Isnin, 30 Mei 2022

Sempena Majlis Pelancaran Automotive Hitech Valley

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN
AUTOMOTIVE HI-TECH VALLEY
(LEMBAH AUTOMOTIF BERTEKNOLOGI TINGGI)

12 APRIL 2022 | 5.30 PETANG TANJUNG MALIM, PERAK DARUL RIDZUAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada hari ini sempena pelancaran Automotive High-Tech Valley (atau AHTV) di Tanjung Malim, Perak.

2. Malaysia komited dalam membangunkan industri automotif yang dimajukan berpandu kepada Dasar Automotif Nasional (NAP) sejak tahun 1985.

3. Sejak tempoh itu, dasar berkenaan terus melalui proses evolusi dan Malaysia, sebagai perintis kemajuan teknologi permotoran di rantau ini, juga tidak mahu ketinggalan ke belakang.

4. Dasar Automotif Nasional 2020-2030 yang merupakan agenda semasa pembangunan teknologi industri ini, kini berdepan dengan anjakan paradigma ketara apabila dunia telah beranjak kepada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

5. Pembangunan industri automotif ini termasuklah perkilangan kenderaan penumpang, komersial, motosikal dan skuter serta komponen dan alat ganti kenderaan. Ia merupakan sektor perkilangan yang bukan hanya penting tetapi juga strategik.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. DRB-HICOM Bhd, merupakan sebuah kumpulan syarikat yang mempunyai pelbagai jenis perniagaan berasaskan sektor perkhidmatan, hartanah selain automotif.

7. Ia menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan keupayaan industri pembuatan kenderaan, selain mencipta satu ekosistem rantaian pembekalan dalam kalangan vendor tempatan.

8. Jenama kereta Proton di bawah DRB-HICOM misalnya, telah mendapat perhatian syarikat gergasi permotoran dunia iaitu Zhejiang Geely Holdings untuk mengadakan kerjasama yang memanfaatkan kedua-dua pihak.

9. Usaha ini mencatat kejayaan yang membanggakan apabila penjualan model Proton X70 dan X50 meraih jualan yang tinggi dan memberangsangkan.

10. Lebih membanggakan apabila Proton X70 telah dijadikan kenderaan rasmi pasukan polis negara asing seperti negara Afrika sekali gus membuktikan kemampuan jenama negara di pentas dunia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Pembangunan AHTV telah dicadangkan lebih 10 tahun lalu bagi memantapkan operasi pengilangan PROTON dari Shah Alam, Selangor ke Tanjung Malim, supaya lebih berpusat dan mampu meningkatkan produktiviti.

12. Dengan kewujudan AHTV ini, Malaysia antara lain boleh menjadi sebuah hab pengeluar kenderaan elektrik dan pembekal komponen ke pasaran ASEAN, bahkan ke pasaran yang lebih luas lagi.

13. Pembangunan ini juga dilihat dapat menarik minat pelabur-pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.

14. Jika di negara lain seperti Amerika Syarikat boleh bangga dengan Detroit, sebuah daerah yang terkenal dengan industri pembuatan keretanya, tidak mustahil satu hari nanti, Tanjung Malim akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini.

15. Selain itu, Tanjung Malim bakal menyaksikan limpahan ekonomi daripada aktiviti projek pembangunan AHTV yang dijangka menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak.

16. Pembangunan lain yang mempunyai rantaian ekonominya seperti Taman Perindustrian dan pembangunan hartanah bagi tujuan komersial secara keseluruhannya berpotensi menjana sebanyak RM32 bilion menjelang tahun 2030.

17. Pada masa sama, AHTV juga disasarkan menjadi pusat rujukan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) bagi teknologi berasaskan pematuhan iklim global dengan penubuhan Universiti Penyelidikan yang signifikan dengan industri ini.

18. Secara tidak langsung, pembangunan berkenaan dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kenderaan elektrik yang menjadi hala tuju masa depan industri automotif dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi mutakhir.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Usaha membangunkan AHTV sebagai hab baharu pengeluaran kenderaan elektrik ini adalah selari dengan hasrat dan komitmen Kerajaan ke arah pencapaian matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selain menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

20. Kerajaan berharap projek pembangunan ini akan dapat memacukan pembangunan industri hiliran dan lain-lain sektor yang menumpukan teknologi terkini terutamanya dalam penggunaan dan pengurusan sumber yang cekap sekali gus mengurangkan kesan rumah hijau.

21. Insya-Allah, dengan hala tuju yang dibuat secara teliti, AHTV akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara Malaysia amnya.

22. Diharapkan agar pelancaran AHTV ini menjadi penanda aras kepada satu lagi pembangunan negara yang berimpak tinggi dan memacu kejayaan negara secara holistik.

23. Saya yakin dan percaya, dengan kemampuan DRB-HICOM dibantu penyelarasan bersama agensi kerajaan yang berkaitan serta dana yang disalurkan, ia mampu menjadi projek mega kawasan perindustrian automotif yang gah di rantau ini.

24. Bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan, dan juga penyelidikan, saya mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang juga terletak dalam wilayah High-tech Valley, membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu *Center of Advanced Automotive Research and Training (CAART)*.

25. Dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, CAART di Universiti Pendidikan Sultan Idris ini akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia, serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.

26. Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di Automotive High Tech Valley ini dapat dilestarikan secara produktif.

27. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Automotive High-Tech Valley di Tanjung Malim, Perak ini.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...