Rabu, 27 Julai 2022

Majlis Makan Malam Ulang Tahun UDA Holdings Berhad (UDA) Ke-50


 TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS MAKAN MALAM ULANG TAHUN UDA KE-50 BERSAMA MENERUSKAN LEGASI

25 JULAI 2022 | ISNIN | 8.30 MALAM

IMPERIAL BALLROOM, ONE WORLD HOTEL PETALING JAYA, SELANGOR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama meraikan Majlis Makan Malam Ulang Tahun UDA Holdings Berhad (UDA) Ke-50 bertemakan “Bersama Meneruskan Legasi”.

2. Syabas dan tahniah kepada UDA di atas pencapaian selama 50 tahun dalam industri pembangunan hartanah, pengurusan perniagaan dan fasiliti serta perhotelan di Malaysia terutamanya di kawasan bandar.

3. Kejayaan UDA selama setengah abad ini dicapai hasil berkat penggemblengan tenaga pada peringkat kepimpinan Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan dan kakitangan.

4. Justeru, sambutan Ulang Tahun UDA Ke-50 pada malam ini membuktikan kesepaduan antara semua pihak yang menjadi faktor utama menyumbang kepada kelangsungan operasi UDA dalam setiap segmen perniagaannya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Pembangunan kediaman dan komersial serta pembukaan bandar-bandar baharu semenjak penubuhan UDA pada tahun 1971 telah menyumbang kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia dan menangani ketidakseimbangan ekonomi negara.

6. Penyediaan ruang niaga yang kondusif di kompleks- kompleks beli-belah UDA, lebih-lebih lagi dengan lokasinya yang strategik, menggambarkan UDA sentiasa fokus dalam memperkasa Keluarga Usahawan serta membuka peluang bagi mereka menjalankan perniagaan di kawasan maju dan kompetitif.

7. Konsep ‘Satu Daerah, Satu Industri’ (SDSI) yang diterapkan dalam penyediaan 13 ruang perniagaan di Malaysia Grand Bazaar di Bukit Bintang City Centre (BBCC), merangkumkan keunikan dan ciri-ciri budaya Malaysia, seiring dengan teras utama Keluarga Malaysia yang menekankan aspek keterangkuman.

8. Semasa lawatan kerja ke Jepun pada Mei lalu, saya berkesempatan bertemu Encik Masanobu Komoda, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsui Fudosan Co. Ltd, rakan perniagaan BBCC semasa sesi pertemuan bersama-sama syarikat multinasional Jepun.

9. Saya yakin pertemuan dengan penggerak industri Jepun itu dapat mengintai prospek pelaburan dengan negara matahari terbit itu seterusnya mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

10. Usaha ini juga dapat memberi impak positif dan suntikan baharu kepada sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, usahawan termasuk Bumiputera dapat kembali bernafas dan menjalankan perniagaan yang secara langsung membantu mengerakkan semula ekonomi negara.

12. Ketika kita berdepan dengan tekanan inflasi, nilai jualan perdagangan borong dan runcit negara sekali lagi mencatatkan rekod baharu pada Mei dengan pertumbuhan 19.9 peratus iaitu sebanyak RM129.8 bilion, tertinggi sejak 2013.

13. Meskipun begitu, status sosio-ekonomi Bumiputera masih di tahap rendah dan penglibatan usahawan Bumiputera perlu dipertingkatkan, bukan lagi di sektor informal tetapi sektor formal seperti menjalankan perniagaan di pusat beli belah yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke- 12 (RMKe-12).

14. Justeru, UDA perlu menggandakan penglibatannya dalam sektor perniagaan dan hartanah bagi merancakkan semula ekonomi khususnya dalam membantu usahawan Bumiputera untuk terus maju.

15. Kerajaan juga sentiasa komited dalam memperkasa Bumiputera dengan peruntukan sebanyak RM11.4 bilion dalam Bajet 2022.

16. Kerajaan akan menyemak semula pengurusan pusat beli- belah yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan agar peniaga Bumiputera dapat menjalankan perniagaan mereka di situ.

17. Justeru, saya menyeru agar UDA dapat menjual atau menyewakan ruang-ruang perniagaan yang sedia ada pada kadar yang mampu ditanggung oleh usahawan Bumiputera yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka.

18. Ini untuk membolehkan usahawan Bumiputera berniaga dalam suasana yang lebih selesai dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan status mereka sebagai usahawan berjaya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Saya berasa amat bangga atas kejayaan UDA selama 50 tahun membantu membangunkan negara yang menyinari kehidupan masyarakat seperti yang diabadikan dalam buku ‘UDA 50 Tahun, Bersama Meneruskan Legasi’ yang akan dilancarkan pada malam ini.

20. Saya berharap agar pencapaian ini akan menyemarakkan lagi keazaman generasi masa kini untuk terus-menerus melakar kejayaan seperti yang dikecapi UDA.

21. Namun, UDA tidak harus merasa puas hati atas pencapaiannya selama ini kerana sektor hartanah dan perniagaan sentiasa berkembang.

22. UDA dan Kerajaan akan terus mengarusperdanakan pembangunan mampan selaras dengan perancangan pembangunan negara termasuk RMKe-12, Bajet 2022 dan Dasar Keusahawanan Negara 2030.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Saya bersyukur kerana pembukaan semula sektor pelancongan tempatan pada 11 Oktober 2021, telah meningkatkan kegiatan pelancongan domestik sekali gus membantu ke arah pemulihan sektor perhotelan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

24. Rangkaian hotel milik UDA, di bawah jenama AnCasa Hotels & Resorts turut menunjukkan kadar penghunian yang stabil tahun lepas, mencatat purata penghunian sebanyak 40 peratus.

25. Kemasukan pelancong asing turut memberikan pertumbuhan positif kepada ekonomi Malaysia dan industri pelancongan yang merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

26. Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada UDA yang turut melebarkan sayap ke Sarawak yang dapat membantu mengembangkan pembangunan sosioekonomi di negeri itu sejajar dengan semangat Keluarga Malaysia yang mementingkan kemakmuran dan kesejahteraan.

27. Saya menyambut baik penglibatan UDA dalam pembangunan hartanah wakaf yang masih terbiar dan boleh dikomersialkan.

28. Namun, usaha ini boleh diperkasakan dengan penglibatan semua Majlis Agama Islam negeri bagi mengoptimumkan tanah wakaf yang mampu menjana sumber pendapatan negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

29. Bagi membantu UDA terus membangunkan pusat komersial dan membantu usahawan Bumiputera mendapatkan ruang perniagaan, saya mengumumkan dana sejumlah RM 100 juta kepada UDA untuk maksud ini.

30. Akhir kata, saya berharap UDA terus gemilang melahirkan komuniti yang inklusif dan mampan dan bersama-sama Kerajaan memulihkan kembali ekonomi negara.

31. Saya mendoakan agar UDA akan terus maju dalam melaksanakan pembangunan negara dan bergerak seiring dengan hasrat Kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi Keluarga Malaysia.

32. Bak kata pepatah, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’.

33. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim merasmikan Sambutan Ulang Tahun UDA Ke-50 dan pelancaran ‘Buku UDA 50 Tahun, Bersama Meneruskan Legasi’ serta penjenamaan baharu UDA ‘LIFE’.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...