TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI
MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA
PENGUMUMAN KHAS PAKEJ BANTUAN
PERLINDUNGAN EKONOMI & RAKYAT MALAYSIA
(PERMAI)
18 JANUARI 2021 (ISNIN)
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
dan Salam Sejahtera,
Pendahuluan
1.
Rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian. Apa
khabar saudarasaudari semua? Hari ini merupakan hari ketujuh setelah Kerajaan
mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP di tujuh buah negeri, PKP
Bersyarat di lima negeri lain, dan PKP Pemulihan selebihnya.
2.
Sejak pelaksanaan PKP tersebut, statistik harian
kes positif COVID19 masih tinggi. Walau bagaimanapun, jumlah kes sembuh juga
turut tinggi, lebih daripada 75 peratus daripada keseluruhan kes,
Alhamdulillah. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua
petugas barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan.
3.
Memandangkan kedudukan wabak di negara kita
masih membimbangkan, saya berharap kita dapat terus istiqamah dalam kawalan
kendiri dan mematuhi SOP yang ditetapkan. Sememangnya, dengan pelaksanaan PKP,
aktiviti ekonomi harian akan terjejas terutama sekali perniagaan dan perusahaan
kecil tempatan.
4.
Namun, berbeza dengan pelaksanaan PKP yang
terdahulu, pada kali ini kita membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi untuk
terus beroperasi, khususnya di lima sektor ekonomi perlu iaitu: pengilangan dan
pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan
dan komoditi. Langkah ini memastikan kelancaran pembekalan keperluan asas
harian, perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan kepada industri,
infrastruktur kritikal dan juga kerja-kerja kecemasan tidak terjejas.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
5.
Semenjak bermulanya penularan wabak COVID-19
awal tahun lepas, Kerajaan telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi
yang bernilai 305 bilion ringgit atau lebih 20 peratus daripada KDNK bagi
membantu rakyat dan perniagaan dan juga melindungi ekonomi kita. Pakej-pakej
rangsangan ekonomi ini telah melibatkan 55 bilion ringgit suntikan fiskal oleh
Kerajaan.
6.
Alhamdulillah, melalui pemantauan oleh Agensi
LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan, saya telah dimaklumkan bahawa usaha
pelaksanaan oleh 53 Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan telah memastikan
lebih 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan menerima manfaat langsung daripada
pakej-pakej rangsangan ekonomi ini. Turut menyokong usaha pemulihan ekonomi
adalah Belanjawan 2021 yang diumumkan pada 6 November yang lepas. Belanjawan
ini menyediakan peruntukan terbesar dalam sejarah negara sebanyak 322.5 bilion
ringgit.
7.
Setiap minggu, saya menegaskan kepada
rakan-rakan menteri Kabinet supaya segala inisiatif ini mestilah dilaksanakan
dengan segera. Tiada masa untuk bertangguh. Manfaat perlu disalurkan kepada
kumpulan sasar dengan kadar segera.
Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI)
8.
Kerajaan telah berkali-kali membuktikan bahawa
kita tidak akan berkompromi di dalam memastikan kesejahteraan rakyat,
kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi. Maka, sukacita saya ingin
umumkan pada hari ini, sebuah pakej
bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia, atau secara ringkasnya,
PERMAI yang bernilai sebanyak 15
bilion ringgit.
9.
Secara amnya, pakej bantuan PERMAI menambah baik
inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan
inisiatif yang berkaitan. Sebanyak 22
inisiatif akan dilaksanakan di bawah PERMAI yang berteraskan kepada tiga
matlamat utama iaitu:
Pertama: Memerangi
Wabak COVID-19; Kedua: Memelihara Kebajikan Rakyat; dan
Ketiga: Menyokong
Kelangsungan Perniagaan.
MATLAMAT PERTAMA: MEMERANGI
WABAK COVID-19
10. Di bawah matlamat pertama memerangi wabak
COVID-19, Kerajaan telah menyediakan dana tambahan sebanyak 1 bilion ringgit,
merangkumi hampir 800 juta ringgit kepada Kementerian Kesihatan, dan selebihnya
kepada Majlis Keselamatan Negara dan juga agensi-agensi lain yang terlibat.
Penyediaan peruntukan ini menumpukan kepada bekalan antaranya tambahan reagen
dan kit saringan, serta peralatan PPE terutama kepada petugas kesihatan.
Inisiatif 1: Melaksanakan Program Vaksinasi COVID-19
11.
