Isnin, 30 Mei 2022

Sempena Hari Belia Negara 2022

 

TEKS PERUTUSAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB PERDANA MENTERI
SEMPENA
HARI BELIA NEGARA 2022
TARIKH: 15 MEI 2022


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia


1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan izin dan kurnia-NYA, kita dapat meraikan Hari Belia Negara 2022 (atau HBN2022) pada tahun ini dalam suasana sambutan Aidilfitri dan negara dalam Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April lalu.

2. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Belia Negara kepada semua generasi belia Keluarga Malaysia dengan sambutan kali ini bertemakan ‘INI MASA KITA’.

3. Tema ini mengingatkan kita betapa berharganya masa muda dan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Inilah masanya belia tampil melalui pelbagai peluang disediakan selari dengan konsep ‘daripada belia untuk belia’.

4. Tema ini juga sinonim dengan golongan belia yang pada masa kini untuk bersama-sama membangunkan negara, walau dalam apa sekalipun keadaan yang melanda.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Penglibatan dan sumbangan generasi muda sangat diperlukan dalam memperkukuhkan semangat Keluarga Malaysia. Justeru, Kerajaan sentiasa mengiktiraf sumbangan, pencapaian, usaha, daya bangkit dan suara seluruh warga belia.

6. Malah, Kerajaan juga sentiasa peka dan prihatin dengan isu yang melanda golongan belia khususnya dalam menurunkan kadar pengangguran. Berdasarkan dapatan Indeks Belia Malaysia tahun 2021 bagi Domain Ekonomi, skor bagi kebolehpekerjaan ialah 42.01.

7. Terdapat lebih 20 inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia secara langsung atau tidak langsung melalui Bajet 2022 telah diumumkan oleh Kerajaan, antara lainnya penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, sejajar dengan perkembangan sektor perniagaan yang sekali gus akan menempatkan ekonomi pada landasan pemulihan yang tepat.

8. Salah satu inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan melalui Bajet 2022 adalah inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2022 bagi membantu memperkukuhkan ekonomi belia.

9. Mengambil semangat konsep job guarantee, komitmen JaminKerja menjamin 600,000 peluang pekerjaan terutamanya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda dengan peruntukan bernilai RM4.8 bilion.

10. Kerajaan sedar cabaran yang bakal kita hadapi pasca COVID-19 akan lebih hebat terutamanya dalam sektor ekonomi. Oleh sebab itu, di bawah RMK-12, Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia untuk hala tuju strategik dalam meningkatkan kebolehpasaran dan tahap ekonomi belia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Melalui Bajet 2022, kira-kira RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif bagi manfaat golongan belia termasuk Program ePemula kepada 2 juta belia yang berumur 18 hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia 4 (SKM4) dan ke atas di institut pengajian tinggi awam dan swasta.

12. Program ini merupakan sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai yang bertujuan meringankan beban kewangan belia dan memupuk budaya transaksi tanpa tunai di kalangan belia. Alhamdulillah, inisiatif yang melibatkan peruntukan berjumlah RM300 juta ini telahpun dilaksanakan dan dinikmati warga belia.

13. Kerajaan juga menawarkan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi melibatkan kos sebanyak RM450 juta bermula Jun ini.

14. Seramai kira-kira 350,000 orang mahasiswa akan mendapat manfaat serta memudahkan mereka mengikuti aktiviti pembelajaran dalam talian, melayari internet untuk tujuan penyelidikan dan sebagainya.

15. Pada masa yang sama, Kerajaan turut memperkenalkan inisiatif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun dengan insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan bagi membolehkan belia menjayakan agenda pemulihan melalui alam pekerjaan.

16. Khusus untuk belia yang cenderung ke arah keusahawanan, Kerajaan turut menyediakan pelan pembiayaan bernilai RM150 juta melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.

17. Kerajaan turut menyedari bahawa ramai anak muda yang memulakan kerjaya di ibu kota berdepan dengan isu perumahan. Justeru kerajaan akan memastikan mereka mampu memiliki kediaman sendiri selari dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah, termasuk memperkasakan kediaman berkonsepkan transit atau Transit Oriented Developement (TOD).

