Khamis, 21 Julai 2022

Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Ke-22

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA
MAJLIS PENYERAHAN JALUR GEMILANG KONTINJEN MALAYSIA KE SUKAN KOMANWEL KE-22

19 JULAI 2022 | SELASA | 3.00 PM

HOTEL GRAND HYATT
KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada petang ini di Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel ke-22.

2. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia Dan Sukan, Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Menteri, Yang Berhormat Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, kerana mengundang saya untuk menyempurnakan majlis yang amat bermakna ini.

3. Syabas dan tahniah kepada semua kontinjen Malaysia. Sudah tentu saya berasa amat gembira kerana dapat bersama-sama atlet-atlet sukan negara yang akan berdepan cabaran di temasya Sukan Komanwel di Birmingham, England pada 28 Julai hingga 8 Ogos nanti.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Pepatah Melayu mengatakan, ‘genggam bara api, biar sampai jadi arang’, menunjukkan bahawa Keluarga Malaysia perlu memiliki keazaman untuk meraih kejayaan dalam apa juga yang dilakukan.

5. Begitulah juga dengan bakal-bakal jaguh sukan negara yang saya percaya mampu meraih kejayaan kerana memiliki semangat juang yang jitu, berbekalkan latihan mencukupi dengan menggunakan peralatan sukan yang sesuai dan terkini.

6. Saya dan seluruh Keluarga Malaysia berharap agar kita dapat mencapai sasaran bilangan pingat yang sudah disasarkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di temasya sukan itu nanti.

7. Saya menaruh keyakinan yang amat tinggi bahawa sasaran pingat negara dapat boleh dicapai menandingi bilangan tujuh emas yang pernah dimenangi oleh jaguh-jaguh kita semasa Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, Australia.

8. Justeru, atlet negara ke Birmingham ini harus membuktikan keupayaan dan berjuang habis-habisan bagi menterjemahkan kejayaan yang bakal menjadi kebanggaan diri dan Keluarga Malaysia.

9. Kalah menang sebenarnya adat pertandingan tetapi tunjukkanlah kepada dunia semangat perjuangan anak- anak Malaysia. Semangat Harimau Malaya yang sebenar- benarnya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Saya yakin dan percaya, atlet-atlet yang berada di dewan ini akan memberikan yang terbaik dan memperlihatkan aksi yang maksimum apabila menyarungi jersi Harimau Malaysia di pentas Komanwel Birmingham nanti.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat serta menjadi wadah untuk membentuk kebersamaan Keluarga Malaysia.

12. Jadikanlah sukan sebagai jambatan dan instrumen untuk bersatu-padu serta semarakkan nilai-nilai ini untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan damai.

13. Sebelum mengakhiri ucapan saya pada hari ini, saya ingin berpesan, pemergian anda ke Birmingham bukan sekadar mewakili diri sendiri, mewakili seluruh rakyat, wakili Negara Malaysia. Ini adalah perjuangan untuk Malaysia, harumkan nama Malaysia di Birmingham.

14. Berjuanglah sebaik-baiknya kerana anda mampu mengharumkan nama negara dan pastikan lagu Negaraku berkumandang di bumi England. Saya yakin lagu Negaraku akan berkumandang dan Jalur Gemilang akan di kibarkan.

15. Bangkitlah Demi Keluarga Malaysia!

16. Bangkitlah Demi Malaysia!

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...