Sukacita saya mengumumkan bahawa perancangan program vaksinasi kita adalah on-track.
Kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin,
dan dijangka menerima bekalan vaksin yang pertama pada penghujung bulan
Februari nanti. Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19
yang telah ditubuhkan, Kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan
Program Imunisasi Kebangsaan akan diberi perhatian utama.
Sebanyak 3 bilion ringgit telah
diperuntukkan khusus bagi perolehan ini.
12.
Bagi penetapan mereka yang akan menerima vaksin
ini kelak, dalam sedikit masa lagi, garis panduan dan kaedah penentuan bagi
individu yang perlu mengambil vaksin ini akan dihebahkan. Realistiknya, program
vaksinasi ini dijangka berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh
keseluruhannya selama 12 bulan. Ini bermakna, kumpulan pertama yang dijangka
menerima vaksin adalah pada awal Mac, dan dapat meliputi lebih daripada 80
peratus atau hampir 27 juta penduduk Malaysia menjelang suku pertama tahun
2022.
13.
Saya juga ingin berkongsi bahawa Jawatankuasa
Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan hukum
penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus, dan wajib diambil oleh golongan yang
ditetapkan. Menentukan kemaslahatan komuniti bagi melindungi manusia daripada
dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak.
Inisiatif 2: Mengukuhkan Sistem Kesihatan Negara
14.
Dalam usaha untuk memerangi wabak COVID-19,
seramai 8,000 petugas kesihatan tambahan untuk Kementerian Kesihatan telah
diluluskan pada tahun lepas. Mengambil kira situasi semasa, Kerajaan akan
menambah lebih daripada 3,500 anggota kesihatan yang mula bertugas pada hujung
bulan ini, dengan peruntukan tambahan 150 juta ringgit. Ini terdiri daripada penolong
pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat. Saya memberi
jaminan, sekiranya terdapat keperluan akan datang dan bagi menggerakkan program
imunisasi kelak, Kerajaan bersedia menambah pengambilan baharu.
15.
Seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan
2021, pemberian one-off sebanyak 500
ringgit kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, dan 300 ringgit kepada
petugas barisan hadapan yang lain akan mula
dibayar dalam suku tahun pertama tahun ini. Manakala bayaran bulanan sedia ada
yang diterima sebanyak 600 ringgit oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan
200 ringgit oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan
sehingga wabak COVID-19 ini berakhir.
Inisiatif 3: Meningkatkan Kerjasama dengan Hospital Swasta
16. Untuk meneruskan semangat
kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memerangi wabak COVID-19,
hospital swasta telah bersetuju untuk
menerima dan merawat kedua-dua pesakit COVID-19 dan juga bukan COVID-19
bagi meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam. Kerajaan akan
memperuntukkan 100 juta ringgit bagi tujuan ini.
Inisiatif 4: Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja
17.
Saya juga memahami kerisauan rakyat mengenai
jangkitan COVID19 dalam kalangan pekerja asing, terutamanya mereka yang bekerja
di tapak pembinaan dan kilang. Dengan itu, SOP bagi pembinaan bangunan semasa
PKP mensyaratkan syarikat menyediakan penginapan lengkap dan menghadkan
pekerjanya ke tapak pembinaan. Selaras itu, majikan disarankan untuk
memperketatkan amalan SOP, menambah baik penginapan dan kawalan pergerakan
pekerja asing serta meningkatkan saringan bagi menyokong usaha membendung
penularan COVID-19.
18.
Selain itu, PERKESO turut terlibat dalam
pelaksanaan Program Ujian Saringan COVID-19 ke atas pekerja asing yang
berdaftar. Kos saringan akan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO di zon-zon
merah bagi mengenal pasti kluster COVID-19 di tempat kerja. Dari 1 Disember
2020 hingga 17 Januari 2021, bilangan pekerja asing yang telah menjalani ujian
saringan adalah seramai 160,982 orang.
19.
Seterusnya, untuk menyokong lebih banyak
individu membuat ujian saringan dan pengesanan COVID-19 secara persendirian,
skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh yang telah
dinaikkan daripada 500 kepada 1,000 ringgit seperti diumumkan pada Belanjawan
2021, kini diperluaskan untuk meliputi bayaran ujian pengesanan COVID-19.
