Khamis, 29 September 2022

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA
PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (UNGA) KE-77

23 SEPTEMBER 2022 | JUMAAT | 4.00 PETANG
NEW YORK

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Dunia,

1. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama kerana dipilih sebagai Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Sesi ke-77. Saya yakin, dengan kepemimpinan Tuan Yang Terutama, sesi kali ini dapat berjalan dengan cekap dan berkesan. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden yang terdahulu, Tuan Yang Terutama Abdulla Shahid, kerana menunjukkan kepimpinan yang cemerlang dalam Sesi ke-76, meskipun berhadapan dengan pelbagai kekangan dan cabaran.

2. Malaysia menyambut baik tema yang dipilih bagi Perhimpunan Agung PBB pada tahun ini, iaitu “Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait”. Kami percaya tema ini amatlah bersesuaian dengan situasi yang sedang kita lalui bersama.

Tuan Presiden,

3. Apabila kita mendengar komitmen yang tinggi serta ikrar untuk bekerjasama pada Perhimpunan Agung lepas, ia memberikan harapan kepada dunia. Banyak kenyataan telah dikeluarkan, yang memberi harapan termasuk kepada saya bahawa semangat sebuah Keluarga Dunia berupaya mengenepikan perbezaan yang wujud dalam kalangan kita.

4. Komitmen itu membolehkan kita bangkit semula daripada pandemik serta mengharungi cabaran-cabaran yang kita hadapi secara bersama. Namun, semangat yang optimis ini kian pudar. Saya bimbang melihat cabaran yang masih tidak dapat ditangani dan malahan semakin buruk. Banyak cabaran masih tidak dapat ditangani.

5. Iktibar utama yang kita pelajari dari pandemik COVID-19 ialah kita tidak boleh lari daripada setiap cabaran yang melanda. Sifat mementingkan diri tanpa mempedulikan kesan terhadap pihak lain hanya akan menimbulkan ketidakpercayaan dalam jalinan kerjasama antarabangsa.

Sistem Monetari dan Kewangan Antarabangsa

6. Dalam dunia yang saling terkait, dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan kepada negara lain. Misalnya, dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, dasar monetari dan penetapan kadar faedah oleh sesebuah negara turut memberi impak kepada negara-negara lain.

7. Di sinilah kerjasama dan penyelarasan antara negara perlu dipertingkatkan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua.

8. Dalam struktur kewangan dan monetari antarabangsa yang masih didominasi oleh beberapa kuasa besar, serta dalam keadaan pemulihan ekonomi dunia, keputusan dasar monetari domestik perlu diselaraskan dengan mengambil kira realiti serta keperluan negara-negara membangun.

9. Sehubungan itu, Malaysia menggesa Negara-Negara Anggota PBB untuk mewujudkan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa bagi membina sistem yang lebih efektif, adil serta mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat.

Konflik Global

Tuan Presiden,

10. Keamanan dan kestabilan adalah penting dalam mengharungi setiap cabaran besar masa kini; baik krisis perubahan iklim, kemiskinan global mahupun kesan pandemik berterusan. Sehebat manapun perancangan kita, ia tidak akan bertahan daripada kemusnahan dan pembaziran yang disusuli dengan peperangan moden. Inilah kebenaran yang tidak seharusnya kita lupa.

11. Konflik akan hanya mengakibatkan kesan negatif kepada seluruh dunia. Disebabkan konflik, kita kini berdepan dengan pelbagai masalah seperti kekurangan zat dan sumber makanan.

12. Mendepani isu ini, Malaysia menyeru semua negara untuk memberi penekanan kepada isu sekuriti makanan bagi menjamin sumber makanan yang mencukupi untuk semua.

Tuan Presiden,

13. Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa wujud untuk mengalakkan penyelesaian damai bagi pertikaian antara negara. Piagam dan undang-undang ini menetapkan had sesebuah negara dalam mengejar kepentingan diri sendiri. Berdasarkan prinsip itu, Malaysia menentang pencabulan undang-undang antarabangsa, termasuk prinsip kedaulatan dan integriti wilayah sesebuah negara.

14. Apabila tercetusnya konflik, semua pihak bertanggungjawab untuk meredakan ketegangan dan memberi keutamaan kepada keselamatan dan nyawa orang awam. Pada masa yang sama, pihak yang bertelagah perlu kembali ke meja perundingan untuk menghentikan konflik secepat mungkin.

15. Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan antarabangsa. Langkah sedemikian bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog.

Keadaan di Ukraine

16. Harga yang perlu dibayar untuk sesebuah peperangan adalah tinggi nilainya. Ini dibuktikan dengan situasi yang dialami oleh Ukraine. Kesannya bukan sahaja dideritai oleh rakyat dan negara itu, malah turut dirasai dunia. Konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan.

17. Malaysia mengalu-alukan perwujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine. Ini merupakan satu langkah positif dalam menangani masalah sekuriti makanan.

18. Dalam hal ini, Malaysia ingin mengulangi ketegasan agar semua negara, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya mengelak daripada mewujudkan blok pengasingan, yang hanya akan mendorong dunia ke kancah perang dingin. Dunia perlu sedar keamanan hanya boleh dicapai melalui dialog dan rundingan.

Situasi di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT)

19. Bagi Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT), Malaysia kecewa dengan pendudukan secara kejam oleh Israel yang berlarutan sejak sekian lama. Rakyat Palestin terus hidup dalam belenggu dasar-dasar diskriminasi Israel. Penempatan haram semakin berleluasa. Ini bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, termasuk resolusi 2334 Majlis Keselamatan. Hak paling asas rakyat Palestin terus dinafikan.

20. Justeru, Malaysia berpandangan kuasa-kuasa besar perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan isu kekejaman yang dihadapi rakyat Palestin.

21. Pendirian tegas itu harus diambil oleh PBB, bagi memastikan krisis yang telah berlarutan di bumi Palestin sejak sekian lama dapat diselesaikan segera.

