Isnin, 4 Julai 2022

Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan (AKU) Tahun 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN USAHAWAN (AKU) TAHUN 2022

27 JUN 2022 | 8.00 MALAM

MANDARIN ORIENTAL HOTEL KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul bersama-sama bagi menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan atau AKU Tahun 2022 pada malam ini.

2. Pertamanya, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri Noh bin Haji Omar dan seluruh warga kerja kementerian kerana menganjurkan majlis anugerah yang gemilang ini bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang usahawan tempatan.

3. Komitmen yang dizahirkan oleh KUSKOP dalam menganjurkan pelbagai program dan inisiatif berteraskan keusahawanan ini, amat penting bagi memastikan kesinambungan ekosistem perniagaan dapat berkembang maju terutamanya dalam persediaan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Setiap prestasi cemerlang yang dicapai dengan penuh kegigihan, saya percaya, perlu diberikan pengiktirafan dan penghargaan sebagai dorongan untuk terus berkembang dalam apa jua bidang yang diceburi.

5. Justeru, penganjuran anugerah seperti malam ini, sudah pasti dapat mendorong dan memberi galakan kepada lebih ramai pihak untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

6. Galakan seperti ini sangat tepat pada masanya kerana sesuatu pencapaian yang cemerlang perlu diberi pengiktirafan jika kita mahu melihat lebih ramai usahawan tempatan, berkembang maju dalam bidang dan sektor perniagaan.

7. Melalui usaha ini, ia juga berupaya mewujudkan ekosistem perniagaan yang kukuh serta membangunkan usahawan tempatan yang berdaya saing, kalis cabaran masa hadapan serta mampu berdiri teguh di peringkat global.

8. Saya juga memahami bahawa cabaran yang dihadapi kesan pandemik COVID-19 ini bukannya mudah, namun usahawan-usahawan yang diraikan pada malam ini telah berjaya membuktikan bahawa adalah sesuatu yang bukan mustahil untuk bangkit semula daripada cabaran yang mendatang.

9. Bagi iltizam ini, saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua usahawan terlibat pada malam ini. Semoga kejayaan yang dicapai akan terus memberikan impak positif sekaligus mencetus motivasi kepada usahawan Keluarga Malaysia yang lain.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Pembangunan keusahawanan merupakan antara intipati pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara. Ia menjadi teras kepada penciptaan daya inovasi dan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

11. Negara akan lebih maju ke hadapan sekiranya memiliki ekosistem keusahawanan yang komprehensif dan meliputi pelbagai peringkat.

12. Sektor perniagaan terutamanya melalui Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kekal signifikan kepada pengembangan ekonomi negara walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Kejayaan pemulihan sektor PMKS sudah pasti akan membantu mempercepat pemulihan ekonomi negara.

13. Prospek pemulihan ekonomi negara dijangka akan terus berkembang kesan daripada pembukaan sempadan antarabangsa yang menyumbang kepada aktiviti ekonomi dalam negara.

14. Kaji selidik KUSKOP pada Februari 2022 juga telah menunjukkan bahawa pembukaan semula ekonomi oleh kerajaan telah membantu memulihkan semula operasi perniagaan yang terkesan akibat pandemik.

15. Prestasi perniagaan juga mencapai tahap lebih baik di mana terdapat peningkatan nilai jualan, permintaan, aliran tunai dan keperluan tenaga buruh. Selain itu, terdapat impak yang positif terhadap permintaan guna tenaga negara.

16. Sebagai tulang belakang ekonomi negara, pada tahun 2020, PMKS telah menyumbang kepada 38.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan 13.5 peratus eksport negara.

17. Oleh demikian, amatlah penting supaya kerajaan untuk terus memastikan sektor perniagaan melibatkan usahawan tempatan kekal berdaya tahan.

18. Dalam hubungan ini, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) telah menetapkan fokus utama bagi menyokong pertumbuhan sektor ekonomi terutamanya dengan mempercepatkan transformasi PMKS.

19. Ini bagi memastikan sektor PMKS dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK negara dan 25 peratus daripada jumlah eksport negara pada tahun 2025.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Di bawah Bajet 2022 pula, pelbagai inisiatif telah dirangka untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi pelbagai kementerian dan agensi yang terlibat.

21. Melalui Bajet 2022, saya berharap agar pembiayaan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion dapat dimanfaat sepenuhnya oleh usahawan PMKS yang layak dan memerlukan.

22. Saya juga ingin menyeru kepada para usahawan supaya turut mengambil peluang untuk memanfaatkan inisiatif yang telah disediakan pihak kerajaan untuk proses peralihan perniagaan konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi. Perkembangan pesat digital ekonomi wajar dimanfaatkan untuk tujuan pengembangan perniagaan.

23. Justeru, Kerajaan akan terus bersedia untuk membantu golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang akan dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Sektor perniagaan dijangka terus menyumbang ke arah usaha pemulihan ekonomi negara hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

25. Kerajaan akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan sektor perniagaan PMKS demi memastikan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

26. Dalam hubungan ini, KUSKOP merupakan nadi penggerak dan memainkan peranan yang penting kepada pembangunan semua golongan usahawan.

27. Adalah menjadi harapan saya, agar KUSKOP dapat menganjurkan lebih banyak program dan inisiatif yang akan memberi manfaat kepada usahawan tempatan selaras dengan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

28. Bersandarkan aspirasi Keluarga Malaysia ini, semua pihak wajar saling menyokong bagi memperkasakan semula sektor perniagaan dan merancakkan usaha pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

29. Semoga dengan usaha ini, cabaran yang melanda kesan akibat pandemik akan berlalu pergi dengan impian mendatang.

30. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya dimaklumkan bahawa Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) di bawah TEKUN yang diperuntukkan sebanyak RM200 juta oleh kerajaan telah habis. Justeru, bagi kepentingan para usahawan kecil, kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta.

31. Selain itu, Bumiputra Enterprise Enhancement Programme (BEEP) di bawah SME Corp, peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2022 ini telah habis. Oleh itu, saya umumkan kerajaan meluluskan RM30 juta peruntukan tambahan bagi tujuan ini.

32. Sekali lagi, saya merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima Anugerah Kecemerlangan Usahawan Tahun 2022.

33. Harapan saya agar anda semua tidak leka dan terus berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, tingkatkan prestasi dan tekadkan iltizam untuk terus maju sehingga mampu bersaing di persada antarabangsa.

34. Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada KUSKOP kerana sudi menjemput saya untuk bersama- sama meraikan majlis ini.

35. Ucapan tahniah juga kepada seluruh jawatankuasa terlibat atas kejayaan penganjuran majlis ini.

36. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan Tahun 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...