Selasa, 19 Julai 2022

PROGRAM-PROGRAM PENAJAAN JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA) TAHUN 2022

 program penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi peringkat Diploma, Ijazah, Sarjana dan Kedoktoran menerusi Program Dermasiswa B40, Program Diploma to Bachelor, Program Khas Ijazah Luar Negara dan Program Pelajar Cemerlang kini dibuka mulai 15 hingga 24 Julai 2022




Permohonan dan maklumat lanjut layari: http://esilav2.jpa.gov.my

Sehubungan dengan itu, poster program-program penajaan ini boleh dimuat turun melalui pautan  https://pocketdatav2.jpa.gov.my/public/3ec1b3662e300d144403ff1a485ad26e


Sebarang makluman dan pertanyaan sila hubungi pihak Jabatan Perkhidmatan Awam di talian 0388853297 atau emel kepada penajaan2022@jpa.gov.my untuk penjelasan lanjut

Isnin, 18 Julai 2022

Hari Belia Negara 2022

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2022

16 JULAI 2022 (SABTU) | 10.00 PAGI PADANG PEKAN TUARAN, SABAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun untuk meraikan Sambutan Hari Belia Negara 2022 atau HBN 2022, bertemakan ‘Ini Masa Kita’.

2. Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan tahun ini amat menarik kerana ia diadakan di luar ibu kota. HBN 2022 memilih Tuaran, Sabah yang terkenal dengan kawasan peranginan dan destinasi pelancongan sebagai lokasi untuk meraikan belia-belia Keluarga Malaysia dari seluruh negara.

3. Nunu Habar (apa khabar dalam bahasa Dusun) dan Yanbar (dalam bahasa Bajau Sama)

4. Hari Belia Negara 2022 diadakan di sini bagi memenuhi permintaan belia agar sambutan Hari Belia Negara diadakan di luar kesibukan kota, dan pemilihan Tuaran, Sabah dapat diterjemahkan dengan kehadiran belia yang ramai pada hari ini.

5. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada belia Sabah, di Tuaran, dan seluruh negara yang hadir pada hari ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah khususnya YAB Ketua Menteri Sabah di atas sokongan dan dorongan bagi menjayakan Hari Belia Negara 2022 di Tuaran, Sabah pada pagi ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Hari Belia Negara merupakan pengiktirafan Kerajaan terhadap segala usaha dan kejayaan seluruh belia yang merupakan tunjang dalam pembangunan negara serta keutuhan Keluarga Malaysia.

7. Hampir 21.4 peratus atau bersamaan dengan tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia merupakan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala belia berumur 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang.

8. Sememangnya angka ini sangat signifikan, sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara. Oleh itu, aspirasi dan pandangan belia adalah penting bagi Kerajaan merangka hala tuju di masa hadapan.

9. Apa yang dirancang hari ini, akan diwarisi oleh belia-belia Keluarga Malaysia generasi akan datang kerana ‘Belia pencetus revolusi masa depan negara’.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 9,766 pertubuhan belia telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan 2019), Akta 668. Daripada jumlah itu, 953 buah didaftarkan di Sabah dan di Tuaran sahaja terdapat 33 buah pertubuhan belia.

11. Manakala, kadar pengangguran dalam kalangan golongan belia yang berumur 15 hingga 40 tahun di seluruh negara pula menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

12. Ini menjadikan bilangan penganggur pada suku pertama tahun ini seramai 585,000 orang berbanding 627,000 orang bagi tempoh yang sama tahun lepas. Jumlah ini dijangka terus menurun sekiranya kita mengambil tahu dan mengambil peduli pelbagai inisiatif serta program yang tersedia untuk belia-belia.

13. Terbaharu, Kerajaan melalui kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) memberi tumpuan lebih kepada pertanian bandar.

14. Ini merupakan strategi bagi meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor agromakanan selain Program Agropreneur Muda.

15. Sejumlah 8,000 usahawan muda telah menerima bantuan meliputi geran, pembiayaan, serta kursus jangka masa pendek, khidmat nasihat teknikal dan kewangan.

16. Agro makanan dapat memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya jika ia diurus dan diusahakan secara bersungguh- sungguh menggunakan teknologi terkini. Ia dapat menjamin kualiti pengeluaran yang boleh dieksport bagi membantu menambahkan hasil negara.

17. Penglibatan belia dalam sektor agromakanan akan diperkasa melalui pelaksanaan program Agro Job Fair @ MAHA 2022 pada bulan hadapan yang menawarkan 5,000 peluang pekerjaan oleh syarikat-syarikat yang menyertai.

18. Sehubungan itu, saya menyeru graduan yang berminat serta golongan belia untuk merebut peluang pekerjaan dalam program ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Walaupun Hari Belia Negara peringkat kebangsaan diadakan di Tuaran, kita tetap membawakan segmen Y-Career iaitu peluang kerjaya melibatkan 30 syarikat yang menawarkan 1,000 peluang pekerjaan untuk belia Keluarga Malaysia tempatan.

20. Justeru, saya menyarankan agar belia di Tuaran menggunakan peluang ini untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

21. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), semua kementerian dan agensi masing-masing turut menyediakan pelbagai program yang melibatkan golongan belia agar mereka dapat terus memainkan peranan dalam pembangunan negara.

22. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) umpamanya melaksanakan Program Bank Rakyat UNIpreneur yang melibatkan 500 mahasiswa daripada setiap 25 buah universiti awam dan swasta mulai bulan ini.

23. Program Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) pula melahirkan usahawan francais atau pra-francais di bawah KUSKOP. Setakat ini ia telah menerima sebanyak 26 permohonan pembiayaan berjumlah RM4.31 juta sehingga akhir bulan lepas.

24. Pada masa yang sama, KBS telah membangunkan Sistem eMYInd atau Malaysian Youth Index, sistem bersepadu yang merekodkan maklumat program-program pembangunan belia bagi membolehkan golongan itu mendapatkan maklumat untuk menyertai program-program yang bersesuaian.

