Jumaat, 2 September 2022

Sempena Majlis Perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Ke-5

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
PERSIDANGAN TENAGA LESTARI ANTARABANGSA (ISES) KELIMA 2022

29 OGOS 2022 | ISNIN | 10.00 PAGI
PUSAT KONVENSYEN KUALA LUMPUR (KLCC)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pagi ini dalam Majlis Perasmian Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (atau ISES) Ke-5.

2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli (atau KeTSA), YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan kerana sudi mengundang saya merasmikan persidangan yang cukup bermakna ini.

3. Saya juga mengalu-alukan kehadiran para hadirin dalam dan luar negara, sama ada yang mengikuti majlis ini secara fizikal ataupun secara maya.

4. Sesungguhnya sokongan dan sumbangan anda semua amat penting bagi Malaysia melaksanakan peralihan tenaga secara berkesan, selain merangsang pertumbuhan dan pembangunan sektor-sektor ekonomi yang berkaitan bidang tenaga lestari di negara ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Persidangan ini dengan tema “Memperkasakan Peralihan Tenaga”, tepat pada masanya ketika masyarakat global sedang rancak membincangkan langkah-langkah pengurangan jejak karbon dengan melakukan peralihan tenaga.

6. Persidangan ISES ini akan membuka peluang kepada para penggubal dasar, pemain industri dan cendekiawan dalam bidang tenaga lestari, untuk berbincang dan memahami strategi serta amalan terbaik berkaitan peralihan tenaga di seluruh dunia.

7. Saya berharap dasar, amalan dan inisiatif terbaik yang sedia dipraktikkan dan terbukti berjaya, boleh diaplikasi dan disesuaikan untuk dilaksanakan, agar Malaysia juga boleh menyumbang dalam menangani isu perubahan iklim di peringkat global.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Saya difahamkan bahawa peningkatan penjanaan bekalan elektrik daripada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) serta amalan penggunaan tenaga secara cekap dan berhemah, merupakan dua aspek penting dalam menangani isu perubahan iklim dunia.

9. Penekanan terhadap kedua-dua aspek pembangunan tenaga lestari ini merupakan langkah penyahkarbon turut mendominasi serta mencorak hala tuju pembangunan geopolitik, ekonomi, pelaburan dan perdagangan dunia semasa.

10. Justeru, dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 yang lalu, saya telah mengumumkan aspirasi negara untuk mencapai sasaran pelepasan GHG (gas rumah kaca) bersih sifar pada tahun 2050.

11. Aspirasi ini menunjukkan kesungguhan Malaysia menyertai seluruh warga dunia untuk merealisasikan matlamat menangani perubahan iklim, meskipun kita menyumbang kurang daripada 0.7 peratus daripada jumlah GHG dunia.

12. Komitmen ini juga merupakan suatu wawasan yang selaras dengan semangat Keluarga Malaysia bagi mewujudkan Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan mapan, selain membangunkan industri tenaga lestari tempatan yang kompeten dan berwibawa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Pada masa ini, trend semasa dunia dilihat begitu agresif dalam mengurangkan jejak karbon, khususnya melibatkan pembangunan dan pelaburan tenaga elektrik daripada sumber lestari terutamanya di sektor pengangkutan, pemanasan dan penyejukan serta proses industri.

14. Saya melihat impak perkembangan cukup positif buat Malaysia, kerana peningkatan dalam pelaburan serta permintaan bekalan elektrik mesra alam atau elektrik hijau akan membuka peluang ekonomi dan perniagaan baharu kepada pemain industri TBB tempatan.

15. Mengambil kira Malaysia memiliki rantaian nilai industri TBB yang kukuh daripada peringkat pembuatan, sehingga ke peringkat pembekalan perkhidmatan, kita perlu memanfaatkan kelebihan perbandingan yang dimiliki untuk menarik pelaburan hijau dan bernilai tinggi ini.

16. Hasrat ini perlu didukung melalui penetapan dasar perancangan penjanaan dan pembekalan elektrik yang lebih kompetitif, bercita-cita tinggi dan dicorak berasaskan perkembangan dan permintaan semasa.

17. Ini termasuk penyediaan mekanisme dan sistem pembekalan yang anjal dan responsif, melalui teknologi moden dan pintar, bagi mengendalikan kemasukan tenaga boleh baharu yang lebih tinggi dan menguruskan permintaan tenaga secara efisien.

18. Perkara ini penting dalam menjadikan Malaysia lebih mampu menarik kemasukan pelaburan langsung asing kerana kelebihannya menyediakan capaian kepada bekalan elektrik hijau yang berkualiti.

19. Sehubungan itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, telah diminta menerajui perubahan dasar ini dengan menambah baik kerangka dasar dan regulatori pembekalan elektrik sedia ada, agar selaras dengan keperluan dan permintaan semasa.

20. Sebagai langkah awal merancakkan lagi komitmen negara dalam peralihan tenaga ini, Kerajaan bersetuju melaksanakan program serta pembaharuan sistem pembekalan elektrik negara seperti berikut:

Pertama, meluluskan peruntukan dan pengagihan semula kuota TBB sebanyak 1,200 MW bagi sumber solar dan kuota baharu ini akan diagihkan untuk:

i. Pelaksanaan program di bawah mekanisme sedia ada termasuk New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) dan program pemasangan solar di bumbung bangunan;

ii. Penerokaan kaedah pelaksanaan program TBB baharu seperti pembangunan taman solar (solar park), pembekalan elektrik untuk tujuan pusat-pusat data baharu serta penjanaan hidrogen hijau dan sebagainya; dan

iii. Penyediaan opsyen baharu perolehan bekalan elektrik hijau kepada syarikat korporat melalui konsep Perjanjian Pembelian Tenaga Maya atau Virtual Power Purchase Agreement (VPPA), mulai suku tahun keempat 2022, dengan tawaran kuota 600MW.