22. Apa yang berlaku hari ini, kebanyakan negara begitu cepat bertindak dalam kes yang berlaku di Ukraine. Malaysia mahu tindakan yang sama harus diambil bagi menyelesaikan isu di Palestin. Israel perlu berhenti menjadi sebuah entiti Apartheid!

Hidup bersama dalam budaya damai

23. Walaupun kita masih diancam konflik antara negara, kita tidak boleh mengabaikan krisis lain yang berlaku di seluruh dunia. Tunjang kekuatan kepada dunia yang bebas konflik ialah hidup bersama dalam budaya damai. Malaysia, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan agama, sentiasa menyokong padu dan memperjuangkan konsep kewujudan bersama yang aman antara pelbagai bangsa, kepercayaan dan budaya.

Keadaan di Myanmar

Tuan Presiden,

24. Di rantau Asia Tenggara, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam penyelesaian konflik. Sebagai contoh, Malaysia terlibat dalam proses damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sejak tahun 2001. Selain itu, Malaysia juga sentiasa proaktif membantu menyelesaikan pelbagai krisis dan konflik serantau.

25. Namun demikian, Malaysia kecewa dengan situasi di Myanmar sejak tercetusnya rampasan kuasa pada bulan Februari 2021. Amat mendukacitakan, apabila Majlis Keselamatan tidak mengambil sebarang tindakan serius dalam menangani situasi ini. Malah ada yang melihat Majlis Keselamatan lepas tangan dan menyerahkannya kepada ASEAN.

26. Malaysia kecewa tiada kemajuan bermakna dalam pelaksanaan ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN terutamanya oleh pihak junta Myanmar. Dalam acuannya sekarang, ‘Kesepakatan Lima Perkara’ ASEAN ini tidak boleh diteruskan lagi. Justeru, kesepakatan ini perlu diberi nafas baharu dan diperhalusi berdasarkan rangka kerja, jangka masa dan matlamat akhir yang lebih jelas. Sesungguhnya, yang lebih penting ialah aspirasi rakyat Myanmar perlu dipenuhi.

27. Krisis politik di Myanmar juga telah memburukkan lagi keadaan berjuta-juta pelarian Myanmar termasuklah pelarian etnik Rohingya. Walaupun Malaysia bukan negara yang menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Malaysia, atas dasar kemanusiaan, menerima hampir 200,000 pelarian Rohingya.

28. Oleh demikian, adalah menjadi tanggungjawab kesemua negara, termasuk negara peserta konvensyen turut mengambil lebih ramai pelarian bagi ditempatkan di negara masing-masing. Pada masa yang sama, Malaysia amat menekankan peri pentingnya dunia menangani punca utama krisis Rohingya. Saya percaya bahawa isu ini tidak akan diselesaikan selagi krisis di negara tersebut berterusan.

Reformasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Tuan Presiden,

29. Konflik dan krisis yang berlaku di dunia ini termasuk di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tidak dapat diselesaikan akibat kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.

30. Masalah yang paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan. Kuasa veto seringkali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya. Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut.

31. Selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan. Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

Tindakan Iklim

Tuan Presiden,

32. Perubahan iklim merupakan masalah sejagat yang melibatkan kita semua. Pada tahun lepas sahaja, Malaysia telah dilanda banjir paling serius dalam sejarah, yang mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah USD1.4 bilion (RM6.1 bilion).

33. Ramai terkorban dan hampir 100,000 lagi terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara. Situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di beberapa negara lain. Jelas sekali, langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perlu diteruskan.

34. Hakikatnya, negara maju memikul tanggungjawab untuk meningkatkan bantuan kepada negara membangun, dengan memenuhi komitmen menyediakan peruntukan USD100 bilion setahun tanpa syarat. Ini dapat merealisasikan tindakan terhadap perubahan iklim yang sepatutnya dilaksanakan sejak tahun 2020.

Pembangunan Mapan

Tuan Presiden,

35. COVID-19 telah merencatkan usaha kita dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG). Di sini, saya berdiri bagi pihak negara membangun menegaskan bahawa pelaksanaan dan kejayaan pembangunan sosioekonomi yang lebih hijau dan mapan akan dicapai dengan sahutan janji yang saksama dan inklusif.

36. Hakikatnya, teknologi baharu menjadi penggalak kepada sesebuah negara untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui. Namun begitu, teknologi baharu ini perlulah bersifat mampu milik oleh negara-negara membangun.

37. Dalam hal ini, Malaysia komited dalam menjalankan tanggungjawab dan peranannya bagi memastikan pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar. Dalam konteks ini, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh Malaysia. Sebagai contoh:

(i) Dalam industri sawit, Malaysia telah memperkenalkan standard Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) untuk memenuhi keperluan bagi tujuan pembangunan mapan;

(ii) Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau, sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030. Dalam hal ini, Malaysia meletakkan sasaran bagi mencapai 31 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui, menjelang 2025. Malaysia juga komited untuk mencapai status negara sifar pelepasan Gas Rumah Hijau seawal tahun 2050;

(iii) Dasar Tenaga Negara 2022-2040 telah dilaksanakan di Malaysia, pada 19 September 2022, bagi meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga;

(iv) Malaysia telah bersetuju menubuhkan Pusat SDG Negara bagi mempergiatkan program dan memantau kemajuan SDG.

38. Sebagai satu daripada hanya 17 negara yang memiliki kepelbagaian-bio di dunia, Malaysia sedar akan tanggungjawab untuk mempertahankan dan memelihara sumber asli kepada generasi yang bakal mewarisi dunia ini. Semasa Sidang Kemuncak Bumi pada 1992, Malaysia telahpun berikrar untuk mempertahankan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada hutannya.

39. Selepas tiga dekad, hari ini Malaysia masih mempunyai 54 peratus kawasan hutan di seluruh negara. Peratusan ini akan bertambah berikutan langkah penghutanan semula yang agresif oleh Malaysia.