25. Selain itu, Program Malaysia Techlympics oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang saya rasmikan awal tahun ini dijangka mendapat penyertaan satu juta anak muda yang dapat memupuk minat mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

26. Program ini juga untuk mencungkil bakat muda seawal 7 tahun sehingga 30 tahun dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), robotik, kod, dron dan juga bidang teknologi.

27. Bagi terus memperkasakan peranan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan pertubuhan-pertubuhan belia lain, Kerajaan memperuntukkan RM5.5 juta di bawah inisiatif bantuan pentadbiran dengan syarat mereka melengkapkan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD).

28. Sehingga kini daripada peruntukan sebanyak RM5 juta, 1.5 juta telah diagihkan kepada pertubuhan belia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

29. Pandemik COVID-19 telah menjadikan generasi belia sebagai pengguna teknologi dan media sosial yang tinggi sehingga mereka menjalani kehidupan yang tidak aktif.

30. Indeks Belia Malaysia 2021 menunjukkan skor kesejahteraan mental dan fizikal belia berada di tahap sederhana. Justeru, ia perlu ditangani melalui penglibatan belia dalam aktiviti sukan dan amalan gaya hidup.

31. Sehubungan itu, Malaysia Sports League (MSL), sebuah inisiatif baharu pembudayaan untuk bersukan khususnya bagi golongan belia, menyasarkan penyertaan 133,000 orang dan 2,232 program yang memberi manfaat kepada lima juta penyertaan di seluruh negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Kerajaan percaya Model Baharu Pembangunan Belia 2030 yang sedang dirangka oleh KBS dapat direalisasikan sebagai agenda mutakhir bagi memperkasakan elemen belia sebagai sumber dan aset negara.

33. Sebelum saya mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada KBS dan MBM kerana berjaya menganjurkan program pada hari ini.

34. Saya dimaklumkan bahawa KBS telah memberi peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membantu aktiviti-aktiviti persatuan belia. Untuk itu, saya umumkan tambahan peruntukan RM1 juta lagi untuk dikongsi bersama dengan pertubuhan belia.

35. Yang kedua, saya turut berbincang dengan YB Menteri Belia dan Sukan betapa pentingnya belia kepada negara, suara belia pasti didengari oleh kerajaan dan pandangan anda dihargai.

36. Untuk itu, kerajaan bersetuju untuk melantik seorang senator dalam kalangan belia. Saya percaya dengan adanya wakil belia dalam Dewan Negara, suara belia akan lebih didengari.

37. Dengan kata-kata tersebut dan dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2022.

Sekian,

Wabillahi taufik walhidayah
Wasalamualaikum warahmahtullahi wabarakatuh.

Majlis Pelancaran Home Ownership Programme (HOPE) Dan Karnival Jom Beli Rumah


 TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN
HOME OWNERSHIP PROGRAMME (HOPE) DAN
KARNIVAL JOM BELI RUMAH

15 JULAI 2022 | JUMAAT | 3.00 PETANG
ATRIUM MID VALLEY EXHIBITION CENTRE KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada MAJLIS PELANCARAN HOME OWNERSHIP PROGRAMME (HOPE) dan PELANCARAN KARNIVAL JOM BELI RUMAH petang ini.

2. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta rakan penganjur bersama, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Media Prima Berhad kerana sudi mengundang saya ke majlis yang penuh bermakna ini.

3. Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya mewujudkan kerjasama strategik ini, sekali gus memperlihatkan usaha bersungguh-sungguh semua pihak demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Agenda perumahan dekat sekali dengan hati saya. Malah Kerajaan menjadikan agenda perumahan ini sebagai satu prioriti dan tiada kompromi.

5. Ini kerana rumah yang selesa akan melahirkan Keluarga Malaysia yang harmoni dan bahagia. Pendek kata, semua orang mahukan kediaman sebagai tempat berlindung ibarat sebuah syurga.

6. Salah satu program rasmi terawal saya sebagai Perdana Menteri adalah pelancaran RUMAH IKRAM KELUARGA MALAYSA di bawah KPKT.

7. Pelancaran itu merupakan inisiatif yang kita lakukan untuk membantu Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19 supaya mereka mampu memiliki tempat untuk berteduh dengan kadar sewaan yang minimum.

8. Gagasan “SATU KELUARGA, SATU RUMAH” turut selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia memperlihatkan komitmen Kerajaan menyediakan rumah yang mencukupi, mampu dimiliki, berkualiti dan berdaya huni, termasuk memperkasakan kediaman berkonsepkan transit atau Transit Orientad Developement (TOD) terutama untuk golongan muda.

9. Saya menyedari menduduki dan memiliki rumah merupakan satu daripada keperluan rakyat untuk meningkatkan kualiti hidup, sehubungan itu, saya memutuskan Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) diaktifkan semula.

10. Majlis Perumahan ini melihat keperluan rumah mampu milik di seluruh negara dengan turut melibatkan pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pemaju swasta, Bank Negara Malaysia serta badan-badan berkepentingan seperti Khazanah, REHDA dan Persatuan Pembeli Rumah (HBA).

11. Di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), kita telah menyasarkan untuk menyediakan sebanyak 500,000 unit rumah mampu milik, satu usaha yang boleh direalisasikan dengan bantuan dan gandingan tenaga daripada semua pihak.

12. Untuk merealisasikan hasrat ini, seperti yang diputuskan dalam mesyuarat MPMMN, Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi dan Kerajaan Negeri pula menyediakan tanah, manakala pihak bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan rumah PPR dan rumah mampu milik dapat dijual atau dibeli dengan harga yang berpatutan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Saya mengucapkan tahniah kepada KPKT kerana memperkenalkan Program Pemilikan Kediaman atau lebih dikenali sebagai Home Ownership Program (HOPE) yang akan saya lancarkan hari ini yang selaras dengan gagasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

14. HOPE bukan sahaja membantu mempromosi perumahan untuk segenap lapisan masyarakat tetapi juga bagi melihat ekosistem sektor perumahan secara holistik.

