Khamis, 4 Ogos 2022

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang

 


TEKS UCAPAN
YAB DATO ’SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN & KIBAR JALUR GEMILANG 2022

30 JULAI 2022 | SABTU | 9.00 PAGI
DATARAN PUTRAJAYA PRESINT 3, PUTRAJAYA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pagi ini pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang bagi tahun 2022.

2. Saya berasa amat gembira kerana tahun ini kita dapat menyambut Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dengan suasana yang begitu meriah.

3. Sejujurnya, saya amat-amat gembira dan tahniah kepada Keluarga Malaysia yang hadir bersama-sama pada pagi ini. Inilah kebersamaan kita sebagai keluarga yang besar di negara yang majmuk ini.

“Terima kasih Keluarga Malaysia yang berjalan bersama saya sejauh 2.7 kilometer pada pagi ini.”

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ amat bersesuaian dengan iltizam dan konsep keharmonian sebuah keluarga besar berteraskan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

5. Teguh Bersama merujuk kepada kekuatan dan kesepaduan kolektif oleh Keluarga Malaysia dalam mengharungi pelbagai cabaran dengan semangat sebuah keluarga.

6. Semangat Keluarga Malaysia Teguh Bersama ini harus disemarakkan dan dihayati oleh segenap lapisan masyarakat dalam usaha kita menyejahterakan kehidupan rakyat ketika mendepani cabaran ekonomi global.

7. Saya yakin, apabila kita melakukannya secara bersama-sama, tiada siapa yang mampu mengganggu-gugat keteguhan Keluarga Malaysia. Bak kata perumpamaan ‘segenggam lidi sukar dipatahkan berbanding sebatang lidi’.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Sambutan Hari Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang diadakan bagi memperingati perjuangan kebebasan yang dikecapi Keluarga Malaysia dalam mengurus pentadbiran negara sendiri setelah dijajah oleh kuasa asing.

9. Walaupun tidak lagi dibelenggu penjajah, namun Keluarga Malaysia sentiasa berdepan dengan cabaran yang datang dari luar yang boleh menggugat keharmonian yang terjalin selama ini.

10. Setelah kita berjuang memerangi Pandemik COVID-19 sejak dua tahun lepas, negara kini dalam Fasa Peralihan ke Endemik dan Keluarga Malaysia mula menikmati kesejahteraan hidup seperti sebelum pandemik melanda dunia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Pelbagai program telah diatur dan bakal diadakan termasuk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan ini.

12. Ia akan disusuli dengan Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Melaka pada 16 September.

13. Saya difahamkan sebentar lagi, Kembara Merdeka Keluarga Malaysia akan memulakan perjalanan sebagai tanda simbolik persamaan dan persefahaman Keluarga Malaysia dalam usaha menyuburkan semangat patriotik.

14. Istimewanya Bulan Kebangsaan ini ialah kita akan menyaksikan penyertaan seluruh Keluarga Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang di merata-rata tempat seperti kawasan perumahan, kediaman, pejabat, sekolah dan banyak lagi.

15. Saya gembira melihat suasana sebegini kerana ia akan menaikkan semangat patriotisme dalam diri kita untuk meneruskan perjuangan dalam mengekalkan kebebasan yang dikecapi sejak 31 Ogos 1957.

16. Justeru, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan mewarnai dan menghiasi setiap premis dengan Jalur Gemilang bagi mencerminkan rasa cintakan tanah air.

17. Selain mengibar Jalur Gemilang, cara lain untuk membuktikan cinta kepada negara termasuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri, bekerjasama dan mengamalkan toleransi, mendukung segala inisiatif Kerajaan dan amalan menyebarkan berita yang benar dan sahih.

18. Gejala menyebarkan berita palsu atau berita tidak benar terutamanya menerusi media sosial harus dikawal dan dibendung sebelum ia menjadi satu amalan yang boleh memporak- porandakan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

19. Gunakanlah sosial media secara berhemah untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan ucapan- ucapan murni kepada rakan taulan, majikan dan keluarga sendiri.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

20. Sekali lagi, syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam perancangan dan persediaan terutamanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) selaku Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.

21. Sematkan di hati dengan semangat patriotisme untuk mempertingkatkan lagi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan Keluarga Malaysia demi negara tercinta.

Khazanah batik warisan terindah;
Kekal setia perpaduan bergema;
Semangat patriotik semarak megah;
Keluarga Malaysia teguh bersama.

22. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...