40. Bukan sahaja Malaysia, bahkan dunia perlu peka terhadap usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mapan 2030. Sehubungan itu, Malaysia mengalu-alukan penganjuran Forum Politik Peringkat Tinggi berkaitan Pembangunan Mapan (HLPF) pada tahun hadapan. Usaha ini tepat pada masanya kerana ia memberi peluang kepada kita untuk melihat semula apa yang telah dicapai dan apa yang boleh ditambah baik demi kebaikan Keluarga Dunia.

Tuan Presiden,

41. Kita semua berkongsi kebimbangan yang serupa terhadap semua isu yang telah saya bangkitkan tadi.

42. Malaysia kekal optimistik. Saya menyeru negara-negara anggota untuk melaksanakan peranan masing-masing dalam mengatasi cabaran yang kita hadapi. Namun kita harus melakukannya bersama-sama seperti sebuah keluarga besar – Keluarga Dunia.

43. “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh; United we stand, divided we fall”, selagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya.

44. Hari ini, saya mengajak komuniti antarabangsa bekerjasama dengan mengamalkan semangat Keluarga Dunia, dalam menghadapi cabaran global.

Dengan lafaz Bismillahirrahmaanirrahim,

Tuan Presiden,

Malaysia akan terus memberi komitmen sepenuhnya.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP)

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PENYAMPAIAN ANUGERAH PROGRAM PENAJAAN PENDIDIKAN PETRONAS (PESP)

20 SEPTEMBER 2022 | ISNIN | 10.00 PAGI
KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada pagi ini bagi menjayakan Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) 2022.

2. Terima kasih PETRONAS kerana terus komited menjayakan Program PESP yang kini memasuki tahun ke-47 selepas dilaksanakan sejak tahun 1975.

3. Program ini telah terbukti membantu pelajar-pelajar kita yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Program PESP telah melahirkan dan seterusnya menyediakan tenaga kerja profesional, mahir dan berketerampilan dalam kalangan generasi muda khususnya bagi mencapai sasaran Negara Maju Berpendapatan Tinggi seperti mana yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

5. Saya ingin mengingatkan penerima PESP agar tidak mensia-siakan peluang yang diberikan oleh pihak PETRONAS dengan mencipta kecemerlangan dan kembali menyumbang kepada negara.

6. Saya turut dimaklumkan bahawa salah seorang wakil pelajar iaitu adik Brandon telah berhijrah daripada Pekan Bau, Sarawak untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar, Perak.

7. Dalam menimba ilmu, pastinya akan ada pelbagai dugaan dan ujian. Kumpulan pelajar tahun ini juga merupakan kumpulan istimewa kerana mengikuti pembelajaran sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

8. Jika diimbas kembali ketika seluruh dunia termasuk Malaysia dilanda pandemik COVID-19, lanskap pendidikan negara ternyata telah berubah sama sekali. Namun begitu, usaha mendidik pelajar-pelajar diteruskan dengan mengadaptasi teknologi melalui kelas secara dalam talian.

9. Kaedah pembelajaran ini, ternyata bukan mudah dan memerlukan tumpuan, motivasi dan disiplin yang tinggi, serta sikap proaktif untuk belajar secara kendiri tetapi anda berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Syabas dan tahniah!

10. Sehubungan itu, pendidikan terus menjadi agenda utama Kerajaan dengan turut menitik berat pembangunan kokurikulum, inovasi, dan pencapaian akademik, tetapi juga sikap saling menghormati dan mengasihi sesama kita, sejajar dengan tiga teras utama Keluarga Malaysia – Keterangkuman, Kebersamaan, Dan Kesyukuran.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. PETRONAS telah menjadi penyokong kuat kepada usaha Kerajaan memperkasa bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.

12. Malah, syarikat gergasi petroleum negara ini juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) bermula dari sekolah rendah.

13. Saya memandang serius tentang bilangan pelajar dalam bidang STEM yang kini berada pada kadar 47 peratus dan Sains Tulen pada 19 peratus dengan meneliti Hala Tuju STEM sebagai persediaan rapi mengharungi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

14. Kita harus memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang STEM untuk terus kekal mampan dan berdaya saing di peringkat global.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Selain tajaan PESP, PETRONAS juga menyumbang lebih RM1 bilion bagi pelbagai program lain dalam bidang pendidikan negara, termasuk membina dua buah Maktab Rendah Sains MARA, bernilai lebih RM211 juta yang mampu menempatkan pelajar dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif.

16. Selain itu, PETRONAS juga membina dua buah asrama harian luar bandar di kawasan pedalaman yang siap sepenuhnya pada tahun 2019 bagi menyediakan akses pendidikan lebih baik kepada pelajar-pelajar terbabit.

17. Malah lebih 78,000 pelajar B40 di seluruh negara telah menerima manfaat di bawah Program Kembali Ke Sekolah, Yayasan PETRONAS.

18. Selain meringankan beban ibu bapa dan penjaga dari segi menyediakan alatan persekolahan, program ini juga menyuntik semangat pelajar-pelajar terbabit untuk ke sekolah, seterusnya menyedarkan mereka tentang pentingnya Pendidikan.

19. Program ‘Discover PETRONAS@School’ pula diperkenalkan bertujuan mendedahkan pelajar tentang perancangan masa hadapan dan peluang pekerjaan dalam industri tenaga, selain berpeluang mendapat tajaan PETRONAS dalam bidang pendidikan atau kemahiran.

20. Dalam masa yang sama, guru-guru turut diberikan perhatian. Program Duta Guru PETRONAS dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia membantu seramai 4,500 guru untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran, serta daya fikir seorang pendidik STEM yang berimpak tinggi menjelang tahun 2030.

21. Skim Peningkatan Kebolehpasaran Graduan (GEES) PETRONAS pula bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan baharu, sama ada menceburkan diri dalam bidang pekerjaan atau berniaga sendiri setelah selesai mengikuti program berkenaan.