MATLAMAT KEDUA: MEMELIHARA KEBAJIKAN RAKYAT
20. Matlamat kedua pakej bantuan
PERMAI ialah meneruskan usaha bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat
berikutan pelaksanaan PKP, terutamanya golongan mudah terjejas dan pekerja yang
bergantung kepada upah harian.
Inisiatif 5: Mempercepatkan Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat
21.
Di bawah pakej KITA PRIHATIN yang diperkenalkan
tahun lepas, bayaran fasa terakhir Bantuan
Prihatin Nasional, atau BPN 2.0 akan dipercepatkan, iaitu mulai 21 Januari.
Sejumlah 11.1 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak 2.38 bilion ringgit.
22.
Bagi Bantuan
Prihatin Rakyat atau BPR pula, bayaran fasa pertama akan melibatkan lebih daripada 8 juta
penerima. Golongan isi rumah berpendapatan sehingga 5 ribu ringgit sebulan akan
menerima 300 ratus ringgit, dan bagi kategori bujang berpendapatan sehingga 2 ribu
ringgit sebulan pula, mereka akan menerima 150 ringgit.
Inisiatif 6: Memperkukuh Program Kebajikan
23.
Di bawah Belanjawan 2021, Kerajaan telah
meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan
Masyarakat (JKM) berkuat kuasa mulai bulan Januari 2021. Bantuan kebajikan ini
melibatkan peruntukan sebanyak 2.2 bilion ringgit dan akan memanfaatkan lebih
daripada 400 ribu penerima.
24.
JKM juga akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan yang merangkumi
barang makanan keperluan bernilai 100 ringgit bagi setiap isi rumah yang layak,
dengan jumlah peruntukan sebanyak 50 juta ringgit.
25.
Selain itu, bagi memastikan kebajikan kumpulan
rentan terus terpelihara, Kerajaan akan memperuntukkan 25 juta ringgit di bawah
program GLIC/GLC Disaster Relief Network
sebagai geran padanan bersama syarikat berkaitan Kerajaan bagi inisiatif
sosial. Ini termasuklah pemberian bantuan komuniti termasuk masyarakat warga
emas, gelandangan, OKU dan mangsa banjir.
26.
Sebagai tanda penghargaan kepada usaha murni
rakyat yang ingin bersama-sama menyalurkan sumbangan bagi mengekang penularan
wabak COVID-19, Kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif dalam bentuk
potongan cukai kepada penderma yang menyumbang wang tunai ataupun barangan
serta membantu rakyat yang terkesan dengan wabak tersebut. Penyumbang tersebut
layak menuntut potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan atau
pendapatan agregat mereka.
Inisiatif 7: Meneruskan Tempoh Moratorium dan Pengurangan Ansuran
Pinjaman
Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,
27.
Semasa tempoh pelaksanaan PKP ini, saya ingin
menekankan bahawa bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman
akan terus disediakan. Moratorium,
termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan
oleh bankbank, seperti yang diumumkan sebelum ini. Bagi negeri-negeri yang
dilanda banjir, 15 buah bank juga telah pun menawarkan moratorium bayaran balik
pinjaman.
28.
Setakat ini, lebih 1.3 juta peminjam telah
memohon dan menerima bantuan pembayaran, dengan kadar kelulusan sebanyak 95
peratus bagi peminjam individu dan 99 peratus bagi peminjam PKS. Ini
membuktikan bahawa rakyat tidak perlu bimbang untuk menghubungi bank jika
mereka memerlukan fleksibiliti pembayaran.
29.
Bagi peminjam yang menghadapi kesukaran
berurusan dengan bank mereka, Bank Negara Malaysia serta Agensi Kaunseling dan
Pengurusan Kredit, atau AKPK, bersedia untuk membantu dan memberi khidmat
nasihat kepada anda melalui telefon atau secara dalam talian.
Inisiatif 8: Menambah baik
Program i-Sinar KWSP
30.
Untuk makluman semua, kemudahan i-Sinar telah
dibuka kepada semua ahli KWSP yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 bermula
21 Disember yang lepas. Setakat 13 Januari, lebih 3 juta permohonan telah
diluluskan dengan jumlah 24 bilion ringgit akan disalurkan pada tahun ini. Bagi
menambah baik kemudahan i-Sinar, terutamanya bagi mereka yang menghadapi
pelbagai cabaran akibat PKP serta bencana banjir, Kerajaan telah dimaklumkan
bahawa KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga 1,000 ringgit bagi permohonan
kemudahan i-Sinar Kategori 2.
