Khamis, 18 Ogos 2022

Majlis Perasmian Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 202

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO ’SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
SUKAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (SUKIPT) 2022

14 OGOS 2022 | AHAD | 8.30 MALAM
STADIUM UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI), TANJUNG MALIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Apa khabar semuanya? Semoga seluruh Keluarga Malaysia IPT sekalian sentiasa sihat sejahtera

2. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada malam ini bagi menjayakan program perasmian Sukan Institusi Pendidikan Tinggi atau SUKIPT 2022.

3. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi, khususnya Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, kerana sudi mengundang saya merasmikan SUKIPT 2022.

4. Saya difahamkan, yang hadir pada malam ini merupakan atlet mahasiswa dari IPT seluruh negara, termasuk para pegawai dan ahli-ahli kontinjen yang lain. Tahniah kepada semua.

5. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kontinjen Malaysia kerana berjaya menempatkan diri pada kedudukan kedua keseluruhan dalam Sukan Universiti ASEAN ke-20 atau AUG 2022, yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada 6 Ogos lalu di Ubon, Thailand.

6. Lebih membanggakan, pungutan pingat jauh melepasi sasaran yang ditetapkan! Tahniah dan syabas sekali lagi saya ucapkan! Hebat belaka anak-anak muda kita!

Keluarga IPT yang saya kasihi,

7. Saya masih ingat, kali pertama saya berkunjung ke UPSI ini adalah pada 8 Disember 2021 sempena 100 Tahun Suluh Budiman dan melancarkan program Keluarga Malaysia @ IPT yang pertama kali diadakan.

8. Semangat Keluarga Malaysia @ IPT sehingga kini masih diteruskan siri jelajahnya dalam pelbagai bentuk acara di seluruh negara.

9. Begitu juga dengan pengoperasian Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia di UPSI, yang kini giat membangunkan Indeks dan Data Raya Keberhasilan Kebahagiaan Keluarga Malaysia.

10. Pada bulan Oktober ini, turut dijadualkan berlangsung Konvensyen Keluarga Malaysia, dan Festival Filem Pelajar bertemakan Keluarga Malaysia yang akan diadakan dengan kerjasama FINAS. Syabas UPSI! Syabas KPT!

11. Pada malam ini, kali kedua saya bertandang ke UPSI. Bezanya, dulu dalam dewan, hari ini kita di stadium pula dengan aura yang berbeza.

12. Terasa semangat Keluarga Malaysia @ IPT yang sedang membara membuatkan anda semua tidak sabar-sabar lagi untuk bertanding dalam acara masing-masing.

13. Saya harap, semangat Keluarga Malaysia diteruskan momentumnya, bukan sahaja di gelanggang sukan, malah di arena IPT itu sendiri, yang sangat sinonim dengan pembinaan bangsa yang bersatu padu.

Keluarga IPT yang saya kasihi,

14. Apabila bercakap tentang sukan, banyak perkara yang boleh kita kaitkan. Bersukan bukan sahaja untuk sihat, tetapi juga mengajar kita tentang disipilin, semangat berpasukan, strategi, membuat keputusan, dan sebagainya.

15. Malah, sukan juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam Keluarga Malaysia.

16. Lihat sahaja ketika ada perlawanan bola sepak atau badminton, lebih-lebih lagi yang di peringkat dunia tanpa mengira kaum dan agama – kita duduk semeja bersama- sama rakan-rakan di restoran untuk bersorak menyokong pasukan negara.

17. Hakikatnya, sukan berupaya memberikan auranya yang tersendiri, bukan sahaja dalam kalangan yang bertanding, tetapi juga kepada yang menonton.

18. Baru-baru ini, tular di media sosial tentang kisah jurulatih badminton negara, Hendrawan yang telah memberikan kasutnya kepada Samuel Ricketts ketika saingan Sukan Komenwel 2022 baru-baru ini, supaya pemain Jamaica itu boleh meneruskan permainan.

19. Malah tindakan Siti Shazwana Ajak ketika Sukan SEA Vietnam juga boleh dijadikan contoh apabila pesilat negara itu melindungi dan menutup rambut lawannya yang tercabut tudung.

20. Inilah semangat kesukanan yang mengatasi segalanya. Dengan semangat yang tinggi, persaingan tidak menjadi isu. Semangat inilah yang perlu ada dan menjadi salah satu teras dalam Keluarga Malaysia iaitu Keterbukaan.

Keluarga IPT yang saya kasihi,

21. Kita juga boleh belajar bahawa ada lagi perkara yang lebih besar daripada sebuah pertandingan, iaitu kasih sayang, hormat-menghormati dan juga nilai kemanusiaan sesama pasukan yang berlawan.

22. Justeru, besar harapan saya agar program seumpama SUKIPT ini akan membentuk dan melahirkan lebih ramai atlet IPT yang berprestasi tinggi dan berminda juara dalam kejohanan besar di peringkat antarabangsa.

23. Hari ini, saya juga ingin mencabar para atlet yang bertanding dalam SUKIPT 2022, untuk mencatatkan rekod kebangsaan, tidak kiralah dalam apa jenis acara pun.

24. Mereka yang berjaya, kita akan bagi secara bersama wang tunai berjumlah RM20,000.00. Kepada semua atlet, selamat berjuang.

25. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, serta seluruh warga Kementerian Pengajian Tinggi dan UPSI yang telah menjayakan penganjuran SUKIPT 2022.

26. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim menyempurnakan perasmian SUKIPT 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...