22. Setakat ini, PETRONAS telah melatih lebih 4,000 graduan tempatan, yang mana 70 peratus daripadanya berjaya mendapat pekerjaan tetap dalam bidang yang diceburi mereka.

23. Saya turut dimaklumkan PETRONAS turut menyokong program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Program (TVET) yang menjadi keutamaan negara bagi menyedikan bakat masa depan.

24. Melalui Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA), seramai 11,450 belia di seluruh negara menerima pelbagai bantuan termasuk perkakasan, bantuan pembelajaran dan latihan serta khidmat nasihat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Saya dengan sukacita ingin mengumumkan bahawa PETRONAS akan menaikkan dua kategori elaun untuk pelajar di bawah tajaan mereka melibatkan 2,267 orang berkuat kuasa serta merta.

Pertama, kenaikan elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk pelajar di Malaysia dan tambahan RM500 untuk pelajar di luar negara.

Kedua, pelajar yang baru menerima penajaan PESP, elaun induksi (Onboarding Allowance) akan dinaikkan daripada RM 4,500 kepada RM 5,000.

26. Kenaikan kedua-dua elaun ini mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi dan bantuan ini diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa seterusnya memudahkan proses pembelajaran pelajar

27. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS atas penganugerahan tajaan PESP ini, dan sekalung tahniah kepada semua penerima terpilih yang menerimanya.

28. Tajaan ini diharap dapat mendorong anda mengorak melangkah lebih jauh untuk menggapai cita-cita dan pulang dengan kejayaan serta seterusnya menabur bakti kepada industri dan negara yang tercinta. Selamat maju jaya untuk semua pelajar!

29. Dengan kata-kata dan hasrat tersebut, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022-2040 (DTN)

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN DASAR TENAGA NEGARA 2022 – 2040 (DTN)

19 SEPTEMBER 2022 | ISNIN | 3.00 PETANG
HOTEL MARRIOTT PUTRAJAYA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita semua dapat berkumpul dalam Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara 2022 – 2040 (atau DTN) pada hari ini.

2. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan majis yang sangat signifikan kepada dasar dan hala tuju negara, sekaligus untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

3. Saya amat berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada Unit Perancang Ekonomi kerana kesudiannya mengundang saya untuk merasmikan majlis ini.

4. DTN merupakan komitmen Kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu dan menjadikan sektor tenaga sebagai pemangkin utama kemampanan sosioekonomi bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Sektor tenaga di seluruh dunia sedang berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya permintaan dan kos bekalan tenaga yang semakin meningkat.

6. Kedua-dua cabaran ini, akan terus memberi tekanan kepada Kerajaan untuk menanggung subsidi yang tinggi agar kehidupan Keluarga Malaysia tidak terbeban.

7. Contohnya, bagi tahun 2022, Kerajaan dijangka menanggung subsidi tenaga sebanyak RM37.3 bilion bagi petrol, diesel dan LPG.

8. Kerajaan juga menampung subsidi elektrik sebanyak RM5.8 bilion, bagi manfaat Keluarga Malaysia serta memberikan jaminan pembiayaan sehingga RM6 bilion kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), agar operasinya tidak terjejas.

9. Selain itu, kemelut pandemik dan ketidaktentuan geopolitik dunia, serta isu perubahan iklim yang serius turut memberi kesan kepada harga bahan api dan peralihan kepada tenaga yang lebih mampan.

10. Di sebalik keadaan ini, Kerajaan terus bersikap prihatin dan memberi jaminan bahawa Keluarga Malaysia akan terus mendapat akses kepada bekalan tenaga yang terjamin pada harga mampu bayar.

11. Pada masa yang sama, satu penyelesaian holistik amat diperlukan bagi menjamin bekalan tenaga, kemampanan alam sekitar dan kemakmuran Keluarga Malaysia selain menggalak daya saing dan inovasi dalam industri serta merancakkan pertumbuhan ekonomi.

12. Dalam konteks ini, Kerajaan telah menggubal Dasar Tenaga Negara, 2022 – 2040 atau DTN, dengan mengambil kira perkembangan serta cabaran dalaman dan luaran demi memastikan sektor tenaga dapat terus membangun dengan mampan.

13. DTN juga akan memperkemas dan mengharmoni pelbagai dasar berkaitan tenaga sedia ada bagi memastikan sektor ini terus kalis cabaran pada masa hadapan.

Keluarga Malaysia yang saya hormati,

14. Visi Dasar Tenaga Negara adalah Kemampanan Tenaga untuk Mencapai Kemakmuran Bersama dan disokong oleh tiga objektif:

Pertama, meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga;

Kedua, mencapai kesaksamaan sosial menerusi mampu bayar tenaga; dan

Ketiga, memastikan kelestarian alam sekitar.

15. Objektif ini bertujuan mengimbangi trilema tenaga yang sejajar dengan matlamat utama Rancangan Malaysia Kedua Belas dan juga Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Kerajaan telah menetapkan Aspirasi Pelepasan GHG Sifar Bersih 2050 yang mencakupi seluruh aspek aktiviti antropogenik.

17. Sehubungan itu, Dasar Tenaga Negara, 2022-2040 yang dilancarkan hari ini menetapkan sasaran khusus bagi sektor tenaga, iaitu Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040.

18. Saya percaya inisiatif ini akan dapat membantu mencapai aspirasi negara pada tahun 2050 bagi menghadapi trend yang berlaku dalam peralihan tenaga dan menangani cabaran perubahan iklim.

19. Aspirasi Rendah Karbon 2040 di bawah DTN mengandungi sembilan sasaran terpilih untuk dicapai pada tahun 2040, antaranya:

Pertama, perkongsian mod pengangkutan awam bandar sebanyak 50 peratus;

Kedua, penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebanyak 38 peratus;

Ketiga, standard bahan api alternatif kenderaan berat dengan campuran bahan api B30;

Keempat, penggunaan gas asli cecair atau LNG sebagai bahan api alternatif pengangkutan marin sebanyak 25 peratus; dan

Kelima, penjimatan kecekapan tenaga oleh industri dan komersial sebanyak 11 peratus serta kediaman sebanyak 10 peratus.

