Rabu, 27 Julai 2022

Majlis Perasmian Malaysia International Agricommodity Expo and Summit (MiACES) 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
MALAYSIA INTERNATIONAL AGRICOMMODITY EXPO AND SUMMIT (MiACES) 2022

26 JULAI 2022 | SELASA | 11.00 PAGI
MALAYSIA INTERNATIONAL TRADE & EXHIBITION CENTRE (MITEC), KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini sempena Majlis Perasmian Malaysia International Agricommodity Expo and Summit (MiACES) 2022.

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian terutamanya Yang Berhormat Datuk Hajah Zuraidah Kamaruddin dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) kerana menjemput saya merasmikan ekspo agrikomoditi ini yang pertama kali diadakan di Asia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. MiACES 2022 mampu menjadi platform terbaik untuk mempromosikan produk-produk dan teknologi berkaitan industri sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf di peringkat antarabangsa.

4. Kerajaan menyasar MiACES 2022 mampu menjana lebih RM300 bilion nilai eksport, sekali gus menjadi platfom terbaik untuk penggiat industri agrikomoditi tempatan mengembangkan eksport produk ke pasaran baharu.

5. Ini kerana ekspo ini juga akan dihadiri oleh pengeluar hasil, inovator, pelaburan serta pengeksport dan pengimport hingga kepada penggubal dasar, penyelidik dan ahli akademik dari 39 buah negara.

6. Saya yakin MIACES 2022 juga merupakan langkah progresif menghubungkan penggiat industri kepada solusi yang inovatif, sekali gus menyumbang ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Sektor Agrikomoditi menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir sejuta Keluarga Malaysia di peringkat huluan, meningkatkan taraf hidup dan pendapatan rakyat terutamanya pekebun kecil dan masyarakat di luar bandar sejak berdekad yang lalu.

8. Kerajaan sangat komited dalam usaha memacu pembangunan sektor agrikomoditi agar lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara.

9. Dalam hal ini KPPK dan agensi yang berkaitan diberikan tanggungjawab menguruskan sektor agrikomoditi secara mampan. Ini dapat dilihat melalui pelaksanaan secara mandatori pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) bermula pada tahun 2020.

10. Walaupun pengeluaran minyak sawit jatuh ke tahap rendah akibat cuaca buruk pada tahun lepas, sektor agrikomoditi tetap teguh. Sehingga Februari tahun ini nilai komoditi eksport meningkat lima peratus iaitu RM31.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

11. Menjelang akhir tahun lepas, sektor ini mencapai nilai perdagangan sebanyak RM270.2 bilion iaitu peningkatan 39.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Kerajaan menyedari seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan dengan cabaran sekuriti makanan akibat ketidaktentuan ekonomi global dan krisis geopolitik serta perubahan iklim.

13. Perkembangan ini menjejaskan rantaian bekalan makanan kerana ada negara menghentikan eksport bahan makanan untuk keperluan haiwan ternakan.

14. Justeru, Kerajaan amat menggalakkan usaha menjadikan hampas isirung sawit sebagai bahan mentah makanan domestik akuakultur dan penternakan, bagi mengurangkan pergantungan import dan menyumbang kepada inisiatif sekuriti makanan (food security) negara.

15. Pada masa yang sama, pendekatan untuk menggunakan bahan mentah daripada sisa buangan atau lebihan di sepanjang rantaian nilai sektor agrikomoditi, juga diberi tumpuan bagi memacu pembangunan ekonomi kitaran (circular economy).

16. Ini termasuk menjadikan sumber biojisim agrikomoditi sebagai antara komponen penting dalam ekonomi kitaran yang berupaya menghasilkan produk nilai tambah, sekali gus membolehkan Malaysia bakal muncul sebagai hab biojisim.

17. Keupayaan sasaran ini juga sesuai dengan status negara sebagai pengeksport minyak sawit kedua terbesar di dunia dan penyumbang terbesar dalam industri biojisim.

Keluarga Malaysia yang saya dikasihi,

18. Malaysia juga perintis dalam pelaksanaan pensijilan hutan tropika yang dikenali sebagai Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf dan diperakui negara-negara dunia.

19. Malah produk kayu bersijil daripada Malaysia telah digunakan dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

20. Selain itu, sektor perabot negara juga sedang melalui transformasi dan kita kini boleh berbangga kerana mampu menghasilkan reka bentuk perabot yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa di bawah label Tanggam.

21. Malaysia turut terkenal sebagai pengeksport getah asli dan barangan getah yang berkualiti tinggi terutamanya sarung tangan getah yang telah menembusi hampir 190 buah negara.

22. Sejajar dengan evolusi yang berlaku dalam rantaian penghasilan produk getah masa kini, Malaysia telah mempelbagaikan produk berasaskan getah terutama sekali yang bernilai tinggi.

23. Terbaharu hasil penyelidikan yang diterajui oleh anak Malaysia dengan kerjasama universiti terkemuka dunia, komposit getah generasi baharu telah berjaya dicipta hasil kombinasi ekstrak graphene dan getah asli.

24. Komposit getah baharu ini akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

25. Penemuan baharu ini membolehkan Malaysia menceburi industri bernilai tinggi dan meneroka pasaran baharu yang melibatkan aplikasi satelit dan aeroangkasa seterusnya membantu meningkatkan nilai eksport produk getah negara.

26. Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan langsung asing (FDI) bagi mempelbagaikan produk agrikomoditi dengan nilai tambah tinggi.

27. Bagi produk sawit, syarikat-syarikat milik Kerajaan China akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia dan MPOB untuk mengeluarkan hydrotreated vegetable oil (HVO) dan bahan api penerbangan mampan (SAF) di Malaysia melibatkan FDI bernilai RM6 bilion.

28. Syarikat dari China ialah Shanxi Construction Investment Group Co. Ltd. (SCIG) dan Institute of Coal Chemistry, Chinese Academy of Sciences (ICC-CAS) manakala syarikat Malaysia pula Pengerang Maritime Industries Sdn. Bhd. (Benalec) dan Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC).

29. Usaha sama ini bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan. Pembinaan kilang HVO dan SAF pertama di Malaysia ini merupakan salah satu inisiatif untuk memacu sektor sawit Malaysia ke arah industri berteknologi dan bernilai tinggi.

30. Saya sentiasa berharap sektor agrikomoditi dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat.

31. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan MiACES 2022.

32. Dengan kata-kata tersebut, dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Malaysia International Agricommodity Expo and Summit (MiACES) 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...