18. Saya percaya semua inisiatif yang disediakan ini berupaya membantu golongan belia yang terkesan akibat pendemik COVID-19 untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Golongan belia memainkan peranan yang lebih besar dalam pembentukan negara bangsa terutamanya memilih pemimpin negara selaras dengan pelaksanaan Pindaan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan.

20. Jumlah pengundi belia berusia antara 21 ke 40 tahun pada tahun 2020 berjumlah 6.2 juta orang iaitu sebanyak 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta orang pengundi berdaftar. Penglibatan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan petanda positif dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas.

21. Pada 12 Mac 2022 yang lalu, negara telah mencipta sejarah baharu di mana golongan belia julung kalinya diberi hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, yang mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus dengan penambahan hampir 750 ribu pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18.

22. Dengan terlaksananya Undi18 ini, diharapkan belia lebih celik dan cakna tentang sistem demokrasi berparlimen dan peranan sebagai pengundi muda seterusnya meningkatkan jati diri belia untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab menjelang PRU yang akan datang.

23. Pemimpin belia juga perlu mengambil tahu dan sedar penguatkuasaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang melibatkan penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

24. Pelaksanaan pindaan akta ini dapat meramaikan pemimpin belia di bawah 30 tahun, seterusnya memberi ruang kepada belia untuk mengasah bakat kepimpinan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan.

25. Kerajaan amat menghargai pencapaian cemerlang atlet negara di persada antarabangsa yang rata-rata dibarisi golongan belia iaitu 31.6 peratus daripada jumlah atlet negara. Justeru kerajaan telah bersetuju meneruskan pelaksanaan Program Podium sehingga 2025 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM249 juta untuk tempoh empat tahun.

26. Penerusan program ini bukan sahaja dapat memberikan galakan buat atlet belia, malah perancangan dan persediaan turut dapat dilaksanakan dengan teratur bagi membolehkan lebih banyak pencapaian cemerlang direalisasikan di peringkat antarabangsa.

27. Ayuh keluarga belia Malaysia, teruskan sokongan kita kepada atlet-atlet sukan negara!

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Belia merupakan tunjang keutuhan Keluarga Malaysia. Maka, disebabkan itu, Kerajaan sentiasa menghargai peranan dan sumbangan belia dalam pelbagai bidang bagi mengiktiraf dan menghargai jasa dan sumbangan golongan belia dalam pembangunan negara.

29. Kerajaan menerusi KBS akan memperkenalkan kategori anugerah baharu dalam Anugerah Perdana Belia Negara pada tahun ini sebagai inisiatif menyuntik semangat golongan belia untuk terus menyumbangkan bakti kepada pembangunan negara.

30. Sebanyak tujuh anugerah baharu pencarian ikon belia yang cemerlang dalam kategori dipertandingkan bagi tahun 2022 iaitu:

(i) Ikon Belia Karismatik
(ii) Ikon Belia Kelestarian Alam
(iii) Ikon Belia Reka Tekno
(iv) Ikon Belia Influencer (Media Sosial)
(v) Ikon Belia Sanjungan Budi
(vi) Ikon Youth-Biz
(vii) Ikon Belia OKU

31. Saya juga berbesar hati mengumumkan bermula pada tahun ini, Anugerah Perdana Belia Negara akan dilaksanakan dalam majlis khusus yang penuh gemilang dan penggunaan logo tetap Sambutan HBN, sebagai komitmen kerajaan mengiktiraf pelaksanaan program yang meraikan golongan belia negara.

32. Akhir kata, sekali lagi saya ucapkan Selamat Hari Belia Negara 2022. Semoga belia Keluarga Malaysia dapat menyerlah dan mengekalkan momentum kecemerlangan dalam bidang masing-masing demi masa depan generasi muda yang lebih cerah.

33. Marilah kita bersama-sama membentuk landskap pembangunan negara berteraskan nilai Keluarga Malaysia demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama. Ini Masa Kita!


Sekian,


Wabillahi taufik walhidayah
Wasalamualaikum warahmahtullahi wabarakatuh

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...