Ahad, 13 Jun 2021

Kemaskini Mente dalam SPKPM

 Untuk kemaskini maklumat mente Bimbingan dan Pementoran, ikuti langkah-langkah berikut:


1. Klik pada ikon  untuk kemaskini maklumat mente.


2. Klik pada ikon  untuk padam mente.



3. Untuk makluman, sekiranya aktiviti B&P tersebut telah disokong oleh SULDP/Penyelaras SPLKPM organisasi masing-masing, maklumat mente tidak boleh dikemaskini.



PERHATIAN:

Sekiranya terdapat keperluan untuk mengemaskini maklumat B&P selepas proses sokongan dilaksanakan, mohon rujuk kepada SULDP/Penyelaras SPLKPM untuk pengemaskinian maklumat tersebut.

Cara menjana sijil penghargaan 7 Hari LDP

 Untuk proses jana sijil penghargaan kepada staf yang telah mencukupi 7 hari LDP, ikuti langkah-langkah berikut:


1. Klik menu Carian Bil Hari LDP.



2. Pilih data pelaporan Disember setiap tahun yang telah dijana oleh pihak Admin. Tandakan pada kotak bagi 7 Hari (7 H) dan Lebih 7 hari (Lebih 7 H). Kemudian klik butang Cari.



3. Senarai laporan bilangan hari LDP staf.


4. Tandakan pada setiap nama staf yang telah mencukupi 7 hari LDP. Kemudian klik butang Hantar. 5. Sijil penghargaan yang telah dijana akan memaparkan ikon bagi staf tersebut.

Selamat menjana sijil penghagaan 🥰

Cara log masuk SPLKPM

 

Log masuk Modul Individu

1.0 Modul Individu ›› Untuk mengakses modul individu, ikuti langkah-langkah berikut:


1. Klik pada ikon  yang terdapat paparan SPLKPM.

2. Paparan untuk log masuk ke dalam SPLKPM sebagai individu akan dipaparkan pada pelayar laman sesawang.



3. Masukkan ID Pengguna (No kad pengenalan) dan Kata Laluan. Kemudian klik pada butang Hantar untuk log masuk ke dalam sistem. Kebiasaannya kata laluan 4 digit terakhir kad pengenalan.


Semoga bermanfaat.

Parent Previous Next

Selasa, 1 Jun 2021

Teks Ucapan sempena Pelancaran Program eBelia

 

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI

SEMPENA PELANCARAN PROGRAM eBELIA
1 JUN 2021 (SELASA)

Assalamua’laikum Wa rahmatullahi Wa barakatuh dan salam sejahtera.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sentiasa sihat wal afiat dan terus cekal dan tabah dalam menempuhi segala cabaran dalam kehidupan, khususnya semasa pandemik COVID-19 sedang melanda negara.

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhana Wa Taala kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama secara maya di pelancaran program eBelia ini.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan yang telah sudi menjemput saya bagi merasmikan program ini.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Agenda pendigitalan negara dan Kerajaan

3. “Dekad ini, Dekad Anda” merupakan tema yang dipilih untuk sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini. Sebagai pewaris dan penentu masa depan negara, amatlah penting supaya tema ini dihayati oleh para belia. Ini adalah kerana setiap orang tergolong dalam dekad yang menjadi milik mereka, dan dekad ini adalah milik saudara dan saudari sekalian.

4. Dengan perubahan norma hidup ekoran pandemik COVID-19, kita dapat lihat pelbagai aspek kehidupan harian kita secara sedar dan tidak disedari telah beralih kepada pendigitalan dan juga automasi. Pandemik yang melanda mempercepatkan peralihan itu berlaku di seluruh dunia termasuk di negara kita. Kini hampir segala urusan dilakukan dalam talian, daripada interaksi semuka secara maya, mesyuarat, seminar, pembelajaran di sekolah, kuliah dan tutorial, apatah lagi urusan perbankan termasuk membeli-belah.

5. Sebab itulah salah satu Teras di bawah Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia adalah bagi mewujudkan masyarakat digital yang inklusif. Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) turut dirangka bagi memastikan kesalinghubungan di seluruh negara akan memacu pencapaian misi pendigitalan negara, serta visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

6. Seiring dengan matlamat Belanjawan 2021 untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, Kerajaan telah pun mula menerapkan aspek digitalisasi dalam pelbagai urusannya, dengan sasaran pembayaran tanpa tunai (cashless) bagi semua perkhidmatan Kerajaan menjelang tahun 2022. Ini bermakna orang ramai tidak perlu lagi beratur panjang untuk membuat bayaran di kaunter. Alhamdullilah, suka saya sebutkan bahawa pada tahun lepas, sebanyak 60 peratus daripada jumlah kutipan Kerajaan adalah melalui kaedah e-payment .

Para belia yang saya kasihi sekalian,

Belia sebagai penggerak utama agenda pendigitalan negara

7. Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (ITU) meletakkan Malaysia sebagai negara yang mempunyai warga digital tertinggi di dunia. Warga digital atau ‘digital natives’ ini mengikut definisi PBB ialah golongan muda yang berumur di antara 15 hingga 24 tahun, yang menggunakan internet secara aktif sekurang-kurangnya 5 tahun. Warga digital ini di negara kita, merangkumi 13.4 peratus atau lebih daripada 3.9 juta penduduk Malaysia. Justeru, sebagai generasi warga digital atau “digital natives”, saudara saudari sekelian memainkan peranan yang sangat penting dalam memacu dan menjayakan usaha pendigitalan di negara kita.

8. Saya amat berbangga dan berbesar hati kerana dapat merasmikan Program eBelia yang merupakan inisiatif Belanjawan 2021 pada hari ini. Program ini telah ditambah baik melalui program PEMERKASA, di mana nilai kredit telah ditingkatkan dari RM100 ke RM150 bagi setiap penerima. Ini akan dipadankan oleh penyedia e-dompet melalui pelbagai inisiatif tambahan seperti baucar, pulangan tunai (cashback) dan reward points.