31.
Proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2
juga dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri
bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan
secara dalam talian. Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses
pembayaran pendahuluan ini, yang akan dibuat mulai 26 Januari. Maklumat lanjut
akan diumumkan oleh KWSP dalam masa terdekat.
Inisiatif 9: Melanjutkan Tempoh Pelepasan Cukai Khas Ke Atas Pembelian
Telefon Bimbit, Komputer dan Tablet
32. Kerajaan juga telah melihat
bahawa pelbagai insentif dan pelepasan cukai telah berjaya merangsang ekonomi
di dalam beberapa sektor. Selaras dengan keperluan norma baharu yang banyak
bergantung kepada penggunaan alat digital, suka saya berkongsi bahawa pelepasan cukai khas sehingga 2,500 ringgit
ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet yang telah berakhir
pada 31 Disember 2020 akan dilanjutkan setahun lagi sehingga 31 Disember 2021.
Inisiatif 10: Melanjutkan Tempoh Capaian Internet Percuma
33.
Industri telekomunikasi bersedia memberi bantuan
dalam tempoh PKP ini. Pemberian data 1 Gigabit secara percuma telah diberi
kepada orang ramai untuk melayari laman web, termasuklah untuk tujuan
pendidikan. Kemudahan yang bernilai 500 juta ringgit ini telah bermula pada 1
Januari 2021 dan akan dilanjutkan sehingga hujung April 2021.
34.
Selain itu, pakej langganan khas untuk pelajar
yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM akan diperluaskan kepada pelajar
institusi pengajian tinggi. Pakej ini juga akan disediakan sehingga hujung
April 2021. Kerajaan berharap kedua-dua
usaha industri telekomunikasi tersebut akan dapat meringankan beban pengguna.
Inisiatif 11: Melanjutkan Tempoh Pengecualian Cukai
Jualan ke atas Kenderaan Penumpang
35. Bagi merancakkan semula
jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat daripada wabak COVID-19,
sebagai sebahagian daripada inisiatif
pakej PENJANA, Kerajaan telah mengumumkan pengecualian cukai jualan ke atas
kenderaan penumpang jenis pemasangan tempatan dan import siap sehingga 31
Disember 2020. Kerajaan telah mengumumkan pelanjutan pengecualian ini
sehingga
30 Jun 2021. Saya berharap
langkah ini akan terus memacu momentum perkembangan sektor automotif.
Inisiatif 12: Melanjutkan Tempoh Moratorium bagi Peminjam PTPTN
36. Bagi peminjam PTPTN yang
terjejas akibat wabak COVID-19 dan bencana banjir, mereka boleh memohon
moratorium bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan. Permohonan
penangguhan boleh dibuat sehingga 31 Mac 2021.
MATLAMAT KETIGA: MENYOKONG KELANGSUNGAN
PERNIAGAAN
Saudara-saudari rakyat Malaysia yang
dikasihi,
37. Bagi Matlamat Ketiga iaitu Menyokong Kelangsungan Perniagaan, Kerajaan
memahami sepanjang tempoh PKP, semua jenis perniagaan menghadapi pelbagai
cabaran termasuk kesukaran dalam menguruskan aliran tunai, perbelanjaan utiliti
dan sewa premis. Sehubungan itu, Kerajaan akan berusaha mengurangkan beban yang
ditanggung oleh sektor perniagaan menerusi beberapa langkah.
Inisiatif 13: Menambah baik
Program Subsidi Upah
38.
Kerajaan mendapat maklumbalas antara inisiatif
yang telah disambut baik oleh pekerja dan majikan adalah Program Subsidi Upah.
Sukacita Kerajaan mengumumkan Program
Subsidi Upah 3.0 di bawah PERKESO akan ditambah baik, di mana semua majikan
yang beroperasi dalam PKP layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor.
Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah
berjumlah 600 ringgit bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari 4,000
ringgit. Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan
kepada 500 pekerja. Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak 1
bilion ringgit yang dianggar akan memanfaatkan 250 ribu majikan yang menggaji
lebih daripada 2.6 juta pekerja.
39.
Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam
tempoh pelaksanaan PKP, Kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan
bagi program Sistem Insurans Pekerjaan atau SIP PRIHATIN. Pekerja yang tidak
memenuhi caruman minimum, ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan
setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya 3 kali, sekarang dibenarkan untuk
memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka
selama 3 bulan.
40.
