Isnin, 30 Mei 2022

Sempena Majlis Apresiasi (EKSPO 2020 Dubai)

 

UCAPTAMA
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB

MAJLIS APRESIASI (EKSPO 2020 DUBAI)

CLUB 2020, EMAAR
EKSPO 2020 DUBAI
1.30 PETANG 30 MAC 2022


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Saya berasa amat bangga untuk bersama-sama berada dengan tuan-tuan dan puan-puan di Ekspo 2020 Dubai, iaitu penganjuran ekspo dunia yang pertama di rantau Timur Tengah, Afrika serta Asia Selatan.

2. Saya difahamkan, selain syarikat-syarikat Malaysia, syarikat-syarikat antarabangsa yang telah memberikan komitmen dan mempunyai minat untuk bekerjasama juga hadir bersama-sama kita pada hari ini.

3. Saya ucapkan tahniah kepada kepada YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan YB Dato’ Seri Azmin bin Ali, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di atas kejayaan penyertaan Malaysia di dalam Ekspo 2020 Dubai.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

4. Tema Pavilion Malaysia iaitu ‘Energising Sustainability’ tercetus daripada Rancangan Malaysia ke-12 yang menjadi pelan hala tuju 5 tahun untuk Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi dan mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan. Pelan hala tuju tersebut berpaksikan 3 tema iaitu menetapkan semula ekonomi, mengukuhkan keselamatan, kesejahteraan dan keterangkuman serta memajukan kemampanan.

5. Pavilion Malaysia telah menerima kunjungan lebih daripada 130 delegasi peringkat tinggi antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, Angola, Arab Saudi, Australia, Argentina, Kemboja, Filipina, Greece, Guinea, Hungary, India, Iran, Ireland, Kesatuan Eropah, Kosovo, Kuwait, Mexico, Monacco, Montenegro, Myanmar, Namibia, Oman, Paraguay, Perancis, Rusia, Singapura, Slovakia, Slovenia, Syria, Sharjah, Sweden, Switzerland, Thailand, UAE, UK dan Vietnam.

6. Dalam meraikan kepelbagaian budaya, Pavilion Malaysia turut mengadakan pelbagai kerjasama kebudayaan termasuk dengan negara Angola, Arab Saudi, Argentina, ASEAN Pavilion, Australia, Brazil, India, Kemboja, Myanmar, Poland, Thailand, Vietnam dan United Kingdom.

7. Perjalanan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai telah dimulakan dengan mengambil kira objektif- objektif ini dan telah berjaya memperolehi hasil yang membanggakan.

8. Malaysia telah melebihi sasaran potensi nilai perdagangan, pelaburan dan business leads berjumlah RM70 bilion secara keseluruhan bagi 26 program mingguan kita di Ekspo 2020 Dubai.

9. Nilai ini telah diperolehi melalui 131 Memorandum Persefahaman atau Perjanjian Perkongsian, dan pertanyaan perniagaan melibatkan sejumlah 4,558 mesyuarat, termasuk potensi padanan perniagaan (business matching).

10. Sukacita juga saya umumkan satu lagi pencapaian membanggakan Pavilion Malaysia sejak bermulanya penganjuran Ekspo 2020 Dubai sehingga semalam bersamaan 29 Mac 2021, Pavilion Malaysia telah menerima 1.1 juta pengunjung. Syabas diucapkan.

11. Untuk makluman, sebelum penyertaan di ekspo, Malaysia telah menetapkan sasaran untuk mencapai antara RM8 bilion hingga RM10 bilion bagi potensi peluang perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan ini berasaskan pencapaian Malaysia di Ekspo Astana, Kazakhstan pada tahun 2017.

12. 452 buah syarikat dari Malaysia turut hadir untuk menyertai program perdagangan dan perniagaan yang dilaksanakan secara minggu bertema, mengetengahkan lebih daripada 10 industri, termasuk kesihatan, pendidikan, industri halal, pelancongan dan lain-lain.

PERUSAHAAN MIKRO, KECIL DAN SEDERHANA (PMKS)

13. Saya juga ingin mengetengahkan di sini peluang yang telah diberikan kepada lebih 400 PMKS di peringkat antarabangsa. Ini adalah peluang bagi mereka mengembangkan perniagaan dan meneroka peluang-peluang baharu di luar negara.

14. Untuk makluman, kerajaan menanggung kos yuran penyertaan semua PMKS ini di Ekspo 2020 Dubai, mereka hanya perlu membayar kos penginapan dan tiket kapal tebang sahaja.

15. Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu, menyokong dan memperkasa PMKS. Saya mahu lebih banyak PMKS dapat melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa yang mana boleh membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, seterusnya meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia.

5 YEAR LEGACY PROGRAMME

16. Saya menyambut baik kenyataan Yang Berhormat Menteri Dato’ Sri Dr. Adham Baba mengenai Malaysia menyertai Program Dubai’s 5 Years Legacy. Kita berhasrat agar Hab Teknologi dan Inovasi Malaysia menjadi pencetus inspirasi kepada inovator masa depan.

17. Aerodyne Group akan menjadikan Pavilion Malaysia sebagai ibu pejabat kedua global dan semua kos operasi akan diuruskan oleh Aerodyne Group.

MOU/ MOBE/ LOI

18. Saya juga telah menyaksikan majlis pemeteraian 5 MOU pada hari ini, dua MOBE (Memorandum of Business Exploration) dan satu LOI (Surat Niat) diantara Syarikat Malaysia dan rakan perniagaan asing.

19. Saya amat berbangga kerana Malaysia telah mengadakan libat urus dengan begitu ramai rakan kongsi yang bersedia untuk menyertai Malaysia dalam mewujudkan dunia yang lebih baik. Saya yakin hubungan yang dibangunkan di sini akan membawa kepada pelbagai potensi baharu dalam pemulihan global yang berterusan dan pertumbuhan yang mampan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

20. Memandangkan kita telah tiba ke penghujung ekspo yang gemilang ini, saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan UAE, penganjur dan para peserta dan juga syarikat-syarikat yang telah menumpukan tenaga mereka dalam merealisasikan ekspo bertaraf global ini.

21. Akhir kata, Malaysia juga bersedia untuk menyertai Ekspo Dunia yang akan diadakan di Osaka pada tahun 2025. Ini membuktikan prinsip Malaysia yang berpegang kepada dasar neutral dan mengekalkan hubungan aman dengan semua negara dalam meningkatkan lagi hubungan dengan negara lain di rantau ini.

Sekian, Wabillahi taufiq wal hidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...