9. Dengan peruntukan sejumlah 300 juta Ringgit, program ini dijangka akan memanfaatkan 2 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 ke 20 tahun, serta pelajar IPT sepenuh masa. Program ini juga dijangka akan mendorong perniagaan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) untuk mula menerima kaedah pembayaran tanpa tunai.

10. Saya berharap, melalui program ini, para belia akan mengambil peluang ini untuk menyokong para usahawan tempatan yang kebanyakannya dalam kalangan saudara-saudari sendiri. Please take this opportunity to support our local entrepreneurs, who are mainly youths as well. Sebagai warga digital, saya percaya saudara-saudari boleh mempelopori kaedah cashless payment, sekali gus mendorong para peniaga lain untuk menggunakan kaedah pembayaran seperti ini.

11. Dalam pada itu, para belia di negara ini amat bertuah kerana dapat memanfaatkan aplikasi digital bagi menambah ilmu pengetahuan, berkomunikasi dengan satu sama lain, serta mencari peluang pekerjaan dan perniagaan. Kerajaan sentiasa menggalakkan belia untuk terus meneroka inovasi dan menjadi pencetus idea seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

Para belia yang saya kasihi sekalian,

Agenda pendigitalan bagi memperkasakan rakyat dan perniagaan

12. Kerajaan sentiasa menyokong rakyat dan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengendalikan perniagaan dalam era digitalisasi, yang mana transaksi pembayaran dibuat secara online atau cashless.

13. Laporan Bank Negara Malaysia menunjukkan transaksi e-wallet pada tahun 2020 telah meningkat sebanyak 131 peratus kepada 600 juta transaksi . Lebih banyak peniaga telah mendaftar untuk menerima pembayaran melalui QR Code, dengan bilangan pendaftaran meningkat lebih dua kali ganda pada akhir tahun lalu.

14. Bagi belia yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan, suka saya berkongsi bahawa Kerajaan telah menyediakan pelbagai peruntukan dana, termasuk yang berfokus kepada mendorong peniaga-peniaga menerapkan elemen digital di dalam operasi perniagaan masing-masing. Contohnya, Dana Automasi & Digital (Automation & Digitalisation Fund) yang dikelolakan oleh Bank Negara Malaysia.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

Kerjasama awam dan swasta dalam inisiatif yang memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat

15. Saya mengucapkan terima kasih atas kerjasama pihak penyedia perkhidmatan e-tunai yang terlibat bagi menjayakan program eBelia. Saya harap usahasama pihak awam dan swasta seperti ini dapat diteruskan dan diperkembangkan. Kerajaan sentiasa komited menyokong usaha sebegini, seperti program Jaringan Prihatin yang telah dilancarkan baru-baru ini.

16. Akhir kata, dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM saya dengan ini melancarkan Program eBelia.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Teks Ucapan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+)

 

TEKS UCAPAN
PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI TAMBAHAN (PEMERKASA+)
OLEH:
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA
31 MEI 2021 (ISNIN), BERSAMAAN 19 SYAWAL 1442H

PENDAHULUAN

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Saudara dan saudari, rakyat Malaysia yang saya kasihi,

1. Sepertimana yang telah diumumkan, Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih ketat atau total lockdown untuk tempoh dua minggu bermula esok 1 Jun hingga 14 Jun 2021. Semua sektor sosial dan ekonomi ditutup kecuali sektor-sektor yang dikategorikan sebagai sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu.

2. Tindakan ini diambil setelah trend peningkatan kes-kes COVID-19 menunjukkan kenaikan yang amat mendadak dengan mencatat kes-kes kematian yang tinggi setiap hari. Sekiranya tindakan drastik tidak diambil dengan kadar segera, dikhuatiri sistem kesihatan di negara kita akan runtuh dan kita akan berhadapan dengan satu malapetaka yang lebih besar.

3. Sepertimana yang saya telah tegaskan sebelum ini, penutupan sektor-sektor ekonomi akan memberi kesan yang amat besar kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat. Saya ingin berterus-terang bahawa kerajaan mempunyai ruang fiskal yang amat terhad untuk berbelanja pada masa ini.

4. Namun atas dasar keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan wujud keseimbangan antara lives and livelihood iaitu keperluan untuk melindungi nyawa, dan menjamin kesejahteraan rakyat termasuk peluang saudara-saudari mencari nafkah untuk keluarga tersayang sepanjang tempoh PKP ini.

5. Semenjak COVID-19 melanda negara, Kerajaan telahpun melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah 340 bilion ringgit. Sehingga kini, ia telah memanfaatkan lebih
20 juta ahli isi rumah serta lebih dari 2 juta perniagaan dengan suntikan ekonomi melebihi 200 bilion ringgit. Justeru, terdapat lebih dari 100 bilion ringgit lagi daripada nilai pakej rangsangan untuk disalurkan sepanjang tahun ini. Sebagai tambahan, pakej tersebut dilengkapi oleh inisiatif Belanjawan 2021 berjumlah 322.5 bilion ringgit

6. Dengan suntikan fiskal dan langkah yang telah diumumkan, kita dapat lihat ekonomi semakin pulih, menggambarkan hasil dan impak positif untuk terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan menyediakan bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan. Pertumbuhan KDNK pada bulan Mac tahun ini telah melonjak sebanyak 6.0%, nilai tertinggi semenjak pandemik COVID-19 melanda negara.

PROGRAM STRATEGIK MEMPERKASA RAKYAT DAN EKONOMI TAMBAHAN (PEMERKASA+)

Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,

7. Maka sepertimana yang dijanjikan, hari ini saya ingin mengumumkan program bantuan PEMERKASA Tambahan atau PEMERKASA Plus sebagai inisiatif terbaharu Kerajaan untuk membantu meredakan cabaran yang dihadapi, terutamanya ekoran pelaksanaan PKP pada masa ini.