Kerajaan menghargai sumbangan delivery riders yang menjadi barisan
sokongan dalam penghantaran barangan dan makanan semasa tempoh kawalan
pergerakan. Sehubungan itu, sejumlah 24 juta ringgit telah diperuntukkan oleh
Kerajaan bagi membiayai caruman penuh mereka di bawah Skim Keselamatan Sosial
Pekerjaan Sendiri PERKESO. Setakat ini, hampir 32 ribu permohonan daripada delivery riders telah diterima untuk
perlindungan skim berkenaan.
Inisiatif 14: Meneruskan Geran Khas Prihatin
41.
Semasa Belanjawan 2021, Kerajaan telahpun
mengumumkan bantuan kewangan sebanyak 1,000 ringgit melalui Geran Khas Prihatin Tambahan, atau GKP Tambahan yang diberikan kepada peniaga
dan penjaja di Sabah.
42.
Sehubungan itu, sukacita ingin saya maklumkan
bahawa Kerajaan akan memperluaskan bantuan GKP Tambahan ini kepada 500 ribu PKS
di tujuh negeri PKP dengan bayaran 1,000 ringgit, manakala 300 ribu PKS di
negeri yang lain akan menerima 500 ringgit. Perluasan inisiatif GKP Tambahan
ini, atau GKP PERMAI, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak 650 juta ringgit.
Namun demikian, sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan
diisytiharkan PKP, Kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan
kepada PKS di negeri tersebut dengan serta merta.
Inisiatif 15: Menyediakan Bantuan Kewangan One-Off kepada Pemandu Teksi dan Bas
43.
Bagi meringankan beban khususnya pemandu teksi
dan bas, Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan
kewangan one-off sebanyak 500 ringgit
kepada 14 ribu pemandu pelancong serta 118 ribu pemandu teksi, bas sekolah, bas
persiaran, kereta sewa dan e-hailing
dengan peruntukan tambahan sebanyak 66 juta ringgit.
44.
Selain itu, Kerajaan kini memberi layanan
pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan
dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh
tahun. Sukacita dimaklumkan, bahawa syarat ini dilonggarkan kepada lima tahun,
mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021.
Inisiatif 16: Mempercepatkan Pelaksanaan Skim Mikrokredit
45. Bagi membantu aliran tunai
perusahaan mikro dan PKS, Kerajaan akan mempercepatkan
pelaksanaan skim-skim mikrokredit, sepertimana yang pernah diumumkan
sebelum ini. Sejumlah 1 bilion ringgit kemudahan mikrokredit disediakan yang
merangkumi pinjaman mudah berjumlah 390 juta ringgit oleh Bank Simpanan
Nasional, 350 juta ringgit oleh Agrobank dan 295 juta ringgit oleh TEKUN.
Inisiatif 17: Menyokong dan Merancakkan Perniagaan Dalam Talian
46. Bagi terus menyokong golongan
usahawan dan perniagaan untuk menjana pendapatan melalui jualan dalam talian
atau platform e-dagang, Kerajaan akan mempercepatkan
pelaksanaan Kempen e-Dagang PKS dan PKS
Mikro dan kempen Shop Malaysia Online
dengan jumlah peruntukan 300 juta ringgit. Melalui kempen tersebut, usahawan
mikro akan mendapat bimbingan perniagaan dan pembeli akan menikmati penjimatan
melalui jual-beli secara dalam talian.
Inisiatif 18: Menambah Baik Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin
47. Di bawah PENJANA, Kerajaan
telah mengumumkan Skim Jaminan PRIHATIN
Danajamin, atau SJPD yang berjumlah 50 bilion ringgit, bagi menyokong
sektor swasta untuk terus berkembang dan merancakkan ekonomi negara. Sebagai
langkah penambahbaikan, Kerajaan akan:
Pertama: Meningkatkan pembiayaan
maksimum dari 500 juta kepada 1 bilion ringgit;
|
|
Kedua: |
Memperluaskan
skop pembiayaan kepada perbelanjaan modal dengan tempoh jaminan sehingga 10
tahun; dan |
Ketiga: |
Membenarkan
syarikat milik asing yang beroperasi di |
Malaysia untuk mendapat jaminan
SJPD dengan syarat jumlah pekerja tempatan mereka adalah sekurangkurangnya 75
peratus. Kerajaan berharap agar penambahbaikan SJPD ini akan dapat menjana
pertumbuhan sektor swasta dan juga mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai
destinasi pilihan pelaburan.