Dengan persetujuan ini, Kerajaan menjangkakan 14,000 peluang pekerjaan dan nilai pelaburan baharu berjumlah RM6 bilion dapat diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri TBB negara.

Kedua, melaksanakan inisiatif perintis pembangunan Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu bagi menyediakan bekalan elektrik yang konsisten, mampu bayar dan rendah pelepasan karbon.

Pengguna elektrik di kedua-dua buah pulau peranginan itu akan menerima bekalan elektrik selama 24 jam menjelang tahun 2025, sekali gus mengurangkan kira-kira 70 peratus pelepasan gas rumah kaca.

Ketiga, membangunkan kerangka Renewable Energy Certificate (REC) Kebangsaan yang jelas dengan tadbir urus dan kawal selia yang baik dan teratur, agar REC yang dihasilkan di negara ini mempunyai kredibiliti, telus dan nilai yang tinggi. Ini akan meyakinkan syarikat korporat untuk melakukan offset terhadap jejak karbon dari sumber penjanaan bahan api fosil melalui instrumen REC.

Keempat, menetapkan kerangka perundangan kawal selia keselamatan pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) supaya aspek keselamatan awam dan pengguna terpelihara dan terjamin.

Sehubungan itu, Garis Panduan Pembangunan Infrastruktur EV di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) akan dikuatkuasakan pada suku tahun keempat 2022 bagi memastikan pembangunan infrastrukturnya dilaksanakan dengan selamat dan teratur mengikut piawaian yang ditetapkan.

Saya juga ingin memaklumkan bahawa, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Syarikat MySuri Biz Technologies Sdn. Bhd. akan menyediakan 1,000 unit EV teksi, sebagai menyokong usaha penyahkarbon negara. Keterlibatan pihak GLC seperti TNB perlu dipergiatkan bagi menyokong pembangunan industri EV negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Malaysia diberkati dengan pelbagai sumber TBB yang boleh diterokai. Saya yakin, sekiranya diwujudkan satu dasar peralihan tenaga yang berdaya maju, kita mampu menarik pelaburan syarikat korporat yang memerlukan bekalan elektrik hijau.

22. Oleh itu, saya menyambut baik laporan awal kajian Malaysia Energy Transition Outlook (METO) tentang senario peralihan tenaga yang boleh kita laksanakan.

23. Saya berharap laporan akhir METO yang akan dimuktamadkan nanti, bakal menjadi panduan penetapan hala tuju peralihan tenaga negara sehingga tahun 2050 dan menyumbang secara lebih signifikan terhadap aspirasi negara neutral karbon 2050.

24. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah kepada KeTSA, SEDA Malaysia dan juga para penaja dan penganjur bersama yang menjayakan persidangan ini. Mudah- mudahan sumbangan tenaga dan usaha murni ini diberikan ganjaran oleh ALLAH SWT.

25. Dengan kata-kata dan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismilahirrahmanirrahim, merasmikan Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa Kelima (ISES) 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sempena Sambutan Hari Wanita ke-60

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA SAMBUTAN HARI WANITA KE-60

ANJURAN

NATIONAL COUNCIL OF WOMEN’S ORGANISATIONS (NCWO)

25 OGOS 2022 | KHAMIS | 10.00 PAGI
DEWAN PERDANA FELDA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Ampun Tuanku, beribu ampun Sembah patik, mohon diampun

Patik merafak sembah, menjunjung kasih atas ampuni limpah perkenan, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku, bercemar duli ke Majlis Sambutan Hari Wanita Ke-60.

Patik mohon limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk berucap kepada para hadirin yang dihormati sekalian.

Ampun Tuanku, beribu ampun Sembah patik, mohon diampun

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat berkumpul bersama-sama pada pagi ini bagi meraikan Sambutan Hari Wanita ke-60.

2. Pertama sekali, saya mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua wanita di seluruh Malaysia dan tahniah kepada NCWO di atas penganjuran sambutan Hari Wanita Kebangsaan pada tahun ini.

3. Sesuai dengan tema sambutan ‘Keberanian Pelopor NCWO, Inspirasi Perjuangan Wanita Masa Kini’, kita semua akui bahawa peranan wanita masa kini sangat besar malah tiada noktah dan tandingannya.

4. Tema ini juga amat bertepatan dan selari dengan usaha dan komitmen Kerajaan bagi meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam pelbagai aspek pekerjaan dan kehidupan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Dalam agenda pemerkasaan wanita, saya akui, masih banyak ruang yang perlu ditambahbaik dan diteliti supaya isu- isu berkaitan wanita dapat ditangani dengan lebih berkesan.

6. Justeru, Kerajaan mengiktiraf program dan inisiatif yang dimainkan oleh pelbagai pihak seperti institusi-institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan (atau NGO), sektor awam dan banyak lagi untuk memperkasakan wanita di negara ini.

7. Pemerkasaan golongan wanita juga sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan kerana wanita di negara ini bukan sekadar perlu dihormati tetapi wajar diberikan pengiktirafan kerana wanita adalah tonggak pembangunan negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan penubuhan Majlis Wanita Negara, Jawatankuasa Eksekutif Wanita Negara dan Jawatankuasa Kerja Wanita Negeri bagi memperkasa peranan wanita di peringkat Persekutuan sehingga ke peringkat Negeri.

9. Sewaktu Hari Wanita yang lepas, saya telah mengumumkan kebenaran bekerja di rumah (BDR) bagi wanita yang kematian suami mengikut tempoh yang bersesuaian.

10. Selain itu, bagi membantu wanita menghadapi proses perceraian yang panjang, Institusi Hakam di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dimantapkan.

11. Kerajaan melalui JKSM turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang mana pihak bank boleh membekukan akaun bank suami sekiranya ada tuntutan nafkah di mahkamah yang tidak dilunaskan tanpa sebab yang munasabah.

12. Begitu juga bagi penjawat awam jika ada yang ingkar dengan keputusan mahkamah dari segi pemberian nafkah kepada bekas isteri, pihak kerajaan juga boleh memotong terus gaji mereka untuk dibayar kepada bekas isteri ataupun anak- anak mereka, surat edaran telahpun dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara dan kini sedang dilaksanakan.

13. Baru-baru ini, Rang Undang-undang (RUU) Anti Gangguan Seksual (AGS) 2021 juga berjaya diluluskan di peringkat Dewan Negara untuk dikuatkuasakan secara berperingkat.

14. Sebelum ini, saya turut mengarah agar penyertaan golongan wanita dalam GLC dan GLIC sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai Ahli Lembaga Pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023.

15. Alhamdullilah, sehingga kini, sebanyak 210 daripada 900 syarikat sendirian berhad telah mempunyai lebih 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah syarikat.

16. Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM13 juta khusus untuk memperkasa Bahagian D11 Polis Diraja Malaysia bagi Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak, bagi memastikan kes-kes melibatkan jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak dapat diuruskan dengan lebih berkesan.

17. Kerajaan turut prihatin dalam memastikan mangsa-mangsa keganasan rumah tangga mendapat perlindungan segera dengan mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang memberikan perkhidmatan psikososial kepada Keluarga Malaysia di seluruh negara.

18. Sehingga Ogos 2022, seramai 591 ribu kumpulan sasar terutama golongan wanita telah mendapatkan perkhidmatan PSSS iaitu sesi bimbingan dan kaunseling.

19. Semua ini merupakan komitmen Kerajaan terhadap golongan wanita Keluarga Malaysia yang diharap mendapat sokongan padu daripada semua pihak.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Bagi tujuan mengupayakan wanita, ia perlu bermula daripada keperluan asas mereka iaitu kemampuan untuk menjana pendapatan bagi kelangsungan hidup mereka dan keluarga.

21. Beberapa inisiatif telah dilaksanakan antaranya melaksanakan program TEKUNNita di bawah TEKUN Nasional yang melibatkan peruntukan sebanyak RM19.9 juta bagi tahun 2022. Sehingga kini seramai 1,264 usahawan wanita telah menerima manfaat.

22. Manakala, sehingga 31 Julai, seramai 265 peserta telah mendapat pembiayaan di bawah program DanaNita dengan peruntukan sebanyak RM10 juta di bawah MARA.

23. Program MyKasih Kapital pula telah dilaksanakan bagi memberi bantuan asas modal perniagaan secara one-off sebanyak RM500 bagi menggalakkan wanita berniaga.

24. Program ini telah bermula sejak April 2021 hingga Julai 2022 dan seramai 10,496 wanita dalam kalangan B40 telah menerima manfaat.

25. Kerajaan juga telah memperkenalkan Program Wanita Bangkit@KPWKM yang melibatkan kerjasama strategik dengan lebih 50 agensi Kerajaan dan swasta yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan aktiviti keusahawanan, yang memberi manfaat kepada lebih 40 ribu wanita di seluruh negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Negara kini berdepan cabaran utama apabila populasi perempuan pada tahun 2020 adalah 47.7 peratus iaitu hampir separuh daripada populasi Malaysia, sedangkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita pada tahun 2021 adalah 55.5 peratus sahaja.

27. Kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura sebanyak 69.7 peratus dan Thailand sebanyak 66.8 peratus.

28. Kadar enrolmen wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi tetapi bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh, penglibatan wanita adalah rendah.

29. Sehubungan dengan itu, Kerajaan pada Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) bersetuju mewujudkan Gender Focal Point dan Gender Focal Team di setiap kementerian dan agensi sebagai usaha mengarus perdana gender dalam setiap perancangan, pelaksanaan dasar dan inisiatif Kerajaan.

30. Sementara itu, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan dengan kerjasama beberapa NGO wanita, diberi tanggungjawab menyediakan Gender Responsive Budget (iaitu bajet yang berasaskan data asing gender) untuk B40, bermula tahun 2023.

31. Inisiatif ini akan mengenalpasti kumpulan sasar dan mengagih sumber mengikut keperluan penerima yang signifikan bilangannya, bukan sahaja kepada ibu tunggal tetapi juga untuk bapa tunggal sekiranya semakin tinggi peningkatan dalam sesebuah komuniti.

32. Kerajaan juga akan menambah baik dan memperhalusi dasar, perundangan serta program yang lebih peka gender termasuk usaha pembaharuan dalam penyemakan Dasar Wanita Negara dan penggubalan Rang Undang-undang yang prihatin gender.

33. RUU Anti Gangguan Seksual 2021 misalnya telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 20 Julai 2022 dan Dewan Negara pada 11 Ogos 2022, manakala RUU Jenayah Intip dan Hendap (Anti-Stalking Law) telah dibentang untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 4 Ogos 2022.

34. Pelan Tindakan Menangani Perkahwinan Bawah Umur juga akan diteruskan dengan yang terkini, Kedah telah menggubal semula undang-undang perkahwinan Islam yang memberikan perlindungan kepada kumpulan rentan dan lemah.

35. Perkara yang sama diharap dapat diikuti di negeri-negeri yang lain agar permasalahan kahwin bawah umur ini dapat diselesaikan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

36. NCWO telah mewarnai perjuangan wanita sejak 60 tahun yang lepas hingga kini. Tahniah saya ucapkan. Namun, saya harapkan agar NCWO terus menjadi rakan strategik dalam pembangunan negara.

37. Akhir sekali, saya menyeru semua wanita terutamanya dalam gabungan NCWO agar terus bersama-sama dengan pihak Kerajaan dalam membangunkan Malaysia yang tercinta ini.

Ampun Tuanku,

Bagi mengakhiri ucapan, patik sekali lagi merafak sembah memohon ampun jika ada sebarang kesilapan tutur bicara di dalam persembahan ucapan patik sebentar tadi.

Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik pohon diampun.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sempena Majlis Konsultasi Bajet 2023

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

MAJLIS KONSULTASI BAJET 2023

23 OGOS 2022 | SELASA | 12.00 TENGAHARI

DEWAN UTAMA,
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali
Ketua Setiausaha Negara

Yang Berbahagia Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan I

Yang Berhormat Tuan Haji Yamani Hafez bin Musa
Timbalan Menteri Kewangan II

Yang Berbahagia Datuk Seri Asri bin Hamidin @ Hamidon
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

YBhg. Tan Sri, Datuk Seri, Dato’, Datin, Tuan, Puan Keluarga Malaysia yang saya kasihi sekalian.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada ALLAH SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini dan menyempurnakan majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023.

2. Konsultasi Bajet 2023 ini merupakan platform libat urus antara pihak Kerajaan dan sektor swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) bagi sama-sama merangka bajet negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

3. Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada Menteri Kewangan, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan atas usaha menganjurkan sesi konsultasi ini.

4. Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir, yang saya dimaklumkan telah turut mengemukakan memorandum.

5. Saya difahamkan sebanyak lebih daripada 3,000 isu dan 2,000 cadangan telah diterima daripada 242 agensi termasuk cadangan mengenai percukaian.

6. Isu dan cabaran yang dibangkitkan serta kaedah penyelesaian yang dicadangkan untuk menanganinya akan diperhalusi dan diteliti sewajarnya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Ekonomi negara menunjukkan pemulihan kukuh pada separuh pertama 2022 yang berkembang sebanyak 6.9 peratus ekoran langkah Kerajaan melaksanakan Fasa Peralihan ke Endemik, pembukaan sepenuhnya ekonomi dan sempadan serta didokong dasar fiskal mengembang melalui Bajet 2022.

8. Saya yakin momentum pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 akan berterusan sehingga penghujung tahun 2022 dan dengan itu, unjuran pertumbuhan tahun 2022 di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus dapat dicapai.

9. Berdasarkan indikator ekonomi terkini, insya-ALLAH, dijangka pertumbuhan tahun 2022 dapat mencecah ke tahap tertinggi dalam julat unjuran tersebut.

10. Momentum pemulihan ekonomi bukan sekadar pertumbuhan KDNK tetapi pemulihan pasaran tenaga kerja juga jelas dicapai berdasarkan kepada penurunan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus yang tertinggi pada Mei 2020 kepada 3.8 peratus pada bulan Jun 2022, antaranya hasil daripada inisiatif JaminKerja dengan peruntukan melebihi RM4 bilion dalam Bajet 2022.

11. Keyakinan kepada ekonomi negara juga jelas dalam kalangan pelabur antarabangsa. Untuk separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih lebih tinggi bernilai RM41.7 bilion berbanding sebelum pandemik iaitu RM23.3 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Meskipun pertumbuhan ekonomi negara untuk tahun 2022 berada pada trajektori pemulihan yang memberangsangkan, namun harus diingat, kita masih lagi berdepan dengan prospek ekonomi global yang semakin mencabar untuk tahun 2023 berikutan konflik Rusia- Ukraine yang berterusan, gangguan rantaian bekalan makanan global serta tindakan bank-bank pusat dunia yang memperketatkan dasar monetari.

13. Senario ekonomi global semakin mencabar dan tinjauan ekonomi bagi tahun 2023 kurang memberangsangkan. Pihak IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi global untuk tahun 2023 dari 3.8 peratus semasa tinjauannya pada Januari 2022 kepada 2.9 peratus pada Julai 2022.

14. Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, kita tidak terkecuali daripada perkembangan global. Gangguan rantaian bekalan dunia telah meningkatkan harga komoditi dan makanan dengan mendadak.

15. Pada bulan Jun 2022, kadar inflasi di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom melebihi 9 peratus sementara negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Filipina melebihi 6 peratus.

16. Demi kesejahteraan rakyat, Kerajaan telah melaksanakan langkah mengawal harga barangan serta menambahbaik bantuan dan subsidi barangan asas. Hasil daripada tindakan Kerajaan, kadar inflasi untuk separuh tahun pertama 2022 kekal pada tahap terkawal 2.5 peratus.

17. Tindakan Kerajaan tersebut telah meningkatkan perbelanjaan bantuan dan subsidi kepada RM77.7 bilion berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion. Tanpa bantuan dan subsidi Kerajaan, dianggarkan kadar inflasi negara akan mencecah sebanyak 11.4 peratus.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2023, Kerajaan akan memastikan Bajet 2023 disedia berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat.

19. Antara tumpuan utama adalah untuk memastikan pemulihan pasca COVID-19 turut mewujud peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

20. Di samping itu, dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambahbaik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti.

21. Kerajaan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mampan.

22. Ia bertujuan agar semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan hadapan tanpa mengira komuniti atau tempat tinggal.

23. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada barisan pembentang iaitu YBrs. Dr Apurva Sanghi, YBhg. Dato’ Dr. Ir. Andy Seo Kian Haw, YBhg. Dato’ Hazimah binti Zainuddin, YBhg. Prof Datuk Dr Denison Jayasooria dan YBhg. Dato’ Shahira Ahmed Bazari kerana berkongsi pendapat dan pandangan mengenai topik yang sangat relevan dalam perkembangan ekonomi Malaysia pada masa kini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Saya difahamkan beberapa isu dan cadangan telah diutarakan seperti pemberian subsidi dan perlindungan sosial; kelangsungan perniagaan dan kemampanan industri termasuk mengurang kos menjalankan perniagaan; dan meningkatkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir, produktiviti, teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan.

25. Terdapat juga cadangan untuk memperkukuh kerjasama pelbagai pihak untuk mempercepat pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 di peringkat nasional.

26. Jalinan kerjasama ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan sosioekonomi Keluarga Malaysia. Cadangan-cadangan tersebut selari dengan bidang fokus bajet dan akan diperincikan untuk dirangka langkah Bajet 2023 yang sesuai.