8. Nilai keseluruhan program PEMERKASA Plus adalah berjumlah 40 bilion ringgit, di mana suntikan langsung fiskal Kerajaan sebanyak 5 bilion ringgit. Langkah baharu PEMERKASA Plus akan dilaksanakan berlandaskan 3 matlamat utama seperti berikut:

Pertama: Mempertingkatkan Kapasiti Kesihatan Awam;

Kedua: Meneruskan Agenda Prihatin Rakyat; dan

Ketiga: Menyokong Kelangsungan Perniagaan

MATLAMAT PERTAMA: MEMPERTINGKATKAN KAPASITI KESIHATAN AWAM

Tuan-tuan Puan-puan sekalian,

9. Kerajaanbakan memastikan kapasiti kesihatan awam sentiasa diberi keutamaan. Seperti kenyataan saya sebelum ini, kita akan beralih ke fasa-fasa PKP secara berperingkat berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil kira antara lain jumlah kes COVID serta penggunaan kapasiti hospital serta ICU.

10. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk menambah peruntukan 1 bilion ringgit bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam. Pertambahan peruntukan ini adalah komitmen Kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan tidak akan runtuh dan beroperasi dengan berkesan. Maka, langkah-langkah berikut akan diberi perhatian:

Pertama: memperuntukkan 450 juta ringgit bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan ICU bagi rawatan COVID-19, bukan sahaja di Hospital seliaan KKM tetapi juga di Hospital Pengajar Universiti Awam seperti di UiTM, UPM dan UKM serta melalui hospital medan ATM seperti di Sabah dan Sarawak. Selain itu, penyumberan luar juga akan dilaksanakan kepada hospital swasta. Jumlah ini termasuk 200 juta ringgit yang diumumkan oleh YB Menteri Kewangan pada 22 Mei baru-baru ini;

Kedua: memperuntukkan 550 juta ringgit untuk menampung keperluan perbelanjaan berkaitan COVID-19 pelbagai agensi antaranya pertambahan kos operasi dan pengurusan dalam menangani krisis kesihatan COVID termasuk ubat, reagen untuk saringan dan lantikan pegawai secara kontrak. Ini juga termasuk kos pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 atau PKRC di MAEPS dan di peringkat negeri; dan

Ketiga: melanjutkan tempoh perkhidmatan lebih 14,000 pegawai perubatan dan jururawat lantikan kontrak sedia ada sehingga tahun 2022. Sebagai tambahan, kerajaan juga akan melantik semula lebih 500 petugas kesihatan yang bersara wajib tahun ini secara kontrak.

11. Saya juga telah mengarahkan YB Menteri MOSTI untuk mempercepatkan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan atau PICK. Saya dimaklumkan, pemberian dos pada bulan Mei telahpun mencapai purata 80,000 dos sehari.

12. Insha-Allah, menjelang akhir Jun nanti, kita mampu mencapai sasaran 150,000 dos sehari melalui penambahan terimaan vaksin dari syarikat pengeluar, penambahan pusat-pusat pemberian vaksin, memperkenalkan kaedah pemberian secara pandu lalu dan penambahan anggota sukarelawan. Berdasarkan unjuran, pelaksanaan PICK secara keseluruhan disasarkan untuk selesai menjelang bulan Disember 2021 dengan negeri berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang menjelang Oktober.

13. Saya merayu, supaya rakyat yang telah mendapat tempahan vaksin untuk hadir di mana-mana pusat pemberian vaksin yang ditetapkan. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan negara mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

14. Saya juga mendengar keluhan rakyat, terutamanya warga emas dan mereka yang tinggal jauh yang mengalami kesukaran untuk hadir ke PPV. Oleh itu, saya telah mengarahkan supaya aset-aset Kerajaan seperti bas, van dan kenderaan pool digerakkan bagi tujuan ini. Saya amat mengalu-alukan kerjasama pihak swasta, NGO dan pertubuhan masyarakat awam untuk turut menggiatkan usaha ini.

MATLAMAT KEDUA: MENERUSKAN AGENDA PRIHATIN RAKYAT

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

15. Bagi Matlamat Kedua, Kerajaan akan terus mengutamakan agenda prihatin rakyat. Ini terutamanya bagi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup golongan rentan dan pekerja yang bergantung kepada upah harian dapat terus dibantu. Tidak dinafikan, mereka inilah antara yang paling terkesan susulan penguatkuasaan PKP ini.

16. Sehubungan itu, Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan
2.1 bilion ringgit bagi menambah kadar program Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR. Bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah 2,500 ringgit, mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak 500 ringgit dan isi rumah berpendapatan antara 2,501 hingga 5,000 , akan menerima kadar sebanyak 300 ringgit. Golongan bujang pula akan menerima 100 ringgit.

17. BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti. Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak 2.4 bilion ringgit.

18. Seterusnya, saya juga mendengar permintaan rakyat supaya Kerajaan menimbang semula pemberian moratorium.

19. Sehubungan itu, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium. Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50% selama tempoh 6 bulan.

20. Inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih dari 5 juta peminjam dengan nilai sehingga 30 bilion ringgit. Insha-Allah, industri perbankan akan memberikan maklumat lebih terperinci berhubung perkara ini mulai esok. Saya berharap, pengumuman moratorium automatik ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada peminjam institusi perbankan. Para peminjam hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk mendapat manfaat bantuan ini.

21. Kerajaan juga akan melancarkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi pada minggu ini dengan nilai peruntukan 1 bilion ringgit. Melalui skim ini, pengusaha bas dan teksi yang layak boleh mendapatkan moratorium pinjaman sehingga 12 bulan dan melanjutkan tempoh pinjaman sehingga 36 bulan.