20. Pelaksanaan aspirasi ini secara holistik dijangka dapat meningkatkan purata KDNK sebanyak RM13 bilion setahun dan mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu.

21. Malah, sektor tenaga negara bakal membuka lembaran baharu selari di peringkat dunia yang menyaksikan munculnya sektor-sektor baharu, seperti mobiliti rendah karbon melalui penggunaan EV, serta penjanaan dan penyimpanan sumber tenaga baharu seperti hidrogen dan tenaga berasaskan bio.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Untuk mencapai visi dan objektif DTN, sebanyak 12 strategi dan 31 pelan tindakan dikenal pasti, berlandaskan empat teras strategik dan lima pemboleh daya untuk dilaksanakan bagi jangka pendek, sederhana dan panjang, selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Lima Tahun.

23. Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tenaga Negara bagi menerajui hala tuju peringkat tertinggi dalam membuat keputusan strategik berkaitan sektor tenaga, kerana strategi dan pelan tindakan DTN merentasi pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.

24. Saya akan mempengerusikan Majlis Tenaga Negara ini bagi memastikan inisiatif DTN dilaksanakan secara berkesan oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab berdasarkan akauntabiliti dan peranan masing-masing.

25. DTN merupakan ‘living document’ yang dikemas kini setiap tiga tahun dengan semakan dan pertimbangan dilakukan MTN, selari dengan kemajuan teknologi, tahap pencapaian sosioekonomi negara dan keseimbangan trilema tenaga semasa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Kerajaan kini menumpukan kepada pembangunan EV dengan menawarkan pelbagai insentif cukai bertujuan menggalakkan aktiviti pemasangan dan pengilangan kenderaan, pengeluaran komponen berkaitan EV serta perkhidmatan teknologi hijau.

27. Kerajaan juga telah menubuhkan EV Taskforce yang dianggotai oleh pelbagai pihak untuk memperinci strategi sedia ada berkaitan pembangunan EV dan mempromosi industri EV tempatan.

28. Dalam hal ini, empat bidang menjadi fokus utama iaitu meningkatkan penggunaan EV, membangunkan infrastruktur pengecasan, membangunkan bakat dan menarik pelaburan selain rangka kerja strategik dikenal pasti bagi menyokong pertumbuhan industri EV tempatan.

29. Sehingga kini, lebih 600 buah kemudahan pengecas EV telah dipasang di seluruh negara dan ditingkatkan lagi melalui inisiatif syarikat seperti TNB dan PETRONAS dengan memeterai jaringan kerjasama dengan pihak berkaitan.

30. Bagi memacu pembangunan hidrogen, Kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen, meliputi penggalakkan penyertaan pemain industri, R&D termaju yang berorientasikan pasaran serta penggunaan produk dan teknologi berkaitan hidrogen.

31. Kerajaan juga telah mengagih semula kuota Tenaga Boleh Baharu (TBB) sebanyak 1,200 megawat bagi memacu penjanaan hidrogen hijau.

32. Pada masa ini, PETRONAS juga sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam bidang hidrogen bagi penjanaan sumber ekonomi baharu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

33. Kerajaan yakin DTN berupaya memastikan sektor tenaga negara sentiasa bersedia untuk mendepani cabaran masa hadapan.

34. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Unit Perancang Ekonomi serta semua pihak yang terlibat dalam menggubal DTN dan menjayakan majlis pada hari ini.

35. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Pelancaran Dasar Tenaga Negara, 2022 – 2040.

Sekian,
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Majlis Penutupan Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-37 Tahun 2022

 

TEKS UCAPAN
PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PENUTUP PESTA KEBUDAYAAN CINA KEBANGSAAN KE-37 TAHUN 2022

18 SEPTEMBER 2022 | AHAD | 8.30 MALAM
DEWAN SERBAGUNA 
SEKOLAH TINGGI CHUNG HUA SEREMBAN


Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Terlebih dahulu, saya mengucapkan tahniah kepada Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan (DPCNS) selaku penganjur Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-37 pada tahun ini.

2. Terima kasih juga kepada Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) yang sudi menjemput saya ke majlis yang sangat dekat di hati masyarakat Cina ini.

3. Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan merupakan sebuah program tahunan bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda tentang warisan dan budaya cina, namun begitu, sejak dua tahun lalu majlis ini tidak dapat diadakan berikutan penularan pandemik COVID-19.

4. Kerajaan sememangnya menggalakkan penganjuran program kebudayaan seumpama ini, kerana perbezaan budaya membolehkan kita semua mempelajari falsafah setiap budaya seterusnya merapatkan hubungan di antara kaum.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Sejak saya mengambil alih pentadbiran negara, saya menyahut titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengembalikan kestabilan politik negara, selepas kita melalui satu detik yang mencabar apabila terdapat 3 Perdana Menteri dalam tempoh 3 tahun setengah.

6. Tidak sampai sebulan saya menjadi Perdana Menteri, Kerajaan Persekutuan telah berjaya berunding dengan pihak pembangkang untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

7. Saya sifatkan kerjasama dwi-partisan ini merupakan satu lakaran sejarah baharu dalam lanskap politik negara serta dapat menyumbang kepada kematangan politik dan menumpukan kepada pemulihan ekonomi negara.

8. Saya telah memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia selari dengan matlamat untuk membina perpaduan yang utuh serta mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum.

9. Konsep Keluarga Malaysia membawa nilai-nilai yang berteraskan; Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, agar kita semua dapat terus mengamalkan sikap hormat-menghormati, toleransi dan menghayati keistimewaan budaya masing-masing.

10. Konsep ini telah disebarkan ke seluruh negeri melalui Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia serta pelbagai program yang diadakan di peringkat kementerian serta jabatan, malah ia turut disambut oleh pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.

