Isnin, 30 Mei 2022

Sempena Pelancaran Pelan HIJRAH24 Lembaga Tabung Haji

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA PELANCARAN PELAN HIJRAH24
LEMBAGA TABUNG HAJI

20 APRIL 2022 | 6.30 PETANG LANTAI 1, DEWAN BESAR,
MENARA TUN RAZAK KUALA LUMPUR


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada petang bulan Ramadan penuh keberkatan ini.

2. Terima kasih kepada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) kerana mengundang saya untuk berbuka puasa dan menyempurnakan Majlis Perasmian Pelan HIJRAH24 Lembaga Tabung Haji 2022-2024.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

3. Tabung Haji ditubuhkan pada 1963 untuk membantu umat Islam menunaikan ibadat haji dan ia telah berjaya berkembang menjadi salah satu entiti pengurusan haji dan dana patuh syariah terulung di dunia.

4. Hasil kecekapan pengurusan haji yang menyeluruh dan efisien, Tabung Haji telah mendapat pengiktirafan serta pujian daripada Kerajaan Arab Saudi dan negara-negara Islam lain.

5. Semoga Tabung Haji akan terus menjadi model pengurusan haji terbaik dunia, seterusnya menjadi organisasi kebanggaan negara di persada antarabangsa, Insya-Allah.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

6. Tabung Haji merupakan antara pengurus pelaburan patuh syariah berkumpulan terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan bernilai RM87.3 bilion dengan deposit berjumlah RM86.5 bilion daripada 8.4 juta pendeposit.

7. Pembabitannya dalam pelbagai sektor ekonomi patuh syariah telah menjana pendapatan yang halal dan baik, seterusnya dikongsi bersama dengan para pendeposit melalui agihan keuntungan setiap tahun.

8. Sejak 1966 sehingga tahun lepas, Tabung Haji telah mengagihkan sebanyak RM35.6 bilion keuntungan kepada pendepositnya.

9. Dari tahun 2001 pula, Tabung Haji telah memberi bantuan kewangan haji berjumlah RM2.02 billion bagi meringankan beban kewangan jemaah Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

10. Sejak pandemik COVID-19, banyak syarikat serta perniagaan yang terkesan dan terpaksa melakukan perubahan drastik dalam struktur operasi syarikat masing- masing.

11. Saya pasti Tabung Haji tidak terkecuali daripada berbuat demikian supaya terus kekal dan berwibawa selari dengan arus semasa.

12. Saya juga yakin Tabung Haji telah mengenal pasti perkhidmatan yang boleh disesuaikan dengan norma baharu dan situasi terkini, selain berdaya tahan dan bersedia untuk menghadapi masa hadapan (future-proof).

13. Pelan HIJRAH24 yang dirasmikan petang ini diyakini dapat melonjakkan semula aktiviti perniagaan serta pelaburan Tabung Haji bagi memastikan kesinambungan dan kecemerlangannya secara berterusan.

14. Saya juga dimaklumkan bahawa pelan ini dibangunkan selari dengan nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia yang menerapkan pengkayaan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

15. HIJRAH24 merupakan Pelan Transformasi Strategik TH 2022-2024 bagi memacu organisasi untuk tiga tahun ke hadapan, terutamanya dalam menempuh cabaran yang mendatang.

16. Saya difahamkan pelan ini merangkumi 24 inisiatif strategik untuk mencapai aspirasi TH, dengan tumpuan kepada pengukuhan struktur tadbir urus korporat, operasi serta didorong oleh inisiatif digitalisasi.

17. Melalui HIJRAH24, TH menetapkan sasaran utama iaitu:

i. Peningkatan saiz dana berjumlah RM100 bilion pada 2024.
ii. Penambahan jumlah pendeposit meliputi lebih 50 peratus daripada penduduk Islam Malaysia.
iii. Keuntungan boleh agih kepada pendeposit pada kadar melebihi 0.75 peratus daripada kadar pulangan Islamik.
iv. Peningkatan pengguna THiJARI melebihi 4 juta pengguna.
v. Indeks Kepuasan Pelanggan melebihi 90 peratus dan
vi. Indeks Penglibatan Anggota melebihi 75 peratus.

18. Tahniah saya ucapkan kepada Tabung Haji atas usaha gigih bagi memastikan institusi Islam yang menjadi ikon kebanggaan negara terus berdaya saing dan kekal relevan.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

19. Saya mendoakan agar HIJRAH24 ini dapat dikotakan pada akhir tempoh 2024 seperti yang dirancang.

20. Syabas juga saya ucapkan kepada Tabung Haji kerana sentiasa bersedia melakukan transformasi untuk kekal dan berkesan.

21. Ini kerana sesebuah syarikat tidak akan maju jika hanya menunggu dan tidak mengambil langkah berani untuk mencuba sesuatu yang baharu sesuai dengan kehendak pemegang taruh.

22. Bagi Kerajaan, ia menaruh keyakinan terhadap Tabung Haji dan akan terus memberi sokongan atas usaha dan inisiatifnya demi kebaikan jemaah haji khususnya, dan umat Islam umumnya.

23. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, sukacitanya melancarkan Pelan HIJRAH24 Lembaga Tabung Haji 2022-2024.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...