemajuan sekurang-kurangnya 75% siap, yang memberikan manfaat kepada 4,000 isi rumah. Program ini turut membaik pulih 10,000 unit rumah dengan status kemajuan 100% siap, yang memberikan manfaat kepada 50,000 isi rumah melalui inisiatif Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bina Baharu dan Baik Pulih.

55. Saya juga telah melancarkan inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia (Rumah Ikram Keluarga Malaysia) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Inisiatif ini disediakan untuk mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19, sehingga kehilangan tempat berteduh disebabkan merosotnya pendapatan, kehilangan pekerjaan dan kesusahan lain. KPKT telah menyediakan 2,177 unit kediaman untuk ditawarkan selama 2 tahun pada kadar sewa minimum, iaitu RM124 sebulan dengan insentif pengecualian sewaan selama 6 bulan, untuk meringankan beban kewangan penerima manfaat.

56. Kementerian Pertahanan telah merancang untuk membina 28,033 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT). Sebanyak 2,000 unit RKMAT telah siap untuk diduduki, yang memenuhi 85 peratus keperluan bagi anggota ATM di seluruh Lembah Klang. Perumahan ini dilengkapi pelbagai kemudahan, seperti perabot, perkakas elektrik, dewan serba guna, gimnasium, surau dan beberapa unit kedai.

Teras 5: Memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia

57. Selaras dengan teras kelima – memperkukuh penyatuan dalam acuan Keluarga Malaysia – Kementerian Perpaduan Negara telah menubuhkan Pusat Mediasi Komuniti di enam negeri, 300 pusat rukun tetangga dan 14 pusat aktiviti perpaduan dengan 100 mediator di seluruh negara bagi menguruskan isu berkaitan kaum dan agama dalam komuniti.

58. Dalam melestarikan seni, budaya dan warisan negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta agensi Kraftangan Malaysia telah menggembleng pelbagai inisiatif untuk memacu sektor pelancongan negara, industri kraf dan batik tempatan. Di samping itu, pembukaan semula Pulau Langkawi sebagai Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik telah merancakkan semula sektor pelancongan domestik, dengan pulangan pendapatan sebanyak RM200 juta. Ini sebagai isyarat pemulihan sektor perkhidmatan yang menjadi tunjang pendapatan negara.

Teras 6: Memperkasakan penyampaian perkhidmatan

59. Melalui teras memperkasakan penyampaian perkhidmatan, Kementerian Dalam Negeri telah membangunkan dan memperluas perkhidmatan dalam talian (End-To-End), untuk memudahkan urusan rakyat. Antara usaha yang telah berjaya diperluas adalah seperti permohonan pasport Malaysia antarabangsa secara dalam talian, yang bermula pada 11 November 2021 yang lalu, dengan pencapaian sebanyak 50.08 peratus atau 145,612 permohonan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Rantaian ke Hadapan

60. Pelaporan pencapaian 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia ini penting dalam menentukan hala tuju dan momentum kerajaan untuk mencapai matlamat, agar Keluarga Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih baik. Dengan iktikad menjaga Keluarga Malaysia, setiap perancangan kerajaan berpaksikan kesejahteraan rakyat supaya terpelihara, seperti sebuah keluarga.

61. Pelbagai program dan inisiatif di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia telah dan akan dilaksanakan untuk memulih kehidupan, membina semula daya tahan dan memacu pembaharuan, seperti yang telah diumumkan dalam Bajet 2022.

62. Pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia tidak akan terhenti setakat ini. Malah aspirasi kami untuk bekerja bersama rakyat akan berterusan, melalui pelan jangka masa sederhana bagi tempoh 6 bulan dan sasaran jangka panjang.

63. Kerajaan peka terhadap keluh kesah rakyat, terutama peningkatan harga barang yang naik mendadak. Untuk menanganinya, kerajaan telah mengambil tindakan segera mengawal harga, dengan memperkenalkan skim kawalan harga maksimum barang keperluan. Jualan Murah Keluarga Malaysia telah diadakan di setiap kawasan Parlimen, bermula 4 Disember 2021. Kerajaan juga telah meluluskan RM262 juta, sebagai insentif tambahan untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi para petani.

64. Mengambil kira analisis sentimen rakyat yang telah dilaksanakan terhadap Ahli Jemaah Menteri dan kementerian, setiap pandangan dan luahan rakyat mesti didengari dan diambil kira untuk menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan, umpama memerah nyiur, santan diambil, hampas dibuang. Inilah janji saya kepada Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

65. Saya tidak dapat menyebut Aspirasi 100 hari kesemua kementerian satu persatu, namun rakyat boleh meneliti pencapaian mereka melalui program pada hari ini yang berlangsung sehingga 12 Disember.

