Isnin, 30 Mei 2022

Sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
SAMBUTAN HARI ANGGOTA BOMBA SEDUNIA 2022

22 MEI 2022 | 2.30 PETANG
PERKARANGAN DEWAN MILLENIUM KEPALA BATAS, PULAU PINANG

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun pada petang ini bagi meraikan hari yang penuh bermakna bagi seluruh warga perkhidmatan bomba dan penyelamat di seluruh dunia iaitu Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022, dengan tema “BOMBA FRONTLINERS KELUARGA MALAYSIA.”

2. Saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atas jemputan untuk merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia pada tahun ini.

3. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Jabatan Bomba dan Penyelamat di atas segala khidmat dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan nyawa dan harta benda Keluarga Malaysia.

4. Sesungguhnya jasa bakti dan pengorbanan anggota bomba dan penyelamat akan terus dihargai oleh seluruh Keluarga Malaysia serta generasi akan datang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Tugas anggota penyelamat amat berisiko dan berbahaya, namun dengan perkembangan era teknologi, Keluarga Malaysia sudah mula memahami magnitud cabaran yang lebih kompleks dan rumit yang dihadapi oleh anggota bomba.

6. Ketika banjir buruk pada penghujung tahun lepas, saya membuat pemantauan di kawasan terjejas teruk seperti di Selangor dan Kelantan, dan melihat sendiri komitmen dan dedikasi pasukan bomba dalam menjamin keselamatan Keluarga Malaysia.

7. Saya dimaklumkan, ketika itu ada rumah pegawai dan anggota bomba dan penyelamat yang ditenggelami air namun mereka tidak sempat pulang kerana terlalu sibuk dengan misi menyelamatkan nyawa dan harta benda mangsa banjir.

8. Malah ada yang bekerja 72 jam tanpa henti dan tidak tidur semata-mata kerana fokus dengan tugas membantu orang yang memerlukan. Keutamaan mereka ialah keselamatan dan nyawa orang lain.

9. Pengorbanan dan sifat mengutamakan kepentingan orang lain lebih daripada diri sendiri seumpama ini amatlah saya hargai dan anggota bomba merupakan contoh terbaik kepada Keluarga Malaysia.

10. Semasa pandemik COVID-19, anggota bomba merupakan salah satu Frontliners Keluarga Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat merupakan antara organisasi kecemasan terawal digerakkan untuk menangani penularan wabak ini, antaranya bantuan kemanusiaan dan bencana, pemindahan mangsa, disinfeksi bangunan sehinggalah kepada membantu pengurusan pengebumian jenazah pesakit COVID-19.

11. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan tertinggi kepada Wira-wira Merah negara atas komitmen dan jasa bakti mereka ketika negara menghadapi krisis kesihatan rentas sempadan ini. Syabas!

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Dalam mendepani cabaran masa kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia perlu berusaha meningkatkan kecekapan dan profesionalisme menerusi program-program strategik disusuli pelan tindakan yang melibatkan seluruh lapisan Keluarga Malaysia.

13. Menyedari cabaran yang dihadapi itu, KPKT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah bergerak secara proaktif dengan menggubal Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030.

14. Dasar ini diyakini dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang berdaya tahan (resilient community) serta mampu mengadaptasi konsep penyelamat nyawa rakyat (citizen life saver) dalam kehidupan seharian terutama ketika berdepan sebarang situasi kecemasan atau bencana.

15. Dasar ini melibatkan komitmen pelbagai pihak dalam menjalin hubungan kerjasama strategik dengan industri keselamatan, kebakaran dan kebombaan. Ini amat penting kerana ia mampu membuka dimensi baharu kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara.

16. Pemantapan terhadap aspek perlindungan kebakaran melalui penggunaan teknologi terkini seperti automasi dan robotik pula mampu meningkatkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan Keluarga Malaysia, malah pemain industri dan juga pelabur.

