Jumaat, 15 Julai 2022

Majlis Pelancaran Ruralstar Huawei

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN RURALSTAR HUAWEI

14 JULAI 2022 | 3 PETANG

DEWAN KONVENSYEN MAJLIS DAERAH BERA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama- sama pada petang ini sempena Majlis Pelancaran RuralStar Huawei bagi daerah Bera dan kawasan sekitarnya.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada Huawei Malaysia dan Majlis Daerah Bera kerana bekerjasama untuk menganjurkan majlis yang julung kali diadakan di luar bandar, bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan penduduk di sini.

3. RuralStar merupakan peranti infrastruktur rangkaian telekomunikasi teknologi terkini yang dapat menghubungkan kawasan yang bukan hanya terpencil tetapi juga tidak mempunyai infrastruktur komunikasi yang lengkap.

4. Pelancaran RuralStar ini amat penting agar teknologi baharu seperti ini dapat memudahkan salinghubungan (ketersambungan) kepada komuniti-komuniti yang sukar dijangkau.

5. Proses digitalisasi berlaku dengan giat di seluruh negara sejak penularan pandemik Covid-19 bagi membolehkan kehidupan harian diteruskan tanpa menganggu kelangsungan pendidikan dan juga produktiviti perniagaan.

6. Meskipun begitu, masih terdapat kelompok-kelompok kecil yang masih belum menerima manfaat daripada proses berkenaan.

7. Justeru, Kerajaan sentiasa berusaha membawakan arus kemajuan ini ke semua peringkat masyarakat bersesuaian dengan prinsip Keluarga Malaysia agar tiada sesiapa pun tertinggal daripada menikmati peluang kemakmuran bersama yang lebih inklusif dan saksama.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat, Kerajaan tetap fokus kepada matlamat utamanya iaitu merapatkan jurang digital dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

9. Salinghubungan atau ketersambungan digital yang menyeluruh di segenap lapisan masyarakat menjadi objektif utama dalam pentadbiran Kerajaan.

10. Baru-baru MEASAT 3-d telah dilancarkan dan dengan pelancaran satelit itu, saya berharap keupayaan capaian internet di kawasan bandar dan sub-luar bandar akan lebih ditingkatkan.

11. Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negera atau JENDELA bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar tetap kepada 9 juta premis menjelang tahun 2025.

12. Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada Huawei Malaysia kerana membantu Kerajaan mempercepatkan transformasi digital dan mengukuhkan pembangunan inovasi di Malaysia.

13. Saya amat teruja apabila dapat menyaksikan sendiri teknologi terkini dan penyelesaian digital yang dibangunkan secara langsung oleh Huawei Malaysia.

14. Huawei Customer Solution Innovation Center yang berpusat di Kuala Lumpur telah mempamerkan pelbagai aplikasi, peranti dan perisian moden yang banyak membantu industri di Malaysia menjadi lebih tangkas dan fleksibel dalam era yang mencabar ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), pengukuhan dalam ekonomi digital terus diutamakan terutamanya dalam sektor teknologi dan inovasi.

16. Melalui teknologi seperti RuralStar, kemahiran digital dalam setiap lapisan masyarakat dapat dipupuk dan disemai agar tenaga kerja kita pada masa hadapan mempunyai daya saing yang tinggi.

17. RuralStar merupakan teknologi pemangkin yang boleh membantu Keluarga Malaysia meningkatkan taraf kehidupan seharian dan seterusnya meningkatkan jejak digital mereka.

18. Saya juga dimaklumkan, pada majlis ini, sebanyak 200 tablet jenama Huawei berserta kad SIM Celcom akan diserahkan kepada golongan pelajar di Bera yang memerlukan bantuan pembelajaran.

19. Saya berasa sukacita kerana kerjasama antara Kerajaan dan pihak swasta seperti ini dapat menggalakkan pendidikan digital, sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mampan.

20. Insya-Allah, kita akan berjaya mengatasi sebarang kesukaran dan cabaran dengan mengekalkan perpaduan dan kerjasama yang erat.

21. Marilah kita bersama-sama berusaha menjana kemakmuran masa depan yang lebih inklusif dan lestari.

22. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim merasmikan Majlis Pelancaran RuralStar Huawei ini.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...