Isnin, 30 Mei 2022

Sempena Majlis Pelancaran CoopMart dan Perasmian Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN COOPMART DAN PERASMIAN COOP COMMUNITY MART KOPERASI PUDINA PUTRAJAYA BERHAD

15 APRIL 2022 I 10.00 PAGI PERUMAHAN PENJAWAT AWAM, PRESINT 17, PUTRAJAYA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Selamat Pagi Dan Salam Sejahtera Dan Salam Keluarga Malaysia

1. Alhamdullilah, setinggi-tinggi kesyukuran diucapkan ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah kurnia-Nya, dapat kita bersua pada pagi ini dalam Majlis Pelancaran Coopmart dan perasmian Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad.

2. Tahniah dan syabas kepada Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim kerana telah berjaya menganjurkan majlis ini secara bersama- sama.

3. Inilah semangat Keluarga Malaysia yang ingin kita jelmakan melalui satu jalinan inisiatif secara bersama merentasi ruang lingkup dan sempadan Kementerian yang dipanggil ‘Inisiatif Sinergi Keluarga Malaysia’.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Sebentar lagi, kedai Koperasi Pudina Putrajaya Berhad ini bakal dirasmikan. Harapan saya adalah untuk melihat banyak produk koperasi tempatan dipamerkan dan kualitinya juga setanding dengan jenama produk terkemuka.

5. Selain itu, pengguna Keluarga Malaysia juga akan mendapat manfaat yang besar, mendapat pelbagai pilihan produk barangan keperluan dengan harga yang rendah dan berpatutan.

6. Pandemik COVID-19 yang melanda dunia tidak terkecuali daripada memberikan kesan menjejaskan kepada prestasi ekonomi negara dan juga Keluarga Malaysia yang kini berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.

7. Justeru itu, Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah proaktif dan strategik melalui pelbagai program bantuan dan pembangunan dalam memastikan Keluarga Malaysia tidak begitu terkesan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Sehingga kini, sektor koperasi mencatat perolehan sebanyak RM41.47 bilion dengan jumlah keseluruhan anggotanya sebanyak 7.1 juta orang. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

9. Bersandarkan kepada jumlah keanggotaannya yang besar ini, Kerajaan melihat koperasi mempunyai peranannya untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

10. Malah, gerakan koperasi boleh menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutamanya sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal melalui ekosistemnya yang komprehensif dan bersepadu.

11. Sehingga Disember 2021, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menunjukkan 2,581 buah koperasi sektor pemborongan dan peruncitan telah didaftarkan, dengan perolehan melebihi RM820 juta. Ini menunjukkan Koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berpotensi besar untuk dimajukan.

12. Jika kesemua koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu sebagai satu gerakan, setiap ahlinya juga akan menerima manfaat termasuk peningkatan taraf sosioekonomi dan impaknya sangat besar kepada ekonomi rakyat dan negara.

13. Ini kerana sektor koperasi tempatan menawarkan peluang kepada Keluarga Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan dengan menganggotai dan memiliki saham koperasi ini yang juga bertindak sebagai pemasar produk keluaran ahli-ahlinya.

14. Ketika pembentangan Bajet 2022, Kerajaan memperuntukkan RM10 juta di bawah Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (TRANSFER) bagi memulihkan koperasi dan menjalankan aktiviti yang membantu menggerakkan ekonomi negara.

15. Bahkan, turut disediakan bantuan menaik taraf infrastruktur koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berjumlah RM3.7 juta melalui Kumpulan Wang Covid – Kementerian Kewangan (PEMULIH). Bagi tahun 2021 hingga 2022, sejumlah RM16 juta diperuntukkan kepada koperasi sektor pemborongan dan peruncitan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Menyedari peranan besar yang mampu dimainkan oleh koperasi kepada Keluarga Malaysia, Kerajaan telah menyasarkan penubuhan lebih 500 kedai koperasi (Coopmart) di seluruh negara yang akan diusahakan menerusi pelbagai jenis koperasi.

17. Langkah ini dapat memastikan manfaatnya dirasai seluruh Keluarga Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar dan kawasan yang majoriti penduduknya adalah golongan B40 selain juga ahli-ahli koperasi, para pengguna dan usahawan yang terlibat dalam rantaian bekalan ini.

18. Ini dapat dilihat melalui Coopmart milik Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Presint 17, Putrajaya yang ditubuhkan dengan bantuan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

19. Kedai koperasi ini bukan sahaja membolehkan ahli koperasinya menjana pendapatan melalui dividen, malah menawarkan barangan keperluan asas serta pelbagai produk lain kepada penduduk setempat dengan harga yang rendah dan berpatutan.

20. Kewujudan Coopmart yang mendapat bekalan langsung daripada pembekal koperasi seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta lain-lain pembekal, penduduk setempat menawarkan situasi menang-menang sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia. Kedai koperasi ini mampu membantu meringankan kos sara hidup keluarga Malaysia.

21. Saya berharap pihak ANGKASA sebagai koperasi puncak atau induk di negara ini dapat bersama-sama dengan pihak Kerajaan mempertingkatkan peranan CoopMart dan membantu koperasi di negara ini yang ingin menceburi perniagaan sektor berkenaan.

22. Dengan kerjasama semua pihak khususnya KUSKOP dan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia memperkasakan kedai koperasi ini, saya percaya ia dapat mempercepatkan hasrat Kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat pada masa ini dan juga masa akan datang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Pertumbuhan gerakan koperasi dalam sektor peruncitan wajar diberi penekanan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara. Pendekatan Coopmart yang menjurus kepada pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan inklusif dijangka dapat mewujudkan satu garis panduan kepada koperasi sedia ada atau baharu yang ingin menceburi dalam bidang peruncitan.

24. Sebelum saya akhiri ucapan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat khususnya KUSKOP termasuk agensi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang berganding bahu melaksanakan Inisiatif Sinergi Keluarga Malaysia melalui penubuhan Coopmart di Presint 17, Pudina Putrajaya hari ini.

25. Suka saya maklumkan bahawa Kerajaan di bawah Program Coop Community Mart telah memperuntukkan sejumlah RM360,000 kepada dua koperasi di kawasan Perumahan Rakyat, di mana koperasi Pudina Putrajaya Berhad merupakan salah satu penerima manfaat. Program ini juga akan diteruskan di kawasan Perumahan Rakyat Hiliran Ampang bagi membangunkan Coopmart.

26. Selain itu, Kerajaan juga menyediakan bantuan geran penubuhan koperasi berjumlah RM400,000 dan bantuan Pemetaan Rantaian Bekalan (MOSC) di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi COVID-19 KUSKOP sebanyak RM1.12 juta kepada Federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Berhad.

27. Skop bantuan ini adalah di bawah inisiatif pendigitalan bertujuan membiayai kos pembangunan Sistem Pengurusan Sektor Pemborongan dan Peruncitan Koperasi terhadap 24 buah pusat pengedaran koperasi termasuk perkakasan, perisian serta kerja-kerja perkhidmatan.

28. Saya berharap peruntukan dan bantuan berterusan yang disalurkan oleh Kerajaan dapat membangunkan sektor koperasi yang memberi manfaat besar kepada Keluarga Malaysia.

29. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Program Penjenamaan CoopMart dan merasmikan Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...