Khamis, 21 Julai 2022

Pelancaran Perodua Alza Serba Baharu

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA PELANCARAN PERODUA ALZA
SERBA BAHARU

20 JULAI 2022 | RABU | 10.00 PAGI

KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE (KLCC)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama pada hari yang bersejarah ini sempena PELANCARAN MODEL BAHARU PERODUA ALZA.

2. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perodua kerana sudi mengundang saya ke majlis yang akan menjadi satu lagi detik baharu buat industri automotif negara.

3. Saya amat berbangga dengan kejayaan Perodua, bukan sahaja daripada sudut penjualan tetapi juga sebagai satu entiti yang amat menitikberatkan perkembangan dan pembangunan automotif negara.

4. Pelancaran Perodua Alza Serba Baharu ini antara salah satu pencapaian Perodua sejak syarikat ini ditubuhkan dan menjadi bukti kerjasama secara efektif di antara pihak kerajaan dan swasta sejak dahulu lagi.

5. Saya bagi pihak kerajaan amat berterima kasih kepada Perodua kerana kegigihannya mencari peluang bekerjasama dengan pelbagai kementerian untuk memajukan ekosistem industri automotif negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Impak kemajuan industri automotif negara dapat dilihat melalui aktiviti ekonomi yang dijana seperti mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran teknikal, pindahan teknologi dan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing.

7. Saya difahamkan terdapat seramai 11,500 pekerja tempatan di Perodua yang terdiri daripada pekerja operator hingga ke tahap pengurusan.

8. Selain itu, syarikat automotif nasional juga turut bertanggungjawab memajukan industri melalui pelaburan lestari dan pada masa yang sama berusaha untuk meningkatkan kebolehan syarikat-syarikat tempatan dari sudut kualiti, teknologi dan produktiviti.

9. Malah, Perodua turut membuktikan komitmen berterusan kepada sektor automotif tempatan dengan pembelian komponen automotif sebanyak RM7 bilion secara purata setiap tahun.

10. Keuntungan daripada pembelian komponen tempatan ini dapat digunakan oleh syarikat-syarikat tempatan untuk terus memajukan perniagaan masing-masing sama ada mengembangkan operasi ataupun melabur dalam teknologi baharu.

11. Saya difahamkan terdapat syarikat komponen tempatan yang telah menjadi pembekal komponen kepada syarikat Daihatsu di Jepun.

12. Ini satu pencapaian yang amat membanggakan negara kerana lazimnya kita import komponen dari Jepun tetapi kini kita yang mengeksportkannya ke Jepun. Syabas saya ucapkan!

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Kerajaan menyedari kepentingan potensi industri automotif terhadap ekonomi negara selepas negara beransur pulih daripada pandemik COVID-19.

14. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan pertumbuhan 17.9 peratus dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 600,000 unit pada tahun ini berbanding 508,911 unit yang dicatatkan tahun lepas.

15. Pihak Perodua pula mensasarkan peningkatan jualan sebanyak 247,800 unit, iaitu 30.2 peratus bagi tahun ini berbanding 190,291 kenderaan pada tahun lepas.

16. Saya yakin sasaran tersebut dapat dicapai berikutan pertumbuhan industri automotif negara yang memberangsangkan pada suku pertama tahun ini dengan 61,624 kenderaan didaftarkan, peningkatan sebanyak 6.4 peratus berbanding 57,909 kenderaan yang dijual antara Januari dan Mac tahun lepas.

17. Namun, negara kini berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global seperti krisis geopolitik dan perubahan iklim.

18. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah strategik bagi menghadapi cabaran tersebut, namun usaha ini tidak boleh dilakukan secara sendirian tanpa kerjasama dengan pihak swasta bagi mengukuhkan lagi ekonomi negara.

19. Justeru, saya ingin menyeru agar syarikat-syarikat besar negara untuk saling bekerjasama dalam mencapai lebih banyak kejayaan untuk dimanfaatkan oleh seluruh Keluarga Malaysia.

