Isnin, 18 Julai 2022

Hari Belia Negara 2022

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2022

16 JULAI 2022 (SABTU) | 10.00 PAGI PADANG PEKAN TUARAN, SABAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana atas limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun untuk meraikan Sambutan Hari Belia Negara 2022 atau HBN 2022, bertemakan ‘Ini Masa Kita’.

2. Sambutan Hari Belia Negara peringkat Kebangsaan tahun ini amat menarik kerana ia diadakan di luar ibu kota. HBN 2022 memilih Tuaran, Sabah yang terkenal dengan kawasan peranginan dan destinasi pelancongan sebagai lokasi untuk meraikan belia-belia Keluarga Malaysia dari seluruh negara.

3. Nunu Habar (apa khabar dalam bahasa Dusun) dan Yanbar (dalam bahasa Bajau Sama)

4. Hari Belia Negara 2022 diadakan di sini bagi memenuhi permintaan belia agar sambutan Hari Belia Negara diadakan di luar kesibukan kota, dan pemilihan Tuaran, Sabah dapat diterjemahkan dengan kehadiran belia yang ramai pada hari ini.

5. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada belia Sabah, di Tuaran, dan seluruh negara yang hadir pada hari ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah khususnya YAB Ketua Menteri Sabah di atas sokongan dan dorongan bagi menjayakan Hari Belia Negara 2022 di Tuaran, Sabah pada pagi ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Hari Belia Negara merupakan pengiktirafan Kerajaan terhadap segala usaha dan kejayaan seluruh belia yang merupakan tunjang dalam pembangunan negara serta keutuhan Keluarga Malaysia.

7. Hampir 21.4 peratus atau bersamaan dengan tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia merupakan belia berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala belia berumur 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang.

8. Sememangnya angka ini sangat signifikan, sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara. Oleh itu, aspirasi dan pandangan belia adalah penting bagi Kerajaan merangka hala tuju di masa hadapan.

9. Apa yang dirancang hari ini, akan diwarisi oleh belia-belia Keluarga Malaysia generasi akan datang kerana ‘Belia pencetus revolusi masa depan negara’.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 9,766 pertubuhan belia telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan 2019), Akta 668. Daripada jumlah itu, 953 buah didaftarkan di Sabah dan di Tuaran sahaja terdapat 33 buah pertubuhan belia.

11. Manakala, kadar pengangguran dalam kalangan golongan belia yang berumur 15 hingga 40 tahun di seluruh negara pula menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

12. Ini menjadikan bilangan penganggur pada suku pertama tahun ini seramai 585,000 orang berbanding 627,000 orang bagi tempoh yang sama tahun lepas. Jumlah ini dijangka terus menurun sekiranya kita mengambil tahu dan mengambil peduli pelbagai inisiatif serta program yang tersedia untuk belia-belia.

13. Terbaharu, Kerajaan melalui kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) memberi tumpuan lebih kepada pertanian bandar.

14. Ini merupakan strategi bagi meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor agromakanan selain Program Agropreneur Muda.

15. Sejumlah 8,000 usahawan muda telah menerima bantuan meliputi geran, pembiayaan, serta kursus jangka masa pendek, khidmat nasihat teknikal dan kewangan.

16. Agro makanan dapat memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya jika ia diurus dan diusahakan secara bersungguh- sungguh menggunakan teknologi terkini. Ia dapat menjamin kualiti pengeluaran yang boleh dieksport bagi membantu menambahkan hasil negara.

17. Penglibatan belia dalam sektor agromakanan akan diperkasa melalui pelaksanaan program Agro Job Fair @ MAHA 2022 pada bulan hadapan yang menawarkan 5,000 peluang pekerjaan oleh syarikat-syarikat yang menyertai.

18. Sehubungan itu, saya menyeru graduan yang berminat serta golongan belia untuk merebut peluang pekerjaan dalam program ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Walaupun Hari Belia Negara peringkat kebangsaan diadakan di Tuaran, kita tetap membawakan segmen Y-Career iaitu peluang kerjaya melibatkan 30 syarikat yang menawarkan 1,000 peluang pekerjaan untuk belia Keluarga Malaysia tempatan.