17. Saya yakin melalui DKPN 2021-2030, warga KPKT khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan menzahirkan komitmen padu untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi penyampaian perkhidmatan kebombaan yang dinamik dan progresif.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap perkembangan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan negara, pelbagai usaha telah diambil bagi memenuhi komitmen perkhidmatan terhadap Keluarga Malaysia terutamanya daripada aspek pembangunan infrastruktur kebombaan dan modal insan.

19. Justeru, Kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan (DE) Rolling Plan Kedua (RP2) 2022 sebanyak RM132.4 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menambah baik kesiapsiagaan dan kebajikan anggota.

20. Ini meliputi jentera bomba, kenderaan utiliti, kenderaan forensik kebakaran, Personal Protective Equipment (PPE) serta sistem perisian pemantauan kebombaan yang bertujuan mempertingkatkan keberkesanan jabatan dalam menangani kes kecemasan.

21. Saya juga difahamkan terdapat 18 buah projek pembinaan balai bomba dan apabila siap nanti ia akan memberi impak besar kepada pengurangan tempoh masa bertindak (response time) sekaligus dapat meningkatkan keyakinan Keluarga Malaysia terhadap kesiapsiagaan jabatan bomba.

22. Kerajaan juga telah meluluskan projek fizikal fasiliti kebombaan yang kini dalam proses pelaksanaan iaitu Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Pangkalan Operasi Utama (MOB) Subang, Selangor serta Kuarters dan Balai Bomba Goh Tong Jaya, Genting, Pahang. Saya yakin, ketiga-tiga projek ini mampu merencana impak yang optimum dalam aspek pentadbiran, pengoperasian dan kebajikan anggota.

23. Kerajaan juga akan memastikan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan terus relevan dengan keperluan rakyat sejajar dengan peningkatan risiko semasa. Justeru, mengambil kira faktor pemerkasaan dan pemodenan aset kebombaan, Kerajaan dalam proses pertimbangan bagi kelulusan permohonan Rolling Plan Ketiga (RP3) 2023.

24. Dari aspek kebajikan, kerajaan telah meluluskan permohonan pemanjangan bayaran Elaun Kemahiran Khas kepada pegawai yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM).

25. Walaupun pada peringkat awal kita menerima permohonan dengan kadar RM300 bagi dua insentif untuk jurulatih dan tenaga pengajar, saya berpandangan kadar itu tidak sesuai dan saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jumlah elaun-elaun jurulatih dan tenaga pengajar seperti berikut :

PERTAMA – Bayaran Insentif HAZMAT: melibatkan kadar bayaran RM30.00 bagi setiap operasi (maksimum RM600.00 sebulan);

KEDUA – Bayaran Insentif Penyelamat Di Air: melibatkan kadar bayaran RM30.00 bagi setiap operasi (maksimum RM600.00 sebulan);

KETIGA – Bayaran Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS): melibatkan kadar bayaran secara pro rata (maksimum RM150.00 sebulan); dan

KEEMPAT – Bayaran Elaun Tanggungjawab Khas Pemandu: melibatkan kadar bayaran secara pro rata (maksimum RM150.00 sebulan).

26. Kelulusan elaun ini akan memberi manfaat kepada 114 orang pegawai bomba dari Gred KB19 hingga KB38 yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di lima buah Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia.

27. Diharapkan dengan kelulusan ini, jurulatih dan tenaga pengajar dengan kemahiran khas ini akan terus meningkatkan komitmen dan kualiti kerja ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berwibawa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih khususnya kepada seluruh warga bomba di atas segala khidmat bakti yang telah dicurahkan demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan nyawa dan harta seluruh Keluarga Malaysia.

29. Saya juga menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya terus memberi sokongan dan menghargai jasa dan khidmat bakti anggota bomba dan mendoakan supaya mereka sentiasa dilindungi dan diberikan keselamatan oleh Allah SWT sepanjang melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

30. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 serta melancarkan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara ( DKPN) 2021-2030.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...