22. Saya menyarankan supaya agensi dan syarikat Kerajaan menawarkan penangguhan bayaran balik pinjaman serta diskaun sewa premis perniagaan. Pihak MARA akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind yang dibuka sehingga 31 Julai 2021. Peminjam boleh memohon secara dalam talian untuk membuat penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran atau moratorium. Bagi usahawan MARA yang terkesan akibat penutupan ekonomi, pemberian diskaun 30% ke atas sewaan premis perniagaan akan diberi untuk bulan Mei sehingga Julai 2021.

23. Seterusnya adalah berkaitan pekerjaan. Tidak dinafikan, pelaksanaan PKP 3.0 akan memberi kesan kepada sebilangan besar rakyat terutama risiko kehilangan pekerjaan dan pengurangan pendapatan akibat penutupan kebanyakan sektor ekonomi.

24. Maka, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah PERKESO selama 1 bulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan kos 1.5 bilion ringgit dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan, ditanggung oleh Kerajaan. Adalah dijangkakan 2.5 juta pekerja dan lebih 200 ribu majikan akan mendapat manfaat.

25. Selain itu, majikan yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan diberikan pengecualian pembayaran levi selama satu bulan pada bulan Jun 2021. Pada masa yang sama, pekerja juga boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melalui portal pembelajaran e-LATiH secara percuma yang melibatkan lebih 400 modul dan kursus kemahiran.

MATLAMAT KETIGA: MENYOKONG KELANGSUNGAN PERNIAGAAN

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

26. Seterusnya bagi Matlamat Ketiga, Kerajaan akan terus membantu untuk memastikan kelangsungan perniagaan, khususnya kepada PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka. Salah satu inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan adalah melalui pemberian Geran Khas Prihatin atau GKP. Sehubungan itu, sukacita diumumkan kadar GKP akan ditambah sebanyak 500 ringgit kepada 1,500 ringgit. Ini

bermakna, hampir 1 juta PKS dan perusahaan mikro akan menerima 1,000 ringgit pada pertengahan bulan Jun dan 500 ringgit lagi akan disalurkan pada bulan Julai.

27. Saya juga ingin tegaskan, berdasarkan SOP terbaharu yang diumumkan, Kerajaan masih membenarkan operasi jual-beli peniaga kecil, penjaja jalanan dan termasuk perusahaan mikro. Oleh itu, sekiranya para peniaga ingin mendapatkan pembiayaan mikro kredit sebagai modal kerja, sebanyak 1.5 bilion ringgit disediakan bagi sepanjang tahun ini oleh BSN, TEKUN, MARA, SME Corp. dan YAPEIM dengan kadar pembiayaan serendah 3%.

28. Selain itu, bagi membantu aliran tunai syarikat dan PKS, institusi perbankan akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan dan pinjaman. Dana institusi perbankan telah dimantapkan lagi melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah PKS pembiayaan BNM yang masih berbaki 5 bilion ringgit. Untuk menyokong lagi PKS, BNM akan menambah fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas sebanyak 2 bilion ringgit. Dengan itu, jumlah dana pinjaman untuk PKS dengan kadar pinjaman serendah 3.5% yang masih tersedia adalah sebanyak 7 bilion ringgit.

29. Selain itu, tidak dinafikan semasa tempoh PKP ini, ia turut memberi kesan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah. Bagi mengurangkan beban mereka, Kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas secara one-off sebanyak 500 ringgit kepada 17 ribu pemandu pelancong, 40 ribu pemandu teksi, 11 ribu pemandu bas sekolah, 4 ribu bas persiaran dan 62 ribu pemandu kereta sewa dan e-hailing. Bantuan ini yang berjumlah RM68 juta akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada bulan Julai.

30. Selain itu, sebagai salah satu usaha mengurangkan beban perniagaan, Lembaga Hasil Dalam Negeri akan mempertimbangkan rayuan pengenaan penalti dan menangguhkan pembayaran penalti ke tahun 2022 serta menyediakan penjadualan semula bayaran cukai tertunggak bagi pembayar cukai dan perniagaan yang terjejas.

31. Suruhanjaya Syarikat Malaysia juga bersetuju untuk memperkenalkan semula pelanjutan untuk penghantaran penyata kewangan, pelaksanaan mesyuarat tahunan bagi syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia dan moratorium denda bagi penghantaran lambat dokumen berkanun. SSM juga akan mengecualikan bayaran lewat untuk membaharui lesen perniagaan sehingga 31 Disember 2021 bagi PKS mikro serta perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.

32. Di samping itu, Akta Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 atau Akta 829 akan ditambahbaik bagi membantu individu dan perniagaan yang terkesan. Perlindungan berkaitan ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontrak akan dilanjutkan tempoh kuatkuasa sehingga 31 Disember 2021. Sehubungan ini, Kerajaan menyediakan bantuan perkhidmatan pengantaraan atau mediation secara percuma melalui Pusat Mediasi COVID kepada semua individu atau perniagaan tanpa mengira latar belakang.

33. Seterusnya, Kerajaan akan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas. Sehubungan itu, pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan layak menerima diskaun bil elektrik sebanyak 10% selama 3 bulan tambahan antara bulan Julai hingga September 2021.

34. Kerajaan juga bersetuju memberi potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh 6 bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30% daripada kadar sewa semasa. Selain itu, pelanjutan sehingga 31 Disember 2021 bagi pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel masih berterusan.

35. Semasa pembentangan pakej PENJANA pada Jun 2020, Kerajaan telah mengumumkan pengecualian duti setem Kempen Pemilikan Rumah atau HOC yang akan berakhir pada hari ini, 31 Mei. Sukacita diumumkan Kerajaan bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem HOC tersebut sehingga 31 Disember 2021.

36. Kerajaan juga bersetuju melanjutkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang CKD dan CBU import yang sebelum ini diumumkan di bawah inisiatif PENJANA mulai 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021.