15. Dalam hal ini, komitmen Kerajaan untuk memastikan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki, haruslah didaya oleh semua pihak penyedia perumahan termasuklah pihak swasta.

16. Bahkan dalam soal pemilikan rumah ini juga, ia harus didokong oleh ekosistem institusi kewangan yang lebih menyokong dan memudahkan urusan pemilikan.

17. Justeru itu, saya cukup gembira apabila Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia atau i-BIAYA telah dilancarkan oleh KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan bagi memudahkan pemilikan kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda.

18. Saya juga dimaklumkan bahawa satu pemetaan Indeks Harga Rumah Mampu Milik yang pertama seumpamanya sedang dibangunkan oleh KPKT sebagai panduan kepada Keluarga Malaysia tentang harga rumah mampu milik di seluruh negara.

19. Oleh itu, saya berharap lebih banyak kediaman mampu milik dapat disediakan oleh pihak pemaju perumahan yang menepati had pendapatan Keluarga Malaysia berdasarkan lokaliti.

20. Menjadi harapan saya agar lebih banyak program bersifat pendidikan diperhebatkan seperti Kempen Bijak Beli Rumah dan Pemilikan Kediaman pada usia muda.

21. Ini pastinya dapat membantu Keluarga Malaysia khususnya pembeli rumah pertama mendapat pengetahuan tentang pemilikan hartanah dan memudahkan mereka membeli kediaman idaman mengikut kemampuan masing-masing.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Kerajaan melakukan pelbagai cara untuk memudahkan pemilikan rumah kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia seperti pemberian insentif pengecualian cukai duti setem bagi perjanjian pindah milik harta tanah dan perjanjian pinjaman.

23. Insentif berkenaan yang mula diperkenalkan sejak Kempen Pemilikan Rumah (Home Ownership Campaign atau HOC) yang dimulakan pada tahun 2019 hingga 2021, masih diteruskan bagi pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 sehingga 31 Disember 2025.

24. Meskipun pengecualian duti setem ini akan mengurangkan kutipan hasil kepada negara, namun saya ingin menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan komitmen kita kepada Keluarga Malaysia dan Kerajaan harus memperkukuhkannya.

25. Untuk rekod, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa tuntutan pengecualian duti setem di bawah HOC adalah sebanyak RM957.8 juta. Malah, tuntutan pengecualian duti setem paling tinggi adalah bagi harga rumah RM500,000 dan ke bawah.

26. Bagi mendokong Program Pemilikan Kediaman atau HOPE ini, sukacita saya mengumumkan INISIATIF PEMILIKAN PERUMAHAN KELUARGA MALAYSIA atau i-MILIKI yang melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama secara peringkat atau tier harga rumah iaitu:

Pertama: Bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem adalah sebanyak 100 peratus; dan

Kedua: Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian sebanyak 50 peratus.

Pengecualian ini adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh mulai 1 Jun 2022 sehingga Disember 2023.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

27. Alhamdullilah, pada hari ini, kita dapat saksikan satu lagi usaha kerjasama strategik KPKT dengan REHDA dan Media Prima Berhad bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan sasaran B40 dan M40, iaitu JELAJAH KARNIVAL JOM BELI RUMAH TAHUN 2022.

28. Saya bersetuju dengan pendekatan Karnival Jom Beli Rumah ini yang akan diadakan di seluruh negara dengan membawa mesej dan inisiatif-inisiatif Kerajaan termasuklah Kerajaan Negeri khususnya dalam soal perumahan.

29. Saya juga sedar kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi namun kita perlu terus membantu rakyat dengan memperkasakan agenda pemilikan kediaman melalui lebih inisiatif tersusun yang dirangka oleh KPKT.

30. Beberapa bulan lalu, saya pernah melancarkan skim memiliki kediaman Rent-to-Own (RTO) PR1MA bagi membantu Keluarga Malaysia. Saya harapkan kaedah RTO dapat diperluaskan khususnya dalam pasaran perumahan swasta.

31. Dalam pada itu, pembinaan rumah mampu milik untuk kumpulan B40 juga sedang giat dilaksanakan oleh agensi- agensi penyedia perumahan, baik di peringkat Pusat, mahupun di peringkat Negeri.

32. Program Perumahan Rakyat atau PPR akan terus diperkukuh dengan hala tuju baharu serta komponen yang akan dapat meningkatkan daya huninya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

33. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan usaha ini dan juga memberi komitmen dalam pelaksanaan semua inisiatif yang dapat meningkatkan pemilikan kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia.

34. Saya juga ingin menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya dapat hadir untuk melihat sendiri peluang pemilikan kediaman yang ditawarkan di dalam Karnival Jom Beli Rumah ini.

35. Akhir kata, saya doakan semoga usaha-usaha kita ini bukan sahaja diberkati malah akan memberi manfaat yang melimpah-limpah kepada Keluarga Malaysia.

36. Dengan kata-kata itu dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan MAJLIS PELANCARAN HOME OWNERSHIP PROGRAMME DAN KARNIVAL JOM BELI RUMAH 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Jumaat, 15 Julai 2022

Majlis Pelancaran Ruralstar Huawei

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN RURALSTAR HUAWEI

14 JULAI 2022 | 3 PETANG

DEWAN KONVENSYEN MAJLIS DAERAH BERA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama- sama pada petang ini sempena Majlis Pelancaran RuralStar Huawei bagi daerah Bera dan kawasan sekitarnya.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada Huawei Malaysia dan Majlis Daerah Bera kerana bekerjasama untuk menganjurkan majlis yang julung kali diadakan di luar bandar, bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan penduduk di sini.