66. Ambillah peluang ini untuk melihat sendiri program yang disediakan, termasuk program Bantuan Aspirasi Kerajaan, pameran peluang kerjaya, kaunter perkhidmatan kerajaan dan banyak lagi program yang dibentuk khusus untuk Keluarga Malaysia. Bagaimanapun, semua pihak hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19.

67. Sesungguhnya, pencapaian kerajaan pada hari ini hasil kerjasama tuan-tuan dan puan-puan sebagai sebuah keluarga besar, yang sentiasa menyokong, membantu dan bersatu hati. Saya memahami bahawa rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap kerajaan ini. Namun, 100 hari bukanlah jangka masa yang memadai untuk mengukur prestasi. Masih terdapat ruang yang perlu diberikan perhatian serius dan ditambah baik. Kami akan berusaha dengan sebaik-baiknya, demi kemaslahatan rakyat.

68. Secara kolektif, kita bergerak mengharungi dan menerjah rintangan dalam memacu negara ke hadapan, bersandarkan semangat Keluarga Malaysia sejati.

69. Akhirulkalam, pada kesempatan ini saya mengucapkan sedalam- dalam terima kasih, tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia ini. Keluarga kita ialah tanggungjawab bersama. Kita tetap bermuafakat dalam apa jua keadaan, kerana aspirasi dan matlamat kita ialah inspirasi kita bersama, ibarat kata pujangga “Banyak perkara boleh mengubah kita tetapi kita bermula dan berakhir dengan institusi keluarga”.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Sekian,

WABILLAHITAUFIQ WALHIDAYAH,
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Pekida Malaysia Kali Ke-25 Tahun 2021


 TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB,
PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG TAHUNAN
PEKIDA MALAYSIA KALI KE-25 TAHUN 2021

18 DISEMBER 2021 | 8.30 MALAM

Bismillahirrahmaanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita semua dapat berkumpul di Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Pekida Malaysia Kali Ke-25 Tahun 2021, pada malam ini.

2. Terlebih dahulu saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi Pekida Malaysia kerana telah mengundang saya untuk merasmikan majlis ini.

3. Sebelum itu, izinkan saya mengucapkan takziah di atas pemergian Presiden Pekida Malaysia, Allahyarham Dato’ Haji Ramli Bin Norani yang juga sahabat saya, baru-baru ini.

4. Sudah tentu ia merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga Allahyarham serta sahabat handai ahli berbaiah di negara ini kerana banyak jasa Allahyarham kepada pertubuhan khususnya dan juga negara amnya.

5. Sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman serta dikurniakan sebaik- baiknya ganjaran syurga. Amin.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Secara peribadi, saya mengikuti perkembangan dan peranan Pekida Malaysia bagi memperkasakan orang Melayu di bumi bertuah ini.

7. Kekuatan jemaah yang mencakupi hampir semua daerah di seluruh negara sekaligus menzahirkan Pekida Malaysia sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam terbesar dengan peranan utamanya untuk menyatupadukan orang Melayu.

8. Pekida Malaysia atau Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia ditubuhkan bertunjangkan kepada penyatuan ummah melalui semangat persaudaraan dalam sebuah keluarga yang besar.

9. Dengan kekuatan persaudaraan ini, saya percaya Pekida Malaysia mampu mengiltizamkan kembali peranan khidmat komuniti mereka serta mengaktifkan kembali aktiviti kejiranan seperti kenduri dan program berteraskan semangat kekeluargaan dalam kejiranan sebagai usaha merapatkan ukhuwwah silaturrahim dalam kalangan ahli dan masyarakat.

10. Ini selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang saya cetuskan pada ucapan sulung ketika dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 22 Ogos lalu yang berteraskan tiga nilai utama iaitu Inklusiviti, Kebersamaan dan Kesyukuran, yang akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama.

11. Istilah keluarga bukan sahaja satu konsep yang mudah difahami oleh segenap golongan dan kelompok masyarakat, malah sangat dekat di hati rakyat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Saya difahamkan ahli Jemaah Pekida Malaysia turut membantu dalam perkembangan rantaian ekonomi negara sebenarnya melalui aktiviti jualan runcit, mewujudkan

koperasi-koperasi serta beberapa cabang keusahawanan yang lain.

13. Justeru, dalam suasana pandemik COVID-19 ini, saya mengajak Pekida Malaysia supaya terus membantu Kerajaan bagi merancakkan kembali ekonomi negara melalui rangkaian ‘business circle’ yang dimiliki dalam jemaah.