Inisiatif 19: Menjadual Semula dan Melanjutkan Tempoh
Moratorium bagi Pinjaman MARA dan Sewaan Premis MARA
48.
Bagi peminjam MARA, MARA akan meneruskan program
MARA PRIHATIN Peace of Mind 2.0, di
mana peminjam boleh memohon untuk membuat penjadualan semula bayaran balik
kemudahan pinjaman pelajaran MARA atau moratorium pinjaman sehingga 31 Mac
2021. Sebagai tambahan, usahawan MARA yang terkesan akibat COVID-19, PKP dan
bencana banjir boleh membuat Program Penjadualan Semula Pembiayaan Perniagaan
MARA. Selain itu, bagi penyewaan premis perniagaan, MARA telah bersetuju untuk
memberi diskaun 30 peratus bagi tempoh enam bulan mulai November 2020 hingga
April 2021. Saya juga menyarankan lebih banyak agensi dan syarikat untuk turut
menawarkan penjadualan semula pinjaman dan diskaun sewa premis perniagaan.
49.
Bagi mengurangkan bebanan PKS, Kerajaan telah
memberi potongan cukai khas kepada syarikat yang memberi pengurangan sewa
premis perniagaan sekurang-kurangnya 30 peratus mulai 1 April 2020 hingga 31
Mac 2021. Berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa, potongan khas ini akan
diperluaskan untuk meliputi pengurangan sewaan yang diberi kepada syarikat
bukan PKS. Tempoh potongan khas ini juga akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.
Selain itu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan mengecualikan levi majikan
bagi syarikat yang tidak dapat beroperasi semasa tempoh PKP dan PKPB.
Inisiatif 20: Meneruskan
Pemberian Diskaun Bil Elektrik
50.
Selanjutnya, Kerajaan juga bersetuju untuk
memberikan diskaun khas bil elektrik sebanyak
10 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 kepada enam sektor perniagaan di seluruh negara. Ini meliputi pengendali
hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat
penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.
51.
Di samping itu, rebat elektrik diberikan kepada
semua pengguna TNB, domestik dan bukan domestik, pada kadar 2 sen setiap
kilowatt per jam, iaitu bersamaan penurunan bil elektrik sehingga 9 peratus
bagi tempoh 6 bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021.
Inisiatif 21:
Memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi
52. Syarikat Jaminan Pinjaman
Perniagaan akan memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi. Di
bawah skim ini, 50 peratus jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas
terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.
Dengan itu, pengusaha bas dan teksi dapat menstruktur semula pinjaman mereka
serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang
lebih rendah. Jaminan sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan untuk tujuan
ini.
Inisiatif 22: Menambahbaik Akta
Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 2020
53.
Pada tahun lepas, Akta Langkah-Langkah Sementara
Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 2020, atau Akta 829, telah digubal
untuk membantu individu dan perniagaan yang terkesan dari aspek ekonomi akibat
wabak ini. Akta tersebut telah berkuat kuasa mulai 23 Oktober 2020.
54.
Tempoh kuat kuasa ketidakupayaan untuk
melaksanakan obligasi kontraktual telah tamat pada 31 Disember 2020. Justeru,
melihat kepada situasi semasa dan selaras dengan pengumuman PKP, Kerajaan
bersetuju melanjutkan tempoh kuat kuasa
ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual kepada 31 Mac 2021.
Ini meliputi perjanjian sewa beli atau kontrak pajakan dan kontrak jualan
kredit untuk memanfaatkan golongan yang
terjejas seperti golongan B40, M40 dan perusahaan mikro kerana gagal
memenuhi obligasi kontrak mereka.
55.
Untuk memudahkan rakyat mendapat akses kepada
maklumat mengenai semua inisiatif dan bantuan yang telah tersedia, saudarasaudari
bolehlah melayari Portal Manfaat Belanjawan 2021 mulai hari ini, di alamat http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat
IMPAK PELAKSANAAN PKP KE ATAS EKONOMI DAN KEDUDUKAN FISKAL KERAJAAN
PERSEKUTUAN
56.