3. RuralStar merupakan peranti infrastruktur rangkaian telekomunikasi teknologi terkini yang dapat menghubungkan kawasan yang bukan hanya terpencil tetapi juga tidak mempunyai infrastruktur komunikasi yang lengkap.

4. Pelancaran RuralStar ini amat penting agar teknologi baharu seperti ini dapat memudahkan salinghubungan (ketersambungan) kepada komuniti-komuniti yang sukar dijangkau.

5. Proses digitalisasi berlaku dengan giat di seluruh negara sejak penularan pandemik Covid-19 bagi membolehkan kehidupan harian diteruskan tanpa menganggu kelangsungan pendidikan dan juga produktiviti perniagaan.

6. Meskipun begitu, masih terdapat kelompok-kelompok kecil yang masih belum menerima manfaat daripada proses berkenaan.

7. Justeru, Kerajaan sentiasa berusaha membawakan arus kemajuan ini ke semua peringkat masyarakat bersesuaian dengan prinsip Keluarga Malaysia agar tiada sesiapa pun tertinggal daripada menikmati peluang kemakmuran bersama yang lebih inklusif dan saksama.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat, Kerajaan tetap fokus kepada matlamat utamanya iaitu merapatkan jurang digital dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

9. Salinghubungan atau ketersambungan digital yang menyeluruh di segenap lapisan masyarakat menjadi objektif utama dalam pentadbiran Kerajaan.

10. Baru-baru MEASAT 3-d telah dilancarkan dan dengan pelancaran satelit itu, saya berharap keupayaan capaian internet di kawasan bandar dan sub-luar bandar akan lebih ditingkatkan.

11. Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negera atau JENDELA bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar tetap kepada 9 juta premis menjelang tahun 2025.

12. Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada Huawei Malaysia kerana membantu Kerajaan mempercepatkan transformasi digital dan mengukuhkan pembangunan inovasi di Malaysia.

13. Saya amat teruja apabila dapat menyaksikan sendiri teknologi terkini dan penyelesaian digital yang dibangunkan secara langsung oleh Huawei Malaysia.

14. Huawei Customer Solution Innovation Center yang berpusat di Kuala Lumpur telah mempamerkan pelbagai aplikasi, peranti dan perisian moden yang banyak membantu industri di Malaysia menjadi lebih tangkas dan fleksibel dalam era yang mencabar ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), pengukuhan dalam ekonomi digital terus diutamakan terutamanya dalam sektor teknologi dan inovasi.

16. Melalui teknologi seperti RuralStar, kemahiran digital dalam setiap lapisan masyarakat dapat dipupuk dan disemai agar tenaga kerja kita pada masa hadapan mempunyai daya saing yang tinggi.

17. RuralStar merupakan teknologi pemangkin yang boleh membantu Keluarga Malaysia meningkatkan taraf kehidupan seharian dan seterusnya meningkatkan jejak digital mereka.

18. Saya juga dimaklumkan, pada majlis ini, sebanyak 200 tablet jenama Huawei berserta kad SIM Celcom akan diserahkan kepada golongan pelajar di Bera yang memerlukan bantuan pembelajaran.

19. Saya berasa sukacita kerana kerjasama antara Kerajaan dan pihak swasta seperti ini dapat menggalakkan pendidikan digital, sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.

20. Insya-Allah, kita akan berjaya mengatasi sebarang kesukaran dan cabaran dengan mengekalkan perpaduan dan kerjasama yang erat.

21. Marilah kita bersama-sama berusaha menjana kemakmuran masa depan yang lebih inklusif dan lestari.

22. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim merasmikan Majlis Pelancaran RuralStar Huawei ini.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

SAMBUTAN HARI PENEROKA FELDA PERINGKAT KEBANGSAAN

14 JULAI 2022 | KHAMIS | 9.00 PAGI PADANG AWAM FELDA RENTAM, BERA, PAHANG

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan keizinan-Nya, saya dapat bersama-sama dengan warga peneroka yang datang dari seluruh negara ke FELDA Rentam pagi ini sempena Sambutan Hati Peneroka Peringkat Kebangsaan.

2. Sambutan Hari Peneroka kali ini sangat istimewa apabila diadakan di kawasan Parlimen saya sendiri, Parlimen Bera. Peneroka dan semua warga FELDA di sini sudah tentu menjadi saksi betapa dekatnya FELDA di hati saya.

3. Di sinilah tempat saya mencurahkan jiwa saya. Atas sebab itu juga apabila saya menjadi Perdana Menteri, FELDA sentiasa menjadi agenda yang kita bincangkan termasuk di peringkat Kabinet.

4. Saya juga sentiasa berhubung terus dengan YB Tan Sri Idris Jusoh, Pengerusi FELDA dan Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) untuk mengetahui perkembangan terkini FELDA termasuk masalah yang dihadapi oleh para peneroka FELDA.

5. Alhamdulillah, daripada maklum balas yang saya terima daripada YB Tan Sri serta pengamatan saya sendiri, FELDA telah melangkah jauh mencipta pelbagai kejayaan sejak 66 tahun penubuhannya. Memang amat bersesuaianlah tema sambutan kita pada hari ini, ‘Kejayaan Dalam Keberkatan’.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Jika disoroti kembali kejayaan FELDA dalam bidang perladangan, pelbagai kemajuan dicapai termasuk pemerkasaan mekanisasi dan teknologi dalam pengurusan ladang peneroka, sehingga produktivitinya dapat ditingkatkan kepada purata 20 tan sehektar setahun, pada tahun ini.

7. Pencapaian ini mewakili pertambahan sebanyak 2.71 tan sehektar berbanding hasil purata peneroka bagi tahun 2021.

8. Saya berbesar hati ingin berkongsi bahawa peningkatan produktiviti ini telah membawa kepada penciptaan nilai atauvalue creation buat warga peneroka dengan jumlah melebihi RM1 bilion setahun.

9. Peneroka juga dapat menerima tambahan pendapatan sehingga RM162 juta bagi setiap kenaikan 0.5 peratus kadar perahan minyak. FELDA juga berjaya mengurangkan kos operasi ladang dengan penjimatan RM200 juta kos pembelian baja apabila Smart Plantation Management Solution (SPMS) iaitu aplikasi pintar yang diguna pakai membolehkan pembelian baja dibuat berdasarkan dirian pokok berbanding keluasan kawasan. Ini juga disokong dengan sumber alternatif dan bahan buangan kilang seperti tandan buah kosong serta abu tandan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. FELDA bukan sahaja memainkan peranan yang besar dalam sektor perladangan tetapi turut sama menyumbang kepada sekuriti makanan negara.

11. Menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada bulan Jun lalu, saya telah mengumumkan lima langkah bagi menjamin sekuriti makanan termasuk memperkasa ekosistem agromakanan dengan bekalan rantaian diterajui oleh GLC, GLIC dan agensi kerajaan.

12. Alhamdulillah saya lihat FELDA memanifestasikan komitmen yang begitu utuh dalam membawa saranan ini. Melalui Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dilaksanakan sejak 2019, FELDA telah meluluskan sebanyak 8,542 projek penternakan dan pertanian dengan dana berjumlah RM212 juta.

13. Di samping membantu agenda sekuriti makanan negara, sebahagian projek PPP juga telah mula berhasil dan dapat memberikan tambahan pendapatan kepada 56,699 orang peneroka dengan purata RM250 hingga RM500 sebulan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Saya juga mendengar keluh kesah peneroka tanaman getah yang runsing dengan harga getah yang rendah. Saya ingin tekankan di sini, Kerajaan dan FELDA tidak pernah meminggirkan peneroka tanaman getah ini.

15. Oleh yang demikian, saya berbesar hati mengumumkan bahawa FELDA akan memperuntukkan RM6.1 juta dana pengurusan tahun 2022 bagi mengambil alih pengurusan pusat mengumpul getah (PMG) daripada FGV Rubber Industries Sdn Bhd.

16. Dengan pengambilalihan ini, FELDA dan FGV Rubber Industries telah mencapai persetujuan untuk mengurangkan kos operasi kilang sebanyak 23 sen bagi setiap kilogram getah kering dengan tambahan lagi sebanyak 5 sen apabila mencapai sasaran bulanan.

17. Keseluruhan pengurangan sebanyak 28 sen ini akan memberikan tambahan pendapatan RM11.2 juta bagi 10,707 peneroka tanaman getah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Selain aspek perladangan, FELDA turut memainkan peranan yang begitu besar dalam pembangunan generasi baharunya yang telah melangkau ke generasi keempat.

19. Untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada usahawan dalam kalangan generasi baharu FELDA untuk meningkatkan kapasiti perniagaan atau juga untuk memulakan perniagaan, FELDA telah memperuntukkan dana pusingan sebanyak RM10 juta bagi tujuan ini.

20. Pinjaman tanpa faedah ini diberikan dengan nilai minimum RM5,000 hingga maksimum RM20,000 mengikut pakej. Usahawan belia FELDA dari seluruh negara yang berminat boleh mula membuat permohonan bermula pada bulan Ogos 2022.

21. Bagi memberi kemudahan kepada generasi baharu FELDA untuk bermastautin di kawasan rancangan pula, FELDA sebelum ini telah melaksanakan projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF).

22. Pada hari ini, saya ingin mengumumkan bahawa RM7.6 juta sewaan bulanan yang telah dibayar oleh 2,025 penghuni PGBF serta sewaan yang akan dikutip selepas ini dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman PGBF tersebut.

23. Sebagai contoh, bayaran sewaan selama 36 bulan berjumlah RM10,800 akan dijadikan deposit lantas mengurangkan pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 kepada RM79,200 sahaja.

24. Bagi baki 1,400 unit PGBF yang belum disiapkan dengan kos pembangunan keseluruhan RM204 juta, FELDA akan meneruskan projek-projek ini melalui inisiatif pembiayaan swasta di mana pihak pemaju akan menanggung kos pembinaan tanpa memerlukan dana daripada FELDA. Projek rintis akan dilaksanakan di FELDA Bukit Aping Timur dan FELDA Pasak di Johor serta FELDA Chiku 5 di Kelantan.

25. Penambahbaikan kepada model PGBF yang lebih mampan juga telah dilaksanakan dengan pengenalan inisiatif lot generasi FELDA. Sehingga kini, sebanyak 8,670 unit lot generasi telah dikenal pasti termasuk 3,200 unit yang telah saya umumkan di Johor pada bulan Mac lalu.

26. Buat masa ini, inisiatif ini akan dilaksanakan di negeri Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Kelantan dan Kedah. Di Parlimen Bera ini sahaja, sebanyak 250 lot telah dikenal pasti iaitu di FELDA Kumai dan FELDA Triang 1.

27. Bagi membantu generasi baharu dan memudahkan proses pembiayaan bagi pembinaan rumah di lot generasi ini, saya mengumumkan dana berjumlah RM20 juta diperuntukkan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman perumahan yang bakal dibuat oleh generasi baharu FELDA ini.

28. Oleh itu, mereka tidak perlu menyediakan cagaran bagi membuat pinjaman tertakluk sehingga dana ini habis dimanfaatkan.

29. Kerajaan juga mengambil berat akan peningkatan mobiliti sosial warga FELDA melalui pemerkasaan insiatif-inisiatif pendidikan. Selaras dengan itu, saya ingin mengumumkan pertukaran program Premier di MRSM FELDA kepada Program Ulul Albab.

30. Program Ulul Albab ini akan dilaksanakan bermula pada tahun akademik 2023 dan akan mengintegrasikan program pendidikan sedia ada dengan program aliran agama termasuk tahfiz al-Quran.

31. MRSM FELDA akan menjadi MRSM kelapan yang melaksanakan program ini dan bakal melahirkan generasi baharu FELDA yang cemerlang dalam bidang profesional yang berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Infrastruktur di kawasan FELDA dilihat antara yang terbaik lantas menempatkan rancangan-rancangan FELDA sebagai komuniti contoh luar bandar. Ini dapat dicapai melalui pelbagai dana dan inisiatif bagi menyediakan infrastruktur yang terbaik buat warga FELDA.

33. Sempena ulang tahun penubuhan FELDA yang ke-66 tahun ini, saya ingin umumkan lagi peruntukan khas sebanyak RM66 ribu bagi kesemua 317 rancangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21 juta.

34. Saya juga ambil maklum kesungguhan dan komitmen yang dipamerkan oleh warga peneroka sekalian dalam memperindah rancangan masing-masing bagi meraih anugerah yang paling dinanti-nantikan – Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF).

35. Sebagai penghargaan atas kesungguhan warga FELDA ini, saya mengumumkan hadiah tempat pertama AKRF kini dinaikkan daripada RM500 ribu kepada RM1 juta.

36. Semoga ini terus menjadi pembakar semangat kepada warga FELDA untuk menjaga keceriaan dan keindahan kawasan rancangan di samping memupuk komuniti yang bersatu padu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

37. Saya sangat berbangga dengan pencapaian yang telah dikecapi FELDA dan warga peneroka sendiri. Alhamdulillah seperti yang disebut sebelum ini, inisiatif-inisiatif yang digarap FELDA telah mebuahkan hasil yang dapat dilihat melalui peningkatan pendapatan peneroka.

38. Saya mendoakan kejayaan berterusan buat FELDA dan warga peneroka. Semoga kejayaan ini akan terus menjadikan kita masyarakat yang bersyukur dan sentiasa ikhlas dalam bersedekah dan berwakaf supaya rezeki ini akan terus mengalir bersama pahala yang tidak bersempadan.

39. Kepada semua insan-insan istimewa di hati saya yang berada di padang ini serta seluruh negara dan generasi baharu FELDA juga, saya ucapkan Selamat Hari Peneroka FELDA.

40. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, merasmikan Sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan.

Sekian,

Wabillahitaufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 MINDEF (BP3.0)

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO ’SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

PELANCARAN
BLUEPRINT PERUMAHAN 3.0 MINDEF (BP3.0)

13 JULAI 2022 | 4.00 PETANG
DEWAN PERKASA, WISMA PERWIRA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama hari ini pada Majlis Pelancaran Rangka Tindakan (Blueprint) Perumahan 3.0 MINDEF (BP3.0).

2. BP3.0 merupakan agenda perumahan menyeluruh bagi menambah baik aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk veteran dan warga awam yang mendokong aspirasi Keluarga Malaysia dalam melestarikan kebajikan warga kerja Pertahanan.

3. Sebagai bekas Menteri Kanan Pertahanan, sudah tentu saya sangat prihatin dan sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga kerja Pertahanan terpelihara, malah isu berkaitan perumahan tuan-tuan dan puan-puan sentiasa dekat di hati saya.

4. Sebab itu, seperti yang Dato’ Hisham sebut tadi, biarpun saya baru pulang dari lawatan rasmi ke Turkiye, kemudian hujung minggu pulang ke Parlimen saya, Bera untuk menyambut Aidiladha, tetapi apabila diundang untuk bersama warga MINDEF dan ATM, sudah tentu saya tidak akan lepaskan peluang ini.

5. Justeru, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana tidak pernah lupa mengundang saya untuk bersama- sama dalam majlis yang sangat bermakna hari ini. Terima kasih sekali lagi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Memiliki tempat untuk berteduh sememangnya menjadi impian semua orang terutamanya mereka yang berkeluarga, lebih-lebih lagi tempat yang selesa dan kondusif kerana ia menyumbang kepada perkembangan sihat sesebuah keluarga.

7. Selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang saya perkenalkan, rangka tindakan ini akan memastikan perancangan Agenda Perumahan MINDEF yang bermula dari tahun 2022 hingga 2030 dapat dilaksanakan dengan teratur.

8. Ini seterusnya dapat menjamin kemudahan perumahan kepada warga kerja pertahanan yang telah banyak menyumbang bakti kepada kedaulatan negara dan paling banyak berkorban demi membela keselamatan Keluarga Malaysia.

9. Kerajaan menyanjung tinggi pengorbanan warga kerja Pertahanan yang tidak menghiraukan penat lelah untuk mempertahankan keamanan negara tanpa mengira masa dan tempat, malah sanggup meninggalkan keluarga untuk berjuang di perbatasan.

10. Sehubungan itu, pelbagai inisiatif dilakukan seperti Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT), program Satu Rumah Satu Anggota (SASaR) serta perumahan mampu milik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta program-program pembaikan serta pembinaan rumah veteran ATM.

11. Dengan adanya tempat untuk berteduh bagi warga kerja pertahanan, saya percaya mereka yang terpaksa berpisah kerana menggalas cabaran di perbatasan, berasa lega dan yakin keluarga yang ditinggalkan di rumah berada dalam keadaan selamat dan selesa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa memberi keutamaan kepada agenda perumahan warga ATM dan warga awam MINDEF. Ini keutamaan, tiada kompromi.

13. Alhamdulillah saya berasa lega apabila Dato’ Hisham sebutkan tadi bahawa secara keseluruhannya, hasil daripada pelaksanaan Blueprint Perumahan 1.0 dan Blueprint Perumahan 2.0, sebanyak 4,200 unit RKMAT baru telah berjaya disiapkan dan diduduki.

14. Bagi meneruskan kesinambungan BP1.0 dan BP2.0, BP3.0 pula akan menumpukan kepada penyediaan baki keperluan 12,733 unit RKMAT seluruh negara menerusi 5 fasa bermula tahun 2023 hingga tahun 2030.

15. Di bawah program selenggara dan naik taraf, sasaran 80 peratus daripada 7,292 unit RKMAT sedia ada akan dinaik taraf termasuk pengubahsuaian daripada 2 unit kepada 1 unit. Pada masa yang sama, perabot lama yang telah rosak akan diganti dengan perabot yang baharu.

16. Di bawah program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, sebanyak 1,700 unit akan dibina demi kesejahteraan veteran ATM di seluruh negara.

17. Dalam masa yang sama, lebih banyak rumah akan diselenggara dengan nisbah sasarannya 1 unit baru dibina, 4 unit akan dinaik taraf.

18. Kerajaan sedar beban kewangan yang perlu ditanggung bagi melaksanakannya. Oleh itu, kaedah-kaedah perolehan secara penswastaan seperti ‘bina-pajak-senggara- pindah’ (BLMT) atau Landswap akan diberi pertimbangan agar sebahagian besar matlamat BP3.0 dapat dicapai.

19. Dato’ Hisham sebut sebentar tadi, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), lima projek perumahan RKMAT telah diluluskan. Ini membuktikan bahawa Kerajaan komited untuk menjadikan Agenda Perumahan MINDEF sebagai keutamaan dalam perancangan pembangunan negara dan sering dibincangkan oleh pengurusan tertinggi kementerian.

20. Sejak 1 Januari lalu, empat projek RKMAT telah disiapkan termasuk RKMAT Kem Segamat yang saya rasmikan pada 6 Mac lalu.

21. RKMAT Kem Oran di Perlis, RKMAT Kem Pakit dan Kem Sri Miri di Sarawak dan RKMAT Kem Tok Jalai di Kedah, pula akan diduduki dalam masa terdekat.

22. Semua projek RKMAT ini melibatkan 672 unit pelbagai kelas. RKMAT Kem Bera dan RKMAT Kem Tumbi pula bakal siap dalam masa terdekat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. BP3.0 adalah projek perumahan jangka panjang Kementerian Pertahanan yang menitik beratkan kebajikan warganya. Perancangannya cukup besar dan meluas, yang bukan sahaja menuntut komitmen dan kesungguhan yang tinggi, malah memerlukan kerjasama yang erat daripada semua pihak yang terbabit.

24. Matlamatnya adalah untuk memastikan lebih banyak RKMAT dibina dan diselenggara, lebih banyak rumah mampu milik dibina dan lebih ramai veteran ATM diberi rumah baru dan ditambakbaik kediaman sedia ada.

25. Saya amat menghargai usaha Kementerian Pertahanan menjadikan inisiatif pemilikan rumah mampu milik sebagai salah satu fokus di bawah BP3.0.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan, KPKT, JKR, agensi-agensi Pusat, dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kerana merealisasikan perancangan berkaitan agenda perumahan ATM. Terima kasih kerana bertungkus-lumus untuk merangka Blueprint Perumahan 3.0 yang menyeluruh.

27. Semoga usaha sama antara MINDEF dan semua pihak berkepentingan ini akan berterusan dan sekali gus membawa manfaat besar kepada aspek kebajikan anggota ATM.

28. Saya juga mengalu-alukan sekiranya terdapat keperluan tambahan yang ingin diketengahkan boleh maklumkan terus kepada saya atau Dato’ Hisham. InsyaAllah, kerajaan akan terus menghulur bantuan kepada Keluarga Malaysia Pertahanan dengan sebaik mungkin.

29. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmannirahim melancarkan Blueprint Perumahan MINDEF 3.0 atau BP3.0.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sidang Akhbar Bersama YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia Dan TYT Recep Tayyip Erdogan, Presiden Turkiye

 

SIDANG AKHBAR BERSAMA

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB,
PERDANA MENTERI MALAYSIA
DAN
TYT RECEP TAYYIP ERDOGAN,
PRESIDEN TURKIYE

Bısmıllahırrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahı Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

PENDAHULUAN

1. Saya ıngın menzahırkan penghargaan dan terıma kasıh kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Presıden Recep Tayyip Erdoğan, dı atas jemputan untuk saya mengadakan lawatan rasmı ke Turkıye.

2. Saya amat menghargaı layanan ıstımewa yang telah diberikan kepada saya dan delegasi Malaysia sepanjang lawatan ını.

3. Saya kagum dengan pembangunan pesat Türkiye dı bawah kepımpınan TYT Presıden. Kını, Turkıye merupakan negara terulung dı perıngkat serantau dan antarabangsa.

4. Tahnıah kepada TYT Presıden dı atas penerımaan permohonan pertukaran nama Turkı kepada Turkıye yang telah dııktıraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ını.

5. TYT Presiden dan saya telah mengadakan perbıncangan yang produktıf dan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

6. Inı bertepatan dengan usaha kıta untuk memperkukuh serta menıngkatkan hubungan dan kerjasama Malaysıa-Turkıye ke tahap yang lebıh komprehensıf dan strategık.

HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA-TURKIYE

7. Tahun ını merupakan ulangtahun ke-58 hubungan diplomatik Malaysıa-Turkıye.

8. Pada tahun 2014, semasa lawatan TYT Erdogan ke Kuala Lumpur, Malaysıa dan Turkıye telah melancarkan Kerangka Kerjasama Strategik.

9. Pada harı ını, TYT Presıden dan saya telah bersetuju supaya kerjasama Malaysıa-Turkıye dıtıngkatkan ke tahap perkongsıan strategık komprehensıf.

10. Inı memandangkan skop kerjasama telah berkembang melıputı pelbagaı sektor sepertı ekonomı, pendıdıkan, keselamatan makanan, pelancongan, perbankan Islam dan ındustrı pertahanan. Kerjasama ını akan terus dıkembangkan untuk manfaat bersama.

11. Di sini, saya berbesar hati untuk berkongsi dengan rakan-rakan kami dari Media intipati beberapa isu utama perbincangan kami sebentar tadi:

KERJASAMA EKONOMI

12. TYT Presiden dan saya juga membincangkan secara mendalam mengenai keperluan untuk memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia-Türkiye.