14. Saya juga berharap agar ahli jemaah dapat meluaskan jajaran perniagaan industri makanan yang dilihat menjadi satu potensi dalam rantaian makanan yang luas di negara ini.

15. Saya difahamkan ramai ahli jemaah yang terlibat dalam perusahaan pemprosesan seperti menghasilkan kicap, sos dan sebagainya. Sebahagian besar pula terlibat dalam kegiatan penjaja dan aktiviti logistik.

16. Melalui keahlian lebih 350,000 orang seluruh negara, aktiviti keusahawanan dan perniagaan di kalangan ahli ini juga menjadi satu kelebihan kerana dapat membekalkan produk yang dihasilkan secara terus kepada pelanggan tanpa melibatkan orang tengah.

17. Selain itu, gunakanlah kepakaran yang ada dalam jemaah untuk membantu ahli khususnya menarik golongan muda dalam meningkatkan kemahiran diri yang bersesuaian dengan keperluan teknologi terkini seperti ekonomi digital yang menjadi begitu penting sekarang ini khususnya ketika era pandemik.

18. Pada masa yang sama, golongan muda jemaah Pekida Malaysia juga adalah pelapis pemimpin masa hadapan yang perlu dilengkapkan dengan pendidikan, kemahiran teknikal, terutama ilmu agama yang dilihat menjadi penerus kepada kelangsungan gerakan berbaiah di negara ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Pekida Malaysia juga dilihat sebagai satu wadah dalam penyatuan masyarakat di negara ini. Persepsi negatif masyarakat yang menganggap Pekida Malaysia sebagai sebuah ‘kongsi gelap Melayu’ perlu dihakis dengan menganjurkan lebih banyak aktiviti-aktiviti kemasyarakatan supaya imej pertubuhan ini lebih menonjol dalam masyarakat.

20. Sekiranya ada ahli-ahli yang cuba menyuntik atau mencambahkan elemen negatif sedemikian, menjadi tanggungjawab kepimpinanan untuk membersihkannya dengan segera supaya imej Pekida Malaysia tidak lagi tercemar.

21. Bak kata pepatah, dalam setandan pisang, tak semuanya busuk, apatah lagi dalam menguruskan keahlian yang begitu ramai.

22. Melalui aktiviti kemasyarakatan itu juga, Pekida Malaysia sudah tentu mampu berperanan sebagai pengukuh perpaduan dalam Keluarga Malaysia. Bak kata pepatah, kukuhnya pokok kerana akar. Begitulah juga sesebuah pertubuhan, akan lebih kuat sekiranya seluruh ahli bersepakat dan bersatu padu ibarat sebuah keluarga.

23. Saya juga percaya, dengan prinsip ‘amar maaruf nahi mungkar’ yang menjadi pegangan pertubuhan ini, menjadi kewajipan kepada Pekida Malaysia untuk mengajak bukan sahaja ahli, malah seluruh Keluarga Malaysia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

24. Ini kerana Pekida Malaysia sentiasa menjadi perhatian masyarakat kerana membawa imej Islam. Jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Junjunglah konsep amar makruf nahi mungkar itu demi agama dan negara.

25. Akhir kata, kepada pemimpin serta ahli Pekida Malaysia yang bakal memilih tampuk baharu pemerintahan, pilihlah calon yang tepat, berintegriti, berwibawa serta berkaliber untuk memimpin perjuangan. Menjadi ketua adalah satu amanah daripada Allah SWT dan wajib dilaksanakan dengan sebaiknya.

26. Dengan lafaz Bismillahirrahmaanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pekida Malaysia Kali Ke-25 Tahun 2021.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Perasmian Kongres Perpaduan Negara 2021

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KONGRES PERPADUAN NEGARA 2021

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama berhimpun pada hari yang penuh barakah ini dalam Kongres Perpaduan Negara yang bertemakan ‘Perpaduan Bangsa Asas Kesejahteraan Negara’.

2. Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur yang telah bertungkus lumus menjayakan kongres ini yang bermatlamat untuk merintis jalan ke arah perpaduan Keluarga Malaysia serta merealisasikan matlamat memperkasa perpaduan dalam kalangan pemimpin dan rakyat.

3. Kongres Perpaduan Negara yang dianjurkan bersama Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (atau WOAG Malaysia) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah suatu inisiatif yang sangat murni.

4. Ia wajar dicontohi oleh semua pihak bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara ini seluruhnya.

5. Ia sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan agar keharmonian antara agama dan bangsa yang pelbagai dapat dijaga.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi

6. Perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini telah sekian lama terjalin kerana prinsip ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni.

