Jumaat, 15 Julai 2022

Perasmian Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 (BKK22)

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO ’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA PERASMIAN MAJLIS SAMBUTAN
BULAN KOPERASI KEBANGSAAN 2022 (BKK22)

2 JULAI 2022 (SABTU) | 4.00 PETANG

PUSAT PELANCONGAN MALAYSIA (MATIC) KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada petang yang berbahagia ini bagi menjayakan Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 (BKK22).

2. Saya berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) terutamanya kepada Menteri YB Tan Sri Noh Omar kerana mengundang saya merasmikan majlis ini.

3. Penganjuran majlis ini merupakan manifestasi semangat kerjasama Keluarga Malaysia melalui gerakan koperasi yang menyambut ulang tahun ke-100 pada 21 Julai ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan.

4. Berkat usaha semua pihak terutama Kementerian dan agensi-agensi di bawahnya termasuk Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), sektor koperasi kini menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi negara.

5. Pada hari ini, terdapat sebanyak 14,834 buah koperasi berdaftar di bawah SKM dengan jumlah keahlian seramai 7.1 juta. Ini membuktikan Keluarga Malaysia semakin berminat melibatkan diri dalam sektor koperasi.

6. Gerakan koperasi juga mempunyai modal saham dan yuran terkumpul sebanyak RM16.5 bilion, dengan aset berjumlah RM155 bilion serta perolehannya mencecah RM37.9 bilion.

7. Saya percaya angka ini boleh dipertingkatkan apabila kesedaran dan minat menyertai koperasi, menjadi satu gaya hidup yang akan menyumbang kepada kemakmuran sosio- ekonomi negara.

8. Saya yakin bahawa koperasi adalah pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan usahawan, bahkan berupaya memainkan peranan besar dalam membantu golongan B40 menangani cabaran peningkatan kos sara hidup.

9. Dalam konteks berkoperasi, kuasa yang ada di tangan kita menentukan harga patut dengan kualiti jaminan penggunaan. Kuasa gerakan koperasi boleh memberi kesan kepada harga barangan pengguna di pasaran kerana melalui koperasi; kita adalah pemilik dan kita juga adalah pengguna.

10. Selepas lebih dua tahun negara dan dunia berdepan krisis kesihatan, kini kita berdepan ancaman baharu seperti ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim dan konflik antara Rusia dan Ukraine yang mengakibatkan gangguan rantaian bekalan makanan.

11. Dalam usaha kerajaan membawa negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025, isu kenaikan kos sara hidup ternyata menjadi antara cabaran yang besar pada waktu ini.

12. Untuk menghadapi cabaran ini, Kerajaan memerlukan kerjasama semua pihak khususnya daripada SKM dan ANGKASA dengan memberi fokus memperkasa pembangunan gerakan koperasi dalam penguasaan rantaian bekalan.

13. Usaha bersepadu ini boleh dilakukan oleh SKM dan ANGKASA melalui pembabitan koperasi-koperasi dalam industri pemborongan dan peruncitan. Dengan bilangan koperasi yang besar serta kekuatan lebih 20 peratus populasi negara, gerakan koperasi secara kolektif mempunyai kuasa mempengaruhi kos sara hidup Keluarga Malaysia dengan berkesan.

14. Gerakan koperasi perlu diperkukuh di setiap peringkat rantaian bekalan makanan termasuk pemasaran barangan pada harga yang kompetitif.

15. Model perniagaan koperasi itu sendiri dilahirkan bagi memendekkan rantaian bekalan, dengan mengurangkan peranan dan penglibatan orang tengah – sekali gus berupaya menstabilkan harga barangan keperluan di pasaran.

16. Justeru, sudah tiba masanya seluruh gerakan koperasi menyahut seruan ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’, dengan memainkan peranan lebih signifikan dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Berdasarkan laporan World Co-operative Monitor 2021, terdapat kira-kira 300 koperasi terbesar dunia dengan pendapatan sebanyak RM8.8 trilion pada tahun 2019. Kebanyakan koperasi ini terlibat dalam sektor pertanian dan makanan, pemborongan dan peruncitan serta insurans.

18. Mengambil contoh di Jepun, Japanese Consumer Co- operative Union (JCCU) merupakan gabungan 572 koperasi pengguna dan dianggotai oleh 22 juta orang.

19. JCCU yang mencatat keuntungan sebanyak RM2.6 bilion pada tahun 2021. Gabungan koperasi itu bukan sekadar menguasai segmen pasaran dengan membekalkan barangan keperluan harian tetapi mampu menawarkan persekitaran yang lestari kepada komuniti setempat.

20. Di United Kingdom pula, Co-op Group UK menguasai pasaran dalam sektor makanan dengan jualan sebanyak RM42 bilion pada tahun 2021. Jumlah jualan koperasi ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM922 juta berbanding sebelum dunia dilanda pandemik.

21. Ini jelas membuktikan gerakan koperasi boleh memainkan peranan utama dalam mengerakkan ekonomi dan membantu negara menghadapi cabaran kos sara hidup.

22. Saya juga yakin, gerakan koperasi boleh menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan penglibatan yang lebih ramai Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Pada masa ini, KUSKOP melalui SKM sedang menjenamakan semula kedai-kedai koperasi di seluruh negara secara berperingkat di bawah satu jenama, CoopMart bagi menyeragamkan model perniagaan mereka.

24. Kerajaan turut bersetuju agar bantuan Tabung Agromakanan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia diperluaskan kepada koperasi yang terlibat dalam sektor ini.

25. Hari ini saya ingin mengumumkan;

Pertama, peruntukan sebanyak RM100 juta di bawah Tabung Agromakanan akan diletakkan di bawah SKM bagi membantu koperasi mengembangkan industri agromakanan khususnya penternakan ayam.

Kerajaan berharap langkah ini akan membantu koperasi meningkatkan pengeluaran makanan, seterusnya mengurangkan masalah kenaikan harga barang yang memberi impak besar kepada Keluarga Malaysia.

Kedua, Kerajaan bersetuju agar koperasi-koperasi diberi kuota pekerja asing supaya urusan perladangan dapat berjalan dengan lancar.

Kementerian Sumber Manusia akan memudahcara permohonan koperasi melalui proses secara manual sekiranya terdapat kekangan dengan sistem Pengurusan Berpusat Pekerja-pekerja Asing (FWCMC).

Ketiga, Kerajaan menyokong penubuhan Koperasi Rakyat BR 2.0 Malaysia Berhad atau BR 2.0, sebuah entiti koperasi yang baharu ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993[Akta 502] dan dikawal selia oleh SKM.

BR 2.0 juga dijangka memainkan peranan lebih besar iaitu membantu membangunkan sektor koperasi serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Penubuhan BR 2.0 turut membolehkan Keluarga Malaysia melabur dan memiliki saham dalam koperasi seperti mana Bank Rakyat dengan jangkaan pulangan yang baik.

Keempat, peruntukan khusus sejumlah RM10 juta kepada KUSKOP bagi membiayai penganjuran aktiviti-aktiviti kolaborasi strategik bersama persatuan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti penganjuran pameran dan ekspo.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Bertemakan ‘100 Tahun Gerakan Koperasi, Membangun Keluarga Malaysia’, Kerajaan amat menghargai usaha yang dilakukan oleh gerakan koperasi dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

27. Saya berharap dan mendoakan agar gerakan koperasi terus bergerak secara bersepadu supaya ia lebih berdaya saing, berjaya dan terus berkembang pesat.

28. Dengan kata-kata tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan Majlis Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...