Jumaat, 15 Julai 2022

Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 MINDEF (BP3.0)

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO ’SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

PELANCARAN
BLUEPRINT PERUMAHAN 3.0 MINDEF (BP3.0)

13 JULAI 2022 | 4.00 PETANG
DEWAN PERKASA, WISMA PERWIRA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama hari ini pada Majlis Pelancaran Rangka Tindakan (Blueprint) Perumahan 3.0 MINDEF (BP3.0).

2. BP3.0 merupakan agenda perumahan menyeluruh bagi menambah baik aspek kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk veteran dan warga awam yang mendokong aspirasi Keluarga Malaysia dalam melestarikan kebajikan warga kerja Pertahanan.

3. Sebagai bekas Menteri Kanan Pertahanan, sudah tentu saya sangat prihatin dan sentiasa berusaha memastikan kebajikan warga kerja Pertahanan terpelihara, malah isu berkaitan perumahan tuan-tuan dan puan-puan sentiasa dekat di hati saya.

4. Sebab itu, seperti yang Dato’ Hisham sebut tadi, biarpun saya baru pulang dari lawatan rasmi ke Turkiye, kemudian hujung minggu pulang ke Parlimen saya, Bera untuk menyambut Aidiladha, tetapi apabila diundang untuk bersama warga MINDEF dan ATM, sudah tentu saya tidak akan lepaskan peluang ini.

5. Justeru, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana tidak pernah lupa mengundang saya untuk bersama- sama dalam majlis yang sangat bermakna hari ini. Terima kasih sekali lagi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Memiliki tempat untuk berteduh sememangnya menjadi impian semua orang terutamanya mereka yang berkeluarga, lebih-lebih lagi tempat yang selesa dan kondusif kerana ia menyumbang kepada perkembangan sihat sesebuah keluarga.

7. Selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang saya perkenalkan, rangka tindakan ini akan memastikan perancangan Agenda Perumahan MINDEF yang bermula dari tahun 2022 hingga 2030 dapat dilaksanakan dengan teratur.

8. Ini seterusnya dapat menjamin kemudahan perumahan kepada warga kerja pertahanan yang telah banyak menyumbang bakti kepada kedaulatan negara dan paling banyak berkorban demi membela keselamatan Keluarga Malaysia.

9. Kerajaan menyanjung tinggi pengorbanan warga kerja Pertahanan yang tidak menghiraukan penat lelah untuk mempertahankan keamanan negara tanpa mengira masa dan tempat, malah sanggup meninggalkan keluarga untuk berjuang di perbatasan.

10. Sehubungan itu, pelbagai inisiatif dilakukan seperti Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT), program Satu Rumah Satu Anggota (SASaR) serta perumahan mampu milik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta program-program pembaikan serta pembinaan rumah veteran ATM.

11. Dengan adanya tempat untuk berteduh bagi warga kerja pertahanan, saya percaya mereka yang terpaksa berpisah kerana menggalas cabaran di perbatasan, berasa lega dan yakin keluarga yang ditinggalkan di rumah berada dalam keadaan selamat dan selesa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa memberi keutamaan kepada agenda perumahan warga ATM dan warga awam MINDEF. Ini keutamaan, tiada kompromi.

13. Alhamdulillah saya berasa lega apabila Dato’ Hisham sebutkan tadi bahawa secara keseluruhannya, hasil daripada pelaksanaan Blueprint Perumahan 1.0 dan Blueprint Perumahan 2.0, sebanyak 4,200 unit RKMAT baru telah berjaya disiapkan dan diduduki.

14. Bagi meneruskan kesinambungan BP1.0 dan BP2.0, BP3.0 pula akan menumpukan kepada penyediaan baki keperluan 12,733 unit RKMAT seluruh negara menerusi 5 fasa bermula tahun 2023 hingga tahun 2030.

15. Di bawah program selenggara dan naik taraf, sasaran 80 peratus daripada 7,292 unit RKMAT sedia ada akan dinaik taraf termasuk pengubahsuaian daripada 2 unit kepada 1 unit. Pada masa yang sama, perabot lama yang telah rosak akan diganti dengan perabot yang baharu.

16. Di bawah program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, sebanyak 1,700 unit akan dibina demi kesejahteraan veteran ATM di seluruh negara.

17. Dalam masa yang sama, lebih banyak rumah akan diselenggara dengan nisbah sasarannya 1 unit baru dibina, 4 unit akan dinaik taraf.

18. Kerajaan sedar beban kewangan yang perlu ditanggung bagi melaksanakannya. Oleh itu, kaedah-kaedah perolehan secara penswastaan seperti ‘bina-pajak-senggara- pindah’ (BLMT) atau Landswap akan diberi pertimbangan agar sebahagian besar matlamat BP3.0 dapat dicapai.

19. Dato’ Hisham sebut sebentar tadi, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), lima projek perumahan RKMAT telah diluluskan. Ini membuktikan bahawa Kerajaan komited untuk menjadikan Agenda Perumahan MINDEF sebagai keutamaan dalam perancangan pembangunan negara dan sering dibincangkan oleh pengurusan tertinggi kementerian.

20. Sejak 1 Januari lalu, empat projek RKMAT telah disiapkan termasuk RKMAT Kem Segamat yang saya rasmikan pada 6 Mac lalu.

21. RKMAT Kem Oran di Perlis, RKMAT Kem Pakit dan Kem Sri Miri di Sarawak dan RKMAT Kem Tok Jalai di Kedah, pula akan diduduki dalam masa terdekat.

22. Semua projek RKMAT ini melibatkan 672 unit pelbagai kelas. RKMAT Kem Bera dan RKMAT Kem Tumbi pula bakal siap dalam masa terdekat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. BP3.0 adalah projek perumahan jangka panjang Kementerian Pertahanan yang menitik beratkan kebajikan warganya. Perancangannya cukup besar dan meluas, yang bukan sahaja menuntut komitmen dan kesungguhan yang tinggi, malah memerlukan kerjasama yang erat daripada semua pihak yang terbabit.

24. Matlamatnya adalah untuk memastikan lebih banyak RKMAT dibina dan diselenggara, lebih banyak rumah mampu milik dibina dan lebih ramai veteran ATM diberi rumah baru dan ditambakbaik kediaman sedia ada.

25. Saya amat menghargai usaha Kementerian Pertahanan menjadikan inisiatif pemilikan rumah mampu milik sebagai salah satu fokus di bawah BP3.0.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan, KPKT, JKR, agensi-agensi Pusat, dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kerana merealisasikan perancangan berkaitan agenda perumahan ATM. Terima kasih kerana bertungkus-lumus untuk merangka Blueprint Perumahan 3.0 yang menyeluruh.

27. Semoga usaha sama antara MINDEF dan semua pihak berkepentingan ini akan berterusan dan sekali gus membawa manfaat besar kepada aspek kebajikan anggota ATM.

28. Saya juga mengalu-alukan sekiranya terdapat keperluan tambahan yang ingin diketengahkan boleh maklumkan terus kepada saya atau Dato’ Hisham. InsyaAllah, kerajaan akan terus menghulur bantuan kepada Keluarga Malaysia Pertahanan dengan sebaik mungkin.

29. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmannirahim melancarkan Blueprint Perumahan MINDEF 3.0 atau BP3.0.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...