27. Tidak ketinggalan juga saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir di majlis Konsultasi Bajet 2023 ini dengan penyertaan yang aktif serta sumbangan idea yang bernas, kreatif dan menarik.

28. Majlis ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam proses penyediaan bajet untuk rakyat demi kesejahteraan Keluarga Malaysia

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

29. Perbincangan hari ini adalah merupakan titik permulaan kepada sesi libat urus yang lebih komprehensif untuk memperhalusi input Bajet 2023.

30. Kementerian Kewangan akan mengadakan siri mesyuarat kumpulan fokus untuk membincangkan bidang-bidang terpilih. Sebahagian hadirin pada hari ini akan dijemput sekali lagi untuk sesi yang lebih intensif dan berfokus.

31. Sebagai pelengkap kepada Majlis Konsultasi Bajet pada hari ini, seluruh Keluarga Malaysia dijemput untuk mengemukakan cadangan di dalam Portal Cadangan Bajet 2023 dengan melayari laman web Kementerian Kewangan seperti di pautan yang dipaparkan di skrin.

32. Terima kasih sekali lagi Keluarga Malaysia yang dikasihi. Marilah sama-sama kita jayakan Bajet 2023, dengan tema “Memperkukuh Pemulihan, Memudahcara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia.”

33. Dengan kata-kata itu, saya sudahi ucapan saya dengan Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

 

Sempena Perasmian Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian Dan Harapan

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

PERASMIAN SIMPOSIUM KELUARGA MALAYSIA:
PENCAPAIAN DAN HARAPAN

21 OGOS 2022 | AHAD | 10.00 PAGI
PUSAT KONVENSYEN PUTRAJAYA (PICC)


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdullilah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat sama- sama berkumpul di dalam program Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan pada hari ini.

2. Penganjuran simposium ini tepat pada masanya kerana hari ini genap satu tahun pentadbiran Keluarga Malaysia yang bermula pada 21 Ogos 2021.

3. Saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dalam suasana negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang sedang mengganas hebat sehingga ia mencapai rekod sebanyak 24,599 kes harian dan mengakibatkan 393 kematian pada 26 Ogos 2021.

4. Hasil kerja keras semua pihak dan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) khususnya membolehkan Malaysia menjadi antara negara yang mencatatkan kadar vaksinasi terpantas, akhirnya kita memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April 2022.

5. Saya mewakili Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada petugas-petugas kesihatan yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa-mangsa Covid-19.

6. Sesungguhnya banyak sekali cerita kesedihan petugas- petugas kesihatan kita yang berkorban jiwa raga dan nyawa dalam menangani Covid-19.

7. Jasa dan pengorbanan mereka semua sebagai Wira Tidak Didendang akan terus terpahat dalam lipatan sejarah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Bukan sahaja Malaysia, bahkan seluruh dunia terkesan akibat pandemik ini terutama dari sudut ekonomi. Perintah Kawalan Pergerakan dan penutupan sempadan telah menyebabkan aktiviti ekonomi terjejas teruk.

9. Namun, selaras dengan pembukaan sempadan, aktiviti ekonomi kita juga semakin pulih sehingga banyak petunjuk ekonomi kita menunjukkan perkembangan membanggakan mutakhir ini.

10. Dari sudut politik pula, negara pada waktu saya mengambil- alih tampuk pemerintahan berhadapan dengan suasana ketidaktentuan dan ketidakstabilan.

11. Ada pihak yang meramalkan bahawa bila-bila masa sahaja Kerajaan Keluarga Malaysia boleh runtuh berdasarkan sejarah lompat parti waktu itu. Syukurlah jangkaan itu tidak berlaku dan kini usia kerajaan ini telah menjangkau satu tahun.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Kata pepatah, waktu unik memerlukan pendekatan unik. Alhamdulillah, negara kita mempunyai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang begitu prihatin kepada kesentosaan negara dan kebajikan rakyat.

13. Atas nasihat Seri Paduka Baginda, maka kita telah mengambil inisiatif melupakan segala perbezaan dan mewujudkan kebersamaan dengan memeterai kerjasama rentas parti dengan pihak pembangkang.

14. Hasil pendekatan inklusif ini, kita telah mencapai kestabilan politik. Pelbagai inisiatif lain yang kita rundingkan melalui sesi-sesi konsultasi telah mendapat sokongan meluas semua pihak.

15. Ini termasuklah Bajet 2022 yang mendapat kelulusan majoriti serta Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 dan larangan lompat parti yang telah diluluskan sebulat suara.

16. Untuk itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja- Raja Melayu yang telah memberikan nasihat dan sokongan kepada Kerajaan Keluarga Malaysia sejak setahun yang lalu.

17. Ketaatsetiaan Kerajaan Keluarga Malaysia kepada Seri Paduka Baginda tidak boleh sama sekali diragui, malah kita sentiasa menjaga hubungan baik dengan pihak istana selaras dengan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

18. Tidak lupa juga saya ingin menzahirkan rasa terima kasih kepada semua Ahli Jemaah Menteri serta semua Ahli Parlimen, baik dari pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang, yang menyokong pelbagai inisiatif yang kita kemukakan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Sahabat saya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyebut, bahawa saya telah melakukan beberapa pembaharuan politik yang radikal dalam hanya setahun pentadbiran saya. Semua ini tidak akan berlaku tanpa sokongan semua Ahli Jemaah Menteri serta semua Ahli Parlimen.

20. Sesebuah Kerajaan hanya akan menjadi kuat dan berkesan jika ia mendapat dokongan daripada semua pihak. Alhamdulillah, Kerajaan Keluarga Malaysia tidak pernah bersengketa atau memandang ringan pengorbanan para penjawat awam.

21. Sepertimana kita semua ketahui, negara kita kerapkali dilanda musibah bencana alam seperti banjir besar yang tidak dijangka. Begitu juga dengan ancaman keselamatan termasuk di perbatasan negara.

