Khamis, 4 Ogos 2022

Majlis Makan Malam Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Keluarga Malaysia Dan Pelancaran Anugerah NGO Malaysia 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS MAKAN MALAM GABUNGAN BADAN BUKAN KERAJAAN (NGO) KELUARGA MALAYSIA DAN PELANCARAN ANUGERAH NGO MALAYSIA 2022

27 JULAI 2022 | 8.30 MALAM
DEWAN TUN DR ISMAIL, WTC KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Makan Malam Gabungan Badan Bukan Kerajaan (Gabungan NGO) Keluarga Malaysia dan Pelancaran Anugerah NGO Malaysia 2022.

2. Pertama sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi mengundang saya merasmikan majlis yang sangat bermakna ini.

3. Saya menghargai usaha Gabungan Badan Bukan Kerajaan (Gabungan NGO) Keluarga Malaysia dan Yayasan Generasi Malaysia yang bergerak aktif mengembangkan visi dan misi Aspirasi Keluarga Malaysia. Tahniah saya ucapkan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Alhamdulillah, agenda Aspirasi Keluarga Malaysia yang saya diperkenalkan sejak bulan Ogos tahun lalu berjaya menarik perhatian rakyat termasuk NGO.

5. Oleh itu, selamat datang dan terima kasih kepada semua NGO yang hadir pada malam ini yang dikira menyokong agenda Keluarga Malaysia.

6. Konsep dan aspirasi Keluarga Malaysia diperkenalkan supaya rakyat berbilang kaum dan berlainan agama dapat terus mengamalkan hidup bersatu-padu berasaskan tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

7. Kita juga membawa konsep ini untuk menjelajah ke seluruh negara supaya Keluarga Malaysia dapat menjiwai dan memahami ertinya untuk diterjemahkan dalam kehidupan sebenar masyarakat majmuk.

8. Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), mengumumkan prestasi Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia bagi tahun 2021 yang menunjukkan masyarakat negara ini mencatatkan tahap Bahagia dengan skor 6.48 mata.

9. Dapatan ini yang diukur berasaskan aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual, bagaimanapun tidak membuat Kerajaan berasa selesa kerana banyak lagi yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

10. Justeru, saya menyeru supaya lebih ramai tampil melalui NGO masing-masing untuk turut sama menjayakan pelbagai rancangan dan inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan kepada seluruh Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Kerajaan sentiasa berusaha untuk membela nasib setiap ahli Keluarga Malaysia tanpa membiarkan sesiapa pun terpinggir atau tertinggal daripada arus kemajuan dan kemakmuran negara.

12. Pastinya kita semua sedar bahawa keadaan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim dunia telah memberi kesan dan cabaran yang besar kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia.

13. Kerajaan sentiasa mendengar dan menyelami keluhan Keluarga Malaysia terutamanya tentang kenaikan harga barang khususnya bahan makanan.

14. Pelbagai usaha dilakukan Kerajaan dan terkini ialah penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi untuk memastikan harga barang bekalan terus stabil dan dikurangkan supaya Keluarga Malaysia dapat hidup dengan selesa.

15. Atas usaha Kerajaan itu, inflasi dapat dikawal pada kadar 3.4 peratus bagi bulan Jun, antara yang terendah di Asia Tenggara hasil pemberian subsidi berjumlah RM77 bilion untuk bekalan keperluan seperti ayam dan telur serta minyak masak paket.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Kerajaan percaya sebarang perancangan yang dibuat dan sedang dilaksanakan boleh mencapai kejayaan sekiranya mendapat sokongan semua pihak termasuk NGO-NGO.

17. Justeru, Gabungan NGO Keluarga Malaysia dan Yayasan Generasi Malaysia digesa supaya turut memainkan peranan dengan menggemblengkan ahli-ahli menjadi ‘mata dan telinga’ Kerajaan untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

18. Melalui penggemblengan tenaga dan usaha seperti kata pepatah Melayu ‘Muafakat Membawa Berkat” pastinya akan membolehkan kemakmuran dan keamanan dikecapi, sekali gus mampu meningkatkan lagi Indeks Kebahagian Malaysia.

19. Namun, NGO tidak harus bersikap tunggu dan lihat tetapi perlu lebih proaktif dan bertindak menerusi ahli-ahli bagi membantu mengurangkan sebarang cabaran yang dialami Keluarga Malaysia.

20. Justeru, saya berharap agar semua NGO menubuhkan kumpulan atau bergabung untuk membentuk sebuah kumpulan yang lebih besar dan berpengaruh untuk tujuan tersebut.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Saya dimaklumkan Gabungan NGO Keluarga Malaysia dan Yayasan Generasi Malaysia ingin memperkenalkan Anugerah Kepimpinan kepada Pemimpin – Pemimpin NGO yang berkaliber dan berkarisma.

22. Saya menyambut baik usaha untuk memperkenalkan anugerah ini bagi mengiktiraf kerja-kerja kebajikan dan sosial yang dilakukan NGO sepanjang tahun ini.

23. Anugerah ini mendapat kerjasama Majlis Profesor Negara yang akan membuat penilaian terhadap NGO-NGO mengikut 20 kategori yang dikenal pasti setakat ini.

24. Kira-kira 30 sehingga 50 NGO akan disenarai dan diteliti serta disenarai pendekkan sebelum dimuktamadkan sebagai penerima.

25. Saya berharap dengan adanya anugerah ini akan menyuntik semangat kepada NGO-NGO untuk melipatgandakan program masing-masing bagi menjamin kebahagiaan Keluarga Malaysia.

26. Insya Allah, Kerajaan akan berusaha dan membantu NGO dalam pelbagai cara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

27. Penglibatan semua pihak dalam memperkasakan Aspirasi Keluarga Malaysia adalah penting untuk melonjakkan tahap kehidupan Keluarga Malaysia dan seterusnya memantapkan prestasi ekonomi negara.

28. Kerajaan sentiasa menyokong sebarang usaha untuk mewujudkan hubungan baik antara Kerajaan dan NGO supaya suasana aman dan harmoni dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat majmuk.

29. Insya Allah, dalam setiap program Keluarga Malaysia, NGO Keluarga Malaysia akan dijemput bersama. Saya yakin, dengan gabungan NGO ini, pelbagai program akan dapat dilaksanakan.

30. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmannirahim menyempurnakan Majlis Makan Malam Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Keluarga Malaysia dan Pelancaran Anugerah NGO Malaysia 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...