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,

37. Ingin saya tekankan sekali lagi, selain inisiatif yang diumumkan pada malam ini, masih terdapat pelbagai program pakej rangsangan bernilai lebih daripada 100 bilion ringgit yang masih dalam pelaksanaan. Dari segi perbelanjaan langsung daripada Kerajaan, Kumpulan Wang COVID-19 telah diluluskan dengan siling 65 bilion ringgit. Sebanyak 38 bilion ringgit telah dibelanjakan pada tahun 2020 dan sehingga April 2021, 10 bilion ringgit lagi telah disalurkan. Baki sebanyak 17 bilion ringgit akan dibelanjakan pada tempoh yang terdekat. Antara inisiatif dan program ini termasuklah:

Pertama: BPR Fasa 2 yang baharu sahaja dilaksanakan awal Mei lepas dengan peruntukan sebanyak 2.7 bilion ringgit yang telah disalurkan kepada 8.4 juta penerima dengan bayaran Fasa 3 bernilai 2.4 bilion ringgit dijadualkan untuk bulan September;

Kedua: Program subsidi upah, insentif penggajian serta program latihan untuk membantu menjamin pekerjaan sedia ada serta menggalakkan penyediaan pekerjaan baharu dengan sasaran 500,000 untuk tahun ini;

Ketiga: Pelaksanaan projek-projek kecil dengan peruntukan lebih 2 bilion ringgit untuk dibelanjakan memanfaatkan kontraktor kelas G1 hingga G4 bagi pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam;

Keempat: Program Jaringan Prihatin bernilai 2 bilion ringgit yang juga dilancarkan pada awal Mei lalu bagi membantu
8.4 juta penerima BPR untuk melanggan perkhidmatan telekomunikasi atau mendapatkan peranti telefon mudah alih; dan

Kelima: Program e-Belia yang akan dibuka pendaftaran mulai esok, 1 Jun 2021 bagi membolehkan 2 juta belia dan pelajar IPT yang layak untuk mendapatkan kredit bernilai 150 ringgit dari penyedia perkhidmatan e-tunai.

PENUTUP

Saudara-saudari yang dikasihi sekalian,

38. Inilah antara usaha Kerajaan sebagai meneruskan agenda prihatin rakyat dan komitmen Kerajaan dalam mengurus krisis yang melanda kini. Saya amat menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak yang kekal teguh bersama-sama Kerajaan tanpa mengira kawan atau lawan dalam menghadapi situasi yang tidak pernah kita jangkakan ini.

39. Dalam mencapai matlamat ini, Kerajaan akan terus mengutamakan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society dalam memerangi pandemik COVID-19. Ini merujuk usaha mengoptimumkan seluruh tenaga kerja kesihatan dan peranan frontliners yang bertindak di lapangan serta peranan seluruh rakyat Malaysia yang turut sama membantu untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini.

40. Sebagai penutup kepada inisiatif PEMERKASA+ ini, sepertimana yang telah diamalkan semasa PKP pertama tahun lalu, saya ingin memaklumkan tanda sokongan barisan Menteri dan Timbalan Menteri dengan tidak mengambil gaji selama 3 bulan mulai Jun 2021. Gaji yang tidak diambil ini akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

41. Keputusan untuk melaksanakan lockdown ini adalah satu keputusan yang sukar tetapi terpaksa dibuat. Samada lockdown yang dilaksanakan ini akan berjaya atau tidak semuanya terserah kepada saudara dan saudari serta ketentuan Ilahi. Kerajaan telah menutup hampir semua sektor ekonomi dan sosial untuk mengurangkan pergerakan rakyat dan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

42. Saudara dan saudari dikehendaki duduk di rumah – stay at home – saya ulangi stay at home – dan sentiasa patuh kepada SOP. Jika saudara dan saudari gagal mematuhi arahan ini, maka kita semua akan gagal, na’uzubillah.

43. Kepada para frontliners, bertabahlah. Saya tahu anda semua penat berperang melawan virus ini sejak lebih setahun yang lalu. Saya ingin ulangi penghargaan kerajaan yang tidak terhingga atas segala jasa dan pengorbanan para frontliners kita di seluruh negara. Saya doakan agar anda semua terus diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk mengharungi cabaran dan dugaan yang amat besar ini.

44. Saya juga mendoakan agar semua pesakit yang sedang bertarung melawan COVID-19 ini diberikan kesembuhan segera, amin ya rabbal alamin. Saya dengan penuh dukacitanya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa COVID-19 yang telah meninggal dunia. Mudah-mudahan anda semua tabah menghadapi dugaan yang amat berat ini.

45. Marilah kita bersama-sama panjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. mudah-mudahan wabak yang sedang melanda negara kita dan seluruh dunia pada masa ini segera berakhir.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Khamis, 20 Mei 2021

KEPERLUAN PENTADBIRAN TANAH UNTUK MEWUJUDKAN ‘JAWATANKUASA PENGURUSAN TANAH MENGIKUT PERKARA 166(3) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG’ UNTUK MENYELARASKAN PERANAN/FUNGSI PERUNDANGAN & TEKNIKAL TANAH DI ANTARA KERAJAAN PERSEKUTUAN, KERAJAAN NEGERI DAN TEMPATAN

 Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:

 

1. Perkara 85(1), (2) dan 166 (3) Perlembagaan Persekutuan:

 

Pemberian kepada Persekutuan tanah yang dirizabkan bagi maksud persekutuan

 

85. (1) Jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri dirizabkan bagi apa-apa maksud persekutuan, maka Kerajaan Persekutuan boleh menghendaki Kerajaan Negeri, dan kemudiannya menjadi kewajipan Kerajaan itu, untuk menyebabkan tanah itu diberikan kepada Persekutuan untuk selama-lamanya tanpa sekatan tentang kegunaan tanah itu, tetapi tertakluk kepada pembayaran premium yang hendaklah ditentukan mengikut Fasal (2) dan kepada pembayaran cukai tanah yang berkenaan pada tiap-tiap tahun.