11. Natijahnya, saya melihat insiden-insiden provokasi perkauman dan agama semakin reda. Kestabilan politik, keharmonian kaum dan agama sangat penting dalam negara majmuk seperti Malaysia untuk menggerakkan ekonomi negara melangkah ke hadapan.

12. Kerencaman identiti dan budaya yang ada dalam kalangan kita sewajarnya merapatkan hubungan antara kaum supaya kita boleh mempelajari falsafah setiap budaya yang berbeza ini. Impian saya adalah untuk mewujudkan sebuah negara yang aman, harmoni dan hidup sebagai sebuah keluarga besar.

13. Maka, disebabkan itu, frasa ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, kerana ia mengajak kita mengukuhkan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Bagi menyokong Aspirasi Keluarga Malaysia, setiap kementerian telah mengambil langkah melaksanakan program dan inisiatif mengikut peranan dan fungsi masing- masing.

15. Sebagai contoh, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melancarkan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 bertujuan menjadikan Malaysia sebagai negara maju, rakyat berbudaya.

16. DAKEN juga berperanan memartabatkan dan memelihara seni, budaya dan warisan Keluarga Malaysia agar tidak hilang ditelan zaman.

17. Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara telah memperkenalkan rangka tindakan (atau blueprint), KAMI @Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 dilancarkan pada 28 November lalu.

18. Di bawah pelan ini, konsep Keluarga Malaysia diterjemahkan melalui aktiviti dan program yang berteraskan perpaduan, bagi meraikan kepelbagaian berlandaskan tiga(3) prinsip asas dalam hubungan antara etnik iaitu faham, hormat dan terima.

19. Pelan ini menumpukan kepada empat (4) dimensi iaitu Karib, Aksesibiliti, Majmuk dan Inklusiviti yang ringkasnya dinamakan sebagai KAMI sebagai simbolik rasa kebersamaan dan meraikan perbezaan yang ada dalam Keluarga Malaysia.

20. Bagi memastikan Pelan ini mencapai matlamatnya, Kementerian Perpaduan Negara telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia yang bermula sejak bulan Jun lalu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Kerajaan juga prihatin dengan kesulitan ahli Keluarga Malaysia dan sentiasa berusaha untuk meringankan beban yang ditanggung, khususnya berkaitan kenaikan harga barangan.

22. Dengan mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2023, Kerajaan akan memastikan Bajet 2023 disediakan adalah berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh.

23. Antara tumpuan utama negara adalah untuk kembali pulih selepas pasca pandemik COVID-19 dan ini termasuklah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan rakyat serta memastikan kelangsungan sektor perniagaan.

24. Kerajaan akan turut memberi tumpuan kepada memastikan persekitaran hidup yang selamat dan selesa, dengan menekan pembangunan yang inklusif serta selari dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda Pembangunan Mampan 2030.

25. Langkah ini bertujuan memastikan semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat daripada pencapaian pembangunan negara tanpa kompromi terhadap hak generasi akan datang.

26. Kerajaan juga memberi jaminan untuk terus menumpukan kepada usaha memperkasa komuniti masyarakat Cina baik di kawasan bandar mahupun luar bandar dalam pembentangan Bajet 2023 pada awal bulan depan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

27. Akhir kata, menjadi harapan saya untuk mewujudkan negara yang aman dan harmoni, serta melihat kita semua dapat hidup sebagai satu keluarga yang besar mendukung semangat Keluarga Malaysia.

28. Kerajaan juga menggalakkan Huazong meneruskan usaha- usaha baik seperti penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang, dan sentiasa menyokong program-program anjuran agensi-agensi Kerajaan demi mengukuhkan perpaduan Keluarga Malaysia.

29. Dengan kata-kata tersebut, saya sukacitanya menyempurnakan Majlis Penutup Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan ke-37 Tahun 2022.

Sekian, terima kasih.

Majlis Perasmian Pembukaan Sukan Malaysia XX MSN 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS UPACARA PERASMIAN PEMBUKAAN SUKAN MALAYSIA XX MSN 2022

17 SEPTEMBER 2022 | SABTU | 8.30 MALAM
DEWAN CANSELOR TUN ABDUL RAZAK, UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada majlis perasmian pembukaan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 Majlis Sukan Negara (MSN) 2022.

2. Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada Jawatankuasa Pengelola yang bersungguh-sungguh memastikan SUKMA ke-20 ini dapat dianjurkan dengan sebaik mungkin.

3. Alhamdulillah, selepas tertangguh selama empat tahun, temasya yang penting untuk pembangunan sukan negara kembali diadakan. Ia akan menjadi medan persaingan yang hangat dalam kalangan atlet-atlet tempatan. Syabas Kementerian Belia dan Sukan serta MSN.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Seperti semua sedia maklum, sukan amat dekat dengan hati saya kerana ia adalah instrumen terbaik untuk perpaduan Keluarga Malaysia.

5. Saya yakin bahawa kelahiran atlet yang cemerlang bermula dengan ahli keluarga yang memberikan sokongan kepada mereka. Kekuatan utama sukan ialah mencetuskan rasa kekitaan dan semangat sepasukan kukuh sebagai sebuah keluarga yang erat.

6. Pada Sukan Malaysia kali ini, anda semua – atlet-atlet dan barisan para pegawai – hadir sebagai sebuah keluarga daripada pasukan dan negeri yang sama, memburu matlamat yang juga sama.

7. Ini berterusan, apabila bintang-bintang yang bakal lahir daripada Sukan Malaysia kali ini, kemudiannya membawa Jalur Gemilang memburu gemilang di pentas antarabangsa, demi negara. Ketika itu, bintang-bintang ini adalah wakil kita semua, wakil Keluarga Malaysia!

8. Tahun ini sahaja kita sudah disuntik dengan rasa gembira dan bangga menerusi pencapaian hebat atlet-atlet negara di peringkat antarabangsa.

9. Kontinjen negara berjaya melepasi sasaran (39 Emas, 45 Perak dan 90 Gangsa) pada temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei lalu sebelum dituruti pencapaian membanggakan kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Komanwel di Birmingham (7 Emas, 8 Perak dan 8 Gangsa) pada Julai lalu.