22. Di saat negara sedang mengalami kesusahan pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Jabatan Kesihatan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan pelbagai agensi kerajaan lain bertugas tanpa lengah dan penuh dedikasi.

23. Sehubungan itu, Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa menghargai pengorbanan para penjawat awam di bawah pimpinan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.

24. Insya-Allah, kita akan mengumumkan sesuatu yang menceriakan bagi mengubat duka-lara para penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam yang dijadualkan pada 30 Ogos nanti.

25. Begitu juga dengan para aktivis masyarakat yang cekal berkhidmat kepada negara khususnya melalui pertubuhan- pertubuhan bukan kerajaan, Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa mengingati sumbangan mereka.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Dalam buku bertajuk “Why Nations Fail: The Origins of Power, Prosperity and Poverty”, Daron Acemoglu dan James A Robinson mengemukakan satu teori yang mengaitkan institusi-institusi politik inklusif dengan kemakmuran.

27. Mereka berhujah mengenai institusi-institusi ekonomi ekstraktif yang distrukturkan untuk mengaut hasil daripada orang ramai oleh beberapa pihak dan yang gagal memelihara hak-hak ke atas harta atau menyediakan insentif untuk aktiviti ekonomi.

28. Ini berbeza daripada institusi-institusi ekonomi inklusif yang memelihara hak-hak ke atas harta, mewujudkan padang permainan sama rata dan menggalakkan pelaburan dalam skil dan teknologi baru.

29. Institusi-institusi ini pula disokong oleh institusi-institusi politik inklusif yang mengagihkan kuasa dengan luas. Ini yang sedang Kerajaan Keluarga Malaysia cuba lakukan, iaitu dengan memperkukuhkan institusi-institusi politik yang ada sehingga ia menjadi inklusif.

30. Kita merancang untuk memperkukuhkan institusi Parlimen dan Kehakiman serta membentangkan Akta Pendanaan Politik untuk politik negara yang lebih sihat.

31. Masih banyak agenda yang boleh kita laksanakan. Masih ramai golongan yang perlu kita bantu, baik golongan miskin, golongan wanita, golongan wanita, golongan orang kurang upaya dan sebagainya.

32. Saya berharap agar kita akan terus dapat menguatkan tekad dan semangat untuk sama-sama berusaha memantapkan lagi pentadbiran kerajaan dan memulihkan ekonomi negara untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

33. Sejujurnya, saya tidak mahu mendabik dada melaung- laungkan semua kejayaan yang telah dicapai oleh Kerajaan Keluarga Malaysia dalam. Dalam hal ini, biarlah fakta yang berbicara.

34. Saya percaya simposium ini akan memberi ruang yang luas untuk semua peserta mendapat maklumat yang tepat dan jelas mengenai pencapaian dan cabaran Kerajaan Keluarga Malaysia sepanjang tempoh satu tahun yang lalu.

35. Terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Menteri Kesihatan serta Peguam Negara yang sanggup mengorbankan hari cuti mereka untuk menceritakan kisah-kisah pencapaian dan cabaran mereka.

36. Saya juga mengalu-alukan kehadiran 10 tokoh cendekiawan yang sudi meluangkan masa untuk membentangkan kertas-kertas kerja mereka bagi menilai secara objektif prestasi Kerajaan Keluarga Malaysia sepanjang tempoh satu tahun yang lalu.

37. Selaras dengan teras utama konsep Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, Kerajaan Keluarga Malaysia sentiasa mengambil kira pandangan setiap golongan.

38. Sebagai sebuah kerajaan yang terbuka, input-input daripada golongan cendekiawan seperti di dalam simposium ini akan kita pertimbang untuk laksanakan jika sesuai. Dari kampung saya menggengam azam di tangan, Menjadi cerdik pandai agar menabur bakti dan jasa, Kejayaan negara menjadi harapan masa hadapan, Bersama-sama kita semua, jangan sekali berputus asa.

39. Dengan harapan dan kata-kata itu, saya dengan lafaz, Bismillahirrahmaanirrahim, merasmikan Simposium Keluarga Malaysia: Pencapaian dan Harapan.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sempena Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO ’SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS MAKAN MALAM ULANG TAHUN KE-50
LEMBAGA JURUTERA MALAYSIA
ENGINEERING THE FUTURE

20 OGOS 2022 | SABTU | 8.30 MALAM
HOTEL ROYALE CHULAN, KUALA LUMPUR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia (LJM).

2. Terima kasih kerana mengundang saya menghadiri majlis meraikan sambutan 50 tahun penubuhan LJM bertemakan “Engineering the Future” yang memperlihatkan sejarah pencapaian profesion kejuruteraan negara kita.

3. Penganjuran makan malam ini juga sebagai menghargai sumbangan besar fraterniti kejuruteraan yang menjadi tulang belakang pembangunan negara selama ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Profesion jurutera telah memberikan sumbangan signifikan kepada negara yang kini menikmati kemajuan besar bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi juga teknologi kejuruteraan.

5. Kepakaran jurutera-jurutera tempatan membolehkan sektor infrastruktur, pembuatan, telekomunikasi, petroleum dan jana kuasa dapat dibangunkan sehingga mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

6. Peranan yang dimainkan bukan hanya membantu memacu ekonomi negara tetapi juga meningkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia agar setanding dengan negara-negara lain, dengan LJM bertindak sebagai pengawal selia profesion berkenan.

7. Justeru, Malaysia sejak dua dekad lalu telah dikenali dunia dengan pembinaan struktur dan mercu tanda ikonik seperti Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, SMART Tunnel, Menara PNB118 dan sebagainya, memperlihatkan kecemerlangan para jurutera kita.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Ketika Malaysia bergerak ke arah matlamat untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, kita juga perlu mengekalkan momentum yang positif dalam ekosistem pembangunan negara.