 

(2) Premium yang disebut dalam Fasal (1) hendaklah sama banyak dengan nilai pasaran tanah itu ditolak—

(a) nilai pasaran bagi apa-apa pemajuan yang dibuat (selain atas perbelanjaan Negeri) semasa tanah itu digunakan bagi maksud persekutuan; dan

(b) amaun, jika ada, yang telah dibayar oleh Persekutuan, atau yang telah dibayar sebelum Hari Merdeka oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, berkenaan dengan kos pengambilan apa-apa kepentingan mengenai tanah itu oleh Kerajaan Negeri.

 

Pewarisan harta

 

166.(3) Mana-mana tanah yang terletak hak pada Negeri Melaka atau Negeri Pulau Pinang yang sebaik sebelum Hari Merdeka telah diduduki atau digunakan oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Baginda Ratu atau oleh mana-mana pihak berkuasa awam bagi maksud yang mengikut peruntukan Perlembagaan ini menjadi maksud persekutuan hendaklah pada dan selepas Hari Merdeka diduduki, digunakan, dikawal dan diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, oleh pihak berkuasa awam yang tersebut, selagi tanah itu dikehendaki bagi maksud persekutuan, dan—

(a) tidaklah boleh dilupuskan atau digunakan bagi apa-apa maksud selain maksud persekutuan tanpa persetujuan Kerajaan Persekutuan; dan

(b) tidaklah boleh digunakan bagi maksud persekutuan yang berlainan daripada maksud yang baginya tanah itu telah digunakan sebaik sebelum Hari Merdeka tanpa persetujuan Kerajaan Negeri itu.

 

2. Seksyen 416B Kanun Tanah Negara (KTN) 1965:

 

416B. Provisions in respect of lands falling under Article 166(3) of the Constitution.

Where any land in Malacca or Penang is occupied, used, controlled and managed by the transferor under Clause (3) of Article 166 of the Constitution immediately before a statutory vesting takes effect, the State Authority may, by virtue of paragraph (a) of Clause (3) of Article 166, with the written consent of the Federal Government and upon application in writing by the transferee-

(a) permit the whole or part of such land to be occupied, used, controlled and managed by the transferee on such terms and conditions as may be agreed between the Federal Government, the State Authority, and the transferee; or

(b) alienate such land to the transferee on such terms and conditions as may be specified by the State Authority, under and in accordance with this Act, and agreed upon by the Federal Government and accepted by the transferee

 

3. Akta Kerajaan Tempatan 1976.

 

4. Manual Kanun Tanah Negara (JKPTG) Bab 14 ‘Pendaftaran Perletakhakan Statutori’; Lampiran E – ‘Melaksanakan Perletakhakan Statutori Berkenaan Dengan Tanah Mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan’.

 

5. Pekeliling Persuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) Bilangan 3 Tahun 2008; ‘FUNGSI PESURUHJAYA TANAH PERSEKUTUAN, PERANAN KEMENTERIAN/JABATAN PENGGUNA DALAM PEROLEHAN TANAH UNTUK KEGUNAAN KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN PENGURUSAN TANAH-TANAH PERSEKUTUAN SELEPAS PEROLEHAN’.

 

6. Pekeliling Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (KPTG) Bilangan 2 Tahun 2015; ‘Kaedah Penyerahan Balik Tanah Milik Persekutuan Atau Pelepasan Tanah Rizab Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri Bagi Maksud Negeri’, dan Edaran Khas KPTG Bilangan 4 Tahun 2008; ‘PEMATUHAN KEHENDAK PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN BERHUBUNG DENGAN PERMOHONAN PEROLEHAN TANAH-TANAH KERAJAAN UNTUK PROJEK KERAJAAN PERSEKUTUAN MELALUI PESURUHJAYA TANAH PERSEKUTUAN’.

 

4. lain-lain Undang-undang dan Pekeliling yang berkenaan.

 

 

Perkara Berkaitan Dengan Pentadbiran Tanah:

 

1. Peruntukan dalam Akta A832 seperti yang dinyatakan dalam huraian kepada Rang Undang-Undang KTN (Pindaan) 1992 bertujuan menghapuskan ketidakcukupan ini dan mengadakan sistem yang lebih baik bagi pendaftaran sesuatu perletakhakan statutori.

 

2. Oleh itu, Akta A832 memperluaskan hak-hak yang boleh didaftarkan mengikut peruntukan berkaitan dengan perletakhakan statutori suatu tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan. Mengikut peruntukan perletakhakan statutori, mana-mana pihak yang telah diletakhakan dengan mana-mana hak di atas mengikut suatu undang-undang, boleh memohon kepada Pentadbir Tanah untuk mendapatkan hak itu didaftarkan atas namanya.

 

3. Justeru itu, undang-undang yang meletakhakan hak sedemikian boleh jadi undang-undang Persekutuan atau undang-undang negeri. Dalam hal tanah yang termasuk di bawah Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan, perletakhakan dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri Melaka atau Pulau Pinang dengan kelulusan bertulis daripada Kerajaan Persekutuan membenarkan badan berkenaan untuk menduduki, menggunakan, mengawal atau menguruskannya atau membenarkan pemberimilikan kepada badan itu apabila permohonan mengikut seksyen 416B Kanun Tanah Negara 1965 diterima. Tatacara prosedur dalam melaksanakan peletakhakan berhubung dengan tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan ialah rujuk lampiran Manual Kanun Tanah Negara (JKPTG) Bab 14 ‘Pendaftaran Perletakhakan Statutori’; Lampiran E – ‘Melaksanakan Perletakhakan Statutori Berkenaan Dengan Tanah Mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan’.