10. Lebih membanggakan, kita kini sudah memiliki juara dunia dalam sukan badminton selepas penantian sejak sekian lama.

11. Kejayaan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik membuktikan anggota Keluarga Malaysia mampu menakluki persada dunia, menggentarkan lawan hebat untuk memahat pencapaian yang membanggakan seluruh negara.

12. Namun jangan sesekali kita leka, jangan kita mudah berpuas hati dengan apa yang sudah kita miliki. Semangat yang membara harus dan wajar kita teruskan, kerana masih banyak lagi halangan perlu diharungi, lebih banyak lagi rintangan perlu diatasi untuk kita meneruskan rentetan gemilang yang sudah dilakar.

13. Bangkitlah warga sukan negara. Jadikan pentas temasya Sukan Malaysia kali ini sebagai arena membuktikan kejaguhan, supaya yang terbaik akan diangkat membawa cabaran negara, dengan pentas Sukan SEA di Kemboja, tahun hadapan, sebagai aturan langkah pertama mencetus kehebatan di peringkat tertinggi.

14. Cerita kehebatan sebegitu mahu kita teruskan, kerana menanti tahun hadapan juga temasya Sukan Asia di Hangzhou sebagai platform persiapan terbaik untuk mengejar impian, emas sulung pada temasya Sukan Olimpik di Paris pada 2024 nanti.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Kerajaan memberi jaminan akan terus meningkatkan kerancakkan arena sukan negara. Sokongan padu kepada Program Podium untuk merealisasikan kilauan emas Olimpik itu sudah ditunaikan, dengan peruntukan kewangan yang berjumlah RM240 juta menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

16. Oleh itu, atlet-atlet tidak perlu bimbang dan tumpuan perlu diberikan sepenuhnya untuk mengharumkan nama negara.

17. Kerajaan juga sentiasa menyokong usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan dan pertandingan sukan bertaraf tinggi, bukan sahaja untuk menggalakkan perkembangan sektor industri sukan negara, tetapi menyediakan platform kompetitif bertaraf tinggi kepada atlet-atlet negara.

18. Itulah komitmen Kerajaan kepada arena sukan negara dan saya menyeru semua pihak, bermula dengan atlet-atlet muda yang bersaing di temasya Sukan Malaysia kali ini, untuk memanfaatkan setiap peluang yang menanti, demi kemajuan sukan negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Saya ingin melahirkan rasa penghargaan khas kepada semua Kerajaan negeri dan persatuan-persatuan sukan di semua peringkat kerana memupuk serta mencambahkan perpaduan menerusi sukan.

20. Kita ketepikan sebarang perbezaan, tidak kira apa sekalipun, untuk bersatu hati meletakkan kejayaan bersama sebagai tonggak kepada Keluarga Malaysia.

21. Selamat berjuang dengan penuh semangat kesukanan. Manfaatkan peluang ini untuk memupuk semangat setiakawan sesama kita demi kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta.

22. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini mengisytiharkan Temasya Sukan Malaysia ke-20 Majlis Sukan Negara Tahun 2022, dibuka dengan rasminya.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sambutan Hari Malaysia 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2022

16 SEPTEMBER 2022 | JUMAAT | 8.00 MALAM
DATARAN MEMORIAL PENGISYTIHARAN KEMERDEKAAN
BANDA HILIR, AYER KEROH, MELAKA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Segala puji dan rasa syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan inayah dan rahmat-Nya, kita dapat berhimpun meraikan ulang tahun penubuhan Malaysia ke-59, di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Melaka Bandaraya Bersejarah pada malam ini. Selamat Hari Malaysia!

2. Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama, Tun Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam, serta Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, dan Kerajaan Negeri Melaka kerana kesudian menjadi tuan rumah untuk sambutan kali ini.

3. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan yang mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak dan Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan yang mewakili

Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah kerana sudi hadir pada majlis yang amat bermakna ini.

4. Alhamdulillah selepas sambutan meriah dan luar biasa Hari Kebangsaan 2022 baru-baru ini, pada malam ini kita dapat bersama-sama meraikan satu lagi detik penting dalam lipatan sejarah negara.

5. Saya amat terharu dengan kehadiran luar biasa Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa, agama, budaya dan usia pada malam ini. Kehadiran Keluarga Malaysia bersama anak-anak kecil membanjiri Dataran Pahlawan pada malam ini membuktikan Keluarga Malaysia menjiwai semangat patriotisme yang sangat tinggi.

6. Sesungguhnya, sejarah perjalanan bumi bertuah ini penuh dengan lembaran yang berwarna-warni. Sebagai tanah yang pernah dijajah, hari ini Malaysia berdiri utuh sebagai sebuah negara yang aman, makmur, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Buat julung kalinya, sambutan Hari Malaysia dianjurkan di luar Sabah dan Sarawak. Pemilihan Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir Melaka kali ini, sudah tentunya mengimbau kembali lipatan sejarah tanah air kita.

8. Banda Hilir Melaka ini pernah menjadi saksi laungan pengisytiharan Kemerdekaan pada 20 Februari 1956, dan tanggal 30 Ogos 1957 pula, langit raya Banda Hilir ini menyaksikan turunnya Bendera Union Jack, tepat jam 6.30 petang.

9. Catatan sejarah menjadi saksi bahawa pengisytiharan itu juga bagaikan satu penyembuh duka bangsa, selepas Melaka dicengkam penjajah lebih 400 tahun lamanya.

10. Menyingkap fakta, barangkali ramai yang tidak mengetahui bahawa Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menyuarakan hasrat penubuhan Malaysia buat pertama kali, sewaktu Persidangan Wartawan- wartawan Luar Negeri di Asia Tenggara, iaitu di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961.