Sebelum ini, kita telah menyaksikan kesan
pelaksanaan PKP ke atas pertumbuhan ekonomi, di mana KDNK suku tahun kedua 2020
mencatat kemerosotan yang sangat ketara dan kadar pengangguran juga telah
meningkat. Alhamdulillah, dengan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi,
kita berjaya mencapai kadar penguncupan KDNK yang lebih kecil, iaitu daripada
17.1 kepada 2.7 peratus, dan penurunan kadar pengangguran daripada 5.1 kepada
4.7 peratus, daripada suku kedua kepada suku ketiga 2020.
57.
Kerajaan tidak menjangkakan impak yang sama
seperti suku kedua 2020 akan dialami dengan pelaksanaan PKP pada kali ini
memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi. Oleh
itu, impak PKP semasa ke atas ekonomi masih terkawal.
Pertumbuhan akan terus disokong
oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia.
Pakej rangsangan ekonomi, Belanjawan
2021 dan pakej bantuan PERMAI juga akan terus merancakkan penggunaan. Seterusnya,
projek dan program yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang
besar akan terus memacu momentum pemulihan ekonomi.
58.
Kerajaan juga sedar pelaksanaan PKP yang
disusuli dengan Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa di negara ini mulai 11
Januari hingga 1 Ogos 2021 mungkin menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan
masyarakat serta komuniti perniagaan. Ingin saya tegaskan sekali lagi, bahawa
pengisytiharan darurat ini semata-mata bertujuan mengekang penularan wabak
COVID-19 yang kini menjadi ancaman terbesar terhadap pembangunan sosioekonomi
negara. Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan impak daripada
langkah tersebut ke atas persekitaran ekonomi negara adalah terkawal. Malah
kita telah melihat bahawa sejak 11 Januari 2021, pasaran modal seperti Bursa
Malaysia dan pasaran bon kekal stabil dan teratur.
59.
Bagi membiayai pakej bantuan PERMAI, Kerajaan
akan membuat penjajaran semula peruntukan sedia ada berdasarkan keutamaan
semasa dan melalui perbelanjaan yang lebih berhemat. Kerajaan juga akan
memastikan segala program yang diumumkan akan dilaksanakan dengan cepat dan
lancar.
PENUTUP
Saudara-saudari yang dikasihi,
60.
Dalam masa kita menghadapi wabak COVID-19,
negara kita juga diuji dengan bencana banjir. Di kesempatan ini, patik amat
menjunjung kasih atas keprihatinan dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kerana
turut mencemar duli dalam meredah banjir, serta terlibat dalam misi bantuan
kepada mangsa-mangsa banjir di pusat penempatan sementara, dan juga
kampung-kampung sekitar Pahang baru-baru ini.
61.
Saya telah mengarahkan agensi Kerajaan yang
berkaitan, untuk menyegerakan segala bentuk bantuan bagi membaik pulih
kerosakan infrastruktur kecil, rumah mangsa banjir serta membantu meringankan
beban rakyat akibat bencana alam itu baru-baru ini. Kerajaan juga bersetuju menyediakan
peruntukan awal sebanyak 200 juta ringgit. Di samping itu, sebanyak 50 juta
ringgit telah disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di
bawah NADMA bagi perbelanjaan operasi bencana semasa tempoh Monsun Timur Laut.
62.
Saya berharap saudara-saudari dapat terus kekal
tenang di rumah masing-masing, dan jika ada yang perlu hadir bertugas di
pejabat, patuhilah SOP agar kekal selamat.
63.
Buat seluruh rakyat Malaysia, saya ingin
merakamkan setinggitinggi ucapan terima kasih kerana memahami dan terus
menyokong usaha Kerajaan. Juga tidak
ketinggalan penghargaan saya kepada semua pihak yang telah turut membantu
menangani wabak COVID-19 dan bencana banjir. Ini termasuklah sektor korporat,
pihak NGO dan sukarelawan yang tidak mengenal penat lelah berganding bahu dalam
mendepani cabaran ini.
64.
Saya menaruh penuh kepercayaan, walaupun kita
menghadapi 1,001 masalah, namun kita juga mampu mengilhamkan 1,001 penyelesaian. Sebagai insan, kita boleh terus
merancang dan melakukan yang terbaik, dan selebihnya kita perlu berdoa dan
bertawakkal kepada Tuhan yang Maha Esa. Berkat ilham dan kudrat yang
dikurniakan, kita semua mampu membentuk kehidupan yang lebih baik. I believe the resourcefulness, tenacity and
resilience inherent in our true Malaysian spirit will serve us well in facing
this great adversity. We will prevail, inshaAllah.
Wabillahi al-taufik walhidayah
wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan