Rabu, 10 Ogos 2022

Majlis Perasmian Seksyen Pujut bagi Pakej Kerja Sungai Tangap – Jalan Pujut Link (WPC11)

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN SEKSYEN PUJUT BAGI PAKEJ KERJA SUNGAI TANGAP – JALAN PUJUT LINK (WPC11)

7 OGOS 2022 | AHAD | 4.00 PETANG
PAN BORNEO, SARAWAK

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada Majlis Perasmian Seksyen Pujut Bagi Pakej Kerja Sungai Tangap – Jalan Pujut Link (WPC11) yang merupakan sebahagian daripada Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kerjasama dan sokongan padu Kerajaan Sarawak, khususnya Yang Amat Berhormat Premier Sarawak serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ialah komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian jalan raya secara lebih terancang, sistematik dan efisien demi meningkatkan kesalinghubungan Keluarga Malaysia di Sarawak.

4. Sejajar dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMKe-12) iaitu ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, projek ini memastikan pembangunan sosioekonomi yang lebih baik bagi dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Sarawak.

5. Projek ini telah dibahagikan dalam bentuk pakej meliputi beberapa fasa termasuk jajaran dari Telok Melano ke Lawas sepanjang 1,054 kilometer.

6. Ia melibatkan kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan sedia ada kepada dua lorong dua hala dari Sematan ke Miri dan pembinaan jalan baharu dari Teluk Melano ke Sematan dengan kos pembinaan sebanyak RM16.117 bilion.

7. Sehingga kini, status kemajuan Fasa 1 Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786km telah mencapai 85 peratus. Ia meliputi 11 Pakej Kerja dari Telok Melano ke Miri dan keseluruhan kerja dijangka siap pada suku pertama tahun 2023.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Pada hari ini, saya ingin mengumumkan Kerajaan Persekutuan turut meluluskan dua lagi projek mega di utara Negeri Sarawak di bawah Fasa 2 Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB). Projek ini bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui 2 opsyen jaringan jalan raya.

9. Pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui Negara Brunei Darussalam, menggunakan laluan Projek LTB sepanjang 96km yang bakal ditambah baik kepada dua buah lorong dua hala.

10. Bagi mereka yang tidak mahu melalui Negara Brunei Darussalam, boleh menggunakan jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km yang merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77km.

11. Projek ini yang melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion bakal membolehkan komuniti dan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.

12. Dengan penelitian teknikal yang kini di peringkat akhir, Kerajaan komited untuk memulakan pembinaan Fasa 2 Projek SSLR dan Projek LTB seawal tahun depan dengan tempoh pembinaan selama tiga hingga lima tahun.

13. Fasa 2 Projek SSLR khususnya akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan di sekitar Mulu, Long Seridan, Nanga Medamit, Long Lopeng, Ba’kelalan dan Merarap yang kini bergantung kepada jalan balak sebagai jalan perhubungan utama.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Pelaksanaan projek-projek seperti ini membuka lebih banyak peluang kepada Keluarga Malaysia di Sarawak untuk sama-sama terlibat sama ada sebagai perunding, pembekal mahupun kontraktor.

15. Ini sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi tempatan selain melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memberi sumbangan kepada pembangunan Negeri Sarawak.

16. Projek ini juga bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) bagi membolehkan Sarawak mencapai taraf negeri maju seperti yang dirancang oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak.

17. Pembangunan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini juga merupakan hasil perancangan yang rapi dan holistik antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri melalui Highway National Development Planning (HNDP).

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Pelaksanaan Projek Pan Borneo Sarawak ini merupakan usaha Kerajaan Persekutuan untuk mengulangi kejayaan projek- projek lebuh raya sebelum ini.

19. Seperti yang kita sedia maklum, transformasi pembangunan luar bandar dan lonjakan potensi pertumbuhan ekonomi dan sosial dapat dizahirkan melalui rangkaian infrastruktur jalan raya yang baik.

20. Projek Lebuh Raya Pan Borneo ini juga bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat- pusat komersial di sepanjang jajarannya.

21. Sebelum saya akhiri ucapan, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kerja Raya dan Kerajaan Negeri Sarawak atas usaha yang dilakukan dalam merancang dan melaksanakan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak.

22. Dengan kata-kata itu dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Seksyen Pujut Bagi Pakej Kerja Sungai Tangap – Jalan Pujut Link (WPC11).

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...