20. Justeru, saya menyarankan agar belia di Tuaran menggunakan peluang ini untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

21. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), semua kementerian dan agensi masing-masing turut menyediakan pelbagai program yang melibatkan golongan belia agar mereka dapat terus memainkan peranan dalam pembangunan negara.

22. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) umpamanya melaksanakan Program Bank Rakyat UNIpreneur yang melibatkan 500 mahasiswa daripada setiap 25 buah universiti awam dan swasta mulai bulan ini.

23. Program Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) pula melahirkan usahawan francais atau pra-francais di bawah KUSKOP. Setakat ini ia telah menerima sebanyak 26 permohonan pembiayaan berjumlah RM4.31 juta sehingga akhir bulan lepas.

24. Pada masa yang sama, KBS telah membangunkan Sistem eMYInd atau Malaysian Youth Index, sistem bersepadu yang merekodkan maklumat program-program pembangunan belia bagi membolehkan golongan itu mendapatkan maklumat untuk menyertai program-program yang bersesuaian.

25. Selain itu, Program Malaysia Techlympics oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang saya rasmikan awal tahun ini dijangka mendapat penyertaan satu juta anak muda yang dapat memupuk minat mereka dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

26. Program ini juga untuk mencungkil bakat muda seawal 7 tahun sehingga 30 tahun dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), robotik, kod, dron dan juga bidang teknologi.

27. Bagi terus memperkasakan peranan Majlis Belia Malaysia (MBM) dan pertubuhan-pertubuhan belia lain, Kerajaan memperuntukkan RM5.5 juta di bawah inisiatif bantuan pentadbiran dengan syarat mereka melengkapkan Maklumat Yang Kena Diberi (MYKD).

28. Sehingga kini daripada peruntukan sebanyak RM5 juta, 1.5 juta telah diagihkan kepada pertubuhan belia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

29. Pandemik COVID-19 telah menjadikan generasi belia sebagai pengguna teknologi dan media sosial yang tinggi sehingga mereka menjalani kehidupan yang tidak aktif.

30. Indeks Belia Malaysia 2021 menunjukkan skor kesejahteraan mental dan fizikal belia berada di tahap sederhana. Justeru, ia perlu ditangani melalui penglibatan belia dalam aktiviti sukan dan amalan gaya hidup.

31. Sehubungan itu, Malaysia Sports League (MSL), sebuah inisiatif baharu pembudayaan untuk bersukan khususnya bagi golongan belia, menyasarkan penyertaan 133,000 orang dan 2,232 program yang memberi manfaat kepada lima juta penyertaan di seluruh negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Kerajaan percaya Model Baharu Pembangunan Belia 2030 yang sedang dirangka oleh KBS dapat direalisasikan sebagai agenda mutakhir bagi memperkasakan elemen belia sebagai sumber dan aset negara.

33. Sebelum saya mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada KBS dan MBM kerana berjaya menganjurkan program pada hari ini.

34. Saya dimaklumkan bahawa KBS telah memberi peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membantu aktiviti-aktiviti persatuan belia. Untuk itu, saya umumkan tambahan peruntukan RM1 juta lagi untuk dikongsi bersama dengan pertubuhan belia.

35. Yang kedua, saya turut berbincang dengan YB Menteri Belia dan Sukan betapa pentingnya belia kepada negara, suara belia pasti didengari oleh kerajaan dan pandangan anda dihargai.

36. Untuk itu, kerajaan bersetuju untuk melantik seorang senator dalam kalangan belia. Saya percaya dengan adanya wakil belia dalam Dewan Negara, suara belia akan lebih didengari.

37. Dengan kata-kata tersebut dan dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2022.

Sekian,

Wabillahi taufik walhidayah
Wasalamualaikum warahmahtullahi wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...