Khamis, 4 Ogos 2022

Majlis Penutupan Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 Tahun 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PENUTUPAN
KEJUARAAN PENCAK SILAT DUNIA KE-19 TAHUN 2022
31 JULAI 2022 | AHAD | 8.30 MALAM
MITC, MELAKA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama malam ini pada Majlis Perasmian Penutupan Kejuaraan Silat Sedunia ke-19 Tahun 2022.

2. Syabas saya ucapkan kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) atas komitmen dan kesungguhan menganjurkan acara bertaraf dunia dan meletakkan martabat seni silat ke satu tahap lebih tinggi.

3. Terima kasih kepada Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) yang memberi kepercayaan dan pengiktirafan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah pada kejohanan kali ini.

4. Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada pesilat-pesilat dari seluruh negara yang bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan dipertandingkan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Penganjuran kali ini adalah satu penghormatan besar kepada negara, sebagai tuan rumah kepada lebih 40 buah negara yang mengambil bahagian dalam kejuaraan ini.

6. Malaysia berbangga dan berbesar hati kerana dapat menganjurkan pertandingan sukan bertaraf dunia dan berharap lebih banyak lagi acara sukan berprestij seumpama ini, dapat dianjurkan.

7. Penganjuran kejuaraan di bumi bersejarah ini amat signifikan memandangkan negeri Melaka kaya dengan peristiwa-peristiwa penting berkait dengan pahlawan Melayu yang tersohor, berjuang mempertahankan agama dan tanah air terutama ketika zaman Kesultanan Melaka.

8. Silat kini berkembang luas bukan hanya di rantau ini tetapi juga negara-negara lain di dunia yang tidak berkongsi budaya dan adat resam yang sama. Perbezaan inilah yang menyatukan kita sebagai pengamal seni silat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Sesungguhnya, silat telah memainkan peranan yang besar dalam memastikan budaya Melayu ini terkenal dan diwarisi di peringkat sejagat.

10. Seni silat juga terbukti mampu menjadi jambatan budaya Melayu Nusantara dengan dunia luar melalui ratusan ribu ahlinya dari benua Eropah, Asia Tengah, Asia Timur dan Afrika.

11. Sehubungan itu, budaya persilatan yang telah lama bertapak ini perlu dikekalkan agar dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.

12. Seni silat bukan sekadar untuk mempertahankan diri, tetapi ia juga membentuk keterampilan dan jati diri mereka yang mempelajarinya.

13. Malah, ia juga mendidik pengamalnya supaya tidak mudah mengalah dan berjiwa besar, selain sentiasa menyemai dan menyemarakkan semangat perjuangan pejuang silam.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Kita patut berbangga kerana dunia persilatan Melayu telah menyaksikan pelbagai pencapaian dan kejayaan, malah telah diiktiraf sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara.

15. Terbaharu, PESAKA dan Jabatan Warisan Negara berjaya menyenaraikan SILAT sebagai Warisan Tidak Ketara Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), satu lagi pengiktirafan tertinggi buat Malaysia.

16. Seni silat seharusnya menjadi sebahagian daripada gaya hidup masa kini yang membentuk karakter peribadi dan disiplin bagi sesiapa yang mengamalkannya.

17. Saya berharap seni silat akan terus dipraktikkan oleh generasi masa kini dan akan datang supaya ia kekal dimartabatkan dan terus relevan sepanjang masa.

18. Baru-baru ini, tayangan filem ‘Mat Kilau’ telah mencetuskan fenomena di negara ini. Saya percaya ramai yang telah menonton filem ini yang diinspirasikan daripada perjuangan dan keberanian pahlawan Melayu, Mat Kilau dalam menentang penjajahan.

19. Impak filem itu begitu luar biasa, bukan hanya mencatat kutipan sehingga RM90 juta hanya dalam tempoh 33 hari ditayangkan, malah kepada persatuan silat apabila menerima banyak ahli baharu yang berminat untuk mempelajari seni mempertahankan diri ini.

20. Saya difahamkan terdapat persatuan silat yang menerima pendaftaran lebih 40 pelajar baharu, berbanding hanya empat atau lima orang pelajar dalam tempoh setahun sebelum ini.

21. Ini jelas menunjukkan pengaruh silat yang memaparkan semangat juang yang tinggi, pembawaan watak persilatan dan adab orang Melayu memberi impak kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk mengenalinya secara mendalam.

22. Bagi menghargai sumbangan yang diberikan oleh anak- anak silat serta membantu PESAKA mengembangkan seni silat di persada dunia, pada malam ini dengan sukacitanya saya mengumumkan dana sebanyak RM1 juta kepada PESAKA.

23. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahhirrahmanirrahim, merasmikan Majlis Penutupan Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 Tahun 2022.

Sekian.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...