Khamis, 4 Ogos 2022

Majlis Perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
PERSIDANGAN INOVASI MALAYSIA 2022

2 OGOS 2022 | SELASA | 10.30 PAGI

MITEC, KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan- Nya, kita dapat bersama-sama pada pagi ini dalam Majlis Perasmian Persidangan Inovasi Malaysia 2022.

2. Tahniah kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM), United Nations Development Programme ( UNDP) dan semua kementerian yang terlibat dalam menganjurkan persidangan yang julung kalinya diadakan ini.

3. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana sudi mengundang saya merasmikan majlis yang bertemakan komuniti mampan dan bandar hijau, pertanian lestari dan sekuriti makanan serta perniagaan mampan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Kita telah banyak belajar daripada pandemik COVID-19 yang telah memberikan impak yang begitu besar kepada seluruh dunia.

5. Namun dalam berhadapan kemelut dan suasana getir itu, terdapat inovasi yang dihasilkan yang telah dapat menyelamatkan nyawa kita, sekaligus menjadi sebahagian daripada norma kehidupan kita pada hari ini.

6. Penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D dan C&I) memainkan peranan penting dalam memupuk inovasi dan mempercepat pembangunan sosioekonomi bagi mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

7. Penerokaan idea dan ilmu baharu daripada hasil penyelidikan menjanjikan inovasi yang berkualiti seterusnya menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Kerajaan sedar, penting sekali ekosistem yang kondusif dalam menggalakkan lebih banyak pelaburan bagi penghasilan perkhidmatan dan produk dengan menjadikan inovasi sebagai tumpuan utama.

9. Seperti mana yang telah saya umumkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kita bermatlamat untuk mencapai negara maju menjelang tahun 2025.

10. Ini bermakna Malaysia perlu terus berubah dan berinovasi ke arah negara digital yang makmur dan berdaya tahan melalui pendigitalan, terima guna teknologi dan inovasi bagi mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.

11. Bagi menyokong tujuan tersebut, Kerajaan telah meluluskan sebanyak 99 projek dan program R&D dan C&I dengan kos berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor inovasi di Malaysia, bagi tempoh 2021 hingga 2022 di bawah RMKe-12.

12. Dalam aspek pengkomersialan, sekurang-kurang 50 peratus jumlah perbelanjaan R&D perlu menjurus kepada penyelidikan pembangunan eksperimental, selain melahirkan lebih ramai pencipta teknologi serta usahawan teknologi tempatan bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi.

13. Pada tahun 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D (atau GERD) kepada KDNK negara dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.04 peratus sahaja pada tahun 2018.

14. Bagi tujuan ini, sumbangan sektor swasta disasarkan mencapai 70 peratus daripada jumlah perbelanjaan R&D dengan sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan dana endowmen juga dipertingkatkan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Saya percaya, terdapat cabaran berkaitan inovasi yang perlu ditangani Keluarga Malaysia sebelum negara mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi.

16. Ini termasuklah pelaburan sektor awam dan swasta yang rendah dalam R&D dan C&I berbanding dengan negara- negara maju. Contohnya pada tahun 2018, GERD Korea Selatan ialah 4.52 peratus, Jepun 3.22 peratus berbanding 1.04 peratus bagi Malaysia.

17. Landskap R&D dan C&I Malaysia juga berbeza dengan negara-negara maju kerana hampir 80 peratus penyelidik di negara ini pada tahun 2018 berada di institusi pengajian tinggi manakala 97.4 peratus usahawan datangnya daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (atau PMKS).

18. Selain itu, daripada lebih kurang 5,435 syarikat pemula (atau startups) daripada tahun 2010 hingga 2020, hanya lima peratus syarikat pemula adalah berasaskan teknologi.

19. Oleh itu, bagi pendekatan jangka pendek dan sederhana, kerjasama dalam kalangan pihak penyelidik dan usahawan perlu dilaksanakan untuk meningkatkan inovasi tempatan.

20. Ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Ekosistem Syarikat Pemula Malaysia 2021-2030 atau SUPER yang menyasarkan 5,000 buah syarikat pemula dan lima buah syarikat bertaraf unicorn bernilai lebih USD$1 bilion Amerika Syarikat menjelang tahun 2025.

21. Setakat ini, Malaysia hanya mempunyai sebuah syarikat bertaraf unicorn iaitu CARSOME Sendirian Berhad.

22. Oleh itu, lebih banyak insentif perlu disediakan bagi mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berasaskan teknologi termasuk merangka strategi ekosistem inovasi terbuka bagi merancakkan inovasi negara menerusi penggemblengan idea semua pihak yang terbabit.

23. Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (atau MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia sedang membangunkan Malaysian Open Science Platform untuk mempergiatkan perkongsian data antara penyelidik dan industri.

24. Bidang keutamaan sains, teknologi dan inovasi negara juga sedang diselaraskan di bawah RMKe-12 melalui Rangka Kerja 10-10 MySTIE dan pembiayaan R&D dan C&I yang bersepadu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Tiga buah entiti telah ditubuhkan untuk membangunkan ekosistem inovasi ini iaitu:

Pertama, Unit Pengurusan Penyelidikan di bawah UPE JPM untuk menyelaras dan menyusun strategi penyelidikan negara;

Kedua, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation di bawah program Pemecut Pengkomersialan Teknologi bertujuan merancakkan aktiviti pengkomersialan antara akademia dan industri; dan

Ketiga, Malaysian Science Endowment di bawah seliaan MOSTI dan Akademi Sains Malaysia yang akan mewujudkan pembiayaan alternatif R&D dan C&I melalui kerjasama industri dan badan antarabangsa.

26. Ketiga-tiga entiti perlu bekerjasama untuk memastikan hasil R&D dan C&I serta harta intelek menjadi produk nilai tambah yang tinggi, sekali gus meletakkan Malaysia sebaris dengan negara maju berteraskan inovasi seperti Korea Selatan, Switzerland dan Singapura.

27. Saya percaya, acara hari ini akan dapat menggalakkan kerjasama pelbagai pihak melalui perkongsian maklumat, pengalaman dan amalan terbaik dalam kalangan agensi kerajaan, masyarakat dan juga semua pihak yang berkepentingan.

28. Dengan kata-kata dan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Persidangan Inovasi Malaysia 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...