20. Kerjasama seperti ini dapat membantu mencapai matlamat karbon neutral di Malaysia pada tahun 2050, sepertimana yang telah dipersetujui di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Tenaga Nasional Berhad kini sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran elektrik menggunakan sumber tenaga yang bersih serta penyediaan stesen pengecas kenderaan elektronik yang secukupnya.

22. Pada masa yang sama, Perodua boleh mengambil peluang ini dengan meneroka peluang baharu seperti menghasilkan kenderaan elektrik berkualiti tinggi yang mampu dimiliki oleh Keluarga Malaysia.

23. Kedua-dua pihak boleh bekerjasama untuk memperkenalkan kadar caj yang mampu dilanggani oleh semua.

24. Malah, syarikat telekomonikasi negara seperti Telekom Malaysia juga dapat membuka kerjasama dengan kedua- dua pihak ini untuk menyediakan pakej data yang mampu memudahkan para pengguna untuk membuat tempahan caj kenderaan secara dalam talian.

25. Kerjasama pintar seperti ini perlu dilaksanakan segera bagi mengatasi kesan perubahan iklim yang melanda dunia. Malah, perjanjian seperti ini dapat menjamin kelestarian dan pembangunan negara yang mampan.

26. Kerajaan pula sedia berbincang dengan pihak swasta untuk memastikan dasar atau initiatif yang diperkenalkan bersesuaian dengan hala tuju negara.

27. Saya juga baru-baru ini telah meminta Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terletak dalam wilayah High- tech Valley untuk membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automative Research and Training (CAART).

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Kerajaan amat berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai oleh Perodua yang kini merupakan syarikat automotif nasional utama negara sejak tahun 2006 dan menjadi jenama buatan tempatan yang dipercayai di kalangan Keluarga Malaysia.

29. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pemegang saham Perodua, antaranya Permodalan Nasional Berhad, UMW Holdings Berhad, MBM Resources Berhad, Daihatsu Motor Company of Japan dan sebagainya kerana masih dapat bekerjasama secara harmoni.

30. Kestabilan ini amat penting bagi mengukuhkan industri automotif negara dan memberi keyakinan bukan sahaja kepada para pelanggan dan para pekerjanya malah kepada Kerajaan.

31. Usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Perodua juga harus menjadi contoh oleh syarikat-syarikat tempatan yang lain di mana kepentingan negara didahulukan demi kesejahteraan semua.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Berdasarkan daripada laporan media massa mengenai model Perodua Alza Serba Baharu ini, saya amat tertarik dengan ciri-ciri canggih yang ada padanya dengan penambahbaikan ketara dari segi keselesaan pemanduan dan lebih versatil.

33. Saya percaya model baharu ini akan diterima baik oleh seluruh Keluarga Malaysia kerana harganya yang kompetitif dan aspek keselamatannya dipertingkatkan sesuai dengan aspek pemanduan di Malaysia.

34. Pada masa yang sama, saya berharap Perodua dapat mencari peluang untuk memasarkan produk-produknya hingga ke peringkat antarabangsa.

35. Saya mengambil maklum bahawa kenderaan keluaran Perodua kini bertapak di enam buah negara dan saya yakin jumlah eksport itu mampu dipertingkatkan pada masa akan datang.

36. Kerajaan juga bersedia membantu pihak Perodua untuk meluaskan pasaran yang sedia ada dan membantu mencari pasaran baharu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

37. Saya berharap Perodua akan terus mempertingkatkan kebolehan pengeluarannya sekaligus mencapai skala ekonomi yang kompetitif setaraf dengan syarikat-syarikat asing di rantau ini.

38. Peluang untuk kita maju amat cerah jika kita terus berusaha dan bekerjasama untuk mencapai kejayaan yang kita inginkan.

39. Saya berdoa agar Perodua terus mencapai kejayaan dan dapat mengharumkan nama negara di persada dunia, Insya Allah.

40. Dengan hasrat tersebut dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan PELANCARAN PERODUA ALZA SERBA BAHARU.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...