Khamis, 18 Ogos 2022

Perhimpunan RXZ 2022 Members 4.0 Tahun 2022

 

TEKS UCAPAN

DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

PERASMIAN PROGRAM RXZ MEMBERS 4.0 TAHUN 2022

13 OGOS 2022 | 11.00 PAGI

TERENGGANU INTERNATIONAL DRAG STRIP,
GONG BADAK, TERENGGANU

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama sempena Perhimpunan RXZ 2022 Members 4.0 Tahun 2022.

2. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada penganjur, Kelab RXZ Members Official Malaysia kerana berjaya menghimpunkan ribuan pemilik motosikal RXZ dari seluruh negara yang kali terakhir diadakan pada 2019.

3. Saya turut kagum melihat sokongan dan penyertaan luar biasa anak-anak muda di Terengganu International Drag Strip pada hari ini. Sanggup meredah hujan dan panas menunggang ‘jentera retro’ masing-masing sama ada secara berseorangan atau berkonvoi.

4. Semangat RXZ sentiasa membara di jiwa, namun ingin saya ingatkan, keselamatan perlu sentiasa diutamakan semasa dan selepas program dilangsungkan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Saya diberitahu, Kelab RXZ Members ini merupakan idea enam orang anak muda yang merupakan anak jati kampung di Kuala Terengganu pada tahun 2016.

6. Saya berasa bangga dengan minat yang ditunjukkan mereka berjaya menggerakkan kelab ini dan aktif menganjurkan aktiviti meskipun pada peringkat awal tidak mendapat sebarang tajaan daripada mana-mana pihak.

7. Penganjuran program seumpama ini sangat dialu-alukan kerana dapat mengetengahkan minat anak-anak muda, memberikan impak positif dan memupuk minat mereka dalam bidang pemotoran.

8. Ia juga sekali gus dapat mengurangkan tanggapan negatif terhadap riders yang selama ini yang sering dikaitkan dengan pelbagai gejala yang negatif seperti lumba motor haram. Program ini juga sebenarnya mampu membantu merancakkan ekonomi negara dengan mengerakkan sektor pelancongan, pengangkutan dan sektor-sektor lain,di samping dapat memupuk silaturahim sesama ahli- ahli kelab yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Sejak semalam, Lebuh Raya Pantai Timur dan jalan-jalan utama di negeri ini dilaporkan dipenuhi dengan penunggang RXZ yang datang dari seluruh negara.

11. Bagaimanapun dalam kegembiraan untuk menghadiri program ini, saya difahamkan salah seorang peserta yang ingin menyertai himpunan ini dari Selangor, telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Al Fatihah.

12. Sehubungan itu, suka saya mengingatkan supaya semua peserta agar berhati-hati di jalan raya, jangan sampai keseronokan dan keterujaan ini berakhir dengan tragedi.

13. Sementara itu, bagi memperkasakan program pembangunan sukan pemotoran di negara ini, Kerajaan bercadang untuk membina sekurang-kurangnya sebuah litar drag untuk drag race di setiap negeri.

14. Cadangan tersebut akan dimasukkan dalam Bajet 2023 yang akan dibentang pada Oktober ini.

15. Setakat ini sudah ada dua buah litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka.

16. Apabila litar tersebut siap kelak, sudah tentu akan memberi peluang kepada golongan belia untuk membabitkan diri lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

17. Saya juga menyeru golongan muda supaya menyertai  MyFit@Motorsports 2022 yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan satu program pembangunan pemotoran peringkat akar umbi yang melibatkan pembangunan sukan motosikal dan kereta.

18. Di bawah program ini, para peserta berpeluang mendapat pendidikan melalui latihan, kursus dan klinik bagi mencungkil bakat atlet pemotoran negara di pelbagai peringkat dengan menyertai kejohanan dan perlumbaan di peringkat negeri dan nasional.

19. Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terbabit dalam penganjuran program ini untuk anak-anak muda Keluarga Malaysia.

Dengan kata-kata tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, merasmikan Program RXZ 2022 Members 4.0 Tahun 2022.

21. Anak muda – Jalan Terus!

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...