7. Maka tidak hairanlah Malaysia telah lama menjadi model dan contoh kepada masyarakat lain di dunia kerana kita telah berjaya menyatukan semua kaum melalui perkongsian kuasa dan berupaya kekal hidup dengan aman damai melalui sikap toleransi yang amat tinggi.

8. Bagaimanapun disebabkan perbezaan pegangan politik, ia kadangkala menjadi punca kepada perpecahan sedangkan politik sewajarnya menjadi wadah kepada penyatuan.

9. Kepentingan peribadi dan pegangan politik akhirnya menerbitkan bibit-bibit permusuhan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan keluarga Malaysia.

10. Perkara ini merupakan suatu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh bukan sahaja para pemimpin tetapi juga Keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.

11. Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil, maka akan muncul pihak-pihak luar mahupun dalaman yang akan mengambil kesempatan dengan niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah sedia terjalin selama ini.

12. Lantaran itu sewaktu saya mengambil alih pentadbiran, kerajaan mengambil langkah menandatangani Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu bagi membolehkan semua pihak dalam Keluarga Malaysia tanpa mengira fahaman politik, bersatu padu untuk bersama-sama berganding bahu menghadapi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Saya difahamkan Kongres Perpaduan Negara yang dijalankan secara webinar selama dua hari ini disertai lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada para ilmuan, tokoh masyarakat, agamawan dan siswa daripada dalam serta luar negara termasuk dari Mesir.

14. Menerusi kongres seperti ini, kerajaan berharap ia mampu menjadi satu platfom terbaik bagi percambahan ilmu serta pemikiran yang merentasi agama, akademik dan kepakaran bagi menilai semula aspek perpaduan di negara ini.

15. Ia bagi mencari satu mekanisme terbaik bagi menangani isu- isu perkauman dan perpaduan, sesuai dengan situasi semasa dan cabaran yang dihadapi kini.

16. Gabungan dan jalinan yang erat antara ilmuan dengan pemimpin politik sangat diperlukan dalam merangka formula terbaik bagi membolehkan suasana harmoni yang dikecapi sebelum ini terus dapat dipertahankan hingga ke generasi akan datang.

17. Pada masa yang sama, setiap Keluarga Malaysia juga perlu sentiasa hormat menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif terhadap sesuatu kaum.

18. Elakkan punca yang boleh meruntuhkan perpaduan seperti fitnah, khabar angin, buruk sangka, tapis dan selidiki perkhabaran terlebih dahulu sebelum diterima dan menghargai nilai perpaduan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Akhir kata saya berharap Kongres Perpaduan Negara ini mampu merealisasikan matlamat kerajaan untuk memperkasa perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.

20. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Kongres Perpaduan Negara.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

SALAH FAHAM LATAR BELAKANG PENOLONG PEGAWAI TANAH DAN PEMAKAIAN UNDANG-UNDANG YANG BERKAITAN DIPERINGKAT PENTADBIRAN TANAH

     Didapati banyak maklumat 'KE SALAH FAHAMAN LATAR BELAKANG PENOLONG PEGAWAI TANAH DAN PEMAKAIAN UNDANG-UNDANG YANG BERKAITAN DIPERINGKAT PENTADBIRAN TANAH' yang tidak tepat dan bercanggah dengan kehendak perundangan, pekeliling-pekeliling dan dasar-dasar diperingkat pentadbiran tanah.


Berikut diantara fungsi dan fakta bidang tugas Skim Perjawatan Penolong Pegawai Tanah:

Bil.

Isu/perkara salah faham

Fakta sebenarnya

 

01.

 

-Sejarah perjawatan Penolong Pegawai Tanah sekarang dari sebahagian perjawatan terdahulu ‘Penjaga Bukit’ dan ‘Penarik Rantai’.

 

-Perjawatan ‘Penjaga Bukit’ telah dijumudkan kerana akta ‘Land Conservatioan Act 1960’ telah dimansuhkan.

-Perjawatan ‘Penarik Rantai’ telah dijumudkan kerana teknologi alat pengukuran sekarang mengunakan ‘sensor’ jarak atau pengunaan titik koordinat di atas tapak dengan menyerapan pancaran satelit.

-Cuma tidak dinafikan ada di antara ‘Penjaga Bukit’ dan ‘Penarik Rantai’ terdahulu menjadi Pegawai Penempatan kerana kelayakkan untuk kenaikan pangkat.

 

 Tindakan: Pentadbiran tanah hendaklah membuat sesi dialog bersama JPA/INSTUN/JKPTG sekiranya berminat mengetahui Isu/perkara berbangkit.