 

4. Sehubungan itu, urusan permohonan pemberimilikan tanah kerajaan oleh PTP melalui Pentadbir Tanah, permohonan oleh PTP tersebut menyatakan bahawa permohonan dibuat bagi pihak Kerajaan Persekutuan melalui kehendak Perkara 83 (1) Perlembahaan Persekutuan di mana adalah menjadi kewajipan Kerajaan Negeri, setelah adanya perundingan kedua-dua pihak, menyebabkan tanah kerajaan tersebut diberimilik kepada Persekutuan secara pegangan kekal dan tanpa sebarang sekatan penggunaan tanah, tertakluk kepada bayaran premium dan cukai tanah yang berpatutan. Terdapat sebilangan kes di mana Kerajan Negeri telah menolak permohonan pemberimilikan tanah oleh Persekutuan yang mana penolakan ini adalah bercanggah dengan kehendak Perkara 83 (1) Perlembagaan.

 

6. Oleh yang demikian sekiranya Kerajan Negeri menolak permohonan tanah oleh Persekutuan, tanpa alasan yang munasabah, adalah bercanggah dan melampaui (ultra vires) Perlembagaan Persekutuan. Dimana adalah wajar bagi PTG menasihatkan Kerajaan Negeri melalui pernyataan maklumat dalam kertas MMK mengenai kehendak Perlembagan Persekutuan tersebut.

 

7. Dengan adanya ‘Jawatankuasa Pengurusan Tanah Mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Pulau Pinang’, ianya boleh memastikan menyelaraskan peranan/fungsi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan di bawah peruntukan perundangan semasa, berhubung melaksanakan perletakhakkan statutori berkenaan dengan tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah untuk menjamin bahawa keputusan untuk melaksanakan perletakan hak ini adalah tepat (accurate) seperti yang dikehendaki dalam seksyen 416B ‘Peruntukan-peruntukan mengenai tanah-tanah yang terjatuh di bawah Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan’ Kanun Tanah Negara 1965.

 

8. Selain itu juga, dengan adanya jawatankuasa tersebut dapat menyelesaikan isu/perkara perbangkit tanah di bawah Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan, seperti:

 

Bil.

Senario

Isu/perkara berbangkit

 

01.

 

-Tapak ‘Malay School’ di atas lot 578 & 681, Mukim 11, DBD.

 

-Sekarang ditukarguna untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bayan Lepas.

 

 Tindakan: Jawatankuasa hendaklah mengangkat kertas MMK kepada PBN untuk JKPTG/PTP untuk meluluskan tukar kegunaan tanah dari ‘Malay School’ kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bayan Lepas dan meminta mereka mengemukakan permohonan pemberimilikkan selaras  mematuhi kehendak seksyen 416B KTN.

 

Bil.

Senario

Isu/perkara berbangkit

 

02.

 

-Tapak ‘Police Station’ di atas lot 144, Bandar Balik Pulau, DBD.

 

-Sekarang ditukarguna untuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan DBD.

 

 Tindakan: Jawatankuasa hendaklah mengangkat kertas MMK kepada PBN untuk JKPTG/PTP untuk meluluskan tukar kegunaan tanah dari ‘Police Station’ kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan DBD dan perlu mengemukakan permohonan pemberimilikkan selaras  mematuhi kehendak seksyen 416B KTN.

 

Bil.

Senario

Isu/perkara berbangkit

 

02.

 

-Tapak ‘Chinese Cemetery’ di atas lot 378, Mukim E, DBD.

 

-Lulus pemberimilikan sebahagian lot untuk laluan masuk fail PTBD/A/10/2017.

-Pengurusan kubur tidak patuh seksyen 97. Penggalian mayat, Akta Kerajaan Tempatan 1976

 

 Tindakan: Pada masa akan datang Jawatankuasa hendaklah mengangkat kertas MMK kepada PBN untuk pemohon  patuh seksyen 97. Penggalian mayat, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan meminta pihak pengurusan ‘Chinese Cemetery’ mengemukakan permohonan pemberimilikkan selaras  mematuhi kehendak seksyen 416B KTN.

 

9. Sekiranya jawatankuasa ini diwujudkan bolehlah mengurus dan mendaftar rekod tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan di Negeri Pulau Pinang, serta memastikan mematuhi kehendak perundangan dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan. Seterusnya dapat memantau dan mengawasi prestasi isu/perkara berbangkit tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan di bawah bidang peranan/fungsi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

 

Perkara Untuk Tindakan Pentadbiran Tanah:

 

Pentadbiran ini dapat membuat Kertas Cadangan Khas/khusus kepada Jawatankuasa Tanah Negeri (JKTN) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk mewujudkan penubuhan Jawatankuasa di atas.

Sehubungan itu, saya sertakan draf ‘Garis Panduan Penubuhan dan Peranan Jawatankuasa Pengurusan Tanah Mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Pulau Pinang’ seperti dilampiran untuk tindakan selanjutnya. Pentadbiran ini bolehlah merujuk perkara ini kepada YB Setiausaha Kerajaan (SUK) dan YB Penasihat Undang-Undang Negeri (PUUN) kerana cadangan jawatankuasa ini berkaitan dengan isu pentadbiran dan perundangan semasa.

Justeru itu, dengan tubuhnya Jawatankuasa ini akan memudahkan pengurusan pentadbiran Kerajaan Negeri amnya dan pentadbiran tanah khususnya dalam mengurus isu tanah, bagi mematuhi peruntukan Undang-undang sediada selaras mengikut kehendak Dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


GARIS PANDUAN

PENUBUHAN DAN PERANAN

JAWATANKUASA PENGURUSAN TANAH MENGIKUT PERKARA 166(3) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

KANDUNGAN

 

1.0 PENUBUHAN JAWATANKUASA

 

2.0 KEANGGOTAAN JAWATANKUASA

 

3.0 KEKERAPAN MESYUARAT

 

4.0 LAPORAN MESYUARAT

 

5.0 BIDANG TUGAS JAWATANKUASA

 

6.0 PERTANYAAN

GARIS PANDUAN PENUBUHAN DAN PERANAN

JAWATANKUASA PENGURUSAN TANAH MENGIKUT PERKARA 166(3) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

 

