Isnin, 30 Mei 2022

Sempena Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2022

 



TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA
TAHUN 2022

26 MAC 2022 | 11.30 PAGI
TAMAN AWAM BERA, PAHANG

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada UNESCO-IHP Malaysia dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) atas kejayaan menganjurkan Sambutan Hari Air Sedunia 2022 peringkat kebangsaan pada pagi ini.

2. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada KASA dan KeTSA kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis yang bermakna ini.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

3. Sambutan Hari Air peringkat kebangsaan tahun ini bertemakan Melestarikan Sumber Air (Memanfaatkan air bawah tanah).

4. Tema ini amat sesuai ketika pengurusan dan penggunaan air semakin tercabar akibat pelbagai faktor seperti cuaca dan manusia sendiri.

5. Walaupun negara mempunyai sumber air yang mencukupi bagi menyediakan air yang selamat dan terawat, namun kita perlu sedar masih terdapat pelbagai isu dan cabaran berkaitan pengurusan sumber air yang perlu diambil tindakan.

6. Pertama, kuantiti air yang kadang kala berlebihan semasa musim hujan dan jumlah yang tidak mencukupi semasa musim kemarau.

7. Kedua, kualiti air yang semakin merosot dan pengagihan yang tidak seimbang.

8. Isu dan cabaran dalam pengurusan sumber air negara perlu ditangani dengan berkesan bagi mencapai pengurusan sumber air negara yang lestari dan holistik.

9. Ketersediaan dan kelestarian sumber air yang bersih seterusnya akan menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

10. Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu dengan keupayaan penjanaan semula sebanyak 64 bilion meter padu setahun.

11. Kapasiti ini sangat besar dan sudah tentu berupaya menjadi sumber alternatif bekalan air negara.

12. Penggunaan air bawah tanah di Malaysia sebenarnya kurang daripada tiga peratus berbanding dengan negara lain seperti Denmark 100 peratus, Austria 98 peratus, Thailand 80 peratus, China 78 peratus dan Amerika Syarikat 50 peratus.

13. Di Malaysia ketika ini, air bawah tanah digunakan sebagai sumber air minuman di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Sabah dan Sarawak.

Keluarga Malaysia yang dikasihi

14. Kajian Sumber Air Negara (NWRS) bagi Semenanjung Malaysia (2000-2050) mengesyorkan pembinaan lebih banyak kawasan tadahan (reservoir) untuk memenuhi keperluan bekalan air domestik dan pengairan bagi menampung permintaan sehingga tahun 2050.

15. Kajian itu juga mendapati air bawah tanah boleh dijadikan sumber air alternatif untuk kawasan luar bandar dan kawasan terpencil dan untuk pelbagai kegunaan termasuk perindustrian, pertanian dan domestik melalui beberapa kaedah dan proses yang bersesuaian.

16. KeTSA melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), sedang giat melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti pemetaan, pembangunan, pemantauan dan Pembangunan Pusat Data dan Inventori Air Bawah Tanah.

17. Langkah ini bagi meningkatkan penggunaan air bawah tanah sebagai sumber konjuntif bekalan air negara untuk kegunaan struktur binaan seperti empangan bawah tanah (underground dam), akuifer buatan (managed aquifer recharge) dan susupan tebing (river bank filtration).

18. Usaha berterusan juga dijalankan bagi memperkasa dan mengharmonikan tadbir urus berkaitan sumber air bawah tanah dengan semua pihak yang berkepentingan di peringkat persekutuan atau negeri.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

19. Kepada penduduk Bera, saya ingin memaklumkan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam yang dikenali sebagai PISMA bagi Bandar Bera.

20. Ini boleh dijadikan panduan dan rujukan untuk merancang pembangunan masa hadapan, khususnya dalam sistem perparitan, yang lebih sistematik dan mampan.

21. Apabila siap, projek ini dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk dalam kawasan Bera bagi mengurangkan risiko banjir.

22. Dasar Sumber Air Negara (DSAN, 2012) menekankan keperluan untuk melindungi alam sekitar bagi memelihara sumber air, bagi kedua-dua air permukaan dan air bawah tanah.

23. Antara teras utama DSAN adalah jaminan dan kelestarian sumber air yang mencukupi dan selamat melalui pemuliharaan dan pengurusan sumber air yang berkesan, disokong oleh mekanisme perkongsian bersama.

Keluarga Malaysia yang dikasihi

24. Saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan sedang mengkaji semula DSAN dengan mengambil kira situasi dan cabaran semasa yang dihadapi sektor air Negara.

25. Dasar ini akan disesuaikan dengan pelan Transformasi Sektor Air 2040 dan perancangan-perancangan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12)

26. Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta jabatan dan agensi bekerjasama merealisasikan pelaksanaan pengurusan sumber air negara secara bersepadu.

27. Saya menyeru kepada semua pihak berkepentingan agar memberi perhatian, tumpuan serta mengambil tindakan yang berterusan memelihara sumber air terutamanya air bawah tanah demi memastikan ketersediaan air.

28. Akhir kata, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia bagi Tahun 2022 dan melancarkan buku Air dan Pembetungan.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...