Rabu, 27 Julai 2022

Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022

 

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
EKSPO KERJAYA JAMIN KERJA KELUARGA MALAYSIA 2022

25 JULAI 2022 | ISNIN | 3.00 PETANG

PUSAT DAGANGAN DUNIA (WTC) KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana limpah kurnia dan keizinan-Nya, dapat kita bersama-sama pada petang ini, sempena Majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022.

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial ( PERKESO) kerana sudi mengundang saya untuk merasmikan ekspo kerjaya berskala mega yang bermula hari ini sehingga 27 Julai.

3. Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada semua atas penganjuran program ini yang menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh 1,000 majikan daripada pelbagai sektor.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik 1 April lepas, ekonomi negara beransur pulih dan kadar pengangguran menurun pada kadar 3.9 peratus pada April tahun ini, dengan bilangan penduduk bekerja direkodkan seramai 15.85 juta orang.

5. Perkembangan ini merupakan hasil pelaksanaan inisiatif Kerajaan menerusi kerjasama merentasi kementerian- kementerian, agensi-agensi pelaksana dan industri, sekali gus berhasil membantu menempatkan lebih 558,000 pekerja pada tahun lalu.

6. Namun keadaan ketidaktentuan dunia akibat krisis geopolitik dunia dan perubahan iklim global telah menjejaskan rantaian bekalan bahan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang.

7. Ini memberi kesan kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia yang terpaksa meniti cabaran ini yang turut menjejaskan sektor pekerjaan.

8. Bagi menepis tempias cabaran yang dihadapi Keluarga Malaysia, Kerajaan mengambil pelbagai inisiatif termasuk menganjurkan ekspo kerjaya ini yang seharusnya dimanfaatkan oleh pencari kerja dan para majikan.

9. Dengan gabungan lima elemen utama iaitu, majikan, pekerja, ekonomi gig, keusahawanan dan perusahaan sosial, ekspo kerjaya ini benar-benar memberikan solusi kerjaya yang lengkap kepada rakyat Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Saya juga difahamkan penganjuran ekspo kerjaya ini disokong dengan pewujudan Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs yang mampu melakukan padanan pekerjaan dan perkhidmatan kerjaya lain selain menawarkan inisiatif-inisiatif Kerajaan.

11. Di bawah program JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) ini, Kerajaan dapat memangkinkan penciptaan peluang pekerjaan dan pengambilan pekerja sepanjang tahun ini, termasuk di ekspo kerjaya yang sedang berlangsung ini.

12. Sehingga 18 Julai tahun ini, Program JKIP dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs telah membantu menyediakan jaminan pekerjaan kepada kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia.

13. Namun, disebabkan suasana dunia yang tidak menentu seperti yang saya katakan tadi, Kerajaan melanjutkan tempoh program JKIP yang berakhir pada 30 Jun lalu, kepada 31 Disember ini.

14. Lanjutan Program JKIP ini akan menumpukan kepada pengambilan pekerja dalam kategori mudah terjejas seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, individu yang hilang pekerjaan, pekerja dalam sektor pelancongan dan bekas banduan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Penglibatan dan sumbangan generasi muda penting sekali dalam memperkukuh semangat Keluarga Malaysia, justeru, Kerajaan menyediakan inisiatif kepada golongan belia seperti Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

16. Inisiatif ini merangkumi dua program utama iaitu Program Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia) bagi meningkatkan kebolehpasaran belia dalam pasaran buruh.

17. Selain itu, Kerajaan juga menumpukan kepada pembangunan bakat masa hadapan dengan menjadikan agenda ini sebagai pemangkin dasar utama di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

18. Bagi memperhalus usaha ini, bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) telah dikenal pasti oleh Kerajaan sebagai pemacu perubahan bagi memenuhi permintaan pekerja oleh industri.

19. Selain golongan belia, Kerajaan juga mengambil berat terhadap kesejahteraan dan kualiti hidup golongan OKU melalui Pelan Tindakan OKU 2016-2022 memberi penekanan terhadap aspek penyediaan peluang pekerjaan yang lebih baik.

20. Sehingga kini, seramai 36,281 orang OKU berjaya mendapat penempatan pekerjaan menerusi program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh PERKESO.

21. Saya juga berharap program pemerkasaan ekonomi bertujuan menarik penyertaan golongan OKU dalam dunia keusahawanan wajar dipergiat, seiring Aspirasi Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Kerajaan amat prihatin dengan keluhan Keluarga Malaysia dan sentiasa mencari kaedah yang terbaik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka termasuk berkaitan pengangguran dan kehilangan pekerjaan.

23. Bagi memastikan perkara ini dapat ditangani dengan efektif, pelbagai inisiatif berkonsepkan ‘jamin kerja’ telah dilaksanakan untuk membantu mereka yang benar-benar terkesan dan memerlukan.

24. Dalam usaha merapatkan jurang penawaran dengan permintaan pekerjaan oleh majikan dan pekerja, sebuah Profiling Kebangsaan perlu dibangunkan dengan mempergiat usaha pelaksanaan program seru temu (outreach) pemprofilan pencari kerja di seluruh negara.

25. Justeru, saya ingin menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk merebut segala inisiatif dan insentif yang ditawarkan – bukan sahaja untuk menambah baik kehidupan tetapi juga berganding bahu memulih dan memperkukuhkan semula ekonomi negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Kerajaan kini giat membangunkan ‘talent pool’ yang berkemahiran, produktif dan berpotensi tinggi, namun saya sedikit kecewa kerana gaji ditawar majikan tidak setimpal dan berpadanan dengan kelayakan dan kerja dilakukan oleh anak-anak tempatan.

27. Sehingga bulan Julai lalu, berdasarkan statistik MYFutureJobs lingkungan gaji bagi kekosongan jawatan yang paling banyak ditawarkan di seluruh negara adalah antara RM1,200 hingga RM2,000 sebulan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

28. Saya juga ingin mengingatkan majikan bahawa mulai 1 Mei lepas gaji minimum seseorang pekerja ialah RM1,500 bagi keselesaan hidup Keluarga Malaysia.

29. Sehubungan itu, saya meminta supaya pihak majikan mengambil serius mengenai perkara ini kerana pekerja merupakan tunjang utama dalam mana-mana organisasi; di mana mereka boleh ‘make or break’ sesuatu perniagaan.

30. Bagi menangani ketidakpadanan ini, KSM digesa berunding dengan pihak majikan dan wakil-wakil pekerja bagi mengenal pasti pendekatan dan solusi terbaik kepada masalah ini.

31. Malah, platform ‘tripartite’ Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan juga boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan konsultasi tiga penjuru bagi mencapai kata sepakat demi kesejahteraan semua Keluarga Malaysia.

32. Akhir sekali, saya ingin menyeru kepada para majikan termasuk agensi Kerajaan, Syarikat Berkaitan Kerajaan dan swasta supaya menyediakan peluang kerja dan insentif terbaik untuk pencari kerja.

33. Dengan kata- kata tersebut dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tiada ulasan:

PENTADBIRAN TANAH HENDAKLAH AKUR KEHENDAK PEKELILING KETUA PENGARAH TANAH DAN GALIAN PERSEKUTUAN BIL. 2/2023 TENTANG ‘TATACARA PENGGUNAAN TANAH KATEGORI BANGUNAN DAN INDUSTRI BAGI TUJUAN SELAIN KATEGORI ATAU SYARAT BANGUNAN DAN INDUSTRI’

  Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian:   1. Sub eksyen 22(3) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] : 22. Layanan terhadap p...