Jumaat, 15 Julai 2022

Majlis Penutupan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perak

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
JELAJAH ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA PERINGKAT NEGERI PERAK

3 JULAI 2022 | 11.00 PAGI
LITAR DATO’ SAGOR, PASIR SALAK, PERAK

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada pagi yang berbahagia ini dalam Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Ke-5 di Litar Dato’ Sagor, Pasir Salak,Perak.

2. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak khususnya Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad di atas penganjuran JAKM di negeri ini.

3. Ape kabor kome? Semoga seluruh Keluarga Malaysia di Perak sentiasa sihat sejahtera.

4. Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) sebelum ini telah diadakan di Johor, Perlis, Sabah dan Terengganu dan sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada Keluarga Malaysia

5. JAKM terbukti memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana mereka berpeluang menyalur sebarang maklum balas yang boleh membantu menambah baik perkhidmatan kementerian-kementerian dan agensi- agensi Kerajaan.

6. Ia juga membuktikan bahawa idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan hari ini bukan sekadar retorik atau slogan semata-mata, tetapi kepentingan dan kesejahteraan rakyat terus dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

7. Keluarga Malaysia bermatlamat untuk memastikan ahli keluarga besar kita yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, hidup dalam suasana yang mesra dan harmoni sambil berkongsi tiga nilai utama iaitu ‘Keterangkuman’, ‘Kebersamaan’ dan ‘Kesyukuran’.

8. Saya memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia sejak Ogos tahun lepas dengan matlamat agar rakyat yang berbilang kaum dan agama dapat terus mengamalkan hidup bersatu-padu seperti dalam satu keluarga besar.

9. Bagi memastikan konsep ini diterima oleh semua, ia dibawa menjelajah ke seluruh negara agar aspirasinya dapat dirasai dan diserap dalam jiwa setiap insan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Amalan hidup bersama ini telah pun berterusan sejak enam dekad lalu dan perlu dipertahankan, malah diperkukuhkan walau apa jua cabaran yang mendatang.

11. Konsep dan pendekatan Keluarga Malaysia bukanlah sesuatu yang sukar untuk dihadam kerana ia sebenarnya berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam sebuah keluarga.

12. Mengambil contoh sebuah keluarga, sekiranya ada anak- anak kita yang sedang dalam kesusahan, kita akan segera memberikan bantuan sama ada dari segi material ataupun sokongan. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.

13. Sebagai Kerajaan, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk sentiasa menyuburkan semangat perpaduan,menyuntik nafas segar dalam kesatuan, mencari titik persamaan dalam kepelbagaian.

14. Malah, Kerajaan hari ini juga bekerja dalam semangat Keluarga Malaysia, akan terus konsisten memberikan tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

15. Ini dilakukan bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan atau ‘no one will be left behind.’

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Konsep Keluarga Malaysia ini juga selari dengan konsep ‘tasamuh’ dalam Islam yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan yang menjadikan masyarakat di negara menghargai dan memahami nilai perbezaan.

17. Tasamuh bermaksud ‘toleransi’ atau ‘berlapang dada’. Dalam maksud yang lain adalah bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi.

Misalnya toleransi dalam agama ialah sikap saling menghormati hak dan kewajipan antara agama.

18. Bagi negara yang memiliki bangsa dan budaya yang majmuk seperti Malaysia, sikap toleransi atau tasamuh sangat penting sebagai alat menyatu-padukan Keluarga Malaysia, sekaligus mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera.

19. Dengan tasamuh juga, Keluarga Malaysia akan lebih menghargai perbezaan antara sesama manusia dalam batas-batas yang digariskan oleh agama Islam.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Saya gembira apabila kerajaan negeri memantapkan industri pelancongannya dengan menjenamakan Pangkor sebagai destinasi pelancongan marin nautika melalui Penganjuran Pangkor International Marine Tourism Conference 2022 (PIMTC22).

21. Selain itu, Pendidikan juga amat penting bagi menjamin masa depan Keluarga Malaysia. Di Perak, terdapat 93 projek baharu dan sambungan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos keseluruhan sebanyak RM936.55 juta.

22. Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial kini membangunkan Pusat Rehabilitasi Neuro Robotik dan Cybernetics Kebangsaan di Bandar Meru Raya melibatkan kos RM654 juta, menjadi satu-satunya negeri menawarkan kemudahan robotik ini.

23. Di bawah Pelan Pemulihan Nasional, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut melaksanakan beberapa program di Perak yang menawarkan 56,642 peluang pekerjaan.

24. Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula menyediakan peruntukan sebanyak RM1.77 bilion bagi memastikan keselesaan dan kesejahteraan penduduk luar bandar di negeri ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Dunia hari ini telah berubah dengan ‘ganas’. Dalam suasana global yang sedang bergelut untuk pulih daripada pandemik, kini kita semua berhadapan dengan dua lagi cabaran besar iaitu ancaman geopolitik khususnya konflik Rusia – Ukraine dan perubahan iklim.

26. Keadaan ini telah mengganggu rantaian bekalan global yang menyebabkan harga bahan mentah seperti makanan haiwan dan harga komoditi seperti minyak mentah dan minyak sawit meningkat dengan mendadak, lebih mahal.

27. Malah beberapa negara pengeluar sumber makanan dunia seperti India dan Indonesia telah mengambil langkah menyekat eksport bahan makanan.

28. Ekoran daripada itu, seluruh dunia berhadapan dengan ‘stagflasi’ yang bermaksud: kadar inflasi (inflation) meningkat, manakala kadar pertumbuhan ekonomi lembap (stagnation).

29. Negara-negara maju seperti United Kingdom mencatatkan kadar inflasi sebanyak 9.1 peratus, Amerika Syarikat (8.6 peratus), Eropah (8.1 peratus), Thailand (7.1 peratus), Singapura (5.6 peratus) dan Indonesia (3.6 peratus).

30. Malaysia pula mencatatkan inflasi sebanyak 2.8 peratus. Angka terendah di Asia Tenggara kerana usaha berterusan menanganinya termasuk pemberian subsidi terbesar dalam sejarah iaitu sebanyak RM77.7 bilion.

31. Ini kerana, Kerajaan sentiasa mendengar keluhan Keluarga Malaysia mengenai kenaikan harga barang khususnya membabitkan bahan makanan.

32. Pelbagai usaha juga sedang dilakukan untuk jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi mengatasi masalah ini khususnya bagi memastikan sekuriti makanan negara sentiasa terjamin.

33. Kerajaan sentiasa komited dalam melaksanakan langkah proaktif melalui pengubahsuaian dasar-dasar tertentu, seiring dengan perubahan senario ekonomi global, yang lazimnya di luar kawalan kita.

34. Pada masa yang sama, saya berharap Keluarga Malaysia untuk menjadi ‘mata dan telinga’ Kerajaan dalam memastikan tidak berlakunya ketirisan subsidi yang akhirnya merugikan kita semua.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

35. Cabaran yang dihadapi hari ini tidak mampu untuk ditangani sendirian oleh Kerajaan. Maka disebabkan itu, konsep Keluarga Malaysia amat penting untuk menyatukan kita semua tanpa mengira perbezaan ras, kepercayaan dan fahaman politik untuk bersama-sama berganding bahu untuk menghadapinya.

36. Sekarang bukan masa untuk menuding jari kerana cabaran yang dihadapi pada hari ini amat berbeza dan mungkin tidak pernah berlaku dalam sejarah. Seluruh tenaga perlu digembleng bersama untuk menghadapi cabaran ini dan seterusnya memacu semula ekonomi Malaysia.

37. Insya-Allah dengan satu hati Keluarga Malaysia, saya yakin kita pasti akan dapat mengatasi setiap rintangan yang mendatang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

38. Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia terutama yang hadir di Litar Dato’ Sagor hari ini supaya dapat terus memberikan kerjasama bagi merealisasikan aspirasi ini.

39. Memetik kata-kata pujangga “Jika keluarga diibaratkan sebuah perahu, maka perahu itu tidak akan bergerak maju kecuali semua orang mendayung”.

40. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Keluarga Malaysia di Perak atas sambutan yang menggalakkan serta komitmen padu yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dalam menjayakan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Perak.

41. Dengan kata-kata tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Majlis Penutupan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia bagi negeri Perak.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...