11. Sejarah panjang menyaksikan, bukan mudah untuk membentuk Malaysia. Membina pasak persefahaman dan mencari muafakat persetujuan negeri-negeri Melayu, Sabah dan Sarawak termasuklah Singapura.

12. Proses pungutan suara dan rundingan sangat getir dan berlangsung panjang, menagih pengertian serta kesabaran para pejuang. Segala cabaran membuktikan bahawa tiada jalan pintas dalam melahirkan sebuah negara bangsa berasaskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

13. Rintangan yang hadir ketika itu bersifat dalaman dan luaran, termasuklah pemberontakan Komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, cabaran ekonomi, kerencaman agama, kaum, budaya dan bahasa.

14. Pun begitu, biar seribu halangan yang merintangi, Alhamdulillah setiap satu yang keruh, berjaya dijernihkan dengan kesungguhan dan kebijaksanaan oleh pejuang- pejuang terdahulu.

15. Nama-nama seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Mohammad Fuad Stephens, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee, Tun Jugah Anak Barieng, dan Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha, adalah antara tokoh-tokoh yang telah menoktahkan rundingan penubuhan Malaysia. Mereka inilah antara pejuang yang mewariskan kita nikmat kemakmuran.

16. Persekutuan Tanah Melayu lahir sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957, dan kemudian pembentukan Malaysia pada tarikh keramat 16 September 1963, adalah bukti penyatuan niat dan tekad kesungguhan, pejuang-pejuang bangsa yang terdahulu. Mereka berjuang bersandarkan satu iltizam.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Proses membina Keluarga Malaysia yang bersatu padu dan memiliki satu identiti nasional, harus terus dipertahankan demi menjamin kelangsungan kedaulatan negara bangsa.

18. Menyatupadukan pelbagai negeri dengan latar belakang demografi yang rencam dan berbeza, ditambahkan lagi dengan faktor geografi yang berbukit-bukau dan Laut China Selatan menjadi pemisah, bukanlah tugas yang mudah.

19. Semakin bertambah usia negara, cabaran dan ancaman yang dihadapi semakin besar serta bertambah kompleks. Musuh yang memecah-belahkan hadir berbentuk; ekonomi, politik, sosial selain anasir-anasir dari luar yang giat berusaha menggugat kestabilan serta ketenteraman bangsa dan negara.

20. Jika anasir-anasir ini dibiar berleluasa dan akhirnya memuncak, ia dibimbangi akan menjadi ancaman kritikal yang boleh mengancam perpaduan Keluarga Malaysia.

21. Laksana bara yang mula menyalakan puntung, menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung akan menyemarakkan api permusuhan, mencetuskan perselisihan kaum dan agama yang boleh melemahkan Keluarga Malaysia, seterusnya memusnahkan negara. Umpama bidalan, Kukur apa kepada kukur, nyiur juga yang binasa.

22. Memupuk perpaduan Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan taraf sosioekonomi, merupakan agenda besar lagi penting bagi Kerajaan, demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

23. Justeru, nilai-nilai Keluarga Malaysia yang berteraskan; Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran adalah ramuan penting dalam usaha membina kekuatan seluruh Keluarga Malaysia, agar terus teguh bersatu, kukuh berpadu serta kalis cabaran dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi.

24. Nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran ini juga adalah antara jaminan kepada kelangsungan, untuk Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera.

25. Dengan bersendikan konsep Tasamuh yang digariskan oleh Islam – iaitu hidup saling bertoleransi, harmoni dan selesa, menjauhi diri dari sifat prasangka serta curiga – segala perbezaan dan kepelbagaian yang dikurniakan Tuhan di bumi bertuah ini, mampu dirai dan dihargai oleh Keluarga Malaysia dengan hati yang terbuka.

26. Malaysia dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum; Melayu, Cina, India, Orang Asli, Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Bajau, Iban, Orang Ulu dan lain-lain.

27. Semua ahli Keluarga Malaysia, bebas mengamalkan budaya warisan bangsa, menguasai pelbagai bahasa serta menganut agama yang dianuti dari leluhur masing-masing.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Pada sambutan Hari Malaysia tahun lalu, Kerajaan Persekutuan telah menyatakan jaminan untuk memberi perhatian kepada isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak.

29. Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan MA63, yang diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, pada 14 Disember 2021 adalah bukti Kerajaan serius mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

30. Usaha ini selaras dengan agenda transformasi kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat, termasuk pelabur asing terhadap kemampuan Kerajaan, demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosioekonomi mampan.

31. Saya sebagai Pengerusi Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963, akan memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam perjanjian MA63 adalah terpelihara.

32. Majlis Khas ini bukan sahaja berperanan merungkai beberapa isu yang tertangguh berhubung hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak, tetapi juga memberi penekanan kepada usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini.

33. Umpama peribahasa; bersukat sama paras, bertimbang sama berat, Kerajaan mahu melihat Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat, seperti negeri-negeri lain di Semenanjung.

34. Kerajaan juga komited menghapuskan jurang pembangunan dan ini dibuktikan dengan peruntukan sebanyak RM5.6 bilion untuk Sabah, manakala RM4 bilion untuk Sarawak pada tahun ini bagi melaksanakan projek pembangunan seperti bekalan air, elektrik, dan jalan raya, serta kemudahan pendidikan dan kesihatan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

35. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, Hari Malaysia hendaklah menjadi sambutan yang mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia, tentang kekuatan muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan integrasi nasional.

36. Tanggal keramat 16 September, wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan. Berpijak di bumi yang sama, Keluarga Malaysia perlu terus berdiri menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara.

37. Akhir kalam, sekali lagi saya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.

38. Marilah kita sama-sama berdoa semoga bumi berdaulat ini sentiasa dalam limpah rahmat Ilahi, dikurniakan keamanan dan kemakmuran dan semoga hubungan harmoni terus terjalin dalam semangat Keluarga Malaysia.

Selamat Hari Malaysia!
Keluarga Malaysia, Teguh Bersama!

39. Dengan kata-kata itu, saya mengakhiri ucapan dengan Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi.

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...