Bil.

Isu/perkara salah faham

Fakta sebenarnya

 

02.

 

-Perjawatan Penolong Pegawai Tanah / Pegawai Penempatan Kanan pernah dilantik menjadi Pegawai Pendaftar.

 

-Perjawatan Penolong Pegawai Tanah / Pegawai Penempatan Kanan telah tidak dilantik menjadi Pegawai Pendaftar kerana mematuhi kehendak Pekeliling Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan Bilangan 8/1972; ‘Menetapkan Tugas-tugas Pegawai Tanah Sebagai Pegawai Pendaftar (Disemak 2007)’.

 

 Tindakan: Pentadbiran tanah hendaklah membuat sesi dialog bersama JKPTG sekiranya berminat mengetahui Isu/perkara berbangkit.


Bil.

Isu/perkara salah faham

Fakta sebenarnya

 

03.

 

-Bidang tugas Penolong Pegawai Tanah Gred NT27 di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bi. 16/2009 iaitu di lampiran D, 4.1.b.iii. ‘menempatkan mangsa-mangsa bencana alam di tempat-tempat selamat mengikut arahan pegawai daerah atau kerajaan negeri’.

 

-Betul Penolong Pegawai Tanah hendaklah terlibat untuk ‘MENEMPATKAN’ sahaja, bukan perlu buat kerja-kerja khidmat sosial yang dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Perjawatan Penghulu Kawasan.

-Memandangkan Dewan atau bangunan sekolah adalah Kawasan selamat bencana alam, jadi tidak perlu Penolong Pegawai Tanah ‘MENEMPATKAN’ tempat selamat kecuali dikawasan perkampungan orang asli di pedalaman yang tidak memiliki dewan atau bangunan sekolah Penolong Pegawai Tanah perlu tentukan tapak selamat yang diperlukan.

 

 Tindakan: Pentadbiran tanah hendaklah membuat sesi dialog bersama JPA/JKPTG/MKN sekiranya berminat mengetahui Isu/perkara berbangkit.


Bil.

Isu/perkara salah faham

Fakta sebenarnya

 

04.

 

-Bidang tugas Penolong Pegawai Tanah Gred NT32 di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bi. 16/2009 iaitu di lampiran D, 4.2.f.ii. ‘menilai dan mengkaji nilaian harga tanah yang dibuat oleh Penolong Pegawai Tanah Gred NT27.

 

-Betul Penolong Pegawai Tanah hendaklah menilai dan mengkaji nilaian harga tanah, tetapi hanya melaksanakan kuasa yang diberi kepadanya di bawah sesuatu undang-undang bertulis seperti Sebseksyen 4(5) Akta Harta Pusaka Kecil (pembahagian) 1955 dan 12(1) Akta Pengambilan Tanah 1960.

-Boleh rujuk Pekeliling Ketua Pengarah tanah dan Galian Persekutuan Bilangan 25/1976; ‘Tugas Pentadbiran Tanah Dalam Penilaian Harga Tanah-tanah Milik (Disemak 2007)’.

 

 Tindakan: Pentadbiran tanah hendaklah membuat sesi dialog bersama JPA/JKPTG sekiranya berminat mengetahui Isu/perkara berbangkit.


Bil.

Isu/perkara salah faham

Fakta sebenarnya

 

05.

 

-Penolong Pegawai Tanah hendaklah menjaga batu sempadan negeri bersejarah di antara Negeri-negeri.

 

-Betul Penolong Pegawai Tanah hendaklah menjaga batu sempadan mengikut Seksyen 405 Kanun Tanah Negara 1965, tetapi bukan sampai menjadi penjaga muzium batu sempadan bersejarah.

-Jika ada individu/pengkaji hendak anggap batu sempadan itu sebagai barang artifak bersejarah boleh syor kepada pihak muzium untuk mengambilnya dan minta pihak JUPEM ganti yang baru tanda sempadan tersebut.

 

 Tindakan: Pentadbiran tanah hendaklah membuat sesi dialog bersama JUPEM/JKPTG/Muzium sekiranya berminat mengetahui Isu/perkara berbangkit.



Oleh demikian diharap makluman yang diberikan dapat membantu Pentadbiran tanah dalam meneliti isu/perkara salah faham di dalam ‘LATAR BELAKANG PENOLONG PEGAWAI TANAH DAN PEMAKAIAN UNDANG-UNDANG YANG BERKAITAN DIPERINGKAT PENTADBIRAN TANAH’ selaras mematuhi pekeliling, Undang-undang sediada serta mengikut kehendak Dasar Kerajaan.

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...