Sekurıtı Makanan

13. Kamı bersetuju bahawa isu keselamatan makanan kıan meruncing akıbat darıpada pandemık COVID-19. Malah, kını menjadi semakin kritikal ekoran konflik dı Ukraine.

14. Dalam konteks ını, Malaysıa dan Turkıye bersetuju untuk bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi dan stabil.

15. Antara langkah segera bagı mendepanı ısu ını, Malaysia dan Türkiye akan menıngkatkan perdagangan produk makanan, dan akan terus menjalınkan kerjasama yang meliputi perkongsian maklumat serta pengalaman.

16. Pada masa yang sama, Malaysia dan Türkiye akan memperkasakan penyelıdıkan dan pembangunan (R&D) dalam sektor makanan, bagı menıngkatkan keupayaan menghasılkan sumber makanan dan kelangsungan sekurıtı makanan untuk berada pada tahap yang stabıl.

17. Kerjasama strategık Malaysıa-Turkıye ını merupakan langkah sıgnıfıkan kedua negara dalam menyokong usaha masyarakat antarabangsa ke arah membına ketahanan rantaıan bekalan makanan global.

Perdagangan

18. Malaysia-Türkiye mempunyaı potensı yang sangat besar darı segı perdagangan. Dalam mengımbangı perdagangan dua hala, TYT Presıden dan saya turut menyentuh tentang potensı Malaysıa, bukan sahaja sebagaı rakan dagang utama, sebalıknya Malaysıa sebagaı pıntu masuk dan hab perdagangan ASEAN.

19. Kedua-dua negara kini berada dalam pusingan akhir perluasan skop Perjanjıan Perdagangan Bebas Malaysıa-Turkıye (MTFTA) yang meliputi bidang-bıdang baharu seperti pelaburan, perkhidmatan dan e-dagang.

Pelaburan

20. Dari segi pelaburan, saya menghargai keyakinan para pelabur Türkiye di Malaysia. Saya juga yakın perluasan MTFTA akan membuka lebıh banyak peluang pelaburan dua hala.

21. Semasa dı Istanbul dua harı lepas, saya telah mengambıl peluang untuk bertemu dengan pemaın utama ındustrı kedua-dua negara untuk meneroka dan menıngkatkan kerjasama pelaburan.

22. Terima kasih kepada TYT Presiden dan Kerajaan Türkiye kerana membuka peluang pelaburan kepada pelabur-pelabur dari Malaysia.

23. Pada masa ını, pelaburan utama Malaysıa dı Turkıye melıputı sektor kesıhatan, tenaga dan sebagaı pengendalı operası lapangan terbang.

24. Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen oleh Malaysıa Aırport Holdıngs Berhad (MAHB), adalah buktı kejayaan syarıkat Malaysıa dı Turkıye.

Minyak Sawit

25. Kamı turut membıncangkan potensı untuk Turkıye menıngkatkan ımport mınyak sawıt Malaysıa. Turkıye merupakan hab pembuatan produk berasaskan sawıt untuk pasaran benua Eropah dan Asıa Tengah.

26. Saya dıfahamkan Türkiye sedang mempergıatkan penggunaan bıodıesel sebagaı bahan bakar dalam sektor pengangkutan. Malaysıa telah memulakan pengeluaran bıodıesel berasaskan mınyak sawıt. Inı selaras dengan matlamat Malaysıa dalam menghasılkan sumber tenaga mesra alam.

Kewangan Islam

27. TYT Presıden dan saya bersetuju supaya Malaysia dan Turkıye menubuhkan perbankan dıgıtal Islam bagı meneroka potensı besar Turkıye dalam sektor ını.

Pendidikan

28. Alhamdulıllah, saya telah menyampaıkan berıta baık kepada TYT Presıden bahawa Kerajaan Malaysıa telah mengiktiraf ijazah daripada 208 universiti dı Türkiye.

29. Saya yakın, ını akan menıngkatkan produk-produk penyelıdıkan bertaraf antarabangsa darı unıversıtı kedua-dua negara. Tambahan lagı, ıa adalah khabar yang dınantı-nantıkan oleh anak-anak Keluarga Malaysıa yang telah dan sedang menımba ılmu dı negara ını.

Industrı Pertahanan

30. Saya telah memaklumkan TYT Presıden bahawa dalam rangka lawatan ını, saya turut berpeluang mengadakan pertemuan dan lawatan dengan beberapa pemaın ındustrı pertahanan dı Turkıye.

31. TYT Presiden dan saya akui kerjasama ındustrı pertahanan antara kedua-dua negara perlu dipertingkatkan.

ISU-ISU SERANTAU DAN ANTARABANGSA

32. TYT Presıden dan saya turut membıncangkan ısu-ısu serantau dan antarabangsa.

Palestın

33. Malaysıa dan Türkiye bersependapat berhubung sokongan berterusan kepada perjuangan Palestin. Malaysıa menghargaı pendırıan dan usaha Turkıye dalam membela rakyat Palestın.

34. Kedua-dua negara bersama lıke-mınded countrıes akan terus menyelaras usaha ke arah menamatkan pendudukan rejım Zıonıs dan merealısasıkan Palestın sebagaı sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Konflık dı Ukraıne

35. Mengenai konflik berpanjangan dı Ukraine, saya memujı usaha TYT Presiden untuk mencarı jalan perdamaıan bagı mengakhırı konflik ını.

36. Kami berdua bersetuju agar semua pihak yang terlibat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan konflik yang menggugat keamanan sejagat.

JAWATANKUASA PEMANTAUAN SKIM STRATA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

  KERTAS CADANGAN PENUBUHAN JAWATANKUASA PEMANTAUAN SKIM STRATA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 1.   TUJUAN Kertas cadangan ini dikemuk...