9. Sehubungan itu, ketika melancarkan Minggu TVET pada 20 Jun lalu, saya menyeru penggerak industri untuk menjadi rakan strategik dalam usaha mempromosikan TVET kepada Keluarga Malaysia.

10. Saya difahamkan Lembaga Jurutera Malaysia turut mempunyai Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan yang memberikan akreditasi kepada program kejuruteraan TVET di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

11. Memandangkan akreditasi ini diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui penglibatan LJM dalam Sydney Accord dan Dublin Accord oleh International Engineering Alliance (IEA), ia adalah satu perkembangan yang amat positif kepada kemajuan TVET negara.

12. Kerajaan juga telah melancarkan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia pada tahun 2021 dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara supaya Malaysia terus kekal berdaya saing di peringkat global.

13. Saya difahamkan LJM juga telah membentuk satu pasukan khas untuk merangka dan melaksana strategi meningkatkan keupayaan pendigitalan firma perunding kejuruteraan.

14. Salah satu pencapaiannya termasuk memperkenalkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance atau CCC Online) secara dalam talian pada bulan November lalu. Syabas saya ucapkan!

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Sambutan Ulang Tahun ke-50 LJM dengan slogan “Komited kepada Kecemerlangan Kejuruteraan”, sudah pasti memperlihatkan kematangan bukan hanya LJM tetapi juga bidang kejuruteraan tersebut.

16. Bidang kejuruteraan menuntut prinsip kecekapan, penelitian dan kebolehan menyelesaikan masalah yang kompleks, sekali gus menjadi asas utama kepada kejayaan pemimpinnya.

17. Harvard Business Review pernah melaporkan, 34 daripada 100 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berprestasi tinggi mempunyai latar belakang di bidang kejuruteraan. Ini termasuklah syarikat-syarikat gergasi dan terkemuka seperti Microsoft, General Motor dan Amazon.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Saya menyarankan usaha lebih agresif dan serius dilakukan bagi melantik lebih ramai jurutera mengisi jawatan-jawatan strategik dan pembuat dasar di perkhidmatan awam.

19. Malah, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disarankan melantik kalangan jurutera mengisi jawatan pengurusan atasan syarikat seperti ahli Lembaga Pengarah dan juga Ketua Eksekutif.

20. Kerajaan juga memandang serius isu gaji permulaan jurutera yang rendah kerana ia mampu menjejaskan golongan muda menceburi profesion berkenaan.

21. Perkara ini boleh menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara kerana nisbah seorang jurutera berbanding penduduk di Malaysia, adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara Jepun dan Jerman.

22. Saya setuju, gaji dan imbuhan dalam skim Kejuruteraan Perkhidmatan Awam perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor-faktor seperti kepakaran kejuruteraan, kos sara hidup dan sebagainya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Dalam usaha memartabatkan profesion ini, jurutera Malaysia perlu lebih agresif untuk berinovasi dan menghasilkan produk dan teknologi yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

24. Kerajaan sentiasa menggalakkan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar Malaysia bukan lagi menjadi sekadar pengguna teknologi tetapi sebaliknya pencipta dan pengeluar teknologi. Inilah yang kita harapkan. Inilah yang kita harapkan.

25. Saya dimaklumkan LJM kini dalam usaha meminda Akta Pendaftaran Jurutera 1967 dan pindaannya diharap dapat disegerakan supaya mampu berperanan sebagai badan kawal selia profesion kejuruteraan yang berkesan dan profesional demi memelihara kepentingan dan keselamatan orang awam.

26. Akhir kata, tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada LJM sempena ulang tahun ke-50 penubuhan. Saya percaya bahawa profesion kejuruteraan akan kekal menjadi tunjang pembangunan negara untuk 50 tahun akan datang.

27. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, menyempurnakan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia Engineering The Future.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Siri Kelapan


 TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

JELAJAH ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA SIRI KELAPAN

19 OGOS 2022 | JUMAAT | 3.30 PETANG
TAPAK KARNIVAL STADIUM SHAH ALAM, SELANGOR DARUL EHSAN


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat berkumpul bersama-sama di Tapak Karnival Stadium Shah Alam, Selangor petang ini bagi menjayakan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM).

2. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kementerian peneraju, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), khususnya kepada Menterinya, Yang Berhormat Tan Sri Noh Omar atas penganjuran JAKM siri kelapan di negeri ini dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai tuan rumah.

3. Apa khabar semua? Semoga seluruh Keluarga Malaysia di Selangor sentiasa sihat sejahtera.

4. Pada kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan tahniah atas pencapaian anak-anak muda Selangor di Sukan Komanwel 2022.

5. Saudari M. Thinaah berjaya merangkul dua pingat emas menerusi acara badminton berpasukan dan beregu campuran serta Javen Choong yang meraih pingat perak dalam acara beregu campuran menerusi acara pingpong. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Konsep Keluarga Malaysia telah diperkenalkan Kerajaan pada 22 Ogos tahun lalu bagi memastikan seluruh ahli keluarga besar kita hidup dalam harmoni tanpa mengira sentimen agama dan bangsa, berpaksikan tiga teras utama iaitu Kebersamaan, Keterangkuman dan Kesyukuran.

7. Sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian agama dan bangsa, konsep ini bukanlah sesuatu yang baharu tetapi sudah sebati dalam diri Keluarga Malaysia termasuklah di Selangor yang hidup bermuafakat dan saling membantu antara satu sama lain.

8. Jika ada antara ahli daripada keluarga besar kita ditimpa musibah, ahli keluarga yang lain juga turut merasakannya, “ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.”

9. Bak pepatah elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat, nilai ini juga selari dengan konsep ‘tasamuh’ atau toleransi yang menjadi teras utama perpaduan bagi masyarakat majmuk dalam Keluarga Malaysia pada hari ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Selepas diuji pandemik, dunia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu dan paling genting ialah perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan konflik Rusia- Ukraine. Gabungan semua faktor adalah antara punca kepada kenaikan harga barangan sehingga mengakibatkan kos sara hidup meningkat.

11. Namun, Kerajaan tidak berpeluk tubuh membantu Keluarga Malaysia dalam mendepani isu kos sara hidup dan inflasi. Kerajaan sentiasa berusaha memastikan Keluarga Malaysia kalis cabaran.

12. Pelbagai strategi jangka pendek, sederhana dan panjang dilaksanakan Kerajaan yang melibatkan kerjasama semua kementerian, kerajaan negeri, agensi-agensi Kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh Keluarga Malaysia bagi memulihkan ekonomi negara.

13. Hasilnya, hari ini kita dapat melihat ekonomi negara kita merupakan yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini.

14. Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan inflasi global. Justeru, kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan sepenuhnya. Bagaimanapun, kadar inflasi negara berada pada paras 3.4 peratus dan angka ini merupakan antara yang terendah di Asia Tenggara.

15. Bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap Keluarga Malaysia, Kerajaan telah membelanjakan peruntukan subsidi sebanyak RM77.3 bilion yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah negara, meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik.

16. Dasar yang dilaksanakan Kerajaan ini bertujuan membendung inflasi bagi mengelakkan kenaikan harga yang terlalu mendadak, dan pada masa yang sama membantu Keluarga Malaysia yang perlu dari segi bantuan langsung seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat, bantuan pertanian, nelayan dan sebagainya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit yang kukuh, tahun ke tahun sebanyak 44 peratus kepada RM132.8 bilion pada Jun 2022. Ini merupakan paras tertinggi sejak tahun 2013, dengan lonjakan besar dalam jualan kenderaan bermotor.

18. Selain itu, pada tahun 2021, jumlah dagangan Malaysia buat pertama kalinya telah melepasi paras RM2 trilion, meningkat 24.9 peratus dari tahun sebelumnya berikutan prestasi memberangsangkan bagi kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

19. Saya juga yakin pelabur asing terus berminat untuk menanam modal di negara ini hasil polisi dan dasar yang dilaksanakan Kerajaan. Bagi tempoh sembilan bulan yang lalu sehingga Jun 2022, negara kita merekodkan nilai pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM74.1 bilion sekali gus mengatasi jumlah FDI tahunan pada tahun 2021, 2020, 2019 dan 2018.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Kejayaan-kejayaan yang dicapai ini membuktikan ekonomi negara kita kini semakin pulih. Kerajaan terus komited dalam menjayakan inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini.

21. Pada 19 Februari lalu, saya telah melancarkan Inisiatif JaminKerja bernilai RM4.8 bilion dengan sasaran untuk menawarkan 600,000 peluang pekerjaan. Sehingga kini, sebanyak 400,000 kerja telah diisi di seluruh negara.

22. Alhamdulillah, sejak setahun lalu, kadar pengangguran telah menurun sehingga 3.8 peratus pada bulan Jun 2022, paras terendah sejak pandemik COVID-19 daripada 4.6 peratus pada bulan Ogos 2021.

23. Bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, Kerajaan telah menetapkan paras gaji minimum baharu kepada RM1,500 mulai 1 Mei lalu. Inisiatif ini antara langkah bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup Keluarga Malaysia.

24. Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan pada Jun yang lalu telah menunjukkan hasil positif dan berjaya bukan sahaja menurunkan harga beberapa barangan seperti ayam dan minyak masak.

25. Saya sememangnya berharap semua pihak akan terus memberi sokongan terhadap segala inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh Kerajaan demi kebaikan seluruh Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Sebanyak RM6.3 bilion peruntukan telah diluluskan Kerajaan bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan fasiliti penyampaian perkhidmatan di Selangor, di bawah Rolling Plan Kedua tahun 2022, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).

27. Antara projek penting yang akan dilaksanakan adalah lima buah projek tebatan banjir di Selangor dengan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion. Usaha ini akan disegerakan bagi mengelakkan kejadian banjir teruk yang menjejaskan kesejahteraan penduduk di Selangor, ekonomi negeri dan negara berulang lagi.

28. Seperti kita tahu banjir besar berlaku tahun lepas di negeri Selangor seperti di kawasan Shah Alam, Hulu Langat dan sebagainya.

29. Kerajaan turut mengambil langkah proaktif merencana pendekatan baharu termasuk pembinaan infrastruktur yang bersesuaian dan lebih lestari serta menyeluruh di Selangor.

30. Usaha menyediakan perumahan kepada Keluarga Malaysia, terutama kumpulan B40 dan M40, terus menjadi agenda penting Kerajaan.

31. Suka saya maklumkan, selaras dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah, sebanyak 14,329 buah rumah di negeri Selangor siap dibina sehingga bulan Jun 2022 di bawah pelbagai program perumahan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Saya mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Kemerdekaan kepada seluruh Keluarga Malaysia.

33. Kita perlu sedar bahawa kejayaan negara yang dikecapi pada hari ini adalah hasil muafakat serta usaha perjuangan secara berterusan sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat, sejahtera dan maju.

34. Nilai-nilai kemerdekaan dan patriotisme harus dihayati selaras dengan konsep Keluarga Malaysia menjadi tunjang kekuatan kita bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan negara tercinta.

35. Sekali lagi, tahniah saya ucapkan kepada Keluarga Malaysia di Selangor atas sambutan yang memberangsangkan serta komitmen padu yang ditunjukkan oleh KUSKOP dalam penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Siri Kelapan di Negeri Selangor pada kali ini.

36. Saya berharap aspek Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dalam masyarakat majmuk Keluarga Malaysia ini terus dihayati dan diserap dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia tanpa mengira sentimen agama dan bangsa.

37. Dengan kata-kata tersebut, dan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Selangor.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

JAWATANKUASA PEMANTAUAN SKIM STRATA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

  KERTAS CADANGAN PENUBUHAN JAWATANKUASA PEMANTAUAN SKIM STRATA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 1.   TUJUAN Kertas cadangan ini dikemuk...