1.0 PENUBUHAN JAWATANKUASA

 

Satu Jawatankuasa Pengurusan Tanah Mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Pulau Pinang hendaklah ditubuhkan untuk menyelaraskan peranan/fungsi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan di bawah peruntukan perundangan semasa, berhubung melaksanakan perletakhakkan statutori berkenaan dengan tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah untuk menjamin bahawa keputusan untuk melaksanakan perletakan hak ini adalah tepat (accurate) seperti yang dikehendaki dalam seksyen 416B ‘Peruntukan-peruntukan mengenai tanah-tanah yang terjatuh di bawah Perkara 166(3) Perlembagaan’ Kanun Tanah Negara 1965. Dalam hal tanah yang termasuk di bawah Perkara 166(3) Perlembagaan, perletakhakan dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri Melaka atau Pulau Pinang dengan kelulusan bertulis daripada Kerajaan Persekutuan membenarkan badan berkenaan untuk menduduki, menggunakan, mengawal atau menguruskannya atau membenarkan pemberimilikan kepada badan itu apabila permohonan mengikut seksyen 416B Kanun Tanah Negara 1965 diterima.

 

2.0 KEANGGOTAAN JAWATANKUASA

 

2.1    Jawatankuasa ini, kecuali jawatan Setiausaha, hendaklah dianggotai oleh semua ketua/wakil jabatan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan yang berkenaan. Jawatankuasa ini terdiri dari:

 

(i) Pengerusi (Dicadangkan Pengarah Tanah dan Galian)

(ii) Timbalan Pengerusi (Dicadangkan Timbalan Pengarah Tanah dan Galian)

(iii) Setiausaha (Dicadangkan Ketua/Penolong Pengarah

Tanah dan Galian)

(iv) Ahli-Ahli (Dicadangkan):

- Wakil Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Pulau

Pinang (JKPTG).

- Wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

- Wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

- Wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Pulau Pinang.

- Pegawai Undang-undang PTG

- Pentadbir Tanah DBD.

- Pentadbir Tanah DTL.

- Pentadbir Tanah SPS.

- Pentadbir Tanah SPT.

- Pentadbir Tanah SPU.

- Wakil-wakil jabatan teknikal ditentukan oleh Pengerusi.

- Lain-lain wakil agensi Kerajaan ditentukan oleh Pengerusi.

 

2.2    Pengarah Tanah dan Galian hendaklah melantik dan memilih Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa. Kehadiran ahli mesyuarat khas hendaklah tidak kurang daripada dua per tiga (2/3).

2.3    Pengerusi hendaklah melantik Setiausaha dari jabatan sendiri.

2.4    Pra Jawatankuasa ini hendaklah dipilih mengikut keperluan semasa.

(i) Timbalan Pengerusi

(ii) Setiausaha

(iii) Ahli-Ahli

 

2.2    Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah melantik dan memilih Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa. Kehadiran ahli mesyuart khas hendaklah tidak kurang daripada dua per tiga (2/3).

2.3    Pengerusi hendaklah melantik Setiausaha dari jabatan sendiri atau jabatan lain.

2.4    Jawatankuasa ini hendaklah dipilih mengikut keperluan semasa.

(i) Pengerusi

(ii) Timbalan Pengerusi

(iii) Setiausaha

(iv) Ahli-Ahli

 

3.0 KEKERAPAN MESYUARAT

 

Mesyaurat Jawatankuasa hendaklah diadakan sekurang-kurangnya setahun dua (2) kali dan kehadiran ahli mesyarat hendaklah tidak kurang daripada dua per tiga (2/3).

 

4.0 LAPORAN MESYUARAT

 

Laporan mesyuarat hendaklah dikemukakan dalam tahun semasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

 

5.0 BIDANG TUGAS JAWATANKUASA

 

5.1    Mengurus dan mendaftar rekod tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan di Negeri Pulau Pinang, serta memastikan mematuhi kehendak perundangan dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

5.2    Memantau dan mengawasi prestasi isu/perkara berbangkit tanah mengikut Perkara 166(3) Perlembagaan Persekutuan di bawah bidang peranan/fungsi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan.

5.2    Bertindak sebagai pengantara perhubungan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan dalam mencari penyelesaian bersama mengenai isu/perkara berbangkit perundangan dan teknikal tanah semasa.

5.3    Menimbangkan dan menyelaras secara bersama isu/perkara berbangkit perundangan dan teknikal tanah semasa.

5.4    Membantu agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan berhubung isu/perkara berbangkit perundangan dan teknikal tanah semasa.

5.5    Mengemukakan apa jua pandangan dan cadangan lain kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan.

5.6    Membantu Majlis Mesyuarat Kerajaan ke arah pentadbiran baik, terurus dan dinamik serta mencapai hasrat ‘Penang 2030’.

5.7    Membantu Majlis Mesyuarat Kerajaan membuat dasar-dasar kerajaan selaras peruntukkan undang-undang semasa dan tadbir urus teratur di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan secara bersama serta harmorni.

 

 

 

6.0 PERTANYAAN

Sebarang pertanyaan mengenai perlaksanaan Jawatankuasa ini bolehlah menghubungi jabatan berikut:

 

(a)        Setiausaha,

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Tingkat 25,

KOMTAR, 10503 Pulau Pinang,

MALAYSIA.

(Telefon: 04-2621957/Fax: 04-2633010)

 

(b)        Pengarah,

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian,

Tingkat 3, 21 & 22,

KOMTAR, 10503 Pulau Pinang,

MALAYSIA.

(Telefon: 04-6505211/Fax: 04-2619588)


JAWATANKUASA PEMANTAUAN SKIM STRATA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

  KERTAS CADANGAN PENUBUHAN JAWATANKUASA PEMANTAUAN SKIM STRATA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 1.   TUJUAN Kertas cadangan ini dikemuk...